Monday, June 12, 2017

Santuni Fitrah -Sumber Hikmah Diri

Masalah dan cabaran membuka ruang untuk memahami dan menerima kenyataan tentang diri kita. Ketika kita mengalami cabaran dari segi mental, emosi dan fizikal menunjukkan ada sesuatu atau BLOK yang tidak selari dengan FITRAH diri yang boleh menyebabkan tekanan dan penyakit.

BLOK menunjukkan ada kisah lampau dan gangguan yang menghantui kita atau " unfinished business" yang menghuni dalam minda bawah sedar.

Blok berhubung rapat dengan karaktor kita dan kita sering menggunakan tenaga untuk mengelak, melupakan atau memindahkan blok-blok ini kepada bentuk yang lain. Contohnya kita memberi pelbagai alasan untuk mengelak dari melakukan sesuatu kerana takut untuk melalui perubahan.

Blok perlu dilepaskan dan disembuhkan sekiranya kita mahu menghilangkan tekanan atau kesakitan. Ia adalah satu proses mengenal diri dengan mendapatkan kesedaran yang lebih tinggi (higher consciousness), menerima kebenaran tentang sesuatu blok dan berusaha melakukan perubahan diri.

Blok mempunyai banyak hikmah. Ada cahaya di sebalik penyebab kepada blok kerana cahaya inilah yang melepaskan kita dari kesakitan dan kesengsaraan.

Sebagai contoh, mekanisme membela diri atau mengelak menyembunyikan dari kita bagaimana perasaan kita yang sebenarnya. Mekanisma ini menghalang kita dari mengetahui siapa diri kita dengan membina perisai yang tebal untuk mempertahankan diri kita dari kesakitan dan ketakutan. Ianya juga membina EGO palsu untuk menyelamatkan diri.

EGO menjadi penghalang kepada pencarian permata yang akan membuat jiwa kita mahu menemui punca masalah dan menerima kekurangan diri. Permata itu akan sentiasa menjadi tenaga penyembuh dan agen pengislahan diri dari dalam diri kita.

Sumber kebijaksanaan dan hikmah itu ada dalam diri kita yang fitrah. Ianya perlu digali dan disantuni bagi menuju kecemerlangan dan ketenangan.

Wallahu'alam.

#SantuniFitrahTransformasiDiri

No comments: