[HAMBA YANG MELAHIRKAN TUAN]
Semalam kami pesakit terakhir di klinik pakar kanak-kanak yang biasa merawat anak-anak kami. Biasanya klinik doktor sangat sesak dan sibuk, tak ada masa sangat nak berbual panjang. Tetapi hari itu mungkin doktor sedikit lapang. Sambil menulis preskripsi kami, doktor banyak bercerita pengalamannya berdepan dengan pelbagai jenis pesakit.
Kata doktor, kadang-kadang melihat pelbagai ragam ibu bapa dan anak di klinik boleh menyebabkan dia urut dada menahan sabar. Doktor tak faham mengapa sesetengah ibu bapa seolah-olah takut untuk menegur karenah anak yang melampaui batasan. Hanya menegur anak-anak dengan pujukan demi pujukan tetapi tiada ketegasan. Pernah dia melihat anak berusia 5 tahun mengherdik dan memaki ibu ayahnya di klinik kerana tidak mahu diberikan rawatan.
Apa sudah jadi??
Cara kita menyikapi anak-anak ada fasa-fasanya. Layanan kepada anak seharusnya berubah mengikut fasa-fasa ini.
6 tahun pertama merupakan FASA KASIH SAYANG. Di fasa ini Rasulullah S.A.W suruh kita manjakan, bergurau dan belai anak dengan penuh kasih sayang. Sepatutnya di tahap ini tiada hukuman yang berbentuk kekerasan. Tiada kekerasan bukan bermakna tiada ketegasan ya!
Umur 7-14 tahun ialah FASA KEPIMPINAN. Anak-anak di fasa ini perlu dilatih mendengar arahan, diterapkan disiplin dan juga diberi tanggungjawab sesuai dengan usianya. Sebab itu Rasulullah suruh kita mula mengajak dia solat seawal 7 tahun dan boleh dirotan sekiranya meninggalkan solat apabila mencecah usia 10 tahun.
Umur 15-21 tahun ialah FASA MENTORING. Ibu bapa bertindak sebagai MENTOR/KAWAN, yang boleh bertukar pendapat dan mendengar pendapat mereka. Fasa ini seharusnya melahirkan anak yang pandai menentukan sendiri baik buruk setiap tindakan dan keputusan mereka.
Seorang psikologis keibubapaan, John Rosemond mencadangkan fasa pertama ini dibahagikan kepada 2 bahagian. Sebelum anak berumur 2 tahun, ialah tempoh PELAYANAN. Ibu bapa berperanan sebagai 'SERVANT' yang berusaha memenuhi setiap keperluan anaknya. Yelah, anak kecil masih terbatas kemampuannya dan bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa kan? Nak cakap lapar atau sakit pun depa tak pandai lagi, tahu nangis saja.
Namun, umur 3-6 tahun ialah tempoh transisi yang penting untuk menyediakan dia ke fasa seterusnya yang penuh disiplin.
They need to know who is in charge!
Anak-anak sepatutnya mula diajar yang tidak semua kemahuannya boleh dituruti (you are not the centre of the world, dear). Ada perkara yang mereka perlu lakukan sendiri sesuai dengan kemampuan mereka dan yang paling penting ibu bapa bukan lagi orang suruhan yang akan melakukan semua perkara untuk kamu.
Beliau kata, di sini ramai ibu bapa yang 'stuck'. Mereka selama-lamanya memainkan peranan sebagai 'orang suruhan' anak. Kenapa? Sebab anak protes! Mestilah dia protes, selama ni semua perhatian tertumpu pada dia tapi sekarang dia perlu bagi tumpuan pada ibu dan ayah pula. Selama ni semua ibu buatkan, tiba-tiba ibu dah suruh dia ambil permainan sendiri. Selama ni nangis saja dia akan dapat apa yang dia mahu, tapi sekarang ibu dah tak mahu ikut segala kehendaknya.
Protes ini yang kita lazim nampak sebagai 'the terrible two'. Mereka perlu diajar untuk keluar daripada 'egocentrism'. Perlu diajar melihat satu perkara daripada sudut pandang orang lain, bukan diri mereka sahaja.
Malangnya bila ibu bapa gagal nak move on dari segi fungsinya, maka anak pun ikut tersekat sekali bersama mereka. Jadi 'forever terrible two' pulak. Maka lahirlah anak-anak yang dah remaja pun masih throw tantrum bila ibu bapa tak nak ikut cakap mereka. Macam mana tu? Contohnya, "Mak tak bagi saya motor, saya nak lari dari rumah!" Lahirlah anak remaja yang masih harap emak buat segala perkara untuk mereka. Dari mencarikan seluar kecik sampailah menghidangkan makanan di meja.
Dan kemudian kita pelik kenapa anak-anak kita tak behave sesuai dengan usianya. Kenapalah anak kita ni lambat benar matangnya. Sedangkan kita sebenarnya yang melayan mereka tidak seperti sewajarnya di usia mereka.
Kitalah yang kena 'move-on' sebenarnya...
Macam mana nak move on?
Saya pernah menulis tentang ini dalam 3 Langkah Menjadi Ibu yang Awesome. Jemput baca dalam link seperti di bawah: 🙂
https://liyananazli.wordpress.com/2018/01/10/3-langkah-supaya-menjadi-ibu-awesome/
Nur Liyana Mohd Nazli