Monday, June 28, 2021

MANFAAT ALAM-MERAPATKAN HUBUNGAN KEJIRANAN DAN KOMUNITI


Awal 2020 semasa PKP 1.0 ada seorang jiran (chinese) yang Mak long panggil Aunty mula berkebun. Mak Long sering menjengok tanaman dia di belakang rumah. Kecil sahaja kawasan di lorong belakang rumah teres kami. 

Mak Long kagum dengan kegigihan Aunty setiap awal pagi lagi sudah berkebun. Mak Long suka tengok hasilnya. Mulanya Aunty tanam kacang bendi sahaja dan kemudian dia mencadangkan Mak Long untuk tanam kacang bendi juga. Dia mula beri benih kacang bendi dan ajar macamana selok belok menanam. 

Mak Long pun mula tambun tanah di belakang.  Tanam bendi dulu. Kemudian ulam raja, daun kesum. Mak Long libatkan suami dan anak-anak juga. Sikit-sikitlah. Tak boleh paksa, kena galakkan sahaja. Mulakan dulu. Mak Long buat kompos dan tadah air hujan. Semangat gitu. Rasa macam Mak Long dah berusaha untuk "save the earth". 

Minat bertanam semakin mendalam. Mak Long belajar dengan banyak bertanya, Google, tengok Youtube dan "explore". Cuba jaya.

"Fast forward" setahun kemudian. 

Kebun kami semakin luas. Macam-macam sayur dan ulaman kami tanam. Bunga-bunga pun banyak. Kami sering bertukar-tukar tanaman, benih dan berkongsi rezki sesama kami dan dengan jiran-jiran yang lain. Kami turut mengajak jiran-jiran lain bertanam. Terapi alam kami kata.

Minggu lepas Mak Long dan Aunty berpakat untuk membersihkan dan tanam sayur lebih banyak di lorong belakang rumah kami dengan izin jiran-jiran yang lain. 

Selain dapat makan sayur dan ulam-ulam segar, boleh lah ambil angin dan jalan kaki ulang-ulang dari hujung ke hujung lorong. Dapatlah dalam 100 langkah. Kalau 10 pusingan sudah 1000 langkah😊.

Syukur Alhamdulillah. PKP merapatkan hubungan kami sesama jiran.

PKP insyaAllah akan berlalu. Nikmatilah masa dan hargai sesiapa yang ada dekat dengan kita. Dekati juga alam yang memberi keindahan, kedamaian dan kesejahteran.
.
.
"Time in nature is not leisure time; it's an essential investment in our chidlren's health (and also, by the way, in our own)."
Richard Louv, Last Child in the Wood

Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain-Pepatah Melayu

Allahu 'Alam.

🌱Mak Long
#NatureConnectedness

MANFAAT ALAM-MENDAMAIKAN DAN MENYIHATKAN

Sejak Mak Long menanam banyak pokok, bunga dan sayur di halaman rumah, burung-burung, rama-rama, pepatung dan lebah rajin berkunjung. Meriah gitu.

Menjadi rutin Mak long sekarang waktu pagi keluar sarapan bertemankan pepohonan dan siulan burung-burung. Sesekali pepatung, lebah dan rama-rama kelihatan berterbangan. Terasa diri, DIA dan alam bersatu. Damai sekali.

Lepas sarapan, Mak Long akan tengok-tengok pokok, menyapu dan membersihkan laman. Mak Long juga akan dapatkan matahari pagi sambil menunggu bunga Ros Jepun kembang sekitar pukul 10 pagi. Badan rasa segar dan cergas.

Kalau dulu Mak Long mencari alam yang jauh. Balik kampung, pergi pantai, suka ke Janda Baik dan Cameron Highland. Alhamdulillah rasa "recharge" semula dan kemudian pergi lagi.

Sejak PKP, Mak Long menemui sesuatu yang lebih berharga, dekat dan boleh dinikmati setiap hari. Laman di rumah sendiri. Walau pun kecil ianya cukup.

Alam anugerah Allah kepada kita semua. Hargailah dan peliharalah alam untuk kesejahteraan diri kita dan generasi pewaris.

Ya Allah, nikmatMu yang manakah yang aku dustakan. Alhamdulillah.

Surah An-Nur, Ayat 41:

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يُسَبِّحُ لَهُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالطَّيْرُ صَافَّاتٍ كُلٌّ قَدْ عَلِمَ صَلَاتَهُ وَتَسْبِيحَهُ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِمَا يَفْعَلُونَ

Tidaklah kamu tahu bahwasanya Allah: kepada-Nya bertasbih apa yang di langit dan di bumi dan (juga) burung dengan mengembangkan sayapnya. Masing-masing telah mengetahui (cara) sembahyang dan tasbihnya, dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.


Allahu 'Alam.

🌱Mak Long
#NatureConnectedness
rentis.blogspot.com