Monday, August 6, 2012

IQRA'-BACALAH ANAKKU...


Assalamualaikum kepada pembaca yang dikasihi sekalian,

Syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita dapat bertemu Nuzul Al-Quran, hari  bagi memperingati turunnya Al-Quran sebagai mukjizat besar Nabi SAW. Al-Quran sarat dengan hikmah dan rahsia sebagai petunjuk dan panduan kehidupan bagi mereka yang berfikir.

”Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih berganti siang dan malam, kapal belayar di lautan membawa keperluan manusia dan air hujan yang diturunkan Allah dari langit, lalu dengan air itu dihidupkanNya bumi yang tandus dan Dia kembang biakan di bumi ini binatang-binatang yang melata (termasuk manusia) dan perkisaran angin antara langit dan bumi; (semua itu) menunjukkan tanda-tanda kebesaran Allah bagi kaum yang memikirkan.”
Surah Al-Baqarah ayat 164

Sewajarnya kita mengambil iktibar dari peristiwa ini. Penurunan Al-Qur’an yang dimulakan dengan kalimah ïqra” iaitu “baca” kerana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. 

Ayat yang seterusnya “ Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya”.  Pena adalah senjata penting bagi Allah  mengajar manusia, kerana pena selama-lamanya merupakan alat mengajar yang paling luas dan paling mendalam kesannya dalam kehidupan manusia. 

Al Qur’an diturunkan secara beransur-ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di Mekkah dan 10 tahun di Madinah. Turunnya sesuatu ayat sesuai dengan peristiwa-peristiwa yang terjadi akan lebih mengesankan dan lebih berpengaruh di hati

Rasulullah SAW pula bukan sahaja berjaya menyampaikan wahyu tersebut dengan sempurna bahkan Baginda SAW mengimplikasi dan mencernakan setiap wahyu tersebut dalam segenap tindakan dan perbuatannya sehinggakan akhlak Baginda dinobatkan sebagai al-Quran.
Begitu juga jika dikaitkan dengan tarbiah anak-anak yang panjang dan berperingkat untuk melahirkan insan yang faham apa yang dibaca, terkesan di hati dan dapat dicernakan dalam kehidupan sebagaimana Rasulullah SAW.

Proses belajar membaca haruslah lebih bermakna dan efektif serta dapat melahirkan insan yang mempunyai kefahaman, terkesan di hati dan beramal dengan apa yang dibaca dalam kehidupan seharian. Contohnya memupuk sifat amanah melalui aktiviti pra baca iaitu bercerita kisah seorang budak gembala kambing kita zaman sayidina Omar yang sangat amanah.

Proses menulis  juga panjang dan berperingkat bermula dengan kemahiran jari kepada menconteng, melakar , melukis dan menulis serta kemahiran seni dan kraf. Menulis sebagai alat memahami ilmu dan menyampaikan mesej bukan sekadar menakluki kemahiran menulis sahaja.

Dengan adanya kaedah cepat membaca mutakhir ini sedikit sebanyak menjadikan membaca satu aktiviti yang kurang menyeronokkan malah satu paksaan dan stress kepada kanak-kanak. Pengajaran membaca dan menulis juga kurang bermakna dan menyeronokkan.

Kenapa minat membaca itu penting?  Dari awal lagi membaca membawa kanak meneroka  banyak bidang ilmu dengan bahasa, komunikasi, cerita dan gambar yang menarik dan bermakna kepada kehidupan mereka. Minat akan membawa kanak-kanak sentiasa menjadikan bacaan sebagai alat mencari ilmu dengan merujuk kepada Al-Quran, hadis, buku-buku ilmiah, internet dan gedung ilmu yang lain. Peredaran masa menyaksikan penggunaan komputer sebagai medium mencari ilmu dan menghasilkan penulisan dengan lebih meluas.

Marilah kita melahirkan anak-anak yang lebih minat membaca bagi mencari ilmu dan berakhlak dengan akhlak Al-Quran. Mereka juga bukan hanya membaca tetapi mampu menghasilkan penulisan-penulisan yang bermutu bagi peninggalan khazanah yang akan dirujuk.
Maka lahirlah generasi pewaris sebagai khalifah yang memelihara dan memakmurkan bumi Allah ini.

“Dan janganlah kamu kerosakan di muka bumi setelah diciptakan dengan baik. Berdoalah kepadanya dengan rasa takut dan penuh harap. Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat kepada orang yang membuat kebaikan”
( Surah Al-A’raf ayat 56)
Sekian. Wallahua’lam.
Rosnah Ahmad
17 Ramadhan 1433H

No comments: