"Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang."
.
.
Puan Aminah : Saya nak bertanya bagaimanakah cara untuk ‘unlearn’ gaya keibubapaan mak ayah kita dahulu dan ‘relearn’ cara keibubapaan yang lebih baik.
Mak Long: Alhamdulillah, syabas Puan Aminah kerana sedar bahawa gaya keibubapaan kita banyak dipengaruhi oleh cara kita dibesarkan atau gaya keibubapaan mak ayah kita dahulu. Ada perkara yang dirasakan perlu diubah.
Bukan bermaksud apa yang mak ayah kita lakukan dahulu salah kesemuanya. Cuma ada yang sudah kurang sesuai dengan zaman sekarang. Jadi kita perlu membuat penilaian dan perubahan atau transformasi dalam gaya keibubapaan mengikut zaman dan mengikut keunikan anak-anak kita sendiri.
Proses tranformasi untuk "unlearn and relearn" ini saya bahagikan kepada 10 langkah.
1. Yang pertama adalah mengenal diri iaitu melihat ke dalam, muhasabah diri dan kenal pasti yang mana tentang diri kita yang terbawa-bawa cara atau gaya keibubapaan mak ayah yang dirasakan perlu diubah demi kebaikan anak-anak dan keluarga.
2. Apabila kita sudah kenalpasti apa yang perlu diubah, kita mesti mengaku bahawa untuk berubah kita perlu melalui proses transformasi diri.
Usah membela diri. Itu tandanya kita tidak mahu berubah. Ada banyak cara membela diri. Contoh, menafikan, menyalahkan keadaan dan orang lain atau mencari pelbagai alasan alasan.
Sebagai ibu atau bapa kita adalah pemimpin kepada anak-anak. Jadi kita perlu berubah dan memperkasakan diri serta menjadi contoh kepada anak.
Pemerkasaan diri kita sebagai ibu bapa akan memperkasakan kecemerlangan diri anak.
"Leaders work on themselves. They empower themselves and others."
3. Mencari ilmu dan kemahiran berkaitan perkara baru yang lebih baik yang mahu dipraktikkan.
Ada banyak kaedah untuk mendapatkan ilmu dan kemahiran keibubapaan. Kita boleh menyertai seminar, kursus, bengkel keibubapaan, membaca buku atau belajar dari orang-orang yang berpengalaman.
4. Apabila kita ada ilmu kita perlu beramal dengannya. Ianya memerlukan kesedaran diri yang lebih tinggi atau "being mindful" supaya mampu bertukar dari amalan yang biasa kepada amalan yang baru.
Sila rujuk artikle saya bertajuk "Ledakan Emosi--Mengapa Ianya Terjadi".
http://rentis.blogspot.com/2020/04/ledakan-emosi-mengapa-ianya-terjadi-dan_22.html?m=1
5. Perubahan yang dilakukan perlu diulang-ulang sehingga ianya menjadi budaya baru. Istiqamah. Menurut pakar ianya memerlukan amal yang konsisten selama 21 hari.
6. Selalu istighfar bila tersilap atau terlupa. Kita manusia tak terlepas dari melakukan kesilapan. Mohon ampun, mohon petunjuk dan kekuatan dari Allah untuk istiqamah berubah .
Ini adalah proses melawan hawa nafsu dan bisikan syaitan. Mujahadah dalam memperbaiki amal. InsyaAllah besar ganjarannya.
7. Minta sokongan daripada orang-orang terdekat dalam proses "unlearn and relearn". Contoh, sokongan dari pasangan dan anak-anak.
Tapi kadang-kadang apabila kita mahu berubah kita kurang mendapat sokongan dari orang terdekat.
Menyertai kumpulan sokongan secara fizikal boleh membantu. Sekarang ada banyak juga kumpulan sokongan di media sosial. Pilihlah yang sesuai dengan kita.
Saya suka membaca sirah untuk merawat hati. Juga baca al-Quran dan buku-buku untuk meningkatkan motivasi diri.
Cuma kadang-kadang sedih dan kecewa itu ada. Terima dahulu apa sahaja perasaan yang kita rasai dalam proses berubah. Lepaskan dengan munajat dan penjagaan diri atau "self-care".
Proses berubah memang menyebabkan ketidakselesaan tetapi akhirnya ianya sangat berbaloi kerana kita dapat menyelesaikan banyak masalah dan kehidupan menjadi bertambah aman insyaAllah.
8. Fokus kepada usaha dan progres diri.
Bila kita fokus kepada progres kita akan mencapai hasilnya.
"What you focus on grows"
Selalu ingat bahawa Allah menganjarkan usaha kita bukan hasilnya.
9. Apa pun untuk mendapatkan cara yang sesuai dengan anak-anak, kita perlu mencuba beberapa cara atau teknik sehingga kita menemui yang hikmah. Lain anak lain gaya dan caranya.
10. Catatkan proses transformasi yang dilalui dalam jurnal peribadi. Menulis mengukuhkan lagi kefahaman.
Kita boleh kongsikan pengalaman dengan orang lain melalui penceritaan, penulisan atau di media sosial untuk manfaat orang lain.
"Share it when you find the wisdom. Sharing is caring. Of course this is optional but it is highly recommended😃☕."
.
.
"Ibu bapa yang baik itu bukanlah yang tidak pernah melakukan kesilapan tetapi ibu bapa yang baik itu selalu refleksi diri, mencari ilmu dan memperbaiki tindakan supaya lebih rational dan progres pada jalan-jalan kebenaran dengan kesabaran."- Mak Long
Surah Aal-e-Imran, Ayat 135:
وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ فَاسْتَغْفَرُوا لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا اللَّهُ وَلَمْ يُصِرُّوا عَلَىٰ مَا فَعَلُوا وَهُمْ يَعْلَمُونَ
"Dan (juga) orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain dari pada Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya).
"Harta benda dan anak-anak kamu hanyalah menjadi ujian dan di sisi Allah ada pahala yang besar."
(QS. At-Taghabun, 64 : 15)
Selamat berjaya.
Allahu 'Alam.
🌹Rosnah Ahmad/Mak Long
#IbuBapaTenangAnakCemerlang.