Tuesday, October 8, 2019

BEREBUT-PELUANG MENDIDIK ANAK UNTUK BERKONGSI DAN MENGAMBIL GILIRAN


"Anak jagaan saya Hakim dan Aiman yang berumur 3 tahun masih lagi berebut bila bermain bersama. Ada saja barang yang direbut. Sekarang mereka suka berebut basikal apabila bermain di luar TASKA. Kadang-kadang Hakim akan merampas basikal dari Aiman hingga menangis dan Aiman akan membalas dengan berbuat yang serupa. Kadang-kadang mereka akan berebut mainan yang sama sehingga pukul memukul. Berulang kali saya pesan supaya bermain elok-elok, kena berkongsi mainan dan mengambil giliran tapi masih jugak berebut. Macamana saya nak menangani masalah tingkah laku begini ya Mak Long. Saya juga bimbang tingkah laku ini menjadi ikutan kanak-kanak lain. Pening jugak saya di buatnya."

Siti seorang pendidik TASKA menyuarakan masalah berkaitan anak-anak didiknya.

Pertama sekali kita perlu tahu tahap kerana banyak masalah tingkah laku sangat berkaitan dengan tahap kebolehan kanak-kanak.

Kanak-kanak 3 tahun sudah mula boleh bermain dalam kumpulan tetapi masih sukar untuk berkongsi. Mengambil giliran juga agak sukar untuk dikuasai pada usia itu. Apa pun ianya adalah masa yang sesuai untuk menggalakkan sikap berkongsi dan mengambil giliran.

Contoh, Pendidik boleh menggalakkan kanak-kanak mengambil giliran melalui permainan berstruktur (structured play) dengan merancang Rancangan Pelaksanaan Aktiviti (RPA) yang sesuai.

Mak Long berikan satu contoh RPA mengikut format TASKA.
_________________

Bidang Perkembangan Sahsiah, Sosial Emosi dan Kerohanian (SSEK)

Tajuk Aktiviti : Main basikal bergilir-gilir

Umur Kanak-Kanak : 3 tahun.

Bilangan Kanak-Kanak : 2 orang

Kebolehan : Kanak-kanak sudah boleh bermain bersama tetapi sukar berkongsi dan suka berebut.

Objektif  :

1. Kanak-kanak boleh mengambil giliran. (Sahsiah, Sosio Emosi dan Kerohanian-SSEK) (objektif fokus)

2. Kanak-kanak boleh memahami konsep jangka masa yang pendek. (Awal Matemetik dan Pemikiran Logik -AMPL) (objektif gabung jalin)

3. Kanak-kanak boleh menggunakan perkataan "giliran" dalam berinteraksi. (Bahasa, Komunikasi dan Literasi Awal-BKLA) (aktiviti gabung jalin)

Bahan : Basikal roda tiga (1) dan jam loceng (1)

Tempat : Kawasan luar TASKA

Langkah:

1. Bermesra dengan kanak-kanak dan mengajak kanak-kanak bermain di luar TASKA.

2  Terangkan peraturan bermain basikal dengan mengambil giliran mengikut masa yang ditetapkan menggunakan jam loceng. Pendidik menunjukkan bagaimana jam loceng berfungsi dan memahami jangka masa 3 minit.

"Cikgu akan tunjukkan cara untuk bermain secara bergilir dengan menggunakan jam loceng yang disetkan selama 3 minit. Mula-mula Hakim naik basikal duhulu selama 3 minit sehingga jam loceng berbunyi.  Kemudian cikgu akan setkan jam loceng semula selama 3 minit dan giliran Aiman pula naik basikal sehingga loceng berbunyi."

3. Mulakan permainan dengan memberi Hakim naik basikal dahulu. Tenangkan Aiman yang menunggu dengan menunjukkan pada jam loceng yang bergerak dan memberi kepastian bahawa masa untuk Aiman akan tiba sebentar lagi.

4. Apabila masa tamat Pendidik menggalakkan Hakim memberi basikal kepada Aiman dengan berkata "sekarang giliran awak pula", dan galakkan Aiman berkata "terima kasih".

5. Tetapkan masa 3 minit pada jam loceng dan berikan giliran Aiman pula bermain basikal dan galakkan Hakim bersabar menunggu giliran seterusnya.

6. Berikan pujian dan galakan sepanjang proses bermain dan mengambil giliran.

7. Sekiranya kanak-kanak boleh mengambil giliran dengan baik beberapa kali, tambahkan masa supaya setiap orang bermain lebih lama contoh 5 minit seorang.

8. Selesai bermain, bawa kanak-kanak ke dalam TASKA, duduk bersama dan  berbual serta bersoal jawab dengan kanak-kanak tentang apa yang berlaku semasa bermain tadi.

Contoh:

"Apa perasaan Aiman apabila menunggu Hakim bermain dahulu?"

"Apa Hakim rasa bila perlu berhenti bermain apabila jam loceng berbunyi dan memberi giliran pada Aiman pula?"

"Kenapa kita perlu mengambil giliran?"
__________________

Selepas pelaksanan aktiviti, pendidik perlu membuat penilaian bagi melihat keberkesanan dan pencapaian objektif setiap kanak-kanak. Pendidik juga perlu menilai cara pelaksanaan, bahan dan strategi yang digunakan.

Kemudian aktiviti begini boleh diulang beberapa kali hingga kanak-kanak mahir. Aktiviti boleh ditambahbaik dengan bahan, situasi dan pendekatan yang berlainan.

Pencapaian kanak-kanak juga boleh dipertingkatkan dari masa ke semasa dengan bilangan kanak-kanak yang berbeza. Contoh, apabila kanak-kanak sudah boleh bergilir 2 orang, galakkan pula bergilir 3 orang melalui aktiviti berstruktur yang dirancang.

Apabila kanak-kanak sudah boleh berkongsi dan bermain secara bergilir,  jam loceng sudag tidak diperlukan lagi sehingga ada konflik baru berlaku.

Pemerhatian semasa permainan bebas atau "free play" sangat penting supaya pendidik mengetahui tahap kebolehan kanak-kanak dan masalah tingkah laku yang berlaku.

Dari dapatan pemerhatian ini pendidik boleh menyokong atau "scaffold" kanak-kanak bagi meningkatkan tahap pencapaian mereka. Pendidik juga berperanan menangani masalah tingkah laku yang berlaku sebelum ianya lebih teruk dan sukar dibendung.

Teori Vygotsky "scaffolding" --bantuan rakan yang lebih mahir atau orang dewasa boleh menyokong pencapaian lebih baik dalam pembelajaran kanak-kanak.

Teknik dan strategi yang dilaksanakan dengan kasih sayang dan bertegas bila perlu memberi struktur dan asas kemahiran bergaul yang penting bermula pada masa sensitif iaitu masa paling berkesan untuk mendidik bermula seawal usia kanak-kanak 2 hingga 3 tahun.

Kanak-kanak yang dididik untuk berkongsi dan mengambil giliran bermula dalam persekitaran sosial di rumah dengan adik beradik dan di TASKA dengan kawan-kawan akan membentuk sikap yang betul dalam pergaulan.

Anak yang "soleh" bukan sahaja anak yang baik dengan beradab dan berakhlak mulia malah menjadi anak yang "musleh" iaitu anak yang menjadi contoh dan mengajak orang lain kepada kebaikan.

Ayuh sama-sama kita sebagai ibu bapa dan pendidik juga berusaha memperbaiki diri dan menjadi contoh kepada anak-anak.

Anak itu anugerah.
Anak itu amanah.
Anak itu ujian.

Wallahua'lam.

🌾Mak Long
#IbuBapaTenangAnakCemerlang
rentis.blogspot.com

Klik t.me/RentisMakLong untuk sertai Channel Telegram Mak Long

No comments: