Sunday, November 29, 2020

KREATIVITI DAN ESTETIKA-PROSES ATAU HASIL

Assalamualaikum. Salam keindahan dan kedamaian buat semua.
TIPS AMALI/RPA TASKA:
KREATIVITI DAN ESTETIKA-PROSES ATAU HASIL

Saya terpanggil untuk membicarakan  mengenai amali Kursus Asuhan PERMATA (KAP) dan amalan di TASKA dalam menulis dan melaksanakan RPA Kreativiti dan Estetika (Seni dan Kraf). 

Ramai yang suka bidang ini. Baik pendidik mahupun jurulatih. Mungkin kerana ianya dianggap mudah, menarik dan banyak aktiviti yang boleh dibuat oleh jurulatih bersama pendidik semasa KAP ataupun oleh pendidik bersama kanak-kanak di TASKA.

Apa pun ianya bukanlah semudah yang dianggapkan. Pendidik yang seharuskan mengembangkan fitrah kreativiti dan estetika kanak-kanak ada kalanya secara tidak sedar banyak membunuh kreativiti dan melenyapkan minat kanak-kanak terhadap seni dan kraf.

Jadi, bagaimana untuk memastikan perkara ini tidak berlaku.

1. USAH BERI KANAK-KANAK KERTAS YANG SUDAH DI LUKIS ATAU MENUNJUKKAN MODEL UNTUK BERKARYA.

Contoh pendidik memberikan kertas yang sudah ada lukisan bunga untuk kanak-kanak warna, kolaj atau buat capan.

Sebaiknya dapatkan pengetahuan/kebolehan sedia ada kanak-kanak dengan berbual atau bercerita mengenai bunga dan galakkan kanak-kanak melukis dahulu bunga mengikut kreativiti mereka. Kemudian baru warna, kolaj atau capan pada hasil lukisan mereka.

Pendidik boleh juga membawa jambangan bunga untuk kanak-kanak melukis melalui pemerhatian.

Apabila alam dan kanak-kanak berhubung, hasilnya sangat menakjubkan. Aktiviti melibatkan alam membantu kanak-kanak melahirkan idea-idea kreatif.

Ada yang menganggap kanak-kanak bawah 4 tahun belum boleh melukis. Sebenarnya kanak-kanak boleh menconteng, melakar dan melukis sendiri mengikut tahap kebolehan mereka jika diberi peluang sejak kecil.

Rujuk tahap lukisan kanak-kanak.

http://rentis.blogspot.com/2017/12/tahap-perkembangan-lukisan-dan-tulisan.html?m=1

2. USAH TERLALU MENGAWAL KANAK-KANAK

"Adik nak warna apa. Ini warna apa?." Itulah soalan yang biasa diutarakan pendidik kepada kanak-kanak. Seolah-olah pendidik mahu kanak-kanak memilih warna yang betul dan sangat penting untuk kanak-kanak menyebut dan menamakan warna dengan betul. 

Ianya sering mengganggu proses berkarya dan melahirkan idea. Kanak-kanak fitrahnya kreatif. Bebaskan sahaja mereka meneroka dengan cara dan pilihan mereka sendiri.

3. USAH MEMBANDING-BANDING HASIL KERJA KANAK-KANAK DAN MELABEL KANAK-KANAK 

Hasil kerja kanak-kanak dinilai. Ada yang diberi dua bintang. Ada yang dapat tiga bintang, yang cikgu rasa cantik dapat lima bintang dan ditampal. 

Ada kanak-kanak dilabel  "kurang kreatif" atau "tidak kreatif".

Tindakan membanding-bandingkan dan melabel menimbulkan perasaan tidak yakin, ragu-ragu atau rasa bersalah (teori erikson)

Hargai dan terima seadanya kanak-kanak dan hasil kerja mereka. Ianya satu proses yang hebat yang membawa kepada progres dari masa ke semasa seiring dengan bertambahnya kebolehan, pengetahuan dan kemahiran mereka.

4. USAH MENGUBAH HASIL KERJA KANAK-KANAK.

Seni dan kraf adalah media untuk menyuburkan kreativiti bukan setakat hasil yang dikagumi. Seni membuka peluang kepada kanak-kanak untuk belajar dari kebebasan meneroka dalam menyatakan idea kreatif mereka.

5. USAH MENGKRITIK HASIL KERJA KANAK-KANAK

Ini boleh membunuh kreativiti dan mematahkan semangat dan minat atau menjadikan kanak-kanak rasa "tidak cukup baik" ("I am not good enough"). Mereka mungkin rasa tidak "pandai" dan ini menghalang proses mengembangkan potensi diri mereka.

6. USAH TERLALU MEMUJI ORANGNYA TAPI PUJILAH USAHANYA

Ucapan pujian "pandainya" sudah menjadi amalan biasa. 

Pujilah usaha dan apa yg baik supaya kanak-kanak tahu apa tingkah laku, perbuatan dan aspek kreativii yang baik. 

Contoh, "Bagus adik dapat melukis dan mewarnakan bunga dengan cantik. Cikgu suka dengan pemilihan warna merah, kuning, oren dan campuran warna-warna yang digunakan. Hasilnya menarik sekali."

.
.
Peranan pendidik adalah sangat penting. Ia adalah antara faktor utama bagi melahirkan modal insan yang kreatif, innovatif dan menghargai kecantikan. 

Jadi pendidik mesti:-

1. KREATIF MERANCANG

Pendidik perlu merancang aktiviti dan menyediakan bahan dan persekitaran yang menggalakkan perkembangan kreativiti dan estetika kanak-kanak.

2. BEBASKAN KANAK-KANAK MENEROKA

Pendidik mendedahkan kanak-kanak kepada pelbagai teknik, warna dan bahan dalam proses menghasilkan seni dan kraf. ( teori Piaget)

3. MENYOKONG DAN MEMBIMBING KANAK-KANAK

Pendidik menggalakkan kanak-kanak berkarya dengan cara "scalffolding" atau memberi bantuan apabila perlu dalam zon yang mampu dicapai kanak-kanak ( teori Vygotsky). 

4. MENGHARGAI KEUNIKAN DAN MEMPUNYAI NILAI ESTETIKA /KECANTIKKAN

Pendidik adalah contoh atau "role model" kepada kanak-kanak. 

Kreativiti dan estetika juga bukan hanya pada seni lukisan dan kraf. Ianya merentas kurikulum dan dalam kehidupan. 

Bagaimana pendidik mengaplikasikan seni seharian di TASKA, menilai dan menghargai keindahan akan menjadi ikutan kanak-kanak.

"Bagaimana acuan begitulah kuihnya"-Pepatah Melayu

“Every child is an artist. The problem is how to remain an artist once he/she grows up”-Picasso

"Setiap Anak Permata Negara"

Kredit gambar kepada adik Qasyaf dan Wannya Shamsida Binti Mohd Nor.

Allahu 'Alam.

🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
#EmpoweringECCE
#KAPOnline

No comments: