Penerokaan kehidupan yang perlu dirintis dan dikongsi bagi memudahkan perjalanan semua dalam dunia yang sementara ini. Moga usaha kerdil ini memberi manfaat serta dirahmati dan diberkatiNYA.
Sunday, December 11, 2016
Saturday, December 3, 2016
MENJADIKAN MASALAH PELUANG MENDIDIK DIRI
MENJADIKAN MASALAH PELUANG UNTUK MENDIDIK DIRI
Oleh: Rosnah Ahmad
Mendidik anak-anak banyak cabarannya. Saya mengambil pendekatan untuk menjadikan masalah sebagai peluang untuk mendidik diri dan keluarga. Biasanya saya akan mencari alternatif jalan penyelesaian kepada permasalahan yang sedang dihadapi. Saya berusaha menggunakan alternatif yang ditemui dalam menangani masalah karenah anak-anak. Kemudian saya menulis proses bagaimana saya menangani karenah anak-anak dalam perkongsian Tip Keibubapaan dalam blog saya rentis.blogspot.com. Contoh:
TIP RAMADHAN: PUASA DIDIK ANAK LEBIH EMPATI
“Mak, adik lapar lah” rungut anak saya Izzuddin ( 10 tahun) setiap petang dari hari pertama puasa hingga ke hari ini.
“Kalau adik lapar, waktu berbuka puasa nanti Insyaa- Allah tersedia hidangan enak tetapi bayangkan orang miskin yang lapar belum tentu dapat makan hari ini. Sebab itu Allah perintahkan kita berpuasa supaya kita merasai derita orang miskin dan selalu bersedekah membantu mereka.” jawab saya dengan nada mendidik.
Izzuddin mengangguk seakan mengerti dan berhenti merungut. Sekurang-kurangnya untuk hari ini dan besok perkara yang sama mungkin berulang. Saya akan mengulangi jawapan-jawapan untuk mendidik. Apa pun senyuman dan ciuman mesra tetap saya berikan sebagai pengukuhan.
Kanak-kanak seawal 3 tahun sudah mula menunjukkan rasa empati dan belas kasihan kepada orang lain. Kanak-kanak berinteraksi dan memberi makna kepada kehidupan mereka secara natural dan dengan bantuan orang yang lebih dewasa.
Apa pun puasa mendidik sahsiah dan kerohanian anak. Selain lapar dan dahaga mendidik anak untuk merasai kesengsaraan orang lain, puasa juga mendidik jiwa anak untuk selalu bersyukur, bersabar dan bersedekah. Sebulan masa latihan jiwa berpuasa Insyaa-Allah dapat mengukuhkan keperibadian unggul anak.
Sekian. Wallahu A’lam.
#CoachingPenulisan
#MengapaMestiMenulis
TIP MENGAPA MESTI MENULIS #3- BELAJAR DAN MENGAJAR
Rosnah Ahmad
Suara hatiku
Insan kecil ibarat sebutir permata
Yang amat berharga
Yang sangat istimewa
Namun perlu digilap
Agar bercahaya...
Amanah buat ibu dan ayah
Yang dilahirkan ibarat kain putih
Yang sedia dicorak
Seperti sabda Rasulullah
Anak itu lahirnya fitrah
Ibu ayah bertanggunjawab
Membesarkan anak menjadi insan
Yang beriman
Berakhlak mulia
Dan berilmu...
Sayangilah aku
Santunilah fitrahku
Seperti pesan Saidina Ali
Bermainlah dengan anak
Beri dan ajarlah tentang sayang
Manjakan anak dengan lembut dan rasa cinta
Pada usia tujuh tahun pertama
Didiklah anak dengan ketegasan dan disiplin
Pada usia tujuh tahun kedua
Bersahabatlah dengan anak
Pada usia tujuh tahun ketiga...
Didiklah aku dengan akhlak mulia
Galakkan aku bermain ketika kecil
Agar hidup jiwaku
Seperti pesan Imam Al Ghazali
Hati anak adalah suci ibarat mutiara yang berharga
Indah bersih
Didiklah anak dengan akhlak yang mulia
Usah dicemari dengan teladan yang buruk
Anak yang tidak dibenarkan bermain
Akan mati jiwanya...
Galakkan aku meneroka alam yang indah ini
Agar aku kenal Maha Suci Tuhan
Yang Maha Mencipta
Seperti pesan Cendiakawan Abdullah Nashih Ulwan
Hubungkanlah anak dengan alam
Agar subur imannya...
Galakkan aku belajar dengan bahan maujud
Ajar aku dari mudah ke susah
Dari yang dekat kepada yang jauh
Secara berperingkat
Bimbinglah aku dengan lembut
Beri pujian atas usahaku
Usah kau paksa diluar kemampuanku
Nanti hilang minat belajarku
Seperti pesan Ibnu Khaldun
Didiklah anak dengan kelembutan
Bukan dengan kekerasan...
Kenalilah potensiku yang berbeza
Usah banding-bandingkan
Seperti pesan Ibnu Sina
Didik anak dengan adab Islam
Galakkan perkembangan fizikalnya
Berilah peluang anak berkembang
Mengikut kecenderungannya...
Ingatlah pesan Allah
Anak itu perhiasan dunia
Juga ujian buatmu
Janganlah engkau lalai...
Didiklah aku dengan sabar
Dengan penuh kasih sayang
Dengan ilmu dan kemahiran
Serta amalan yang bersesuaian
Dengan tahap umur dan kecenderunganku
Doakan aku
Menjadi anak yang soleh...
Ingatlah...
Apabila kau pergi mengadap Ilahi
Terputuslah amalanmu
Kecuali tiga perkara
Sedekah jariah
Ilmu yang berguna
Dan anak soleh yang mendoakan
Friday, December 2, 2016
Manfaatkan Masa Cuti Sekolah Anak
TIP SENTUHAN BAPA BELAIAN IBU
Manfaatkan Masa Cuti Sekolah Anak
Oleh: Rosnah Ahmad
Cuti sekolah kembali lagi. Banyak sekali program-program untuk anak-anak memenuhi masa cuti mula diiklankan.
Saya tidak mengatakan program-program itu tidak bagus. Cuma diingatkan bahawa ibu bapa juga perlu meningkatkan kemahiran diri untuk mendekati anak.
Anak-anak memerlukan masa bersama ibu bapa dan keluarga. Mereka memerlukan masa santai dan kualiti di rumah dan meneroka minat yang tidak dapat dilaksanakan semasa sesi persekolahan. Mereka mungkin ingin membaca buku-buku selain buku pelajaran sekolah atau ada lebih masa bersukan atau bermain.
Apa pun ibu bapa juga harus sedar peranan mereka semasa cuti sekolah. Masa untuk memberi lebih perhatian, berbual, memberi sentuhan dan belaian kepada anak-anak.
Ramai juga yang sering mengaitkan masa berkualiti hanya dengan percutian keluarga. Ini boleh menjadi penghalang kerana masalah kewangan, masa atau cuaca yang tidak mengizinkan.
Ibu bapa harus lebih kreatif dalam menyantuni anak-anak. Manfaatkan alam dan bersekitaran rumah. Aktiviti santai seperti membaca, melukis, memasak dan bercerita sangat digemari kanak-kanak.
Saya petik dari buku "Bringing Up Boys" oleh Dr James Dobson
"The presence of parents is very beneficial at four key times of the day-- early morning, after school, dinnertime and bedtime. When that regular contact is combined with other shared activities between parents and kids, the most positive outcome is achieved."
Hargailah anak-anak dan masa yang ada.
Sayangi dan dekatilah anak-anak kita.
Wallahu A'lam.
#SentuhanBapaBelaianIbu
Rumah Sekolah Pertama
Ibu Bapa Guru Utama