Thursday, February 21, 2019

BEBASKAN SAJA


Akan tiba ketika
Kau dapati aku
Gemar sekali menconteng
Puas menconteng
Lembut cari jemariku melakar dan melukis...

Bebaskan saja
Aku menconteng dan melakar
Melukis dan mewarna
Mengikut kreativitiku...

Aku lakar rumah berbentuk bulat
Kau kata rumah berbentuk segiempat
Aku warna tayar kereta merah
Kau kata tayar warnanya hitam
Aku warna kelapa hitam
Kau kata kelapa warnanya hijau
Aku warna rambutan hijau
Kau kata rambutan warnanya merah
Aku lukis kapal  terbang  kecil
Kau kata kapal terbang itu besar
Bukan kecil seperti burung...

Lalu kau berikan aku gambar kapal terbang untuk aku warna
....sedih

Bebaskan saja
Usah dikongkong pemikiranku
Hasil yang kau mahu membelengguku
Menyekat kreativitiku...

Ketahuilah
Ada makna disebalik lukisan
Ada cerita disebalik luahan
Ada imaginasi disebalik ciptaan
Ada tanggapan disebalik pilihan
Itulah rumah mengikut kreativitiku
Pada ketika tahap aku hanya mampu melakar bentuk bulat
Tidak salah untuk aku impikan tayar kereta yang berwarna merah
Kelapa kulihat hitam selepas dibakar
Rambutan kulihat hijau ketika putik
Kapal terbang jauh di langit kelihatan kecil sekali
Seperti seekor burung yang sedang terbang...

Bebaskan saja
Biarkan saja aku lalui proses
Menconteng
Melakar
Melukis
Mewarna
Sesukaku
Semahuku
Sediakan peralatan yang sesuai
Berikan sokongan dengan kata-kata yang baik
Terima seadanya karyaku
Cantik sekali jika ditampal di dinding rumah kita

Hargai setiap usahaku
Imaginasi pemikiranku yang masih bebas
Galakkan saja kreativitiku berkembang
Seiring peningkatan kebolehanku
Keunikan potensi diriku
Anugerah Ilahi
Buat setiap insan kecil
Sepertiku...

NB. Puisi ini berkaitan tahap kanak-kanak peringkat awal (lahir hingga 6 tahun) yang masih dalam pemikiran bebas dan begaimana merangsang kemahiran jari dan kreativiti mereka.
Allahu A'lam.

No comments: