Sunday, April 28, 2019

GANGGU FITRAH ANAK, BURUK KESANNYA! DORONG FITRAH ANAK, CEMERLANG HASILNYA

Pak Tam: Assalamu'alaikum Mak Long. Saya tertarik dengan kata-kata Mak Long "Usah diganggu dan dikongkong fitrah anak, buruk akibatnya".

Mak Long selalu merujuk kepada fitrah anak. Boleh Mak Long jelaskan dengan lebih terperinci tentang apakah yang dimaksudkan dengan fitrah anak dan berikan contoh-contohnya.

Mak Long: Wa'alaikumsalam Pak Tam. Terima kasih kerana bertanya soalan yang sangat baik. InsyaAllah Mak Long usaha menjawab.

Fitrah adalah kejadian ciptaan Allah pada setiap makhluk. Fitrah manusia adalah apa yang diciptakan Allah yang berkaitan dengan roh, fizikal, akal, sifat asal, bakat, pembawaan serta  perasaan keagamaan yang dibawa sejak lahir. Fitrah diertikan juga dengan “naluri” iaitu dorongan hati atau nafsu yang menggerakkan untuk berbuat sesuatu.

Surah Ar-Room, Ayat 30:

فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah; (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Manusia dilahirkan dengan naluri keimanan kepada Allah dan kesediaan menerima  Islam  dalam penciptaannya.

Maka kejadian manusia perlu melalui proses tarbiyah yang panjang bagi melahirkan insan yang cemerlang  sesuai dengan tugas manusia sebagai khalifah di muka bumi ini.

Oleh itu, ibu ayah bertanggungjawab mengasuh dan mendidik supaya fitrah anak ini disuburkan secara holistik melalui tahap-tahap perkembangan yang menyeluruh dan bersepadu bermula pada peringkat awal lagi.

Perkara pertama yang penting bagi ibu ayah dan pendidik adalah untuk tahu dan memahami fitrah anak. Ianya penting kerana setiap anak perlu disantuni dan didorong mengikut fitrahnya bukan mengikut kehendak ibu ayah atau pendidik  (Child centred VS adult centred)

Anak yang disantuni dan didorong mengikut fitrah membesar menjadi insan yang lebih tenang dan cemerlang. Sebaliknya jika ibu ayah dan pendidik menggunakan cara yang tidak selari dengan fitrah, anak sering rasa tertekan, tidak tenteram, tidak selamat, tidak disayangi, mudah menghadapi gangguan emosi, masalah tingkahlaku dan masalah kesihatan.

Contoh anak 3 tahun menunjukkan inisiatif untuk menolong kerja-kerja di dapur seperti membasuh pinggan, menyapu dan mengemas. Jika fitrah ini diraikan dengan memberi peluang dan dorongan, anak akan merasa dirinya dihargai, yakin diri dan berkembang dengan baik.

Tetapi jika tidak dilibatkan dalam rutin harian dan tidak diberi peluang melakukan kehendak dorongan naluri maka anak akan rasa tidak dihargai dan tidak diterima. Menurut teori Erik Erikson anak yang dikongkong akan membina ragu-ragu dan rasa bersalah. Mereka juga tidak berpeluang meneroka, mengalami dan mengeksperimen (3E), berfikir serta memupuk sikap berdikari dan bertanggungjawab. Ini adalah satu proses penting bagi memperkasakan anak berdikari, mengurus diri, bertanggungjawab dan meningkatkan kemahiran motor secara natural.

Apa yang lebih buruk kesannya adalah apabila  ibu ayah atau guru cuba "mengajar" anak berdikari, mengurus diri dan bertanggunjawab dengan kekerasan pada usia sekolah rendah atau menengah kerana prosesnya menjadi sukar selepas tempoh masa sensitif di mana anak lebih berminat dan bersedia.

Pada masa yg sama, perkara sebaliknya pula berlaku. Contoh, kebolehan membaca dan menulis dipercepatkan tanpa melalui proses yang fitrah.

Sebenarnya setiap anak yang normal mampu membaca serta menulis secara natural dan tanpa tekanan mengikut fitrah perkembangan yang ada ciri-ciri dan arahnya.

Contoh, proses menulis adalah berperingkat-peringkat dan bermula dari fitrah bayi baru lahir iaitu refleks menggenggam. Refleks atau pantulan adalah perlakuan atau tidakbalas tidak sengaja. Kita boleh merangsang bayi dengan membukakan jari-jarinya dan memberikan sentuhan pelbagai tekstur.Rangsangan memberi input ke otak melalui 5 deria. Semakin banyak rangsangan diberi semakin baik perkembangan bayi dari aspek fizikal, kognitif, bahasa dan sosio-emosi.

Lazimnya refleks genggaman ini akan menghilang perlahan-lahan apabila bayi mencapai usia 4-5 bulan. Jika refleks ini tidak menghilang, ia mungkin menjadi petanda awal kepada masalah kesihatan pada sistem saraf dan otak bayi.

Perkembangan jari berlaku mengikut  arah iaitu tengah ke tepi. Bayi mula memegang dengan tapak tangan dan kemudian ke tepi, memegang dengan 5 jari dan seterusnya mengutip dan memegang dengan 3 jari pada usia sekitar 9 bulan.

Perkembangan motor halus ini sangat hebat. Bayi sudah boleh merenyok, mengoyak, meramas dan melepaskan. Seiring dengan itu juga berlaku peningkatan koordinasi mata tangan dan bayi boleh mencapai, menyimpan mainan ke dalam bekas dan makan sendiri.

Kemudian secara natural dalam usia setahun anak mula suka menconteng. Bermula dengan pergerakan lengan dan kemahiran memegang,  kanak-kanak boleh menghasilkan contengan rawak. Bebaskan sahaja mereka menconteng. Kemudian apabila pergelangan tangan anak boleh memutar dan memulas, contengan menjadi lakaran pada sekitar usia 2 tahun dan seterusnya menjadi lukisan yang juga ada tahap-tahapnya.

Sila rujuk artikel tahap perkembangan lukisan dan tulisan kanak-kanak https://rentis.blogspot.com/2017/12/tahap-perkembangan-lukisan-dan-tulisan.html?m=1

Anak yang diberi kebebasan dan peluang untuk banyak melukis akan mempunyai jari-jari yang lembut, mahir memegang pensil dan boleh melukis dengan terang, mempunyai koordinasi mata tangan yang baik serta boleh meniru tulisan secara natural sahaja. Tidak perlu bermula dengan mengikut garis putus-putus contohnya.

Cara dorongan mengikut fitrah ini bukan sahaja menggalakkan perkembangan malah menenangkan emosi dan rohani anak. Sebaliknya jika proses ini tidak didorong ianya memberi tekanan kerana pengajaran dan pembelajaran tidak lagi natural tetapi terlalu berstruktur dan terlalu banyak latih tubi yang tidak bermakna.

Membaca pula semakin dijadikan kayu pengukur atas "kepandaian" seorang anak dan tahap kebolehan membaca semakin diawalkan. Ada yang mengharapkan anak boleh membaca dengan lancar seawal usia 3/4 tahun.

Semakin awal kita meletakkan tahap umur kanak-kanak pandai membaca maka semakin ramailah kanak-kanak yang dianggap bermasalah kerana anak belum bersedia dan proses pengajaran yang menekan dan memfokuskan pada hasil.

Ini adalah satu fenomenon yang tidak sihat dan harus dihentikan kerana ianya tidak fitrah dan akan mengundang lebih banyak masalah.

Kebolehan membaca merupakan satu proses yang bermula dengan mendengar dan bertutur. 3 tahun pertama adalah fasa yang paling baik untuk memperolehi bahasa. Kanak-kanak memperolehi kemahiran bahasa daripada persekitaran mereka secara natural.

Proses membaca diteruskan dengan membina minat melalui membaca buku-buku cerita yang sesuai dgn tahap umur kanak-kanak. Minat membaca dipupuk seiring dengan kemahiran menulis dalam sekitar umur 4 tahun. Ibu ayah hanya perlu menjadi pemudahcara dan mendorong anak secara positif.

Sesuatu yang mudah sudah menjadi semakin rumit. Anak-anak yang bermain untuk belajar (Play to Learn) dianggap tidak belajar. Belajar melalui bermain sudah mendominasi. Bukan bermaksud salah melakukannya tetapi jika terlalu banyak pembelajaran berstruktur, ianya menghadkan dan menafikan pembelajaran secara fitrah yang terbit dari naluri atau keinginan anak itu sendiri. Ia adalah anugerah illahi yang tiada tandingnya dan sangat bermanfaat kepada kanak-kanak awal usia.

Jika kita terlalu mengganggu dan menggongkong fitrah anak maka buruk kesannya. Kita mungkin melahirkan anak yang dikatakan "pandai" tetapi takut salah, ragu-ragu, risau hingga menyebabkan mereka tidak boleh berfikiran kritis, kreatif dan innovatif. Mereka hanya menunggu dan mengikut arahan sahaja.

Apa pun marilah kita muhasabah diri. Adakah kita menyantuni fitrah anak yang melalui proses yang natural atau kita lebih memfokuskan hasil yang mengikut kemahuan kita?

Tugas kita sebagai ibu ayah dan pendidik adalah untuk memperkasakan anak dengan memberi dorongan dengan cara yang sesuai dengan fitrah anak pada setiap peringkat umur bagi melahirkan anak yang tenang dan cemerlang.

Setiap anak adalah rahmah. Setiap anak adalah amanah. Setiap anak adalah ujian. Setiap anak adalah pemimpin masa hadapan atau khalifah yang memakmurkan bumi Allah ini.

"Sebenarnya anak tidak perlu diajar semuanya oleh ibu bapa, penjaga dan guru. Apa yang perlu wujud adalah persekitaran untuk anak itu minat belajar." -Dr Noor Laily bt Dato' Abu Bakar

"Sikap keras dalam mendidik berakibat buruk bagi murid, barangsiapa yang tumbuh dalam pemaksaan dan penindasan, maka akan membuat menjadi orang-orang keras dan berkeperibadian sempit, kurang giat dan tidak dapat tumbuh dengan baik. Hal tersebut juga dapat membuat suka berbohong, pemalas dan perbuatan buruk lainnya." - Ibnu Khaldun

"Anak yang tidak dibenarkan bermain akan mati jiwanya"- Imam Al-Ghazali

"Melentur buluh biarlah dari rebungnya."- Pepatah Melayu.

Allahu 'Alam. Sekian.
#SentuhanBapaBelaianIbu