Wednesday, January 30, 2019

BAHAN MAUJUD DAN KURIKULUM INTERGRATIF DALAM PENDIDIKAN AWAL

Penggunaan bahan maujud atau konkrit dalam pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak peringkat awal (lahir hingga 8 tahun) adalah lebih efektif berbanding penggunaan bahan abstrak seperti gambar dan buku latihan atau buku aktiviti. Kanak-kanak bermain, meneroka, mengeksperimen dan membina pengalaman pembelajaran yang lebih luas, mendalam dan bermakna apabila bahan maujud digunakan dalam proses pembelajaran.

Kurikulum awal kanak-kanak juga seharusnya dijalankan secara integratif. Maksudnya, ilmu pengetahuan dan pengalaman pembelajaran yang didedahkan kepada kanak-kanak perlu bersepadu merentas bidang perkembangan atau tunjang pembelajaran bukan dipecahkan mengikut subjek supaya kanak-kanak belajar sesuatu yang saling berkait. Ini akan mencambahkan pengetahuan, kemahiran dan minat kanak-kanak serta pembelajaran memberi lebih MAKNA kepada kehidupan mereka.

Contoh pada musim buah, rambutan digunakan sebagai bahan asas sepanjang minggu merentas bidang perkembangan di TASKA atau tunjang pembelajaran di TADIKA.

Kanak-kanak mengenal jenis dan ciri-ciri buah rambutan. Rambutan yang sudah masak warnanya merah dan rasanya manis. Hijau tandanya rambutan masih muda dan rasanya kelat. Yang kuning mengkal dan masam. Ada juga yang berlainan jenis buah rambutan seperti rambutan gading warnanya kuning bila ranum.

Rambutan juga digunakan untuk mengembangkan bahasa, sahsiah dan kerohanian kanak-kanak dengan bercerita berkaitan pokok rambutan, khasiat buah rambutan dan menghayati kebesaran Allah dan bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan. Boleh bacakan ayat Al-Quran yang berkaitan tumbuh-tumbuhan seperti:

"Dia menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanam-tanaman; zaitun, korma, anggur dan segala macam buah-buahan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memikirkan."- An-Nahl-11

Proses pengajaran dan pembelajaran  dikembangkan lagi dengan kanak-kanak melukis kebun buah-buahan dan mengecat menggunakan berus.

Sila rujuk WEB mingguan aktiviti TASKA untuk kanak-kanak 4 tahun yang dirancang menggunakan bahan maujud dan kurikulum integratif merentas bidang perkembangan.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10156929830804231&id=697059230

"Ilmu perlu disampaikan secara berperingkat-peringkat berdasarkan tahap keupayaan pelajar. Pelajar tidak sepatutnya dipaksa untuk mengingati sesuatu subjek pada peringkat awal pengajaran. Sesuatu subjek perlu diajar secara berterusan, tidak terpisah dan sistematik." - Ibnu Khaldhun

🍁Rujukan:Pendidikan Anak-anak di Peringkat Awal Umur Berasaskan Binaan Kurikulum yang Integratif- Dr. Mastura Badzis  http://www.mindamadani.my/topik/umum/item/185-pendidikan-anak-anak-di-peringkat-awal-umur-berasaskan-binaan-kurikulum-yang-integratif.html

Allahu A'lam.

🌾Rosnah Ahmad/Mak Long
#SentuhanBapaBelaianIbu

No comments: