Friday, July 27, 2012

KANAK-KANAK SEBAGAI SAINTIS


Anak saya Izzuddin  sibuk lagi. Kali ini membuat kek untuk berbuka puasa—buat sendiri cara sendiri ikut resipi. Leka  sungguh saintis di dapur tu. Waktu berbuka nanti apa yang terhasil itulah yang akan dijamah.
Apa pun proses adalah lebih penting dari hasilnya. Memasak adalah aktiviti sains yang sangat di gemari kanak-kanak. Proses membuat kek contohnya melibatkan pelbagai penerokaan, eksperimen dan penemuan. Ia juga memupuk  kesabaran dan tanggungjawab kanak-kanak seperti mengemas dan menjaga kebersihan.
Sebagai orang dewasa, kita boleh menolong kanak-kanak membuat refleksi proses  dan hasil.

REFLEKSI PROSES DAN HASIL

Refleksi menggalakkan kanak-kanak untuk mengakses dan menilai proses dalam aktiviti dan berfikir tentang pengalaman yang dilalui.   Penilaian kendiri ini menggalakkan kanak-kanak menentukan nilai dan gred  pencapaian mereka dalam menjalankan aktiviti. Empat persoalan yang boleh membantu kanak-kanak berfikir mengenai kerja mereka iaitu:

1)   Bagaimanakah rupa hasil kek tadi?  Bagaimana kanak-kanak menerangkan dan menceritakan hasilan tersebut?
 2)Menceritakan pengalaman menarik semasa menjalankan proses menghasilkan hasil kerja?
3) Bagaimana ia boleh ditambah baik? Apa yang boleh dilakukan untuk menyemak semula prosedur membuat dan hasil yang didapati?  Ini memerlukan pemikiran yang kreatif dan kritis.
 4) Bagaimana kita boleh berkongsi pengalaman pembelajaran dengan orang lain?  Ini penting untuk membantu kanak-kanak mengenal pasti sama ada mereka bersedia untuk menunjukkan hasil kerja kepada orang lain atau pada masa yang lain.

Pemikiran refleksi  boleh digalakkan secara tidak formal seperti orang dewasa berjalan sekeliling kanak-kanak dan bertanya soalan.  Ia juga boleh digalakkan secara lebih formal oleh kanak-kanak yang lebih dewasa iaitu menjawab soalan secara bertulis atau menanda simbol (Torff, 2000).

KANAK-KANAK SEBAGAI SAINTIS

Fitrah kanak-kanak adalah seorang saintis! Mereka juga sama, mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi, suka meneroka, menyiasat, mencuba, mengeksperimen, menjumpai sesuatu yang baru. Mereka lakukan semuanya dengan menggunakan lima deria. Dunia dan alam sekitar adalah sangat menarik dan banyak yang hendak diketahuinya. Mereka belajar konsep dan proses atau  kemahiran saintifik.

Dikongsikan artikel menarik berkaitan isu ini.

The phrase “children are naturally scientists” is one we hear often. Their curiosity and need to make the world a more predictable place certainly drives them to explore and draw conclusions and theories from their experiences. But left to themselves, they are not quite natural scientists. Children need guidance and structure to turn their natural curiosity and activity into something more scientific. They need to practice science—to engage in rich scientific inquiry.

Sekian. Wallahua’lam.





Top of Form

Wednesday, July 25, 2012

KANAK-KANAK SEBAGAI JURUTERA


Kanak-kanak menunjukkan kemahiran kejuruteraan seawal mereka mula menyusun dua blok. Kanak-kanak kecil berminat untuk mengembangkan skil kejuruteraan dan mencipta  dengan membuat binaan menggunakan blok atau hanya dengan mengabungkan botol kitar semula contohnya.

Bila mereka mencecah umur 9 atau 10 tahun, kanak-kanak boleh melakukan skil yang lebih rumit . Sebagai contoh anak saya Izzuddin (10 tahun) sangat suka membuat pendawaian elektrik yang mudah dan bertukang. Dia sangat fokus dan boleh menghabiskan masa berjam-jam mencipta dan mencuba skil kejuruteraan yang menyeronokkan.

Kejuruteraan melangkau pembelajaran matematik dan sains. Ia membawa kepada kefahaman bagaimana dunia ini berfungsi—bagaimana bangunan berdiri tegak, bagaimana kereta bergerak dan bagaimana manusia mencipta dan menggunakan teknologi.

Melalui aktiviti melakukan sendiri (hands on), kanak-kanak membina keyakinan dan kebolehan untuk melakukan sendiri pelbagai kemahiran  seperti membaiki basikal, membuat kotak mainan, membina rumah kucing dan sebagainya.

Kita tidak memerlukan banyak wang untuk menyediakan peralatan yang diperlukan kanak-kanak untuk memupuk minat kejuruteraan mereka. Bahan-bahan terpakai, bahan dari alam seperti kayu, bahan pendawaian yang mudah, bateri dan mentol dari lampu suluh lama boleh saja digunakan.

Kanak-kanak adalah jurutera kecil yang sentiasa sibuk mencipta dimana sahaja terutama di rumah. Bagi saya dan suami rumah kami adalah makmal bagi memupuk kemahiran kejuruteraan anak-anak. Kami ibu bapa bertindak sebagai pemudahcara yang menyediakan persekitaran dan peralatan serta memastikan keselamatan anak-anak setiap masa.

Di kongsikan satu artikel menarik berkaitan isu ini.


Revealing the Work of Young Engineers in Early Childhood Education oleh Beth Van Meeteren & Betty Zan,
University of Northern Iowa

Sekian. Wallahua’lam.

Tuesday, July 24, 2012

MANA BANTAL SAYA?

Assalamualaikum kepada semua pembaca,

Selamat menjalani ibadah berpuasa. Selamat juga melayan karenah anak-anak yang comel yang senantiasa mewarnai hidup kita. Masih ingat lagi tip yang saya kongsikan berkaitan bantal seperti link tertera.
http://rentis.blogspot.com/2007/05/tip-15bantal.html

Dikongsikan satu artikel menarik berkaitan bantal dan juga pendapat sahabat seperjuangan saya Dr Mastura Badzis (UIA) untuk manfaat semua.

Mana bantal saya?





BU, mana Kiki?” soal Aliyah Afifah Zamrud kepada ibunya. “Tak payah bawa Kikilah. Kita nak pergi stesen minyak saja,” balas ibunya. “Ala, nak Kiki juga....” rengek anak sulung daripada tiga beradik itu kepada ibunya lagi.

Kiki yang dimaksudkan kanak-kanak comel berusia enam tahun ini adalah anak patung Garfield yang sudah berwarna pudar. Anak patung ini menjadi teman karib si comel ini sejak dia berusia satu tahun lagi.

Menurut ibunya, Suhaiza Sharudin, bukan sahaja anak sulungnya, malah anak keduanya, Aliyah Athirah juga mempunyai tabiat yang sama. Bezanya, si kakak mengendong Kiki manakala adik pula dengan bantal kecil yang sudah pun bertukar warna (bantal busuk).

Namun ibu berusia 34 tahun ini mungkin bernasib baik sedikit kerana Aliyah Athirah ‘merelakan’ bantal busuk itu ditukar sarung tetapi tidak isi dalamnya. Jika tidak katanya, malu juga memandangkan bantal ini mempunyai ‘corak’ tersendiri dan tidak lagi berwarna putih bersih.

Kedua-dua teman karib kanak-kanak dikendong ke mana sahaja mereka pergi.

“Balik kampung atau melancong sudah pasti dibawa. Keluar dari rumah untuk ke kedai sekejap pun hendak bawa malah ke taska juga, cuma mereka tinggalkan dalam kereta kerana malu dengan kawan-kawan,” katanya lagi.

Situasi seperti ini pastinya bukan sahaja dialami oleh Suhaiza malah ramai ibu di luar sana melalui pengalaman yang sama. Anak sukar untuk berpisah dengan teman akrab mereka - “si bantal busuk.”

Punca

Mengulas isu minggu ini, Pakar Psikologi Kanak-kanak dari Institut Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa, Dr. Mastura Badzis berkata tabiat tidak mahu renggang dengan bantal ini dipanggil clinging behaviour atau tingkah laku yang bergantung kepada sesuatu benda dan tidak mahu berenggang dengannya.

Ia tidak terhad kepada bantal atau anak patung sahaja, sesetengah kanak-kanak menjadikan kain selimut tertentu, sapu tangan dan seumpamanya sebagai objek selesa mereka.
Tingkah laku pautan (clinging behaviour) adalah sikap biasa yang sering terjadi kepada bayi dan kanak-kanak diperingkat awal,” katanya.

Biasanya tabiat itu bermula di rumah dan berlaku kepada kanak-kanak yang kurang stimulasi dan mahukan sesuatu atau peneman untuk menenangkan diri mereka.

“Kanak-kanak yang begini akan memegang bantal, kain atau anak patung sebelum tidur kerana rasa ingin ada seseorang bersama mereka,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata perlakuan menggentel bantal atau kain ini seakan memberi kanak-kanak tadi ketenangan dan keselesaan sehingga menjadikan mereka asyik. Dek keasyikan menggentel bantal tadi membuatkan mata mereka mudah terlelap dan perkara ini berulang-ulang sehinggalah ia menjadi satu tabiat yang sukar dikikis.

Kata beliau lagi, sesetengah kanak-kanak ini juga berbual dengan bantal atau anak patung kesayangan mereka.

“Ini merupakan satu cara untuk mereka berkomunikasi dan ia dipanggil teman imaginasi (imaginary friends). Sebenarnya mereka mahukan seseorang untuk meluahkan perasaan, namun disebabkan kesibukan ibu bapa atau pengasuh, luahan itu terpaksa disalurkan kepada teman imaginasi tadi,” kata beliau.

Selamat
Menurut Dr. Mastura, satu lagi punca tingkah laku yang bergantung kepada sesuatu ini juga disebabkan oleh rasa ingin selamat (sense of secure).

“Kanak-kanak kecil belum memahami konsep kehilangan sementara,” katanya.
Jelasnya, mereka tidak faham bahawa sesuatu benda yang hilang itu akan muncul kembali dan kerana itu mereka mahukan ada sesuatu yang menjadi peneman mereka.

“Dengan melakukan perlakuan demikian seperti menggentel bantal, kain dan sebagainya membuatkan mereka rasa selamat dan tidak ditinggalkan keseorangan,” jelasnya.

Risau

Dr. Mastura berkata, sebenarnya ibu bapa tidak perlu terlalu risau dengan tabiat mengendong bantal atau anak patung ini kerana ia bersifat sementara.

“Dalam hal ini ibu bapa perlu memainkan peranan untuk mengelakkan tabiat ini daripada berterusan,” katanya.

Ibu bapa atau pengasuh katanya perlu cuba memisahkan anak dengan rakan karib mereka ini secara perlahan-lahan.

Masa yang terbaik untuk memisahkan kanak-kanak ini katanya adalah ketika umur mereka mencecah tiga tahun. Sebaliknya jika dibiarkan perlakuan ini mungkin akan berterusan sehingga mereka dewasa.

Namun, terdapat juga kanak-kanak yang boleh berpisah dengan teman akrab mereka ini dengan sendirinya selepas memasuki taska kerana malu kepada rakan-rakan yang lain.

“Aktiviti seharian di taska yang banyak juga mengurangkan kebergantungan kanak-kanak tadi terhadap bantal atau anak patung mereka,” katanya.

Bantal busuk hingga dewasa

Memiliki bantal busuk hingga dewasa bukan perkara yang mustahil.

“Memanglah tidak ada kesan sampingan, tetapi tabiat ini boleh berlarutan hingga dewasa dan sukar dikikis jika tidak dikawal,” kata Dr. Mastura.

Sesetengah individu sukar berpisah dengan tabiat ini disebabkan ibu bapa mereka terlalu mengikut kehendak anak yang mahukan bantal busuk sentiasa ada bersama.

Dalam hal ini katanya, peranan ibu bapa dan pengasuh perlu ada untuk mengelakkan tabiat ini berterusan.


Monday, July 23, 2012

TIP RAMADHAN: PUASA DIDIK ANAK LEBIH EMPATI


“Mak, adik lapar lah” rungut anak saya Izzuddin ( 10 tahun) setiap petang dari hari pertama puasa hingga ke hari ini.

“Kalau adik lapar, waktu berbuka puasa nanti insya-Allah tersedia hidangan enak tapi bayangkan orang miskin yang lapar tu belum tentu dapat makan hari ini. Sebab itu Allah perintahkan kita berpuasa supaya kita merasai derita orang miskin dan selalu bersedekah membantu mereka.” jawab saya dengan nada mendidik.

Izzuddin mengangguk seakan mengerti dan berhenti merungut. Sekurang-kurangnya untuk hari ini dan besok perkara yang sama mungkin berulang. Saya juga akan mengulangi jawapan-jawapan untuk mendidik. Apa pun senyuman dan ciuman mesra tetap saya berikan sebagai pengukuhan.

Kanak-kanak seawal 3 tahun sudah mula menunjukkan rasa empati dan belas kasihan kepada orang lain dengan cara memujuk contohnya. Kanak-kanak berinteraksi dan memberi makna kepada kehidupan mereka secara natural dan dengan bantuan orang yang lebih dewasa.

Apa pun puasa mendidik sahsiah dan kerohanian anak. Antara lain lapar dan dahaga mendidik anak untuk merasai kesengsaraan orang lain. Ia juga mendidik jiwa anak untuk selalu bersyukur dan bersedekah. Sebulan masa latihan jiwa anak insya-Allah dapat mengukuhkan keperibadian unggul.

Wallahua’lam.
Rosnah Ahmad
Madrasah Ramadhan
Sebuah rumah kecil di Perkampungan Cenderawasih