Thursday, November 29, 2018

KOMUNIKASI BERKESAN MEMBANTU ANAK MENGURUS EMOSI DAN BERFIKIR


Oleh: Rosnah Ahmad/Mak Long
rentis.blogspot.com

Soalan dari seorang bapa.

Satu sikap dan perlakuan anak saya 8 tahun yang sering menimbulkan kemarahan saya dan isteri. Dia tak boleh beralah dengan adik dia yang berusia 4 tahun. Kalau dia tengok adik dia pegang sesuatu, terus dia rampas dengan kasar. Puas juga saya tegur, tapi dia tetap mengulangi perkara yg sama.

Apa lagi yang boleh saya buat ya Mak Long?

Pandangan Mak Long.

Terima kasih tuan. Anak ini menunjukkan ada emosi yang sedang dilalui dan mencetuskan perbuatan merampas itu.

Anak yang berumur 8 tahun seharusnya sudah boleh mengenal dan mengurus emosi sendiri serta boleh bertindak dengan matang. Apa pun anak ada kalanya melakukan kesilapan dan inilah masa yg paling berkesan untuk ibu bapa membimbing anak mengurus emosi, berfikir serta menerapkan nilai dan sikap yang lebih baik.

Ibu bapa juga harus bersikap ADIL dalam membimbing anak. Tidak semestinya anak sulung atau yang lebih tua perlu sentiasa BERALAH dengan adik. Konsep adil ini sangat penting supaya anak tidak mudah rasa cemburu dan kecil hati yang boleh menyebabkan anak memberontak dan "buat perangai".

Dalam permasalahan tadi, Mak Long cadangkan ibu atau ayah bawa anak ke tempat yang selesa dan duduk berbincang. Perlu diingat juga supaya tidak memarahi abang di hadapan adik kerana kemungkinan adik akan hilang hormat pada abang.

Lalui proses komunikasi berkesan bersama anak:-

🍁MENEROKA

Bimbing anak meneroka EMOSI dan KESAN kepada perbuatan mereka. Contoh merampas mainan dengan kasar daripada adik. Kenapa ianya terjadi dan apa kesannya.

Ibu atau ayah boleh tanyakan soalan seperti:

1. Apa perasaan abang yang menyebabkan abang rampas mainan daripada adik?

2. Bagaimana sekiranya orang lain merampas mainan dari abang?

Ibu atau ayah harus menerima luahan dan jawapan anak dengan terbuka. Dengar dengan empati dan elakkan dari memarahi atau melabel anak.

Ingat! Ibu atau ayah sedang membimbing anak mengurus emosi dan berfikir.

🍁 KENALPASTI

Kenalpasti emosi mana yang anak sedang hadapi dan kesan perbuatan itu pada adiknya.

Contoh:

1. Abang geram pada adik.
2. Abang suka mainan tu.
3. Adik menangis bila mainannya dirampas.

🍁CARI ALTERNATIF

Bimbing anak untuk berfikir cara yang lebih baik untuk mengurus emosi dan bertindak dalam situasi tadi.

Contoh:

1. Abang perlu bersabar.
2. Abang perlu minta izin dengan adik.
3. Jika adik kata " adik nak main dulu", abang perlu tunggu dulu.

🍁 TINDAKAN

Tanya anak apa tindakan yang boleh diambil selepas ini.

Contoh:

1. Minta maaf daripada adik
2. Main sama-sama dengan adik.
3. Bersabar dan tunggu giliran jika ingin main mainan pada adik.

Anak mungkin tak dapat keluarkan semua idea. Ibu atau ayah boleh beri cadangan dan nasihat tetapi biarlah di akhir sesi. Dapatkan persetujuan anak cadangan mana yang boleh diguna pakai supaya dia bersedia bertindak dengan kesedaran bukan hanya mengikut arahan ibu atau ayah.

Beri keyakinan pada anak bahawa dia mampu bertindak. Boleh beri pelukan dan ucapan penghargaan pada kesediaan anak untuk berbincang dan berubah.

🍁SUSULAN

Beri perhatian pada usaha anak bertindak. Puji usaha dan doakan anak

Contoh:

" Alhamdulillah, ayah nampak abang boleh minta izin dengan adik bila abang nak main mainan pada adik dan abang boleh bersabar kalau adik masih nak main. Allah sayang anak yang sabar dan boleh main elok-elok dengan adiknya. Ayah bersyukur dikurniakan anak yang baik dan ayah doakan abang jadi anak yang tenang dan cemerlang".

🍁 Apa yang Mak Long utarakan ini mungkin nampak satu proses yang sukar untuk dilakukan tetapi percayalah bahawa " alah bisa tegal biasa".

Kaedah komunikasi berkesan ini sebenarnya memperkasakan diri anak dan lama kelamaan anak akan menguasai cara ini dan dia boleh melalui proses mengurus emosi dan berfikir dan bertindak dengan matang dalam kehidupan. Ianya juga meningkatkan EMPATI anak pada orang lain dalam proses mengenal dan mengurus emosi sendiri. Lebih baik lagi apalagi anak dapat menggunakan skil komunikasi berkesan ini pada adik beradik dan rakan-rakannya.

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian.
Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Sekian. Wallahu'alam.

#SentuhanBapaBelaianIbu
Rumah Madrasah Pertama
Ibu Bapa Guru Utama

No comments: