Saturday, May 9, 2020

SALAM NUZUL QURAN 1441H

Fitrah adalah potensi semula jadi yang sedia dibangunkan bagi menjadikan anak insan yang beriman, bertaqwa dan berakhlaq mulia. Asuh dan didiklah anak  berpandukan Al-Quran dan Sunnah.

Surah Ar-Room, Ayat 30:

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah ugama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) ugama Allah, iaitu ugama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah ugama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

🌹Mak Long
Nuzul Quran
17 Ramadhan 1441H

Friday, May 8, 2020

BERHENTI MENJADI MANGSA, IZINKAN DIRIMU MENJADI BERLIAN.

Kehidupan adalah ujian dan banyak cabaran yang perlu dilalui. Ramai antara kita pernah menjadi mangsa kepada penderaan fizikal dan emosi sejak kecil.

Tanpa sedar ramai yang terus membiarkan diri menjadi mangsa hingga berfikiran dan berperasaan sebagai mangsa.

Orang begini banyak menyalahkan keadaan dan orang lain. Selalu sahaja berfikiran negatif dan bersangka buruk. Merasa diri tidak disayangi dan dihargai. Ada yang sampai trauma dan kemurungan.

Kesan mentaliti mangsa ini membawa mudharat bukan sahaja kepada diri malah kepada keluarga. Contoh, seorang ibu akan marah-marah, memukul atau menjerit pada anak tanpa sedar. Dia juga akan selalu menyalahkan dan konflik yang berpanjangan dengan pasangan.

Berhentilah menjadi mangsa! Kita adalah sebaik-baik kejadian ciptaan Yang Maha Esa. Ianya amanah untuk kita menjaga hak dan kebajikan diri. Usah menzalimi diri sendiri. Usah terlalu bersedih. Usah berputusasa. Rahmat dan pertolongan Allah itu dekat. 

Bagaimana seseorang melihat dan merasai ujian dan masalah menjadikan dirinya mangsa yang "sakit" atau berjaya menjadi lebih baik. Umpama berlian yang terjadi akibat tekanan demi tekanan.

Izinkan diri untuk menjadi berlian. Setiap ujian dan masalah adalah persediaan bagi kita untuk lebih bersinar. Tukar corak pemikiran dan perasaan daripada mangsa kepada juara. Contoh, sorang ibu yang tertekan dengan karenah anak-anak merasakan ianya bukan masalah tetapi peluang untuk meraih pahala dengan menimba ilmu yang berkaitan dan berubah ke arah yang lebih baik. Proses tranformasi diri yang memerlukan ibu ini mengenal, menerima kekurangan diri dan bermujahadah mencari ilmu serta membudayakan cara dan gaya hidup yang lebih baik.

Syukuri, maafkan dan sayangi diri. Setiap dari kita tidak sempurna tetapi kita mampu untuk menjadikan hari ini lebih baik dari semalam, insyaAllah.
.

“Keduanya berkata, ‘Ya Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan jika Engkau tidak mengampuni kami dan memberi rahmat kepada kami, niscaya kami termasuk orang-orang yang merugi.” (Al-A’raf: 7: 23)
.

"Jadilah orang bahagia dan membahagiakan. Usah biarkan dirimu terperangkap dalam emosi yang mengganas. Usah rugikan diri sendiri kerana dirimu berharga".

Allahu 'Alam.

🌾Mak Long
#EmpoweringYou!
Jumaat, 15 Ramadhan 1441H