Thursday, December 27, 2018

LIMA (5) KESILAPAN DALAM MEMBENTUK KELUARGA BAHAGIA


Assalamu'alaikum. Salam keindahan dan kedamaian di pagi Jumaat yang penuh keberkatan.

Setiap dari kita mengimpikan kebahagiaan diri dan apabila berumahtangga kita mengimpikan sebuah keluarga yang bahagia.

Dikongsikan lima kesilapan yang berlaku dalam usaha membentuk keluarga bahagia.

1. Berpusatkan selain daripada Allah.

Meletakkan pasangan sebagai pusat apabila berumahtangga dan kemudian anak sebagai pusat apabila lahirnya anak-anak. Kehidupan seharian berputar berpusatkan keperluan dan kehendak pasangan serta anak-anak sehingga tiada masa atau tidak peruntukan masa untuk mencari ilmu dan menambah amal.

Fitrah cinta dan kasih sayang terhadap anak tidak diimbangi dengan baik dalam kehidupan berkeluarga. Kejayaan dan kebahagiaan didefinisikan mengikut kehendak "dunia" bukan mengikut ajaran Islam. Oleh itu, ibu bapa bekerja keras menyedia dan melakukan segalanya untuk anak demi meraih pengiktirafan  masyarakat yang silap iaitu sebagai ibu atau bapa yang baik dan sedia berkorban apa sahaja sehingga "terkorban".

Implikasinya, maka lahirlah anak-anak yang lemah, kurang berperanan dan pentingkan diri ibarat perumpamaan "hamba melahirkan tuan".

Sewajarnya kita meletakkan Allah sebagai pusat dalam membentuk keluarga bahagia. Setiap ahli keluarga perlu sentiasa sokong menyokong dalam melaksanakan ibadah kepada Allah SWT serta dapat mengembangkan potensi diri menjadi pemimpin yang kuat, berwibawa serta berperanan dalam keluarga dan masyarakat.

2. Meletakkan anak-anak sebagai asas dalam keluarga.

Perhubungan suami isteri yang kukuh  merupakan asas kepada pembentukan keluarga yang utuh.

Perhubungan suami isteri seharusnya semakin lama semakin erat bukannya semakin lama semakin renggang dek kerana terlalu sibuk dengan tugas dan tanggungjawab membesarkan anak-anak.

Rutin anak-anak perlu disusun dengan mengambil kira ruang dan masa untuk diri dan pasangan. Usahlah merasa bersalah meninggalkan anak-anak apabila meluangkan masa bersama pasangan. Hubungan, kasih sayang dan kebahagiaan suami isteri perlukan pelaburan usaha, masa dan wang ringgit untuk menggapainya.

3. Kurang skil keibubapaan mengikut tahap umur anak.

Anak yang lahir akan membesar dan berkembang dengan baik dalam keluarga yang memahami dan menyantuni fitrah anak mengikut tahap. Secara umumnya ia boleh dikategorikan kepada 4 peringkat:-

1. Peringkat awal usia (lahir hingga 8 tahun)
2. Peringkat pertengahan (8 hingga 12 tahun)
3. Peringkat remaja (12 hingga 18 tahun)
4. Peringkat dewasa (18 hingga 39 tahun)

Pendidikan pada setaip peringkat usia memberi kesan kepada peringkat seterusnya. Ilmu dan kemahiran keibubapaan serta bahan rujukan di rumah perlu ada supaya kita lebih bersedia mendidik anak pada setiap peringkat.

4. Tidak membina hubungan yang baik dengan anak sejak kecil.

Membina hubungan dengan anak sejak kecil melahirkan kasih sayang dan rasa hormat anak terhadap ibu bapa. Anak juga akan merasa selamat dan seronok berada di rumah dan  menjadikan ibu bapa sebagai orang yang dirujuk dalam keluarga.

Membina hubungan perlukan masa, perhatian dan pedagogi yang sesuai. Contoh anak kecil membina hubungan dengan bermain, bercerita dan berbual. Anak remaja membina hubungan dengan "berkawan". Ibu bapa yang mendekati anak-anak sejak kecil mudah berkawan dengan anak apabila remaja.

5. Tidak mengurus konflik dan berkomunikasi dengan baik.

Konflik seharusnya menjadi peluang untuk memperbaiki diri dan keluarga. Tidak mengurus konflik yang berlaku dengan mendiamkan diri, menafikan, menyalahkan dan mengelak menyebabkan lama kelamaan konflik menjadi semakin parah dan sukar dibendung. Ini adalah antara punca kegagalan dalam membentuk keluarga yang harmoni.

Komunikasi juga penting dalam interaksi dan ada tahap-tahapnya. Apabila anak sudah boleh berfikir dengan baik dalam sekitar umur 4 tahun ke atas, ibu bapa perlu ada skil komunikasi berkesan bagi menggalakkan anak berfikir, menyelesaikan masalah dan membuat keputusan sendiri. Ini adalah proses memperkasakan diri anak supaya membentuk kawalan kendiri yang baik dan progres mengikut kekuatan masing-masing.

Membentuk keluarga bahagia adalah amanah dan asas kepada kejiranan,  komuniti dan masyarakat yang cemerlang.

Kebahagiaan yang dicapai adalah anugerah daripada Allah SWT.  Berdoalah supaya kita dikurniakan pasangan dan anak-anak seperti Surah Al-Furqan, Ayat 74:

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Dan orang orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugrahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.

Sekian. Wallahu'alam.

#SentuhanBapaBelaianIbu

🍄Rujukan:

Pedoman Pendidikan Anak-Anak Dalam Islam (Tarbiyatul Aulad)-Dr Abdullah Nashih Ulwan

No comments: