Thursday, March 13, 2008

IBU MERTUAKU-PEMERGIANMU DIRASAI

Salam,

Subuh tanggal 10 Mac 2008 bersamaan 2 Rabiulawal 1429H pulangnya ke rahmatullah ibu mertua saya, Wook binti Endut pada usia 83 tahun setelah hampir 6 tahun terlantar lumpuh akibat strok.

Sebagai menantu kepada anak ke 10 daripada 12 orang anak beliau (seorang meninggal ketika berusia 2 tahun), pemergian Cik (panggilan anak-anak) adalah kehilangan yang amat dirasai.

Ketika kehilangan ibu kandung 22 tahun dahulu, saya memasang hasrat supaya dianugerahkan Allah seorang ibu mertua yang baik hati dan budi supaya dapat menumpang kasih. Alhamdullillah doa itu dimakbulkan Allah 8 tahun kemudian.

Kehadiran saya sebagai menantu disambut baik oleh Cik. Terharu apabila Cik mencurahkan air basuh tangan ke jari-jari saya semasa majlis menyambut menantu. Sungguh tinggi budi wanita ini pada saya ketika itu.

Sebagai menantu saya memang bertuah. Alhamdullillah. Ibu mertua yang tidak cerewet malah banyak memberi daripada menerima. Semasa Cik masih sihat setiap kali balik kami disambut dengan hidangan yang enak. Kami masih diingatkan pada setiap waktu solat terutama mengejutkan kami di subuh hari. Banyak nasihat diberikan malah Cik memberitahu kelemahan suami saya untuk ditangani. Sebelum pulang anak-anak kami dibekalkan dengan wang. Cik bukan orang senang tetapi berjimat cermat dalam segala urusan.

Mungkin kesusahan telah banyak mengajar Cik. Melahirkan dan membesarkan 12 anak-anak dalam serba kekurangan. Bersawah, bertani dan menjual sayur di Pasar Payang dengan menaiki bot dari Kampung Buluh Gading menyususi Sungai Nerus. Cik juga memelihara lembu dan mengajar mengaji anak-anak jiran kampung sehingga beliau lumpuh.

Cik kehilangan suami 22 tahun yang lepas. Beliau menjadi tunggak kepada keluarga dan meneruskan usaha mencari rezeki bersama anak-anak walaupun ketika itu ramai anak-anak yang sudah bekerja. Masih teringat setiap kali musim menuai suami saya akan mengambil cuti untuk membantu di sawah dan saya ditugaskan memasak untuk semua sambil menjaga anak kecil.

Setiap anak dan menantu Cik merasakan diri mereka istimewa. Cik tidak bersekolah tetapi mempunyai skil kemanusiaan yang hebat. Cik pandai mengambil hati dan menghargai setiap pemberian anak menantu. Bila hari raya Cik sibuk sekali menyalin pakaian kerana nak mengambil hati semua anak dan menantu yang memberi baju raya. Bila diajak berjalan Cik akan mengenakan baju anak atau menantu berkenaan.

Cik seorang yang kuat beribadah. Teringat ketika demam teruk, Cik masih mahu mengerjakan solat sunat. Sembahyang malam dan puasa sunat menjadi amalan.

Enam tahun masa Cik lumpuh adalah satu tazkirah yang panjang yang bagi semua anak, menantu, cucu dan cicit. Setiap hari Cik perlu dimandikan, dipakaikan pakaian dan lampin. Cik juga tidak boleh bercakap dan makan. Susu diberikan melalui tiup 4 kali sehari.

Saya kira Cik beruntung kerana mempunyai anak, menantu, cucu dan cicit yang ramai. Ia mengajar kami erti kesabaran dan keikhlasan dalam menjaga Cik.

Saya tidak berkesempatan menguruskan jenazah ibu kandung sendiri kerana ibu meninggal ketika saya menuntut di Australia. Saya selalu berdoa agar saya diberi peluang membantu menguruskan jenazah ibu mertua. Alhamdullillah doa ini juga dimakbulkan. Saya berpeluang memandi dan mengapankan jenazah Cik. Syukur kerana segala urusan dipermudahkanNya.

Bagi saya Cik adalah sumber kekuatan dan inspirasi. Syukur ke hadrat Allah kerana diberikan ibu dan ibu mertua yang hebat. Kini mereka telah pergi. Saya masih bertuah kerana masih mempunyai ibu tiri yang tidak kurang hebatnya.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih atas semua telefon, panggilan tsms, emel dan iringan doa sahabat-sahabat ke atas roh Cik. Moga segala dosanya diampuni dan rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.Amin.

Kepada semua ibu-ibu, marilah kita berusaha untuk menjadi ibu-ibu yang melahirkan khalifah-khalifah Allah di mukabumi ini. Moga kita terus mencari ilmu dan di beri kekuatan untuk istiqamah dalam perjuangan ini. Amin.

Thursday, March 6, 2008

PELUANG BERSAMA IBU TUNGGAL

Salam,

Menemui pembaca semua moga sentiasa berada dalam kemanisan iman dan rahmatNya.

Masa begitu pantas berlalu dan semakin hari semakin banyak amanah dan tanggungjawab yang perlu kita laksanakan sebagai Khalifah di muka bumi Allah ini.

Dua minggu lepas saya berpeluang memberi latihan dan mendekati 30 ibu tunggal di Kota Bharu Kelantan yang menjalani Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak (KAAK). Ianya satu pengalaman yang menginsafkan dan mengingatkan saya supaya lebih bersyukur dan lebih prihatin terhadap kaum sejenis.

Saya dimaklumkan bahawa ada 7 kategori ibu tunggal iaitu wanita yang:-

1. kematian suami
2. bercerai
3. suami dalam penjara
4. digantung tidak bertali (suami tidak pulang ke rumah dan tidak memberi nafkah)
5. dalam edah
6. bersuami tetapi mengambil alih tugas suami kerana suami tidak berupaya
7. masih bujang tetapi mempunyai anak angkat

Empat hari lepas saya menghadiri Bengkel Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak Taska Rumah iaitu bengkel untuk jurulatih yang akan melatih ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah untuk mengusahakan Taska Rumah di bawah Projek Asuhan Prihatin yang dikendalikan oelh Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM)dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia.

Peserta yang menghadiri Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak Taska Rumah (KAAKTR) selama 5 hari dengan bayaran hanya RM10 akan diberi latihan untuk menjadi Pengusaha Taska Rumah dengan bimbingan mentor yang dilantik selama 6 bulan. Kepada yang layak boleh membuat pemohonan melalui Persatuan Pengasuh Atau Persatuan Taska Negeri di seluruh Malaysia. Saya salah seorang yang mewakili Pesatuan Pengasuh Negeri Pahang.

Kursus ini merangkumi tajuk-tajuk berikut:-

1.Perkembangan menyeluruh kanak-kanak di bawah 4 tahun
2.Merancang Persekitaran di dalam dan luar Taska Rumah
3.Merancang Jadual Aktiviti di Taska Rumah
4.Menjaga keselamatan kanak-kanak di Taska Rumah
5.Amalan asuhan yang menggalakan perkembangan menyeluruh kanak-kanak Taska di Rumah
6.Penglibatan ibu bapa d Taska Rumah
7.Kegiatan yang dirancang: cerita,nyanyian dan permainan tradisi
8.Memilih dan menyediakan barang permain daripada bahan kos rendah di Taska Rumah
9.Penyediaan makanan seimbang bagi kanak-kanak di Taska Rumah
10.Tugas-tugas Pengusaha Taska Rumah
11. Pentadbiran dan kewangan di Taska Rumah
12. Penyakit berjangkit dan pertolongan cemas
13. Perlindunagn kanak-kanak di Taska Rumah
14. Akta Taska 1984 (pindaan 2007) dan Peraturan Taska Rumah-proses pendaftaran Taska Rumah.

Ia satu permulaan yang baik bagi satu perjalanan yang masih jauh bagi kami jurulatih dan mentor. Insya-Allah dengan latihan, motivasi dan kesungguhan semua jurulatih dan mentor, amanah yang berat ini mampu dilaksanakan. Moga usaha kecil ini akan melahirkan generasi yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.

Wallahua'lam. Sekian.