Tuesday, October 20, 2020

TIPS AMALI KAP/ AKTIVITI DI TASKA

Seringkali terjadi apabila RPA Awal Matematik dan Pemikiran Logik (AMPL) ditulis dan aktiviti AMPL dijalankan masa amali KAP atau aktiviti di TASKA , pendidik terperangkap dan menganggap objektif tercapai tetapi ianya sebenarnya jauh tersasar.. Mak long bagi contoh yang biasa berlaku.
.
.

Bidang: Perkembangan Awal Matematik dan Pemikiran Logik.(AMPL)

Kanak-kanak: 3 tahun (3 orang)

Pengetahuan sedia ada: Kanak-kanak sudah boleh mengenal warna asas iaitu merah, kuning dan biru.

Objektif #1 : Mengelaskan merah dan kuning.(AMPL)

Objektif #2: Kanak-kanak boleh berlari bawa bola.(F)

Objektif #3: Kanak-kanak boleh mengambil giliran (SSEK)
.
.
Pendidik: Adik-adik, hari ini kita nak main bawa bola masuk dalam bakul.

Tengok ni. Bola kuning masuk dalam bakul kuning. Dan bola merah masuk bakul merah.

Berbaris dulu. Aisyah jalan dulu.

Kanak-kanak masuk bola betul. 

Pendidik: Pandai (sambil tepuk tangan). Siti pula.

Kanak-kanak masuk bola merah dalam bakul kuning.

Pendidik. Salah tu Siti.  

Kanak-kanak tukar ke bakul satu lagi.

Pendidik: Yeay. Pandai.

(Aisyah ambik bola). Aisyah, sekarang giliran Aiman pula. Aisyah tunggu dulu. Berbaris dibelakang.
.
.
Aktiviti dibuat sampai habis bola. Bakul merah ada semua bola merah dan bakul kuning ada semua bola kuning 

Pendidik: 😀(Objektif tercapai). Pandai semua. Terima kasih. Jom kita kemas dan masuk ke dalam TASKA.
.
.

Pemudahcara: 😈Wahai pendidik yang dikasihi. Objektif TIDAK TERCAPAI.
Mengapa?

1. Kanak-kanak ikut arahan bukan mengelaskan. Bila tak betul pendidik bagi tahu salah dan kanak-kanak tukar ke bakul satu lagi. Kalau ikut arahan lebih fokus kepada perkembangan Bahasa, Komunikasi dan Literasi Awal (BKLA)

2. Aktiviti boleh jadi juga lebih kepada perkembangan Fizikal(F). Berlari bawa bola atau Sahsiah, Sosioemosi dan Kerohanian ie mengambil giliran.(SSEK).

Jadi objektif FOKUS AMPLnya tidak tercapai. Memang nampak akhirnya bola kuning masuk bakul kuning dan semua bola merah masuk bakul merah.
.
.
Perkembangan Awal Matematik dan Pemikiran Logik (AMPL) berkaitan dengan akal dan pemikiran serta pembentukan KONSEP melalui PENEROKAAN, EKSPERIMEN Dan BELAJAR MELALUI BERMAIN yang BERMAKNA.

Jadi dalam contoh objektif mengelaskan pendidik perlu galakkan kanak-kanak MEMBANDINGKAN dalam PROSES MENGELASKAN.

Pengetahuan matematik menjadikan manusia dapat MENGURUS kehidupan dengan lebih bijak. Maka, pengetahuan awal matematik dan pemikiran logik seharusnya bertujuan menjadikan kanak-kanak dapat mengurus kehidupan mereka dengan lebih bijak.

Jadi aktiviti mesti BERMAKNA dalam kehidupan kanak-kanak. 

Contoh: Aktiviti mengemas lego selepas bermain.

Bekas lego tak perlu warna merah dan kuning. Boleh tampal stiker bewarna kuning dan merah di luar bekas untuk memudahkan.

Mulakan aktiviti dengan pendidik bersama mengemas. Masukkan yang kuning dahulu dalam satu bekas dan yang merah satu bekas. Kemudian galakkan kanak-kanak bersama mengemas. 

Sambil mengemas pendidik galakkan kanak-kanak membandingkan warna lego dan padankan dalam bekas yang ada lego merah/kuning. Guna kosakata yang tepat.  Ambil masa untuk bimbing kanak-kanak berfikir dan membuat perbandingan dalam proses membuat pengelasan.

Pujian: "Bagus, adik boleh mengasingkan lego mengikut warna merah dan kuning".
(Pujian harus diberi pada tingkahlaku atau perbuatan yang bagus supaya kanak-kanak rasa dihargai dan boleh mengulangi apa yang bagus bukan puji pada orangnya sahaja dgn berkata "pandai")

Nota: Lego merah dan kuning perlu banyak untuk aktiviti mengelaskan/mengasingkan.

Kemudian buat rumusan dengan kanak-kanak.

Apa yang adik-adik buat tadi?
Macamana kita kemas lego?
Macamana kita asingkan warna kuning dan merah? 
Kenapa kita perlu asingkan lego mengikut warna?

Minta respon kanak-kanak terlebih dahulu dan kemudian baru pendidik rumuskan dan kukuhkan.

"Ya. Kita banding dan lihat perbezaan warna sebelum kita meletakkan dalam bekas yang berlainan. Kita kemas lego ikut warna merah dan kuning supaya senang nak cari bila kita nak guna lego ikut warna."
.
.

Objektif gabungjalin untuk aktiviti ini lebih sesuai.

Objektif #2: Kanak-kanak boleh menggunakan kosakata merah, kuning dan asing/kelas dalam perbualan (BKLA)

Objektif #3: Kanak-kanak boleh bekerjasama mengasingkan mainan (SSEK)

Objektif gabungjalin mesti sesuai dengan tahap kebolehan kanak-kanak dalam bidang yang berlainan tetapi berkaitan objektif fokus dan sesuai dengan aktiviti yang dijalankan.

*Gambar sekadar hiasan. Tiada kaitan dengan amali.

Allahu 'alam


🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
#EmpoweringECCE
#KapOnline

No comments: