Friday, April 13, 2018

Media Sosial Mempengaruhi Gaya Keibubapaan Hari Ini


Assalamualaikum. Salam kedamaian dan keindahan buat semua. Selamat bertemu kembali 😄☘.

"Mak Long tahu tak anak dia tu pandai-pandai. Mungkin sebab dia dan suami pun pandai, kerja bagus-bagus dan mampu bagi segalanya pada anak-anak. Suka tengok "posting-posting" dia". Itulah luahan seorang ibu kepada saya tempoh hari dengan nada yang agak tertekan. Beliau seterusnya meluahkan beberapa masalah berkaitan suami dan anak-anaknya.

Secara tak sedar media sosial sudah mempengaruhi ibu ini. Dia mula membanding-bandingkan kehidupannya dengan orang lain di laman sosial.

Media sosial sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan hari ini. Lambakan informasi, perkongsian dan produk secara tidak sedar mempengaruhi gaya ibu bapa menyantuni  anak.  Ia menjadi medan perolehan dan perkongsian ilmu yang bermanfaat dan pada masa yang sama boleh membawa kepada stres dan kerisauan apabila kerap membaca atau melihat "posting" orang lain di laman sosial yang kebiasaannya hanya membawa berita, cerita dan gambar yang  menunjukkan kejayaan,  kegembiraan dan kebahagiaan sahaja. Ini boleh menyebabkan seseorang membanding-bandingkan diri, pasangan, anak dan kehidupannya dengan orang lain.

Harga sebuah kejayaan  semakin hari semakin tinggi dan mudah saja untuk terperangkap dalam sindrom saya tidak cukup baik atau " I am not good enough". Kita mungkin merasakan bahawa kehidupan kita tidak setanding dengan orang lain. Lebih parah jika kita terperangkap dalam kerisauan status  atau "status anxiety" yang menyebabkan kita mengejar untuk tergolong dalam golongan yang kita definasikan berjaya mengikut paparan media sosial.

Apa pun ibu bapa perlu sedar kesan media sosial kepada pemikiran dan perasaan supaya mereka dapat membentuk gaya keibubapaan yang sesuai dengan kehidupan mereka yang berbeza bukan terikut-ikut dengan trend dan cara orang lain tanpa prinsip. Gaya keibubapaan juga banyak mempengaruhi tingkah laku anak.

Setiap anak dalam setiap keluarga adalah unik. Kejayaan tidak hanya tertakluk kepada apa yang dimiliki.  Terima anak tanpa syarat dan bandingan. Santunilah fitrah mereka supaya menjadi anak yg bermanfaat pada ibu bapa dan orang lain.

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.” (Hadits Riwayat ath-Thabrani)

Wallahu'alam.
#SentuhanBapaBelaianIbu
Perkasakan Institusi Keluarga, Kembalikan Peranan Ibu Bapa
Rumah Madrasah Pertama, Ibu Bapa Guru Utama

No comments: