Tuesday, February 10, 2009

TIP KEIBUBAPAAN 39: MASA BERKUALITI








Salam,

Menemui para pembaca yang dirindui. Semoga sentiasa berada di bawah lembayung rahmat Allah SWT.

Mungkin ramai yang sedang bercuti bersama keluarga bagi mengeratkan lagi hubungan dan meningkatkan kasih sayang.(ARTIKEL INI DITULIS SEMASA CUTI SEMPENA TAHUN BARU CINA)

Bercakap mengenai masa berkualiti, saya ada definisi tersendiri. Saya wanita yang mahukan kesemuanya. Seorang isteri dan ibu yang sempurna dan pada masa yang sama seorang wanita yang berjaya dalam dakwah dan kerjaya. Jadi masa berkualiti adalah penting bagi menjamin kesejahteraan diri dan keluarga.

Saya gemar memasak, mengemas rumah, menjahit, menanam pokok bunga dan melayan kerenah anak-anak. Semua ini membahagiakan saya. Tetapi pengalaman berhenti kerja selama 3 tahun melakukan ini sahaja menjadikan saya bosan dan rasa bersalah. Saya ingin berbakti kepada masyarakat.

Kembali bekerja pula pada mulanya membuahkan rasa bersalah kerana tidak dapat berbakti sepenuhnya kepada suami dan anak-anak.

Bagi saya rasa bersalah itu sebenarnya perlu bagi mengingatkan kita kepada tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi ini walau apa pun status kita.

Sekarang saya bersyukur kerana dapat memainkan bebarapa peranan . Penat bekerja saya ada keluarga yang menanti. Juga bila bosan dan rimas dalam rumah kecil, saya ada dunia yang lebih luas dan mencabar di luar sana. Hidup saya lebih mencabar dan berwarna warni.

Apa yang membezakan adalah cara kita menangani masalah. Masalah adalah peluang dan hidup perlu sentiasa berubah.

Pendekatan saya mengenai masa berkualiti adalah fokus dan bergembira bersama melakukan apa sahaja aktiviti bersama. Yang penting adalah cuba menjadi seperti anak-anak. Bergembira, bermain dan meneroka.


Kesibukan latihan di luar kawasan dan tahap kesihatan yang kurang baik tahun lepas membuatkan saya hilang sedikit keseimbangan hidup. Ini mengetuk sedikit naluri wanita saya.

Kesempatan cuti panjang ini saya niatkan untuk membelai naluri wanita dan mencapai keseimbangan. Saya mengambil keputusan untuk tidak ke mana-mana supaya dapat menyerikan kembali rumah dengan mengecat dan mengemas. Saya jadikan ini program retreat kami sekeluarga

Kenangan terus dicipta semasa melakukan kerja-kerja rumah bersama. Terasa keintiman sekeluarga memakin pulih dan meningkat.

Selepas empat hari saya dapat kembali syurga dalam rumah dan bersedia untuk kembali kepada dakwah dan kerjaya yang sedia menunggu. Diri saya dicas semula.

Bagi anak-anak dan suami, terima kasih kerana sentiasa memberi ruang seluas-luasnya bagi saya mewakafkan diri dalam jalan dakwah bagi menjadikan bumi Allah ini lebih makmur bagi generasi akan datang.

Moga Allah memudahkan jalan-jalan ke syurga buat kita. Amin

" Santuni anak-anak secara fitrah"

Sekian. Wallahua'lam.