Saturday, October 1, 2016

Perbaiki Hubungan Dengan Anak Terlebih Dahulu Jika Anak Bermasalah

Salam Maal Hijrah kepada semua,

Baru-baru ini adik saya (seorang ibu tunggal) mengadu perihal masalah anaknya Akil (14 tahun). Adik saya nampak agak tertekan kerana sukar untuk mengawal anaknya yang sedang remaja.

Disamping mendengar dan memberi pandangan, saya juga berusaha menjadi ibu saudara yang lebih berperanan.

Mengambil peluang cuti panjang minggu ini, semalam saya mengajak adik dan anak-anaknya Akil dan Solehah (7 tahun) membuat karipap pusing bersama di rumah adik saya. Anak saya Izzudin (14 tahun) turut serta.

Antara tujuan saya adalah untuk menjadikan proses membuat karipap itu satu proses yg menyeronokkan dan anak-anak merasa diri dihargai dan diberi perhatian. Pada masa yang sama saya boleh berusaha mendekati Akil dengan berbual secara hikmah dan merapatkan kembali hubungan Akil dan ibunya yang nampak agak tegang.

Kami lalui proses berinteraksi selama lebih kurang 3 jam sehingga karipap pusing berjaya di siapkan, digoreng dan dimakan bersama. Saya dapati Akil hanya mendiamkan diri hampir 2 jam. Dia hanya aktif menguli dan mencanai tepung dengan tunjuk ajar saya. Saya borak-borak saja isu-isu biasa sambil melayan karenah Solehah yang sangat teruja bermain dengan adunan.

Alhamdulillah akhirnya Akil bersuara, mula berbual walaupun tidak banyak diperkatakan. Syukur, alhamdulillah. Ini menunjukkan perkembangan yang baik. Perubahan kecil ini insyaAllah akan progres ke tahap yang lebih baik kemudian.

Biasanya masalah atau konflik berlaku apabila hubungan ibu bapa dan anak terjejas, anak rasa bosan, kurang perhatian dan tidak dapat berkongsi cerita dan masalah  dengan ibu bapa. Maka hubungan perlu diperbaiki terlebih dahulu. Usah terus fokus hanya kepada masalah. Anak mungkin akan rasa lebih tertekan dan tidak dapat menerima arahan atau saranan ibu bapa berkaitan masalah yang dihadapi. Hubungan juga boleh jadi semakin terjejas.

Hubungan yang sihat  antara ibu bapa dan anak dapat membendung banyak masalah dalam diri anak. Skil komunikasi yang baik juga sangat penting.

Libatkan anak-anak dalam aktiviti bersama bagi tujuan sentiasa mendekati dan memperbaiki hubungan kekeluargaan. Ibu bapa dan ahli keluarga yang lain perlu lebih berperanan dalam proses mendidik anak-anak.

Di samping itu ibu bapa harus berdoa utk kesejahteraan anak dan keluarga. Ibu bapa juga harus sentiasa berfikiran positif dalam menyantuni anak-anak. Ingat, apa yang difikir,  disebut dan disangka juga adalah doa.

Dekati dan santunilah anak-anak kita secara hikmah.

Dikongsikan resepi dan cara membuat karipap pusing. Selamat mencuba😊😊

http://rentis.blogspot.my/2015/12/karipap-pusing-sardin_7.html?m=1

#Sentuhanbapabelaianibu
Kembalikan peranan ibu bapa
Perkasakan institusi keluarga

Wallahua'lam.

No comments: