Monday, December 21, 2009

CHANGING THE WORLD

 by anonymous

When I was young and free and my
Imagination had no limits, I dreamed of
Changing the world

As I grew older and wiser I realized the
World would not change

And I decided to shorten my sights
Somewhat and change only my country
But it too seemed immovable

As I enters my twilight years, in one last
Desperate attempt, I sought to change
Only my family, those closest to me, but
Alas they would have none of it

And now here I lie on my death bed and
Realise (perhaps for the first time) that if
Only I’d changed my self first, then by
Examples I may have influenced my
Family and with their encouragement
And support I may have bettered my
Country and knows I may have
Changed the world

IF I HAD MY CHILD TO RAISE OVER AGAIN

IF I HAD MY CHILD TO RAISE OVER AGAIN
DIANE LOOMANS

If I had my child to raise all over again
I’d finger paint more and point the finger less
I’d do less correcting and do more connecting
I’d take my eyes off my watch, and watch with my eyes
I would care to know less and know to care more
I’d take more hikes and fly more kites
I’d stop playing serious and seriously play
I’d run through more fields and gaze at more stars
I’d do more hugging and less tugging
I would be firm less often and affirm much more
I’d build self-esteem first and house later
I’d teach less about the love of power
And more about the power of love

Monday, September 14, 2009

Tip Keibubapaan 41: Mari Makan Anakku Sayang

Salam,

Menemui para pembaca di bulan Ramadhan yang mulia dan penuh keberkatan ini. Moga kita di beri kekuatan untuk terus meningkatkan amal dan memburu lailatul qadar.

Madrasah Ramadhan mendidik kita banyak perkara. Antaranya adalah untuk penjagaan kesihatan diri secara menyeluruh. Apa pun ia bukan perkara yang mudah untuk direalisasikan. Realiti Ramadhan di sana sini juga penuh dengan cabarannya yang tersendiri.

Setelah sekian lama tidak menulis saya terpanggil untuk berkongsi sedikit pengalaman dalam mendidik diri dan keluarga di bulan yang mulia ini berkaitan pemakanan sihat.

Semalam saya menyediakan kari ikan dan tomato yang dimasak tanpa santan, ayam panggang serta sayur brokoli dan cendawan yang di goreng bersama tahu sebagai menu sihat sajian berbuka puasa kami sekeluarga.

Cabaran saya bukan hanya bermula apabila memilih bahan yang segar dan berkualiti, menyediakan dan memasak sendiri dengan bersih, kreatif dan diiringi zikir dan doa.

Cabaran yang paling hebat adalah memastikan anak-anak memakan makanan yang dimasak dengan keadaan rumah saya yang hampir dengan kedai dan bazar ramadan. Anak-anak juga sudah mempunyai citarasa tersendiri kerana terdedah dengan pelbagai pilihan dalam persekitaran makanan yang perbagai dan enak setiap hari. Apa tah lagi di bulan Ramadhan. Syawal juga apa kurangnya.

Itulah antara cabaran saya yang bergelar isteri dan ibu berkerjaya di zaman moden ini.

Zaman arwah emak dan abah membesarkan saya dan adik-adik mungkin berbeza. Cabaran mereka lebih kepada mengadakan makanan saban hari bagi menghidupkan anak-anak. Kesempitan hidup dalam zaman serba kekurangan itu menyebabkan kami membesar dengan memakan hasil kebun abah dan air tangan mak yang menjanjikan kebersihan, khasiat dan keberkatan yang banyak.

Kami anak-anak juga tidak memilih. Makan sahaja apa yang dihidangkan dengan bersyukur dan berkongsi rezeki siisi keluarga. Aidil Fitri dan Aidil Adha disambut dengan sedikit keenakan yang jarang ditemui.

Para pembaca yang dirahmati Allah SWT, marilah sama-sama kita menambah ilmu, berazam dan beristiqamah mengubah diri dan keluarga ke arah memakan makanan yang seimbang dan sihat.

Kita mempunyai pilihan bagaimana berbelanja untuk kualiti. Berusahalah untuk memasak sendiri bagi menjamin kebersihan, khasiat dan keberkatan makanan yang dihidangkan setiap hari. Memasak menu sihat saya dapati lebih mudah dan menjimatkan masa. Ia juga sedap dengan sedikit kreativiti pengolahan bahan dan cara memasak. Peralatan dapur yang moden kini seharusnya memudahkan kita dan menjimatkan masa.

Semoga Allah menyembuhkan penyakit-penyakit yang kita hidapi berkat usaha kita menjaga pemakanan, beriadhah dan mengurus stres. Juga moga kita menjadi contoh bagi anak-anak untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Ramadhan semakin meninggalkan kita. Syawal disambut dengan penuh keserderhaaan dan keberkatan. Makanan yang dimakan seharusnya memberi khasiat bukan kemudharatan buat kita semua. Moga kita di beri kesihatan dan umur untuk terus beramal di muka bumi Allah ini. AMIN.

Maaf zahir dan batin dari saya sekeluarga.

Sekian. Wallahua’lam.

Rosnah Ahmad
25 Ramadhan 1430H

Friday, May 8, 2009

SELAMAT HARI IBU-DAHAGA CINTA

Salam,

Hari ibu muncul lagi. Bagi saya hari ibu adalah satu tazkirah bagi mengingatkan saya kepada amanah sebagai ibu kepada anak-anak sendiri dan anak-anak di sekeliling saya.

Juga sebagai anak kepada arwah ibu saya, Rahni binti Mahmud yang kembali ke rahmatullah 23 tahun yang lalu dan menantu kepada ibu mertua saya Wook binti Endut yang kembali kerahmatullah setahun yang lalu. Hanya Allah sebaik-baik pemberi balasan jasa yang telah dicurahkan dan moga mereka beroleh keampunan dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Amin.

Dahaga Cinta-puisi ini diberikan kepada saya oleh seorang sahabat beberapa tahun dahulu. Maaf tak tahu siapa penciptanya. Apa pun penghargaan kepada penciptanya. Saya terharu dan insaf. Moga ada manfaatnya kepada pembaca.



DAHAGA CINTA

Ketika aku masih anak-anak
Tanganku buka mengharapkan pelukanmu
Lalu kau berikan beruang mainan sebagai ganti

Ketika aku mengharapkan sepenuh perhatianmu bersama senduku
Kau berikan pelbagai mainan untuk menghiburku

Hanya TV, Video dan Kartun
Menggantikan kehadiranmu sebagai penghibur, teman dan keluarga

Kita bersama
Hanya di dalam kereta
Ketika pergi dan balik dari rumah asuhan
Ada ketikanya, kau dan aku
Terlalu penat atau pun mengantuk
Lalu kita pun membisu dalam kediningan sunyi

Kini aku telah dewasa, kau pula lanjut usia
ketika kau, ku bawa berkereta
Kesepian yang menyeksakan itu berulang semula

Ku tanya apa mahumu
Ku tanya ke mana ingin kau tuju
Dan doktor mana yang menjadi pilihanmu

Namun, aku masih bercanda bersama pelbagai mainanku
Kereta, telefon bimbit, golf
PADA KETIKA , KAU MEMERLUKAN KEHADIRANKU


Selamat Hari Ibu kepada semua.

Sekian. Wallahua'lam.

Sunday, April 5, 2009

TIP KEIBUBAPAAN 40: ANAK PEREMPUAN DAN KECANTIKAN

Teringat saya kepada peristiwa di satu pagi beberapa tahun lepas yang membawa perubahan positif kepada hidup saya.

Pada pagi itu saya singgah di rumah kawan saya, Fiza kerana urusan peribadi. Fiza, suri rumahtangga mempunyai empat orang anak yang masih kecil. Dia kelihatan manis sekali berbaju kurung dengan dandanan yang menarik.

Saya bertanya sama ada dia bersiap hendak keluar. ”Taklah, duduk rumah pun kena sentiasa melawa untuk diri sendiri dan suami. Kita pun akan rasa segar, ceria dan bersemangat melakukan kerja-kerja rumah dan melayan kerenah anak-anak”, jawab Fiza selamba.

Sejak itu saya mula muhasabah diri. Memang saya perlu mencontohi Fiza. Sentiasa kelihatan kemas, menarik dan ceria di rumah.

Saya memang asalnya tak suka melawa. Bagi saya ia membuang masa dan duit. Saya juga rimas memakai barang kemas. Suka ringkas saja.

Mungkin kerana kesempitan hidup semasa kecil, kami adik beradik tidak ada banyak baju dan perhiasan. Jadi tak biasa melawa dan memakai barang kemas.

Apa pun sesuatu mengenai Fiza menarik minat saya untuk nekad berubah. Saya mula mengambil perhatian kepada kecantikan dan mengajak anak saya, Nurin bersama.

Pengajaran pertama saya pelajari adalah untuk berhias memerlukan usaha dan kreativiti. Bukan senang. Apa pun ia sesuatu yang berbaloi.

Saya dapati dalam diri saya ada keinginan seperti wanita lain yang sukakan kecantikan.

Anak perempuan saya, Nurin memang suka kelihatan cantik dan kemas. Sejak kecil dia suka meniru cara saya berpakaian, kemudian bila dah besar sikit mula dipengaruhi oleh kawan-kawan dan fesyen semasa.

Saya cuba melayan minatnya dengan memberi panduan. Apa yang wanita Islam tidak boleh pakai di luar, saya benarkan dia berpakaian di rumah. Cuma perlu sopan dan menjaga aurat sesama mahram.

Keinginan untuk sentiasa kemas dan kelihatan cantik mengeratkan lagi hubungan kami sebagai ibu dan anak. Kami berkongsi idea dan akan keluar bersama membeli aksesori dari masa ke semasa. Nurin juga suka mencipta aksesori sendiri dari manik dan kadang-kadang menjual kepada kawan-kawannya. (rujuk kepada tip 5: usahawan kecil)

Sekarang Nurin sama tinggi dengan saya dan mempunyai saiz kasut yang sama. Jadi dapat berkongsi pakaian dan kasut.


Fitrah anak gadis yang ingin kelihatan cantik perlu dipupuk sejak kecil. Ibu bukan sahaja role model tetapi pembimbing yang berperanan memberi panduan kepada anak perempuan tentang adab-adab berpakaian.

Ayah boleh memainkan peranan dengan memuji anak perempuan sekali sekala. Berikan hadiah dari masa ke semasa mengikut minat mereka.

Sebaiknya anak perempuan mempunyai bilik atau sudut sendiri bagi mengasuh mereka menghargai, menjaga dan menyimpan barang-barang peribadi.

Moga kita berusaha menyantuni fitrah anak-anak perempuan kita menjadi wanita solehah dan isteri yang menawan hati suami setiap masa. Yang lebih penting, galakkan mereka berpakaian takwa dan hiaskan diri mereka dengan akhlak yang mulia.

Sekian. Wallahua’lam.

Tuesday, February 10, 2009

TIP KEIBUBAPAAN 39: MASA BERKUALITI








Salam,

Menemui para pembaca yang dirindui. Semoga sentiasa berada di bawah lembayung rahmat Allah SWT.

Mungkin ramai yang sedang bercuti bersama keluarga bagi mengeratkan lagi hubungan dan meningkatkan kasih sayang.(ARTIKEL INI DITULIS SEMASA CUTI SEMPENA TAHUN BARU CINA)

Bercakap mengenai masa berkualiti, saya ada definisi tersendiri. Saya wanita yang mahukan kesemuanya. Seorang isteri dan ibu yang sempurna dan pada masa yang sama seorang wanita yang berjaya dalam dakwah dan kerjaya. Jadi masa berkualiti adalah penting bagi menjamin kesejahteraan diri dan keluarga.

Saya gemar memasak, mengemas rumah, menjahit, menanam pokok bunga dan melayan kerenah anak-anak. Semua ini membahagiakan saya. Tetapi pengalaman berhenti kerja selama 3 tahun melakukan ini sahaja menjadikan saya bosan dan rasa bersalah. Saya ingin berbakti kepada masyarakat.

Kembali bekerja pula pada mulanya membuahkan rasa bersalah kerana tidak dapat berbakti sepenuhnya kepada suami dan anak-anak.

Bagi saya rasa bersalah itu sebenarnya perlu bagi mengingatkan kita kepada tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini walau apa pun status kita.

Sekarang saya bersyukur kerana dapat memainkan bebarapa peranan . Penat bekerja saya ada keluarga yang menanti. Juga bila bosan dan rimas dalam rumah kecil, saya ada dunia yang lebih luas dan mencabar di luar sana. Hidup saya lebih mencabar dan berwarna warni.

Apa yang membezakan adalah cara kita menangani masalah. Masalah adalah peluang dan hidup perlu sentiasa berubah.

Pendekatan saya mengenai masa berkualiti adalah fokus dan bergembira bersama melakukan apa sahaja aktiviti bersama. Yang penting adalah cuba menjadi seperti anak-anak. Bergembira, bermain dan meneroka.


Kesibukan latihan di luar kawasan dan tahap kesihatan yang kurang baik tahun lepas membuatkan saya hilang sedikit keseimbangan hidup. Ini mengetuk sedikit naluri wanita saya.

Kesempatan cuti panjang ini saya niatkan untuk membelai naluri wanita dan mencapai keseimbangan. Saya mengambil keputusan untuk tidak ke mana-mana supaya dapat menyerikan kembali rumah dengan mengecat dan mengemas. Saya jadikan ini program retreat kami sekeluarga

Kenangan terus dicipta semasa melakukan kerja-kerja rumah bersama. Terasa keintiman sekeluarga memakin pulih dan meningkat.

Selepas empat hari saya dapat kembali syurga dalam rumah dan bersedia untuk kembali kepada dakwah dan kerjaya yang sedia menunggu. Diri saya dicas semula.

Bagi anak-anak dan suami, terima kasih kerana sentiasa memberi ruang seluas-luasnya bagi saya mewakafkan diri dalam jalan dakwah bagi menjadikan bumi Allah ini lebih makmur bagi generasi akan datang.

Moga Allah memudahkan jalan-jalan ke syurga buat kita. Amin

" Santuni anak-anak secara fitrah"

Sekian. Wallahua'lam.

Monday, January 26, 2009

HIJRAH

Setiap tahun konsep hijrah semakin difahami sering dengan usia saya yang semakin meningkat.

Tahun ini saya nekad untuk berhijrah dengan lebih strategik. Saya perlu bangkit menghadapi ketakutan-ketakutan yang ada dan terus mengorak langkah dengan yakin. Potensi diri perlu digunakan sepenuhnya.

Saya mulakan hijrah dengan doa yang lebih strategik. Kemudian menghabiskan 2 minggu membaca buku lama dan membeli beberapa buku baru mengenai mengenal dan mencapai kecemerlangan diri. Saya perlu mengubah cara saya berfikir dan bekerja.

Selepas itu, saya mula melukis dan menulis hajat dalam ”my vision book”. Setiap hari saya akan melihat semula. Jika ada masa saya melukis dan menulis semula.

Saya dapat rasakan kelainan walaupun baru hampir tiga minggu saya melakukannya. Saya mula mengorak langkah dengan lebih yakin. Perkara-perkara positif mula menghampiri saya. Kebahagiaan, kejayaan dan ketenangan yang dihajati semakin dirasai.

Apa pun saya tahu cabaran yang paling besar adalah untuk istiqamah dengan perubahan diri. Teringat moto seorang sahabat saya ” nikmatilah hidup”. Saya mula memahaminya dalam konteks yang lebih besar

Kadang-kadang saya sering dihantui masa lampau yang saya kira telah banyak menggangu dan menyekat kemajuan diri. Ada ketika saya berharap tidak dipertemukan dengan seseorang yang meninggalkan sejarah hitam dalam diri.

Walau apa pun untuk ke sekian kalinya saya bersyukur atas apa jua kurniaan Allah.
Teringat kata-kata ”Everyone we met is our teacher ”.

Kepada semua yang pernah hadir dalam hidup, saya ucapkan terima kasih kerana sememangnya meraka adalah cikgu yang telah mengejar saya erti sebenar kehidupan.

Saya doakan pembaca juga mencapai kejayaan dalam hijrah menuju kecemerlangan diri dan keluarga masing.masing. Amin.

Hijrah menghidupkan jiwa.

Sekian. Wallahua’lam.

TIP KEIBUBAPAAN 38: MENEROKA KEHIDUPAN














Saya suka menggalakkan anak-anak meneroka. Bagi saya mereka perlu sentiasa digalakkan mencuba sesuatu yang baru. Penemuan-penemuan membantu mereka menilai dan mengenal diri.

Cuti sekolah akhir tahun yang baru lepas merupakan waktu yang paling sibuk buat saya. Pindaan akta taska menyebabkan banyak Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak (KAAK) diadakan diseluruh negara. Kekurangan jurulatih menyebabkan saya terpaksa memenuhi banyak tuntutan ceramah di luar kawasan. Ketiadaan saya di masa cuti sekolah yang panjang menyebabkan anak-anak rasa agak terpinggir.

Anak-anak yang besar ingin bercuti. Saya dan suami pula sukar mendapatkan cuti yang sama bagi memenuhi kehendak mereka.

Saya sedar ada kalanya istilah masa dan keadaan yang sesuai sukar ditemui. Oleh itu saya perlu bijak menyulam tuntutan kerja dan keluarga dengan bijak. Saya mengambil keputusan membawa anak-anak, Nurin Husan (13) dan Muhammad Firdaus ( 11) mengikut saya memberi latihan di luar kawasan. Saya berjanji akan menyelitkan aktiviti-aktiviti lain.

Anak bungsu kami, Muhammad Izzuddin (6) memilih untuk tinggal menemani abahnya.

Pengembaraan kami bermula di Jengka Pusat selama 3 hari. Nurin dan Muhammad agak bosan kerana sering ditinggalkan dalam bilik semasa saya mengendalikan sesi latihan. Persaingan adik beradik di antara mereka benar-benar tercabar. Mereka bergaduh, berbaik, bergaduh lagi dan berbaik semula. Apa pun pada hari ketiga mereka nampak lebih tenang dan banyak bergurau.

Persekitaran yang damai di Jengka Pusat kami manfaatkan dengan banyak berjalan kaki menikmati pemandangan dan menghidup udara segar. Sengang waktu saya membawa mereka mengelilingi bandar Jengka Pusat.

Nurin dan Muhammad sangat gembira apabila kami meninggalkan Jengka Pusat dan berangkat ke Genting Highland. Saya berhasrat menemui sahabat saya Solehah di Awana yang datang bercuti dari Australia disamping memenuhi permintaan Nurin yang belum pernah ke Genting. Muhammad berpeluang mengikut saya atas urusan kerja sebelum ini .

Nurin ingin menaiki kereta kabel. Saya gayat. Demi memenuhi permintaan anak, saya gagahi. Walaupun hanya sepetang di puncak, kami sempat memasuki rumah salji. Sejuk tapi seronok.

Malamnya kami bertolak ke Kuala Lumpur. Bermalam di rumah adik ipar saya, Zana di Seri Damansara. Besok pagi saya menghadiri mesyuarat. Kemudian kami luangkan sehari setengah berjalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur sebelum bertolak ke Sekudai dimana saya dijemput mengendalikan latihan bersama pengasuh dan guru tadika selama sehari.

Perjalanan ke Sekudai, Johor saya mengambil pendekatan berhenti di setiap R&R. Muhammad seronok untuk mengetahui apa yang di tawarkan di setiap R&R. Rumusannya dia menganggap R&R lebuhraya ke selatan lebih maju dan menarik berbanding R&R lebuh raya pantai timur.

Destinasi kami seterusnya adalah Melaka. Selesai kursus, petangnya kami bertolak Melaka dan berhenti lagi di setiap R&R. Kerana sudah agak lewat kami singgah di Jasin dan bermalam di rumah sahabat saya, Kak Tina. Besoknya Kak Tina membawa berjalan-jalan di Bandar Melaka.


Nurin dan Muhammad sangat sukakan Melaka. Tertarik dengan pelbagai kraf tangan yang di jual. Mereka buat saya membeli kraf untuk hiasan rumah dan peribadi. Kekadang mereka melayan saya seperti budak sekolah seperti mereka. Saya ingatkan diri ”loosen up and have fun”.

Cadangan awal kami pulang ke Kuantan melalui Segamat ditukar setelah menerima telefon daripada Solehah yang ingin mengikut kami ke Kuantan. Jadi kami ke Genting dan singgah di Nilai bertemu adik saya, Omar seketika. Makan-makan dan borak-borak. Saya sempat membeli 2 helai kain pasang untuk dibuat baju kurung kerana terpengaruh dengan jualan hebat dimerata Nilai.

Kami tiba di Genting dalam pukul 8 malam dan bertolak ke Kuantan bersama Solehah. Solehah mengambil alih tugas membawa kereta. Syukur. Dapat saya meluruskan kaki.

Tiba di Kuantan sekitar 12.30 malam. Berakhirlah pengembaraan kerja dan cuti kami selama 9 hari. Banyak yang telah kami lalui. Bagi saya peluang mendekati anak-anak begini membuatkan saya lebih memahami mereka.

Saya juga telah menguasai ketakutan saya. Inilah kali pertama saya ke Selatan membawa kereta sendiri. Anak-anak menjadi penguat semangat. Syukur kerana Muhamad mempunyai sikap anak lelaki yang melindungi. Sepanjang masa dia begitu peka kepada keperluan saya. Dia menjadi pepandu peralanan, mengingatkan saya tentang keselamatan, bersiap sedia dengan duit bila menghampiri tol dan teman berborak.

Bagi anak-anak pengembaraan ini bukti kasih sayang saya kepada mereka. Kenangan yang tercipta terpahat diminda. Saya sempat berpesan sekiranya saya sudah tiada ingatlah apa yang emak pesan sepanjang perjalanan.

Mereka nampak sebak. Saya tahu bila saya sudah tiada kenangan ini membantu mereka untuk terus hidup meneroka kehidupan.


Sekian. Wallahu’alam.