Tuesday, March 20, 2007

CERITA MEMBENTUK PERIBADI ANAK

Februari lalu, genaplah 21 tahun arwah emak meninggal dunia. Semakin hari semakin banyak kenangan bersama arwah ibu luput dari ingatan saya. Tapi kenangan mendengar cerita arwah emak hampir setiap malam masih segar diingatan. Mengenangkannya cukup mendamaikan jiwa.

Masih terngiang-ngiang suara dan terbayang-bayang mimik muka arwah emak ketika bersungguh-sungguh bercerita kepada kami lima beradik. Kami berebut-rebut untuk duduk paling rapat dengan emak untuk mendengar kisah-kisah daripada Al-Quran, cerita-cerita rakyat yang sarat dengan teladan dan cerita-cerita kesusahan hidup emak semasa penjajahan Jepun di Tanah Melayu.

Kami tidak jemu-jemu mendengar walaupun berkali-kali diceritakan cerita-cerita yang sama. Inilah aktiviti yang sangat kami sukai terutama di musim tengkujuh apabila tidak dapat bermain di luar rumah. Bagi kami, arwah emak adalah penglipurlara yang sangat bagus. Dia mampu membuat kami terpegun, ketawa, menangis dan banyak berfikir.

Kini, tradisi ini diteruskan kepada anak-anak saya yang berusia dua belas, sepuluh dan empat tahun sejak kecil lagi. Mata-mata mereka akan bersinar kegembiraan. Kadang-kadang dahi mereka berkerut kerana cuba memahami apa yang di ceritakan. Soalan-soalan mereka banyak sekali. Ketika masih belum boleh bercakap mereka cuba bertanya dengan mengeluarkan bunyi-bunyi yang belum difahami.

Sukar untuk berhenti daripada bercerita kerana permintaan anak-anak banyak sekali. Walau kadang-kadang agak meletihkan tetapi kegembiraan dan ucapan sayang serta terima kasih daripada mereka sangat menghiburkan.

Kanak-kanak dan cerita seperti tidak boleh dipisahkan. Mereka menilai cerita sebagai bukti kasih sayang.

Peranan cerita adalah besar dalam proses pendidikan sebuah generasi. Cerita membantu kanak-kanak memperkuatkan imaginasi , meningkatkan pengalaman, mengembangkan penguasaan bahasa dan membentuk peribadi mulia.

Aktiviti bercerita juga dapat menyelesaikan banyak masalah emosi anak. Aktiviti bercerita selepas ibu bapa pulang bekerja membantu menstabilkan emosi anak yang menagih kasih setelah seharian ditinggalkan.

Anak yang menunggu kehadiran adik baru contohnya mempunyai perasaan yang bercampur baur, gembira serta sedikit gusar dan cemburu.Mereka khuatir perhatian dan kasih sayang ibu bapa akan beralih kepada adik baru. Buku cerita tentang adik baru akan membuka ruang kepada anak untuk bertanya apa saja persoalan yang bermain difikiran mereka. Ini dapat menolong menyakinkan dan menyediakan mereka dari segi emosi untuk menyambut kehadiran adik baru.

Menasihati anak melalui cerita lebih berkesan terutama kepada anak kecil yang belum banyak menguasai bahasa.

Contohnya, kanak-kanak berusia lima tahun sukar memahami apabila diberi nasihat supaya jangan menderhaka kepada ibu bapa.

Perkataan ‘menderhaka’ mungkin biasa bagi orang dewasa tetapi ianya merupakan perkataan baru yang sangat susah untuk anak kecil fahami. Cara yang paling berkesan menerangkan maksud’menderhaka’ adalah dengan bercerita. Contohnya kisah “Si Tanggang” yang derhaka kepada ibunya.

Anak-anak akan lebih memahami arahan atau nasihat apabila mereka dapat mengaitkannya dengan cerita.

Zaman kian berubah, kini aktiviti bercerita telah banyak telah diambil alih oleh cikgu sekolah, cikgu tadika, pengasuh taska, television dan komputer. Apapun ibu bapa haruslah memupuk minat dan mencari masa untuk bercerita kepada anak-anak. Bercerita merupakan aktiviti masa berkualiti yang sangat berkesan untuk mendekati anak-anak dalam kesibukan ibu bapa sekarang. Secara tidak langsung anak-anak akan merasakan mereka diberi perhatian dan dihargai.

Pakar pendidikan mengatakan bahawa ibu bapa masih perlu membacakan cerita kepada kanak-kanak dibawah umur 12 tahun. Kanak-kanak diusia ini masih memerlukan panduan daripada ibu bapa bagi menerangkan maksud perkataan yang tidak mereka fahami dan memperjelaskan mesej sebenar disebalik cerita.

Islam sangat menggalakkan aktiviti bercerita .Al-Quran mengandungi banyak kisah, dan dengan kisah itu dari generasi Nabi hingga sekarang manusia dapat memperolehi pelajaran yang berharga. Keunggulan Al-Quran telah terbukti mendidik manusia dari generasi ke generasi dan tiada tandingannya.

Kita diajak bercerita tentang kisah-kisah nyata yang diceritakan Allah didalam Al-Quran seperti firman-Nya yang bermaksud:

“ Maka ceritakanlah kisah-kisah itu agar mereka berfikir”

( Surah Al-A’raf 176)

Kisah-kisah Al-Quran sentiasa mengajarkan bahawa kebenaran akan melenyapkan kebathilan. Ini dapat memberikan kesan dalam diri anak bahawa orang yang suka membuat dosa dan maksiat akan kecundang akhirnya. Perasaan ini penting untuk membenihkan keimanan dan akhlak mulia anak sejak kecil lagi.

Keagungan dan kebesaran Allah boleh disampaikan melalui cerita tentang kebaikan serta keindahan alam dan makhluk ciptaanNya. Fitrah anak suka kepada cerita binatang dan tumbuh-tumbuhan.

Kisah Rasullulah SAW, para nabi, para sahabat dan para pahlawan Islam juga akan dapat membantu anak-anak mencintai dan mencontohi sifat-sifat terpuji mereka.

Kita juga boleh mereka sendiri watak-watak yang boleh disesuaikan dengan mesej yang hendak disampaikan kepada anak-anak.

Anak-anak saya sudah mengenali watak ‘Abu’ yang saya cipta. Ada banyak cerita mengenai Abu seperti “Abu balik kampung”, “ Hari pertama Abu di sekolah” , “ Abu dapat adik baru ” dan banyak lagi.

Cerita-cerita ini saya reka secara spontan ketika menangani masalah anak-anak. Ia banyak mengandungi unsur-unsur nasihat dan humor yang disesuaikan dengan mesej dan nasihat yang hendak disampaikan. Cara ini adalah lebih berkesan. Ego anak tidak menjadi penghalang mereka menerima nasihat berbanding dengan menasihati mereka secara terus.

Banyak teknik bercerita yang boleh digunakan termasuklah bercerita secara lisan, dengan bantuan buku cerita, kad bergambar dan boneka. Cerita yang mengandungi unsur-unsur humor menarik perhatian anak-anak.

Nada suara dan mimik muka yang sesuai sangat menarik perhatian, mudah difahami dan menyentuh perasaan kanak-kanak. Elakkan cerita yang terlampau susah untuk difahami dan banyak mengandungi penafsiran yang belum mampu digarap oleh anak-anak.

Dekati anak-anak dengan bercerita. Hidupkan aktiviti bercerita dirumah supaya emosi anak-anak tenang dan peribadi mereka lebih mudah dibentuk. Insya-Allah.

ILMU KEIBUBAPAAN JAMIN TARBIAH ANAK

Berita Harian-16 Mac 2007
Jendela Hikmah: Ilmu keibubapaan jamin tarbiah anak
Oleh Rosnah Ahmad

BELAJAR rajin-rajin, abah tak ada harta dan ilmu adalah harta paling berharga yang abah boleh tinggalkan kepada anak. Begitulah ungkapan yang sering dilafazkan oleh ayah ketika kecil dan ia adalah motivasi paling berkesan kepada diri saya hingga ke hari ini, terutama selepas mempunyai anak sendiri.

Abah dan arwah emak dalam kepayahan hidup sentiasa berkorban dan berusaha untuk mendidik kami adik beradik. Pilu mengingatkan bagaimana abah yang hanya berpendapatan kecil, berkebun dan memancing selepas pulang kerja demi menampung perbelanjaan harian dan arwah ibu bangun seawal jam 3 pagi untuk membuat kuih untuk dijual, di samping mengambil tempahan menjahit baju.

Rumah kami dulu juga tidak ada banyak perabot dan perkakas, yang ada hanya keperluan asas. Abah sering mengingatkan arwah emak supaya tidak membazir duit dan sentiasa mendahulukan pendidikan anak.

Pengorbanan dan semangat tinggi ditunjukkan ibu bapa saya mungkin juga dapat dirasai oleh pembaca dan kita mesti sentiasa menghargai jasa ibu bapa kita. Siapalah kita tanpa pengorbanan besar mereka.

Konsep pengorbanan diajar kepada kita dalam al-Quran antaranya kisah Nabi Ibrahim a.s dan Siti Hajar sebagai ibu bapa serta Nabi Ismail a.s sebagai anak yang patuh dan taat kepada Allah.Setiap ibu bapa harus bersikap gembira apabila mendapat rezeki berupa anak.

Allah menceritakan di dalam al-Quran bagaimana Nabi Ibrahim a.s apabila diberi khabar oleh malaikat bahawa Allah akan mengurniakan seorang anak lelaki, lalu Nabi Ibrahim a.s menyatakan kegembiraannya dengan mengucapkan selamat sejahtera seperti firman Allah dalam al-Quran yang maksudnya: “Dan sesungguhnya telah datang utusan-utusan Kami kepada Ibrahim dengan membawa khabar gembira, sambil mereka berkata: “Selamatlah! Dia menjawab, “Selamat! (Surah Hud, ayat 69)

Kegembiraan ini mestilah disyukuri dengan menyiapkan diri dan berusaha untuk menjadi ibu bapa berjaya mendidik anak yang taat dan mendapat keredaan Allah SWT. Tugas ini bukan suatu yang mudah dan ia menuntut pengorbanan besar.

“Setiap anak dilahirkan secara fitrah, kedua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” ( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Antara pengorbanan yang perlu sentiasa dilakukan ibu bapa adalah sentiasa menimba ilmu keibubapaan tidak kira pada peringkat mana umur anak.Ilmu sangat penting demi menjamin tarbiah anak dan kesejahteraan keluarga. Ilmu dapat membantu ibu bapa untuk lebih peka kepada tahap dan kaedah yang paling berkesan dalam pendidikan dan menangani masalah anak.

Mendalami ilmu memerlukan pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit yang bukan sedikit. Sejak dari dalam kandungan seorang ibu bapa juga perlu banyak berkorban dengan menjaga akhlak dan ibu mendapat makanan berkhasiat serta sentiasa berdoa kepada Allah supaya anak dikandung sihat dan menjadi anak yang salih.

Anak dalam kandungan hendaklah dibacakan dengan ayat suci al-Quran supaya anak sentiasa mendengar kalimah Allah sejak dari kandungan lagi.

Proses kelahiran dan menyusukan adalah pengorbanan yang tidak terhingga seorang ibu. Ibu bapa berkewajipan memenuhi keperluan anak baik berupa kebendaan mahupun kerohanian.Ibu bapa tidak boleh mengabaikan tanggungjawab ini.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seseorang telah cukup dikatakan berbuat dosa, apabila mensia-siakan orang-orang yang menjadi tanggungan makan minumnya.” (Riwayat Abu Daud)

Hari ini selain daripada bapa, ramai ibu yang keluar bekerja demi memenuhi tuntutan ini. Bukan sedikit pengorbanan yang perlu kita lakukan ketika berusaha bekerja dan memastikan rezeki dicari adalah halal.Dalam kesibukan mencari rezeki, ibu bapa tidak boleh memberi alasan membiarkan saja pendidikan agama/rohani anak.

Institusi sokongan seperti pusat asuhan kanak-kanak (taska), pusat jagaan harian, taman didikan kanak-kanak (tadika), sekolah, pusat pengajian al-Quran dan fardu ain adalah perkongsian pintar dalam merealisasikan matlamat pendidikan anak.

Ibu bapa perlu bijak memilih institusi untuk menghantar anak mereka. Pilihlah institusi yang menitikberatkan agama dan terutama solat kerana cara paling tepat mendidik anak mengenal Allah ialah dengan melatih mereka untuk mengerjakan solat.

Memandangkan betapa pentingnya solat sebagai jalan untuk menjadikan manusia tunduk kepada Allah, maka Nabi Ibrahim a.s memohon kepada Allah agar dirinya dan keturunannya dijadikan sebagai orang yang tetap menegakkan solat seperti firman Allah yang maksudnya: “Wahai tuhanku, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan (begitu juga) anak cucuku, wahai tuhan kami, terimalah doaku.” (Surah Ibrahim, ayat 40)

Begitu juga Luqman, salah satu wasiat kepada anaknya seperti disebut dalam al-Quran yang maksudnya: “Hai anakku, dirikanlah solat.” ( Surah Luqman, ayat 17)

Dengan ini sewajarnya ibu bapa menjadikan solat sebagai pilihan utama untuk mendidik anak beraqidah tauhid. Mereka mesti terlebih dulu mendirikan solat dan sentiasa berbincang dan meneruskan kesinambungan pentarbiahan anak di rumah dan tidak menyerahkan tugas ini seratus peratus kepada pengasuh atau guru sahaja.

Anak hendaklah dibelai dengan penuh kasih sayang. Untuk tujuan ini ibu bapa mesti terlebih dulu sentiasa membaiki akhlak diri supaya anak sentiasa dilihat dengan pekerti mulia dan insya-Allah terdorong untuk mencontohi ibu bapa mereka.Hadis yang maksudnya: “Allah memberi rahmat kepada ayah yang membantu anaknya untuk berbakti kepada-Nya.” ( Riwayat Abu Saikh)

Dalam hal ini Allah memberi petunjuk supaya ibu bapa tidak mudah marah dan hendaklah gemar memaafkan kekeliruan anaknya seperti firmannya yang bermaksud: “Dan orang-orang yang menahan marah serta memaafkan orang lain dan Allah mencintai orang-orang yang berlaku baik.” ( Surah Al- Imran, ayat 134)

Proses pentarbiahan anak mengambil masa yang panjang dan ia sudah tentu menuntut ibu bapa untuk istiqamah dalam apa juga bentuk pengorbanan dilakukan di samping terus berdoa untuk kesejahteraan anak.“Wahai tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami dari isteri-isteri dan keturunan kami perkara-perkara yang menyenangkan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa.,” (Surah Al- Furqan, ayat 74)

Setiap pengorbanan juga menuntut kita supaya melakukan perubahan bermula dengan diri kita sendiri setiap hari. Sebagai ibu bapa kita mesti sentiasa berusaha menjadi contoh kepada anak kita dan ia kunci kejayaan dalam melahirkan anak yang salih wal musleh.

Penulis adalah seorang pengusaha Taska dan Tadika. Boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Monday, March 19, 2007

Salam

Salam,

Menghadiri Bengkel Penulis Muda 16-18 Mac . Jiwa saya semakin besar. Saya penulis. Ini tindakan saya yang pertama. Merealisasikan blog yang sudah lama diidam. Moga mendapat kemudahan dan keberkatan Allah SWT.