Monday, September 14, 2009

Tip Keibubapaan 41: Mari Makan Anakku Sayang

Salam,

Menemui para pembaca di bulan Ramadhan yang mulia dan penuh keberkatan ini. Moga kita di beri kekuatan untuk terus meningkatkan amal dan memburu lailatul qadar.

Madrasah Ramadhan mendidik kita banyak perkara. Antaranya adalah untuk penjagaan kesihatan diri secara menyeluruh. Apa pun ia bukan perkara yang mudah untuk direalisasikan. Realiti Ramadhan di sana sini juga penuh dengan cabarannya yang tersendiri.

Setelah sekian lama tidak menulis saya terpanggil untuk berkongsi sedikit pengalaman dalam mendidik diri dan keluarga di bulan yang mulia ini berkaitan pemakanan sihat.

Semalam saya menyediakan kari ikan dan tomato yang dimasak tanpa santan, ayam panggang serta sayur brokoli dan cendawan yang di goreng bersama tahu sebagai menu sihat sajian berbuka puasa kami sekeluarga.

Cabaran saya bukan hanya bermula apabila memilih bahan yang segar dan berkualiti, menyediakan dan memasak sendiri dengan bersih, kreatif dan diiringi zikir dan doa.

Cabaran yang paling hebat adalah memastikan anak-anak memakan makanan yang dimasak dengan keadaan rumah saya yang hampir dengan kedai dan bazar ramadan. Anak-anak juga sudah mempunyai citarasa tersendiri kerana terdedah dengan pelbagai pilihan dalam persekitaran makanan yang perbagai dan enak setiap hari. Apa tah lagi di bulan Ramadhan. Syawal juga apa kurangnya.

Itulah antara cabaran saya yang bergelar isteri dan ibu berkerjaya di zaman moden ini.

Zaman arwah emak dan abah membesarkan saya dan adik-adik mungkin berbeza. Cabaran mereka lebih kepada mengadakan makanan saban hari bagi menghidupkan anak-anak. Kesempitan hidup dalam zaman serba kekurangan itu menyebabkan kami membesar dengan memakan hasil kebun abah dan air tangan mak yang menjanjikan kebersihan, khasiat dan keberkatan yang banyak.

Kami anak-anak juga tidak memilih. Makan sahaja apa yang dihidangkan dengan bersyukur dan berkongsi rezeki siisi keluarga. Aidil Fitri dan Aidil Adha disambut dengan sedikit keenakan yang jarang ditemui.

Para pembaca yang dirahmati Allah SWT, marilah sama-sama kita menambah ilmu, berazam dan beristiqamah mengubah diri dan keluarga ke arah memakan makanan yang seimbang dan sihat.

Kita mempunyai pilihan bagaimana berbelanja untuk kualiti. Berusahalah untuk memasak sendiri bagi menjamin kebersihan, khasiat dan keberkatan makanan yang dihidangkan setiap hari. Memasak menu sihat saya dapati lebih mudah dan menjimatkan masa. Ia juga sedap dengan sedikit kreativiti pengolahan bahan dan cara memasak. Peralatan dapur yang moden kini seharusnya memudahkan kita dan menjimatkan masa.

Semoga Allah menyembuhkan penyakit-penyakit yang kita hidapi berkat usaha kita menjaga pemakanan, beriadhah dan mengurus stres. Juga moga kita menjadi contoh bagi anak-anak untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

Ramadhan semakin meninggalkan kita. Syawal disambut dengan penuh keserderhaaan dan keberkatan. Makanan yang dimakan seharusnya memberi khasiat bukan kemudharatan buat kita semua. Moga kita di beri kesihatan dan umur untuk terus beramal di muka bumi Allah ini. AMIN.

Maaf zahir dan batin dari saya sekeluarga.

Sekian. Wallahua’lam.

Rosnah Ahmad
25 Ramadhan 1430H