Wednesday, January 6, 2010

TIP KEIBUBAPAAN 43: MENAMAKAN PERASAAN ANAK

Pada suatu hari hampir setahun yang lepas saya berkunjung ke rumah sahabat saya Yati di Shah Alam.

Saya tiba lebih kurang pukul 9 malam bersama Ely, juga kawan saya dan Yati.

Tiba sahaja di rumah Yati, kami sibuk berbual. Maklumlah dah lama tak jumpa. Banyak cerita yang nak dikongsikan.

Ely kemudian pulang kerumahnya di Bangi dan saya bermalam di rumah Yati kerana ada mesyuarat yang perlu saya hadiri petang besoknya. Saya menyambung perbualan dengan Yati di dapur.

Anak bungsu Yati, Isa berumur 7 tahun memerhatikan kami sejak mula dari ruang tamu. Sesekali dia meminta dan bertanya sesuatu daripada Yati. Yang pasti saya masih ingat renungannya yang tajam terhadap saya.

Pagi besoknya Yati ke taska dan berpesan supaya saya mengingatkan Isa menyiapkan kerja sekolahnya. Isa bersekolah di sesi petang.

Apabila Isa bangun saya cuba berbual dengannya. Tapi Isa agak kurang mesra dengan saya. Saya kurang selesa dengan penerimaan Isa. Biasanya kanak-kanak sukakan saya. Ini sedikit sebanyak membuatkan saya tercabar.

”Kenapa makcik tidur umah Isa” tanya Isa dengan nada tegas.
” Wah! Dalam maksud pertanyaan anak kecil ini. ” bisik hati saya.
”Mak cik nak berborak dengan mama, sayang. Dah lama mak cik tak jumpa mama.” jawab saya selamba.

”Tapi mak cik boleh tidur kat Delta Inn je” cadang Isa merujuk kepada hotel berdekatan rumahnya di Shah Alam.

Nampaknya Isa betul-betul serius dan tegas dengan pendapatnya. Mungkin Isa rasa terpinggir dengan kehadiran saya semalam. Saya telah mencuri masa dan perhatian Yati daripada Isa. Itu telahan saya.

”Kalau mak cik tidur kat Delta Inn tak dapatlah berborak dengan mama.” jawab saya cuba memberi penjelasan.

”Tak pa. Mama boleh pergi jumpa mak cik kat Delta Inn” tegas Isa lagi

”Ok, tapi nanti siapa pulak nak jaga Isa kat rumah” jelas saya supaya Isa faham dan menerima kehadiran saya.

Crazy kakak” jawab Isa merujuk kepada kakaknya dengan nada marah.
” Oh...” saya mengiyakan kenyataan Isa.

Ini peluang saya untuk mendekati Isa.

Kebetulan saya baru sahaja membaca buku ” How to talk so kids will listen and listen so so kids will talk” oleh Adele Faber and Elaine Mazlish. Buku tersebut ada di perpustakaan rumah Yati. Saya membacanya selepas Yati keluar ke Taska dan sementara menunggu Isa bangun.. Jadi inilah masanya untuk saya menggunapakai teori saranan buku tersebut.

” Isa nampaknya marah dengan kakak” saya menamakan perasaan Isa terhadap kakaknya.

Biasanya saya mungkin akan terus menasihati. ” Tak baik cakap kakak crazy gitu” atau terus bertanya ”kenapa panggil kakak crazy

Tiba-tiba mata Isa bersinar dan mula bercerita mengapa dia marah kerpada kakaknya. Perkara biasa sahaja, persaingan adik beradik dan berebut barang.

Saya terus cuba menyelami perasaan Isa dan empati dengan masalah yang dihadapinya. Dengan meluahkan perasaan Isa memahami apa yang menyebabkan ddia marah. Ini tidak bererti dia tidak menyayangi kakaknya. Dan Isa juga mengaku bahawa kadang-kadang dia juga menyebabkan kemarahan kakaknya.

Saya bertanya kepada Isa agaknya apa yang dia boleh buat dengan perasaan marahnya. Isa berkata dia boleh maafkan kakaknya kerana dia juga kadang buat silap kepada kakaknya.

Saya memuji Isa kerana sikap murninya.

Saya dapat rasakan Isa sudah mula menyukai saya. Kemudian saya mengajaknya sarapan. Berbual lagi dan seterusnya membimbing dia membuat kerja rumah.

Yati kata sejak hari itu Isa selalu bertanya mengenai saya dan bila lagi saya nak berkunjung ke rumah mereka lagi. Pada kunjungan saya yang seterusnya Isa mendesak Yati untuk bersama menjemput saya dari stesen LRT.


Well. The theory works.

Kita orang dewasa mestilah menjadi pendengar yang baik dan mengiyakan perasaan anak dengan perkataan seperti ” Oh”... “ Mmm”...” Begitu rupanya”... Kemudian menamakan perasaan mereka.

Ini membantu anak menyelami perasaan, meluahkan perasaan dan menolong mereka memahami perasaan orang lain. Juga yang penting mereka berfikir dan membantu menyelesaikan masalah sendiri. Bukan kita orang dewasa yang membuat ulasan, berfikir dan menyelesaikan masalah untuk mereka.


Memahami diri sendiri dan memahami orang lain adalah tahap perkembangan sosio-emosi. Kanak-kanak mula memahami perasaan sendiri dan memahami perasaan orang lain seawal usia 4 tahun.

Orang dewasa juga digalakan menamakan perasaan mereka supaya anak-anak memahami perasaan kita dan belajar memahami perasaan mereka sendiri.

Contohnya apabila kita balik dari kerja dan kita sedih melihat rumah bersepah. Lebih baik berkata ” mak sedih kerana rumah bersepah” daripada marah-marah. Biasanya bila kita berkongsi emosi ia akan menyentuh emosi anak-anak dan mereka akan memahami, lebih menghargai dan menyayangi kita. Marah-marah hanya akan mengeruhkan keadaan dan mungkin melahirkan kebencian di hati anak.

Tetapi semua ini bukannya mudah. Kebiasaan mengatasi segalanya. Insya-Allah dengan niat dan azam untuk berusaha menyantuni anak-anak dengan lebih berkesan akan membuatkan kita istiqamah dan sedar tindakan kita terhadap anak-anak.

Ok itu sahaja perkongsian hari ini. Moga ada manfaatnya. Terima kasih atas sokongan pembaca semua.

Sekian. Wallahua’lam.

1 comment:

sherrina said...

Wow! Terima kasih kerana berkongsi info berguna ini. Kadang2 kita sebagai dewasa terlupa untuk turun berada di level kanak2 untuk memahami mereka.