Tuesday, January 17, 2017

Interaksi Sosial dan Komunikasi Dua Hala Penting Untuk Perkembangan Bahasa Anak

Tahukah anda bahawa kemahiran bahasa anak adalah antara faktor penting untuk kesediaan anak ke TADIKA dan sekolah?

Menurut Teori Vygotsky, bahasa berkembang dari interaksi sosial dengan orang lain dan perkembangan bahasa sangat berkait dengan perkembangan kognitif.

Mutakhir ini saya banyak menerima persoalan daripada ibu dan guru TADIKA berkaitan anak tidak lancar bertutur dan  bercakap menggunakan dua patah perkataan sahaja. Ini menyukarkan anak mengikuti pembelajaran dan pengajaran di TADIKA kerana bahasa adalah saluran mendapatkan ilmu.

Secara mudah untuk memahami tahap perkembangan bahasa anak adalah kemahiran bertutur menggunakan sekurang-kurangnya:

🌴1 patah perkataan untuk anak 1 tahun -contoh "susu",
🌴2 patah perkataan untuk 2 tahun-contoh "nak susu"
🌴3 patah perkataan untuk 3 tahun: contoh "adik nak susu"
🌴4 patah perkataan untuk 4 tahun- contoh "adik nak minum susu"

Seorang anak berusia 4 tahun lazimnya sudah boleh bercakap  menggunakan 4 atau lebih patah perkataan. Mereka juga sudah boleh berbual, menyatakan kehendak,bercerita, mengambil giliran dalam perbualan, memberi pendapat dan meluahkan perasaan.

Bagaimana kanak-kanak memperolehi bahasa?

Cuba ingat balik bagaimana kita memperolehi bahasa ibunda kita. Ya, kita memperolehi kemahiran bertutur secara natural sahaja iaitu dengan mendengar berulang-ulang dan meniru pertuturan dari interaksi sosial dan komunikasi dua hala dengan ibu bapa, adik beradik dan kawan-kawan. Apabila masuk sekolah kita perkayakan lagi bahasa dengan PDP di sekolah.

Peringkat awal terutama pada usia 3 tahun ke bawah adalah masa kritikal untuk perkembangan bahasa. Anak mesti didedahkan kepada sebanyak mungkin interaksi sosial dan komunikasi dua hala setiap hari. Ibu bapa dan pengasuh mesti selalu bercakap dengan bahasa yang betul dengan anak dalam perbualan harian.
Ya! berbual bukan hanya terhad kepada menamakan sahaja seperti baju, kerusi dan beg atau hanya memberi arahan seperti " mari makan", " duduk sini", " jangan berlari".

Libatkan anak dalam rutin harian di rumah seperti memasak, makan bersama, melipat pakaian, berkebun dan bermain supaya ada banyak ruang untuk berkomunikasi.

Selain daripada itu banyak bercerita dan membaca buku cerita bersama anak juga membantu perkembangan bahasa mereka.

Suka saya ingatkan! Jauhi gajet dari anak anda pada masa kritikal ini kerana ia hanya interaksi satu hala yang tidak menyokong perkembangan bahasa anak.

Apapun setiap anak berkembang dengan kesediaan masing-masing. Jika anak masih tidak bercakap dalam persekitaran sosial yang kondusif, sila rujuk kepada pakar yang berkaitan.

Sekian. Wallahu 'Alam.

#Kembali Kepada Fitrah
#Rumah Sekolah Pertama
#Ibu Bapa Guru Utama

No comments: