Orang kata: Kita perlu peka dan segera mengawal tingkahlaku anak.
Saya kata: Apa sahaja yang berlaku seharusnya membawa kita kepada kesedaran diri yang lebih mendalam dan kita harus selalu bertindak dalam keadaan sedar.
Bagaimana kita berhubung dengan anak dalam setiap perkara adalah sangat penting. Adakah kita berusaha memahami dan menyantuni anak itu dengan KESEDARAN atau kita terus bertindak tanpa sedar yang akhirnya bukan sahaja tidak membantu anak itu malah menjejaskan hubungan kita dengan anak.
Contoh: Anak menyepahkan rumah, kita mungkin memarahi anak secara spontan. Tindakan kita itu mungkin kerana waktu kecil dahulu kita juga pernah dimarahi dalam situasi yang sama. Tingkahlaku anak tadi hanya satu "trigger" kepada sesuatu dalam diri kita yang belum selesai (unfinished business).
Selalu ingat bahawa kita sedang mendidik dan membimbing anak. Menjadi ibu bapa bukan satu lesen untuk memperlakukan anak sesuka hati kita. Anak juga ada minat dan keunikan tersendiri. Kita tidak boleh mengongkong dan menjadikan anak seperti kehendak kita
Sebagai ibu bapa kita juga harus sedar bahawa kita sedang membina hubungan yang sihat dengan anak dalam proses membesarkan mereka. Hubungan yang utuh antara ibu bapa dan anak menjamin kesejahteraan anak dan keluarga.
Wallahu'alam.
Rosnah Ahmad
#SentuhanBapaBelaianIbu
#MasaUntukSedar