Thursday, December 22, 2016

Katakan " TIDAK" kepada yang " TIDAK FITRAH".


Mutakhir ini banyak sekali produk yang mempromosikan hasil yang cepat. Contoh,  cepat membaca, menulis dan mengira.

Bila hasil yang cepat ditekankan maka prosesnya menjadi tidak fitrah dan menekan emosi kanak-kanak.

Contoh:

Minat membaca seharusnya dipupuk dahulu. Anak suka cerita dan suka dibacakan buku cerita. Bacakan anak buku-buku cerita bukan terus mengajar membaca dengan buku cepat membaca. Kemudian anak dengan sendirinya minat untuk belajar membaca.

Juga semuanya berlaku secara holistik dan bersepadu bukan terpisah-pisah.

Contoh anak minat menconteng, kemudian akan melakar dan melukis. Mereka akan secara natural menulis dgn bimbingan kita dan kemudian membaca apa yang di tulis.

Jadi proses jadi natural, lebih bermakna dan setiap potensi serta kebolehan anak diraikan. InsyaAllah emosi anak tenang dan cikgu juga tenang dalam proses PDP begini.

Kalau semua nak cepat bimbang lahirnya anak yang boleh membaca dan menulis  tetapi tidak minat membaca dan menulis.Tidak faham makna dan tidak menterjemahkan PDP untuk kehidupan dan kematian.

Terima kasih  Puan Nani Menon atas perkongsian lukisan kanak-kanak di bawah.

Raikan fitrah anak.

Semoga Allah mengampunkan dosa-dosa kita serta memudahkan dan memberkati usaha kita dalam menyantuni fitrah anak-anak.

Wallahu A'lam.

Sunday, December 18, 2016

Cabaran anak tak selera makan

Rupanya ramai anak-anak dalam umur 2-6 tahun yang masih minum susu berbotol-botol yang tidak ada selera makan dan tak kurang juga yang kuat makan dan gemuk .

Saranan saya yang pertama bagi menangani situasi ini adalah hentikan botol .

Saya akan dapat respons begini :
Saya tak tahu macam mana nak hentikan, nanti dia mengamuk .
Ibubapa kena belajar untuk berfikir . Ibubapa kena tahu teknik memujuk tanpa berkeras, ibubapa kena belajar guna psychology untuk anak ikut cakap ibubapa bukan ibubapa ikut cakap anak .

Beginalah selalunya saya akan dapat respons: Susah nak hentikan gula-gula dan jajan doktor , dia mengamuk nanti terus terguling dipasaraya kalau tak bagi . Saya memang selalu kata tak boleh tapi bila dia sudah mengamuk saya pun beralah .

Beginilah keadaan : Siapa dia yang ketua rumah tangga? Anaklah ketua kalau begini.

Anak nakkan ibubapanya yang in charge, bukan dia yang in charge, anak nakkan boundaries , bukan dia nak ikut suka dia . Bila apa yang dia nak walaupun ibubapa mulanya kata tak boleh lepas itu jadi boleh, anak itu menjadi insecure dan tidak kenal boundaries dan menjadi lebih nakal , tambah pula makanan tidak berkhasiat atau yang merosakkan penghazaman diberi .

Kalau anak mengamuk nakkan sesuatu, jangan beralah dan jangan marah. Teruskan berkata padanya dengan lembut, tak boleh, sebab tak bagus. Pujuk dengan benda lain yang baik . Janjikan sesuatu yang bagus dan tunaikan janji, jangan bohong .Jangan sekali-kali beralah sebab bila beralah, anak akan belajar bahawa mengamuk itu cara nak dapatkan apa yang dia nak .

Adakan time frame: Contohnya : "Bila adik umur 5 tahun adik akan kesekolah kan ? Bila sudah kesekolah kena minum dalam cawan ya ?"  Beritahu dia selalu dan ulang selalu dan bila sampai masanya terus lakukan , jangan tukar fikiran .

Satu lagi jawapan yang saya selalu dapat. " Kesian anak saya lapar kalau saya tak berikan susu , dari tak makan saya beri lah juga susu "

Wahai ibuku sayang, kalau dia dah kenyang dengan susu macam mana dia nak makan . Biarlah dia rasa lapar dulu, perut dia kosong, barulah dia nak makan !

Begitulah juga bayi yang baru keluar hospital dimana nurse telah biasakan dia dengan botol susu . Anak ini akan mengamuk bila ibu cuba berikan susu badan dan tidak mahu hisap . Berhenti usaha seketika dan cuba lagi . Bila anak ini sudah betul-betul lapar dia akan minum juga walaupun susah sebab dia tahu dia tak ada pilihan lain . Senang hisap susu botol dari susu badan , anak kena usaha lebih untuk susu badan dan naluri anak adalah nakkan yang senang tetapi hakikatnya susu botol tidak memberi cukup exercise pada otot mulutnya dan betuk muka serta otot mulutnya mungkin tak dapat berkembang dengan baik dan ini boleh menjejaskan kecantikan wajahnya serta pertuturannya, Susu dalam botol susu itu pun tidak sebaik direct feed walaupun susu ibu sekalipun sebab tak se segar susu direct feed .

Belum lagi topik makanan nutrient dense, sebab teringat tentang psychology anak . Ingat ya ibu bapa , siapa dia ketua rumah , ibubapa atau anak ?

- Dr Suriyakhatun

Monday, December 12, 2016

Kuatkan Asas Bahasa Arab al Quran

Seorang penuntut bahasa Arab al Quran perlu menguasai tiga perkara :

+ Huruf-huruf penting yang boleh merubah makna.

+ Kata nama - kata nama yang berpengaruh dalam pembinaan ayat.

+ Kata kerja dan perubahan - perubahan yang berlaku padanya.

Saturday, December 3, 2016

MENJADIKAN MASALAH PELUANG MENDIDIK DIRI

TIP MENGAPA MESTI MENULIS
MENJADIKAN MASALAH PELUANG UNTUK MENDIDIK DIRI
Oleh: Rosnah Ahmad

Mendidik anak-anak banyak cabarannya. Saya mengambil pendekatan untuk menjadikan masalah sebagai peluang untuk mendidik diri dan keluarga. Biasanya saya akan mencari alternatif  jalan penyelesaian kepada permasalahan yang sedang dihadapi. Saya berusaha menggunakan alternatif yang ditemui dalam menangani masalah  karenah anak-anak.  Kemudian saya menulis proses bagaimana saya menangani karenah anak-anak dalam perkongsian  Tip Keibubapaan dalam blog saya rentis.blogspot.com. Contoh:

TIP RAMADHAN: PUASA DIDIK ANAK LEBIH EMPATI

“Mak, adik lapar lah” rungut anak saya Izzuddin ( 10 tahun) setiap petang dari hari pertama puasa hingga ke hari ini.

“Kalau adik lapar, waktu berbuka puasa nanti Insyaa- Allah tersedia hidangan enak tetapi bayangkan orang miskin yang lapar belum tentu dapat makan hari ini. Sebab itu Allah perintahkan kita berpuasa supaya kita merasai derita orang miskin dan selalu bersedekah membantu mereka.” jawab saya dengan nada mendidik.

Izzuddin mengangguk seakan mengerti dan berhenti merungut. Sekurang-kurangnya untuk hari ini dan besok perkara yang sama mungkin berulang. Saya akan mengulangi jawapan-jawapan untuk mendidik. Apa pun senyuman dan ciuman mesra tetap saya berikan sebagai pengukuhan.

Kanak-kanak seawal 3 tahun sudah mula menunjukkan rasa empati dan belas kasihan kepada orang lain. Kanak-kanak berinteraksi dan memberi makna kepada kehidupan mereka secara natural dan dengan bantuan orang yang lebih dewasa.

Apa pun puasa mendidik sahsiah dan kerohanian anak. Selain lapar dan dahaga  mendidik anak untuk merasai kesengsaraan orang lain, puasa juga mendidik jiwa anak untuk selalu bersyukur, bersabar  dan bersedekah. Sebulan masa latihan jiwa berpuasa Insyaa-Allah dapat mengukuhkan keperibadian unggul anak.

Sekian. Wallahu A’lam.

#CoachingPenulisan
#MengapaMestiMenulis

TIP MENGAPA MESTI MENULIS #3- BELAJAR DAN MENGAJAR


Saya sering menggunakan penulisan sebagai salah satu cara untuk belajar dan memahami sesuatu. Sebagai contoh puisi  “Amanah” adalah teori, falsafah dan pandangan Islam terhadap pendidikan kanak-kanak usia awal.Proses menulis puisi ini membawa saya untuk benar-benar merujuk dan memahami teori dan falsafah Islam. Saya juga menggunakan puisi ini untuk mengajar dan advokasi.


Amanah...
Rosnah Ahmad

Dengarlah 
Suara hatiku
Insan kecil ibarat sebutir permata
Yang amat berharga
Yang sangat istimewa
Namun perlu digilap
Agar bercahaya...

Akulah anugerah Ilahi
Amanah buat ibu dan ayah
Yang dilahirkan ibarat kain putih
Yang sedia dicorak
Seperti sabda Rasulullah
Anak itu lahirnya fitrah
Ibu ayah bertanggunjawab
Membesarkan anak menjadi insan 
Yang beriman
Berakhlak mulia
Dan berilmu...

Ibu ayah,
Sayangilah aku
Santunilah fitrahku
Seperti pesan Saidina Ali
Bermainlah dengan anak
Beri dan ajarlah tentang sayang
Manjakan anak dengan lembut dan rasa cinta
Pada usia tujuh tahun pertama
Didiklah anak dengan ketegasan dan disiplin 
Pada usia tujuh tahun kedua
Bersahabatlah dengan anak
Pada usia tujuh tahun ketiga...

Ibu ayah,
Didiklah aku dengan akhlak mulia
Galakkan aku bermain ketika kecil
Agar hidup jiwaku
Seperti pesan Imam Al Ghazali
Hati anak adalah suci ibarat mutiara yang berharga
Indah bersih
Didiklah anak dengan akhlak yang mulia
Usah dicemari dengan teladan yang buruk
Anak yang tidak dibenarkan bermain
Akan mati jiwanya...
Ibu ayah,
Galakkan aku meneroka alam yang indah ini
Agar aku kenal Maha Suci Tuhan
Yang Maha Mencipta
Seperti pesan Cendiakawan Abdullah Nashih Ulwan
Hubungkanlah anak dengan alam
Agar subur imannya...

Ibu ayah,
Galakkan aku belajar dengan bahan maujud
Ajar aku dari mudah ke susah
Dari yang dekat kepada yang jauh
Secara berperingkat
Bimbinglah aku dengan lembut
Beri pujian atas usahaku
Usah kau paksa diluar kemampuanku
Nanti hilang minat belajarku
Seperti pesan Ibnu Khaldun
Didiklah anak dengan kelembutan
Bukan dengan kekerasan...

Ibu ayah,
Kenalilah potensiku yang berbeza
Usah banding-bandingkan
Seperti pesan Ibnu Sina
Didik anak dengan adab Islam
Galakkan perkembangan fizikalnya
Berilah peluang anak berkembang
Mengikut kecenderungannya...

Ibu ayah,
Ingatlah pesan Allah
Anak itu perhiasan dunia
Juga ujian buatmu
Janganlah engkau lalai...
Ibu ayah,
Didiklah aku dengan sabar
Dengan penuh kasih sayang
Dengan ilmu dan kemahiran
Serta amalan yang bersesuaian
Dengan tahap umur dan kecenderunganku
Doakan aku 
Menjadi anak yang soleh...

Ibu ayah,
Ingatlah...
Apabila kau pergi mengadap Ilahi
Terputuslah amalanmu
Kecuali tiga perkara
Sedekah jariah
Ilmu yang berguna
Dan anak soleh yang mendoakan

Friday, December 2, 2016

Manfaatkan Masa Cuti Sekolah Anak

TIP SENTUHAN BAPA BELAIAN IBU
Manfaatkan Masa Cuti Sekolah Anak
Oleh: Rosnah Ahmad

Cuti sekolah kembali lagi. Banyak sekali program-program untuk anak-anak memenuhi masa cuti mula diiklankan.

Saya tidak mengatakan program-program itu tidak bagus. Cuma diingatkan bahawa ibu bapa juga perlu meningkatkan kemahiran diri untuk mendekati anak.

Anak-anak memerlukan masa bersama ibu bapa dan keluarga. Mereka memerlukan masa santai dan kualiti di rumah dan meneroka minat yang  tidak dapat dilaksanakan semasa sesi persekolahan. Mereka mungkin ingin membaca buku-buku selain buku pelajaran sekolah atau ada lebih masa bersukan atau bermain.

Apa pun ibu bapa juga harus sedar peranan mereka semasa cuti sekolah. Masa untuk memberi lebih perhatian, berbual, memberi sentuhan dan belaian kepada anak-anak.

Ramai juga yang sering mengaitkan masa berkualiti hanya dengan percutian keluarga. Ini boleh menjadi penghalang kerana masalah kewangan,  masa atau cuaca yang tidak mengizinkan.

Ibu bapa harus lebih kreatif dalam menyantuni anak-anak. Manfaatkan alam dan bersekitaran rumah. Aktiviti santai seperti membaca, melukis, memasak dan bercerita sangat digemari kanak-kanak.

Saya petik dari buku "Bringing Up Boys" oleh Dr James Dobson

"The presence of parents is very beneficial at four key times of the day-- early morning, after school, dinnertime and bedtime. When that regular contact is combined with other shared activities between parents and kids, the most positive outcome is achieved."

Hargailah anak-anak dan masa yang ada.

Sayangi dan dekatilah anak-anak kita.

Wallahu A'lam.

#SentuhanBapaBelaianIbu
Rumah Sekolah Pertama
Ibu Bapa Guru Utama