Friday, May 10, 2013

PENGLIBATAN IBU BAPA DALAM TASKA MEMBANTU PERKEMBANGAN DAN KEJAYAAN KANAK-KANAK


Artikel di tulis sempena penggunaan buku log harian di taska bawah naungan Persatuan Pengasuh Negeri Pahang dan bengkel penggunaan log harian serta  mesyuarat pengusaha PPNP besok di Kompleks Dagangan Indera Mahkota

Oleh: Rosnah Ahmad

Selamat hari ibu diucapkan kepada semua insan yang bergelar ibu.

Saban tahun hari ibu diraikan bagi mengingati jasa dan pengorbanan ibu yang melahirkan, mengasuh dan mendidik anak-anak.

Bagi saya sambutan hari ibu adalah hari bagi memperingatkan saya tentang peranan saya sebagai ibu kepada tiga orang anak. Dua  anak saya sudah remaja. Cabaran menjadi ibu hari ini berbeza sekali berbanding zaman ibu saya dahulu. Ilmu dan kemahiran keibubapaan perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi membantu melaksanakan amanah mendidik anak-anak kini.

Anak-anak kecil kini melalui zaman kanak-kanak yang berbeza. Kalau dulu anak  lazimnya dijaga di rumah oleh ibu bapa sehingga usia anak bersedia ke tadika. Peredaran masa yang menyaksikan lebih ramai wanita keluar bekerja bagaimanapun mengubah bagaimana anak kita di asuh dan di didik. Ramai anak kini dihantar ke taska atau taska rumah sepeninggalan ibu mereka keluar bekerja.

Maka tugas mengasuh dan mendidik anak  kini perlu dikongsi dengan pengasuh taska atau pengasuh  taska rumah. Pengasuh adalah ibu ganti kepada anak-anak dalam sebahagian besar hidup mereka iaitu lebih kurang 10 hingga 12 jam sehari bagi ibu-ibu yang bekerja sepenuh masa. Sewajarnya jasa dan peranan pengasuh juga perlu lebih diiktiraf dan di beri perhatian seiring dengan jasa dan peranan ibu bapa.

Ibu bapa adalah pendidik utama dan  rumah adalah madrasah pertama bagi anak-anak. Taska adalah sistem sokongan kepada institusi kekeluargaan. Oleh itu ibu bapa berperanan menghubungkan rumah dan taska untuk kepentingan anak mereka. Ibu bapa harus mengambil inisiatif melibatkan diri  di Taska. Konsep penglibatan ibu bapa harus lebih dihayati. Ia bukan hanya sekadar menghadiri program tahunan seperti gotong royong atau sambutan hari perayaan. Ia juga termasuk perkongsian maklumat dan masalah, perkongsian ilmu keibubapaan serta perbincangan secara berterusan berkaitan perkembangan kanak-kanak.

Mengapa penglibatan ibu bapa sangat penting:-

Ø  Ibu bapa sayang kepada anak mereka dan mengenali personaliti serta identiti anak mereka. Mereka juga sentiasa mahukan yang terbaik untuk anak.  Manakala pengasuh juga sayang kepada anak jagaan dan dilatih kemahiran berkaitan perkembangan kanak-kanak. Pengasuh  senantiasa memastikan kesejahteraan dan cuba memupuk potensi anak. Jadi kanak-kanak akan merasa selamat dengan adanya perhubungan yang baik antara ibu bapa dan pengasuh. Ia juga memastikan kanak-kanak mendapat pengasuhan dan pendidikan yang terbaik .

Ø  Perkongsian, perhubungan, interaksi,  kerjasama dan sokongan ibu bapa dan pengasuh dapat meningkatkan perkembangan kanak-kanak
Penglibatan ibu bapa dalam pendidikan kanak-kanak dapat meneguhkan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak dan membantu mengekalkan kejayaannya.
( Rohani Abdullah, 2007)
Ø  Ibu bapa boleh berbincang dengan pengasuh berkaitan perkembangan, tingkah laku dan apa sahaja masalah yang dihadapi. Perbincangan dan perkongsian begini dapat menyelesaikan banyak masalah dan  meningkatkan kemahiran keibubapaan. Ia juga  menolong pengasuh memahami serta menghormati pandangan, budaya dan latar belakang keluarga.

Ø  Penglibatan diri ibu bapa dapat meningkatkan lagi program dan aktiviti di taska dan seterusnya membantu meningkatkan kualiti taska.

Sesetengah pengasuh merasa kecewa apabila ibu bapa tidak menyokong penglibatan ibu bapa di taska.. Ibu bapa perlu berusaha dan memberi komitmen yang lebih kepada usaha-usaha penglibatan ibu bapa di taska anak mereka. Dengan itu pengasuh akan lebih yakin, bersemangat dan seronok untuk meneruskan usaha serta merasakan diri mereka dihargai sebagai orang yang penting dalam hidup anak mereka.

Ø  Penglibatan ibu bapa yang sihat akan meningkatkan kualiti sistem kekeluargaan,  sistem komuniti setempat dan  seterusnya memberi impak yang besar kepada kesejahteraan negara.

Sempena Hari Ibu ini, Persatuan Pengasuh Negeri Pahang (PPNP) sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif  menggembleng tenaga berusaha meningkatkan penglibatan ibu bapa bagi memastikan peningkatan kualiti pengasuhan dan pendidikan kanak-kanak di semua taska di Negeri Pahang.


Antaranya PPNP memperkenalkan penggunaan  Log Harian di Taska. Log harian ini bertujuan mencatat secara ringkas dan tepat apa yang berlaku sepanjang hari termasuk:-


       - KESELAMATAN DAN KESIHATAN

      Masa ketibaan siapa yang menghantar, barang yang di bawa dan tahap kesihatan anak     pada hari itu. ( maklumat ini akan diisi oleh ibu bapa setiap hari)
     
      - MEREKOD KEADAAN FIZIKAL
   
            Catatan kesihatan anak dan pemeriksaan fizikal. ( diisi oleh ibu bapa dan pengasuh)

   -  MEREKOD AKTIVITI HARIAN
-  MEREKOD TINGKAHLAKU
-  MEREKOD RUTIN  DARI ASPEK KUANTITI &KEKERAPAN

      Pengasuh akan mencatat perkara-perkara ini untuk rujukan dan tindakan seterusnya oleh ibu bapa di rumah.

Penggunaan log harian ini akan menjadi asas komunikasi harian dan perkongsian maklumat antara ibu bapa dan pengasuh demi kesejahteraan kanak-kanak. Ini dapat melancarkan perkhidmatan taska dan mengurangkan salah faham antara ibu bapa dan pengasuh.

Usaha menulis log harian ini memerlukan sedikit komitmen daripada ibu bapa dan pengasuh. Apa pun usaha ini  membantu  menjamin keselamatan, kesihatan serta memperkukuhkan  kesinambungan pembelajaran yang di amalkan di taska dan amalan di rumah.

PPNP berharap sebarang masalah atau kesulitan yang mungkin timbul dalam proses melaksanakan penggunaan log harian ini secara efektif di semua taska dapat ditangani secara bijak professional. 

Perbincangan yang sihat antara ibu bapa dan pengasuh akan dapat menyelesaikan masalah malah akan dapat mempertingkatkan kualiti pengasuhan. PPNP juga sangat mengalu-alukan sebarang cadangan dan penambahbaikan log harian ini dari masa ke semasa.

Akhir kata saya bagi pihak PPNP senantiasa berdoa agar kita sentiasa bersatu dan berdoa agar segala usaha murni kita dimudahNya demi kesejahteraan generasi pewaris.

Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Sekian. Wallahua’lam.

Rosnah Ahmad (http://rentis.blogspot.com)
Penasihat Persatuan Pengasuh Negeri Pahang (http://pengasuhpahang.blogspot.com)
10 Mei 2013

No comments: