Saturday, February 9, 2019

GALAK PROSES BERFIKIR BAGI MELAHIRKAN ANAK YANG BERMANFAAT


Mengapa burung terbang?
Kenapa ayam ada kepak tapi tak boleh terbang macam burung?
Kenapa ikan hidup dalam air?

Ya! banyak sekali pertanyaan anak-anak kecil yang sudah petah bercakap. Apa, kenapa, mengapa, mana, bagaimana, siapa dan bila?

Apa pula respon ibu ayah apabila anak bertanya?

Dalam contoh "Mengapa burung terbang?", mungkin ada ibu atau ayah yang menjawab "sebab dia ada sayap, sebab Allah jadikan sayap supaya burung boleh terbang dan lain-lain lagi".

Persoalannya adakah wajar kita memberi jawapan terus pada anak atau menggalakkan anak berfikir?

Dari segi KOGNITIF atau perkembangan akal, kita seharusnya menggalakkan anak berfikir. Banyak ayat Quran yang menyarankan begini. Antaranya:

Surah Ar-Rad, Ayat 4:

وَفِي الْأَرْضِ قِطَعٌ مُّتَجَاوِرَاتٌ وَجَنَّاتٌ مِّنْ أَعْنَابٍ وَزَرْعٌ وَنَخِيلٌ صِنْوَانٌ وَغَيْرُ صِنْوَانٍ يُسْقَىٰ بِمَاءٍ وَاحِدٍ وَنُفَضِّلُ بَعْضَهَا عَلَىٰ بَعْضٍ فِي الْأُكُلِ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَعْقِلُونَ

Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar (kurma) yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.

Apabila si kecil mula bertanya tandanya otaknya sudah berkembang ke tahap boleh berfikir secara logik, menaakul, mengaitkan sesuatu, memikirkan kesan dan akibat, meramal, menilai, menyelesaikan masalah, membuat kesimpulan dan pelbagai lagi.

Anggapan bahawa anak perlu mengingati banyak perkara membuatkan kita cenderung untuk menjawab persoalan anak kerana memberi input atau info.

Apa yang lebih penting anak tu melalui proses berfikir, menaakul, mengalami dan meMAKNAi sesuatu.

Kembali kepada soalan "mengapa burung terbang?" tadi kita boleh merangsang pemikiran logik anak dengan memberi analogi seperti "cuba fikir manusia berjalan untuk apa? Jadi burung terbang untuk apa?"

Dengan ini anak dapat mengaitkan burung terbang untuk mencari makanan, mencari kawan, mencari ranting untuk membuat rumah, melarikan diri dari musuh dan banyak lagi.

Pemikiran anak boleh dicambahkan lagi dengan mengaitkan lagi apa yang terbang.

Meneroka jawapan-jawapan yang banyak memberi lebih pengalaman dan makna yang membawa anak untuk merasai bahawa ada kuasa yang HEBAT dan  lebih besar iaitu Allah Yang Maha Pencipta. Inilah proses menyemai dan menyuburkan IMAN dalam diri anak melalui proses berfikir mengenai kejadian alam dan memahami.

Jika kita terus menjawab untuk memberi input dan info sahaja kita hanya meminta anak menerima jawapan dan hanya mengingati fakta tanpa memahami sesuatu dengan lebih mendalam dan mengaitkan kejadian dengan kebesaran Allah.

Membacakan ayat Al-Quran yang berkaitan akan memberi kesan yang mendalam kepada jiwa kanak-kanak yang masih suci dan sangat bermakna kerana ianya dikaitkan dengan soalan yang dikemukakan mereka. Ini menggalakkan mereka menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan.

Surah Al-Anaam, Ayat 38:

وَمَا مِن دَابَّةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا طَائِرٍ يَطِيرُ بِجَنَاحَيْهِ إِلَّا أُمَمٌ أَمْثَالُكُم مَّا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِن شَيْءٍ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).

Sebagai ibu bapa dan guru kita perlu bertindak sebagai PEMUDAHCARA dengan menggalakkan anak berfikir kerana kita bertanggungjawab untuk merangsang dan meningkatkan perkembangan kognitif, sahsiah dan kerohanian mereka.

Allah menjadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian dan dibekalkan akal yang sangat hebat sesuai dengan tugas manusia sebagai Khalifah yang memakmurkan di muka bumi ini.

Dari proses pemerhatian, pemikiran dan memahami kejadian alam, insyaAllah anak dapat menjadi orang berMANFAAT bagi orang lain. Contoh manusia mencipta kapal terbang yang sangat banyak manfaatnya dari proses memikirkan kejadian burung.

Surah Al-Imran Ayat 190-191

إِنَّ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفِ ٱلَّيۡلِ وَٱلنَّهَارِ لَأٓيَٰتٖ لِّأُوْلِي ٱلۡأَلۡبَٰبِ ١٩٠ ٱلَّذِينَ يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ قِيَٰمٗا وَقُعُودٗا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمۡ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلۡقِ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ رَبَّنَا مَا خَلَقۡتَ هَٰذَا بَٰطِلٗا سُبۡحَٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

Maksudnya: Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.

"Sebaik-baik manusia adalah mereka yang bermanfaat bagi orang lain." - Hadith Riwayat Ahmad

Allahu A'lam.

#SentuhanBapaBelaianIbu

No comments: