Melatih anak ke tandas untuk membuang air kecil atau besar merupakan satu fasa yang cukup mencabar kepada anak dan ibu bapa serta memakan masa yang agak panjang.
Kemahiran mengawal pundi kencing dan usus besar berbeza antara satu kanak-kanak dengan yang lain. Kanak-kanak perempuan juga biasanya didapati dapat mengawal pundi kencing dan usus besar lebih awal daripada kanak-kanak lelaki.
Menurut pakar, kanak-kanak biasanya mula dapat mengawal pundi kencing apabila berumur sekitar 15 ke 18 bulan. Pengawalan usus besar biasanya berlaku lebih awal daripada pengawalan pundi kencing. Anak juga lebih mudah memberitahu hendak membuang air besar daripada membuang air kecil.
Kesediaan anak untuk tugasan ini bergantung kepada perkembangan otak, saraf dan otot-ototnya. Cuba melatih anak yang belum bersedia akan memberi tekanan kepada anak dan ibu bapa. Tekanan mungkin melambatkan perkembangan ini. Ibu bapa harus melalui fasa ini dengan tenang dan realistik.
Saya biasanya melatih anak ke tandas sekitar usia anak 20 bulan ke 2 tahun apabila anak mula menunjukkan bahawa mereka tidak suka memakai lampin dan cuba membukanya sendiri. Pada usia ini anak juga dapat menahan kencing lebih lama.
Kanak-kanak 2 ½ tahun boleh menahan kencing selama 4 hingga 5 jam dan makin bertambah bila umurnya bertambah. Mereka biasanya lebih yakin dan tidak mahu memakai lampin di siang hari.
Buat permulaan ibu bapa perlu bertanya anak dari masa ke semasa sama ada mereka hendak buang air. Elakkan daripada mendesak. Kita mungkin perlu menemani anak ke tandas. Buat permulaan kita juga perlu sentiasa membasuh mereka dengan betul kerana mereka belum faham konsep istinjak.
Pastikan juga anak di ajar membasuh tangan dengan betul sebelum keluar dari tandas. Keadaan bertambah mencabar apabila anak ingin melakukan sendiri. Bimbing anak dengan sabar dan libatkan abang dan kakak mereka supaya kita dapat menjaga kesucian rumah. Sediakan tuala berhampiran tandas untuk anak mengelap badan. Mereka mudah tergelincir jika berjalan dalam keadaan badan yang basah
Berilah pujian setiap kali anak dapat buang air kecil atau besar di dalam tandas. Nyatakan bahawa dia telah melakukan sesuatu yang baik dan tunjukkan kegembiraan anda.
Sekiranya anak membuang air besar atau kecil di dalam seluar, bawa ke bilik air , tukarkan pakaiannya tanpa memarahi dan membuat kecoh mengenainya. Memarahi dan menghukum anak lebih memudaratkan kerana mereka mungkin tidak mahu langsung bimbingan dari kedua orang tuanya.
Pada peringkat ini, sebaiknya pakaikan mereka seluar yang mudah dibuka iaitu seluar bergetah sahaja tanpa butang dan zip. Rumah juga lebih baik tidak dihampar dengan tikar dan karpet setiap masa supaya najis dapat dibersihkan dengan mudah.
Ada juga kanak-kanak yang takut untuk menggunakan tandas kerana lubangnya yang besar. Mereka juga takut terjatuh ke dalamnya. Biasanya saya membenarkan anak membuang air kecil di lantai dalam tandas dan buang air besar di dalam bekas najis di dalam tandas. Saya dapati mereka juga takut untuk ke tandas di rumah orang lain dan apabila hari hujan lebat.
Berkongsi pengalaman peribadi, anak kedua saya mula bersedia untuk tidak memakai lampin pada bulan November iaitu bermulanya musim tengkujuh. Ini lebih menyukarkan kerana dia lebih kerap kencing kerana cuaca yang sejuk. Tambahan pula dia anak yang lasak dan sukar untuk memujuknya ke tandas. Saya kemudian memutuskan untuk mula melatihnya selepas musim tengkujuh.
Anak yang menyusu badan sehingga dua tahun juga lebih mudah untuk dilatih. Mereka kurang membuang air besar dan kecil berbanding susu botol kerana susu badan lebih mudah hadam.
Kita juga perlu lebih berwaspada kerana pada peringkat ini kanak-kanak bermain dengan air kencing dan najis adalah satu perkara biasa. Ini bukan bermakna mereka degil atau pengotor. Kanak-kanak terpesona dengan apa yang keluar daripada tubuh mereka.
Bermain dengan air kencing juga sering beraku kerana sememangnya kanak-kanak suka bermain air pada peringkat ini. Semua anak-anak saya pernah melakukan perkara ini.
Pada suatu ketika tanpa disedari seorang daripada anak saya bersembunyi di dalam bilik dan membuang air besar di dalam seluar. Kemudian dia menconteng dinding dengan najisnya seperti membuat aktiviti kreatif. Bayangkan bagaimana sukarnya untuk saya menahan perasaan marah dan mencuci kotoran yang dilakukan di dinding. Alhamdulillah ia hanya berlaku sekali sahaja. Saya dapat rasakan bahawa anak tahu perasaan marah melalui memek muka walau bagaimana saya cuba menyoroknya.
Ada juga anak yang cuba merasa air kencing dan memakan najisnya sendiri. Ini juga kerana naluri ingin tahu dan mencuba mereka yang sangat tinggi. Biasanya mereka tidak akan mengulangi tindakan ini kerana tidak suka dengan rasanya.
Di kampung saya dahulu, ada satu kepercayaan berkaitan perkara ini. Anak yang memakan najisnya sendiri dipercayai akan mengalami kerencatan otak. Jadi apabila ada anak yang memakan najis sendiri, emaknya akan pergi ke rumah-rumah jiran meminta beras untuk di buat bubur dan diagih-agihkan semula sebagai cara untuk mendoakan supaya perkara ini tidak terjadi.
Walaupun anak sudah pandai ketandas, kebanyakan kanak-kanak belum boleh meninggalkan kencing malam sehingga usia 3 tahun. Ada yang lebih lambat sehingga 4 dan 5 tahun.
Apa yang boleh membantu adalah memastikan mereka tidak minum air terlalu banyak dan kencing dahulu sebelum tidur. Pasangan lampu malam supaya memudahkan anak ke tandas apabila perlu. Pada peringkat ini saya sentiasa memasang lampu tandas pada waktu malam supaya anak tidak takut untuk ke tandas.
Kita juga boleh menggunakan lapik getah di bawah cadar. Juga elakkan membuat kecoh apabila anak kencing malam sekali sekala sebaliknya berikan bimbingan dan keyakinan kepada mereka.
Biasanya anak akan mempunyai keyakinan dan harga diri yang lebih tinggi apabila sudah pandai ke tandas. Kesediaan setiap kanak-kanak adalah berbeza dan pakar juga berpendapat tabiat ini juga mungkin diwarisi daripada ibu atau ayah.
Apa pun kadang-kadang masalah anak terkencing dalam seluar dan membasahkan tilam pada waktu malam berulang semula. Ini biasanya berpunca daripada kebimbangan anak seperti bertukar pengasuh, mula ke taska atau tadika dan pergaduhan ibu bapa. Rujuklah kepada pakar sekiranya masalah berlarutan atau anak menunjukkan perkembangan yang tidak normal dalam perkembangan ini.
Melatih anak ke tandas memerlukan kesabaran yang tinggi. Di taska kami sentiasa peka kepada perkembangan ini dan banyak membantu. Biasanya lebih mudah melatih kanak-kanak di taska kerana suasana yang lebih kondusif. Biasanya pengasuh akan memperingatkan semua kanak-kanak dari masa ke semasa. Mereka juga seronok berlatih ke tandas bersama kanak-kanak lain.
Apa pun anak perlu dilatih untuk ke tandas. Dalam proses memperolehi kemahiran ini anak akan melakukan banyak kesilapan dan sikap ibu bapa banyak mempengaruhi kejayaan mereka. Ibu bapa yang terlalu mengongkong dan mengharapkan kesempurnaan biasanya akan melambatkan proses ini.
Sekian. Wallahua'alam.