Monday, March 4, 2019

“LAZY PARENTING” IN A NUTSHELL

Kupasan Mak Long berkaitan artikel  https://www.mother.ly/child/what-is-lazy-parenting-and-should-you-try-it?utm_source=rebeccaeaines&utm_medium=partnership&utm_campaign=fbpost

Ianya antidote atau berlawanan dengan “Helicopter Parenting”. Sila rujuk https://rentis.blogspot.com/search?q=helicopter+parenting.

Lazy parenting. Ya! malas.huhu. Mak Long memang banyak guna cara ni. Patutlah Mak Long selalu dilabel ibu yang malas. Kadang-kadang memang Mak Long rasa bersalah dan rasa diri kurang kompeten menjaga anak sepertimana yang dikatakan penulis artikel ini. Itu dulu masa Mak Long belum begitu memahami banyak perkara berkaitan keibubapaan. Sekarang Mak Long sudah nampak kesan positifnya. Syukur alhamdulillah.

Jadi apa itu lazy parenting? Bagaimana melaksanakannya dan apa kesannya pada anak?

Lazy parenting adalah mendidik dengan cara memberi peluang kepada anak untuk berkembang dan mencapai efikasi kendiri (self-efficacy) atau “ saya boleh buat sendiri” yang memberi impak kepada keyakinan diri, sifat berdikari dan bertanggungjawab. Ianya juga berkaitan membenarkan anak untuk menghadapi cabaran tanpa cepat masuk campur dan menolong supaya ibu ayah mengetahui sejauh mana anak boleh capai. Ya! Kebolehan dan potensi anak sangat besar.

Anak sebenarnya dapat banyak manfaat dari lazy parenting ni. Jika ibu ayah cepat masuk campur apabila anak menghadapi kesukaran dan cuba menghalang atau mengelak anak dari menghadapi kesukaran maka mereka tidak berpeluang untuk belajar dari cabaran dan kesilapan.

Lazy parenting menggalakkan anak membina kepercayaan tentang kebolehan mereka (bergantung pada umur anak) berbanding jika ibu ayah yang sentiasa cepat menolong atau helicopter parenting. Malah anak akan menganggap ibu ayah tahu dia tidak boleh membuat sesuatu perkara. Ini boleh menyumbang kepada peningkatan kerisauan apabila menghadapi kehidupan di luar tanpa ibu bapa bersama untuk memberi pertolongan. Mereka juga hilang peluang untuk membina kemahiran asas yang bermakna dalam kehidupan.

Contoh anak yang sentiasa dibantu mengurus diri apabila memasuki universiti atau kolej akan sukar mengurus diri dan masa. Mereka juga menghadapi masalah dalam pergaulan dan berkawan.

Lazy parenting boleh dilaksanakan dengan niat mendidik dan ianya bergantung kepada tahap umur dan kebolehan anak.  Ini beberapa cara untuk mulakan:

1. Cipta “ a yes space” atau ruang yang membenarkan anak bermain dengan bebas

Cari satu sudut atau ruang dalam rumah yang dikhaskan untuk anak bermain dan meneroka dengan bebas. Ia boleh jadi dalam satu bilik yang diletakkan peralatan dan perabut yang selamat supaya anak boleh meneroka tanpa kawalan ibu ayah.

Apa pun bergantung pada umur anak, anak kecil perlukan pengawasan ibu ayah tetapi pengawasan dari jauh sahaja supaya anak masih boleh bebas bermain mengikut minat dan kehendak mereka.

Berikan masa dan ruang untuk anak menyelesaikan masalah dan membina kawalan kendiri. Itulah matlamatnya: belajar melalui apa yang anak mampu buat sendiri. Biarkan mereka menghadapinya sendiri. Ibu ayah tidak perlu risau kerana ianya dalam kawasan yang selamat dan elakkan dari masuk campur dan terlalu mengawal.

2. Bina rasa selesa dengan kesan dan akibat yang natural

Memberi anak tanggungjawab juga bermakna menerima bahawa kadang-kadang ianya tidak berlaku sebagaimana yang kita harapkan.. Lazy parenting selesa membiarkan anak melalui kesan dan akibat daripada perbuatan mereka.

Contoh, anak yang bersekolah rendah sudah boleh mengemas beg sendiri. Biasanya ibu atau ayah akan memeriksa dan memastikan kerja sekolah anak semua siap dan dimasukkan dalam beg untuk keesokkan hari.

Lazy parenting mengutamakan proses bersama anak dengan melatih anak mengemas sehingga boleh melakukan sendiri. Namun, adakalanya mereka mungkin terlupa dan tertinggal buku contohnya. Ibu ayah lazy parenting juga rasa mahu menyelamatkan anak tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian kerana percaya anak akan dapat menerima dan mengurus kesan dan akibat dari apa yang berlaku. Jadi, di masa akan datang anak akan lebih berhati-hati.

Secara keseluruhan, lazy parenting adalah anjakan paradigma dari “ Saya perlu bantu dan selesaikan masalah anak” kepada “ saya perlu lepaskan supaya anak dapat mengurus diri sendiri”. Ianya mungkin lambat dan comot.

Contoh apabila anak 1 tahun makan sendiri tetapi jika anak sudah boleh melakukan sendiri, anak patut diberi peluang melakukan sendiri.

Walaupun ibu ayah tak dapat menggunakan lazy parenting 100% tetapi usahakanlah dari masa ke semasa. Ibu ayah akan terkejut dengan sejauh mana mereka boleh menghadapi dan melakukan sesuatu.

“Melentur buluh biarlah dari rebungnya.”

Allahu A’lam.

Rosnah Ahmad/Mak Long

No comments: