Assalamualaikum kepada pembaca yang dikasihi
sekalian,
Syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita dapat
bertemu Nuzul Al-Quran, hari bagi
memperingati turunnya Al-Quran sebagai mukjizat besar Nabi SAW. Al-Quran sarat
dengan hikmah dan rahsia sebagai petunjuk dan panduan kehidupan bagi mereka yang
berfikir.
”Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih
berganti siang dan malam, kapal belayar di lautan membawa keperluan manusia dan
air hujan yang diturunkan Allah dari langit, lalu dengan air itu dihidupkanNya
bumi yang tandus dan Dia kembang biakan di bumi ini binatang-binatang yang
melata (termasuk manusia) dan perkisaran angin antara langit dan bumi; (semua
itu) menunjukkan tanda-tanda kebesaran Allah bagi kaum yang memikirkan.”
Surah
Al-Baqarah ayat 164
Sewajarnya kita mengambil iktibar dari
peristiwa ini. Penurunan Al-Qur’an yang dimulakan dengan kalimah ïqra” iaitu
“baca” kerana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu.
Ayat yang seterusnya
“ Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajar manusia apa yang
tidak diketahuinya”. Pena adalah senjata
penting bagi Allah mengajar manusia,
kerana pena selama-lamanya merupakan alat mengajar yang paling luas dan paling
mendalam kesannya dalam kehidupan manusia.
Al Qur’an diturunkan secara
beransur-ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun, 13 tahun di
Mekkah dan 10 tahun di Madinah. Turunnya sesuatu
ayat sesuai dengan peristiwa-peristiwa yang terjadi akan lebih mengesankan dan
lebih berpengaruh di hati
Rasulullah SAW pula bukan sahaja berjaya
menyampaikan wahyu tersebut dengan sempurna bahkan Baginda SAW mengimplikasi
dan mencernakan setiap wahyu tersebut dalam segenap tindakan dan perbuatannya
sehinggakan akhlak Baginda dinobatkan sebagai al-Quran.
Begitu juga jika dikaitkan dengan tarbiah anak-anak
yang panjang dan berperingkat untuk melahirkan insan yang faham apa yang
dibaca, terkesan di hati dan dapat dicernakan dalam kehidupan sebagaimana Rasulullah
SAW.
Proses belajar membaca haruslah lebih
bermakna dan efektif serta dapat melahirkan insan yang mempunyai kefahaman,
terkesan di hati dan beramal dengan apa yang dibaca dalam kehidupan seharian. Contohnya
memupuk sifat amanah melalui aktiviti pra baca iaitu bercerita kisah seorang
budak gembala kambing kita zaman sayidina Omar yang sangat amanah.
Proses menulis juga panjang dan berperingkat bermula dengan
kemahiran jari kepada menconteng, melakar , melukis dan menulis serta kemahiran
seni dan kraf. Menulis sebagai alat memahami ilmu dan menyampaikan mesej bukan
sekadar menakluki kemahiran menulis sahaja.
Dengan adanya kaedah cepat membaca mutakhir
ini sedikit sebanyak menjadikan membaca satu aktiviti yang kurang menyeronokkan
malah satu paksaan dan stress kepada kanak-kanak. Pengajaran membaca dan
menulis juga kurang bermakna dan menyeronokkan.
Kenapa minat membaca itu penting? Dari awal lagi membaca membawa kanak meneroka banyak bidang ilmu dengan bahasa, komunikasi,
cerita dan gambar yang menarik dan bermakna kepada kehidupan mereka. Minat akan
membawa kanak-kanak sentiasa menjadikan bacaan sebagai alat mencari ilmu dengan
merujuk kepada Al-Quran, hadis, buku-buku ilmiah, internet dan gedung ilmu yang
lain. Peredaran masa menyaksikan penggunaan komputer sebagai medium mencari
ilmu dan menghasilkan penulisan dengan lebih meluas.
Marilah kita melahirkan anak-anak yang lebih
minat membaca bagi mencari ilmu dan berakhlak dengan akhlak Al-Quran. Mereka juga
bukan hanya membaca tetapi mampu menghasilkan penulisan-penulisan yang bermutu
bagi peninggalan khazanah yang akan dirujuk.
Maka lahirlah generasi pewaris sebagai
khalifah yang memelihara dan memakmurkan bumi Allah ini.
“Dan janganlah kamu kerosakan di muka bumi setelah
diciptakan dengan baik. Berdoalah kepadanya dengan rasa takut dan penuh harap.
Sesungguhnya rahmat Allah sangat dekat kepada orang yang membuat kebaikan”
( Surah Al-A’raf ayat 56)
Sekian.
Wallahua’lam.
Rosnah
Ahmad
17
Ramadhan 1433H