Wednesday, November 28, 2018

KOMUNIKASI BERKESAN MEMBIMBING ANAK BERFIKIR DALAM MENANGANI MASALAH

Oleh Rosnah Ahmad/Mak Long

Soalan dari seorang bapa.

Mak Long, anak lelaki saya(10 tahun) merosot prestasi pelajarannya dan laporan guru kelas mengatakan anak saya sering tidak siapkan homework.

Apakah tindakan saya sebagai ayah dalam membantu anak menangani masalah ini?

Jawapan Mak Long:

1. Anak 10 tahun seharusnya sudah boleh berfikir dengan baik dan ibu bapa perlu membimbing anak untuk berfikir, mengenal pasti masalah, mencari alternatif, membuat keputusan, bertindak dan membuat refleksi

Harus ingat bahawa ini adalah masalah yang anak hadapi. Masalah kita adalah untuk membimbing anak dalam menyelesaikan masalah. Jadi kita bimbing anak dalam proses menyelesaikan masalah bukan menyelesaikan masalah untuk anak.

2. Dalam masalah anak yang prestasi merosot tadi dan cikgu bagi tahu bahawa anak kerap tidak siapkan homework. Pendekatan Mak Long adalah menjadi pembimbing dan bawa anak berbincang perkara berikut:-

🍁Bagi peluang anak meneroka permasalahan contoh tanya anak kenapa pelajarannya merosot. Kita perlu tenang, tak perlu marah atau malu dgn prestasi anak kerana situasi ini boleh menjadi lonjakan pada anak pada masa hadapan jika ditangani dengan hikmah. Ini juga adalah proses menggalakkan anak belajar dari kesilapan.

Bagi anak peluang meneroka dengan bebas. Kita perlu menjadi pendengar yang baik dan EMPATI.

🍁Kemudian bimbing anak untuk kenalpasti masalah.

Contoh mungkin anak beritahu kurang faham Bahasa Arab dan anggap ianya susah. Itu bukan alasan anak. Itu masalah yang anak hadapi dan perlukan penyelesaian.

Kita bawa anak meneroka semua faktor-faktor yang menyumbang kepada merosotnya prestasi dan masalah kenapa tak siap homework. Dengan lain perkataan kita membimbing anak untuk mencari PUNCA masalah.

🍁Senaraikan faktor-faktor punca masalah dan bimbing anak cari alternatif-alternatif kepada jalan penyelesaian. Ibu bapa perlu ingat bahawa kita hanya pembimbing supaya anak berfikir. Bukan kita yang berfikir dan beri jalan penyelesaian untuk anak dan anak hanya mengikut arahan kita.

Contoh: Anak kurang faham Bahasa Arab. Apa alternatif yang ada. Bincangkan bersama.

🍁Tanya anak apa tindakan yang boleh diambil. Beri peluang anak membuat keputusan  selepas mengenalpasti alternatif-alternatif yang ada.

Anak yang membuat keputusan sendiri insyaAllah akan lebih bertanggungjawab dalam tindakan mereka. Contoh: anak kata dia perlukan kelas bimbingan. InsyaAllah dia akan pergi kelas bimbingan dengan mudah dan bersedia untuk belajar.

Ibu atau ayah boleh beri nasihat tetapi biarlah selepas proses berfikir iaitu di akhir sesi.

🍁Susulan kepada tindakan yang diambil bolehlah dibuat dengan anak dari masa ke semasa. Tanya anak progres selepas tindakan diambil dan jika ada masalah berbangkit dan boleh bawa berbincang lagi.

🍁Kita perlu beri keyakinan, puji usaha dan sentiasa mendoakan anak. Mak Long suka puji usaha serta doa yg didengari anak disamping doa ketika  solat dan selepas solat. Contoh. "Alhamdulillah abang rajin pergi kelas untuk tingkatkan kefahaman dalam Bahasa Arab. Ibu bersyukur kepada Allah kerana abang anak yang baik dan sentiasa berusaha memperbaiki diri dan ibu berdoa supaya Allah memudahkan semua usaha abang dalam menuntut ilmu".

Cara ini sebenar memperkasakan anak untuk menyelesaikan masalah. Bila sudah biasa, anak akan membudayakan proses menangani masalah dalam kehidupan dengan melihat ke dalam diri dan yakin bertindak untuk berubah ke arah yang lebih baik.

3. Pada yang sama kita perlu sediakan faktor persekitaran yg kondusif untuk galakkan perubahan dan perkembangan anak.

4. Faktor Pedagogi

🌴Untuk anak bawah 7 tahun gunakan kaedah melalui bermain. Main peranan contohnya. Ibu bapa boleh bermain sekali untuk menangani masalah tingkah laku ie behaviour modification.

🌴Untuk anak peringkat pertengahan- 7 hingga 12 tahun kita perlu disiplinkan anak. Contoh disiplinkan anak untuk kemas buku dan buat homework.

🌴Untuk anak remaja gunakan kaedah berkawan. Contoh dengan anak Mak Long Izzuddin 16 tahun, tak perlu dah nak periksa beg dan homework. Mak Long berkawan dan berbincang menggunakan kaedah bimbingan tadi dan perkasakan anak dalam tindakan.

5. Berfikir itu sangat dituntut oleh Islam.

Rasulullah SAW juga gunakan kaedah berfikir contoh dalam kisah pemuda yang ingin berzina. Orang lain yang mendengar memarahi pemuda tu tetapi Rasulullah tidak memarahi pemuda itu malah mengajak pemuda itu menghampirinya. Soalan pertama Rasulullah SAW kepada pemuda itu : “Apakah kamu suka jika perzinaan terjadi pada ibumu?”

Pemuda itu berfikir dan  menjawab : “Tidak, demi Allah”. Nabi melanjutkan pertanyaan nya, “Demikian pula orang lain, mereka tidak suka jika perzinaan terjadi pada ibu-ibu mereka.”

Rasulullah bertanya lagi bagaimana jika penzinaan dilakukan pada puteri, saudara perempuan atau ibu saudara pemuda itu.

Pemuda itu menjawab sudah tentu tidak dan Rasulullah menjawab begitulah orang lain tidak suka diperlakukan sedemikian terhadap wanita-wanita mereka.

Rasulullah kemudian memohon supaya Allah mengampun pemuda itu dan mendoakan pemuda itu.

Pemuda itu membatalkan niatnya untuk berzina.Begitulah kesan proses berfikir kepada tindakan seseorang.

Ayuh kita perkasakan anak-anak untuk berfikir dan menangani masalah dengan lebih bijak dan hikmah.

Wallahu'alam.

#SentuhanBapaBelaianIbu
Kembalikan Peranan Ibu bapa
Perkasakan Instituisi Keluarga

No comments: