Tuesday, August 7, 2018

MEMUJUK ATAU BERTEGAS


Haikal (2 tahun) merengek hendakkan susu.  Apabila tidak diendahkan rengekan Haikal bertukar menjadi tangisan dan hentakan kaki. Ibunya yang sedang sibuk di dapur berkata "Cakap elok-elok. Nak apa." Kemudian Haikal terus mengamuk dan menggulingkan diri di lantai. Melihat amukan Haikal semakin menjadi-jadi, ibunya menghampiri Haikal dan memujuk sambil berkata "Haikal nak susu ye. Nanti ibu buatkan". Haikal diam selepas mendapat kehendaknya.

Adakalanya dalam mendidik anak-anak ibu bapa perlu memujuk dan adakalanya perlu bertegas. Berlembut dan sentiasa memujuk dalam apa jua keadaan  menyebabkan anak tidak dapat membezakan antara betul dan salah serta tidak belajar abab dalam berinteraksi.
Akhirnya tingkah laku seperti mengamuk menjadi kebiasaan dan  kemungkinan menjadi lebih agresif pada masa akan datang jika ianya tidak dibendung dari awal.

Dalam situasi tadi sebaiknya ibu Haikal  menggunakan tonasi suara yang tegas dan "eye-contact" serta membimbing anaknya untuk meminta sesuatu dengan baik. Ibu menegaskan anak perlu meminta dengan memberikan contoh ayat dan galakkan anak mengikut seperti" Ibu, Haikal nak minum susu". Ya, bina ayat yang lebih spesifik kerana anak pada usia itu tidak faham apakah yang di maksudkan dengan "cakap elok-elok". Permintaan anak hanya akan ditunaikan jika mereka menunjukkan usaha mengikut arahan ibu. Cara ini mendidik anak mengawal diri, bersabar, menghormati ibu dan beradab dalam meminta sesuatu.

Anak juga perlu tahu bahawa mengamuk adalah satu tingkah laku yang tidak diterima dan tidak akan dilayan. Mengamuk pada tahap umur ini adalah normal tetapi memujuk anak ketika mengamuk hanya akan mengukuhkan tingkah laku yang salah dan tidak membantu anak mengawal diri.

Dalam bertegas juga ibu bapa perlu sepakat dan konsisten. Jika tidak anak akan keliru dan menyukarkan proses membetulkan tingkah laku.

Apapun ibu bapa harus peka kepada perlakuan anak supaya dapat membetulkan tingkah laku yang salah dari masa ke semasa dengan bertegas dan  menunjukkan tingkah laku yang betul supaya supaya anak membentuk peribadi mulia. Jika tidak perlakuan yang tidak baik menebal dalam diri hingga ke besar dan boleh mempengaruhi anak-anak lain di persekitaran.

Sekian. Wallahu'alam.

#Sentuhan Bapa Belaian Ibu
Perkasakan Institusi Keluarga
Kembalikan Peranan Ibu Bapa