Saturday, May 14, 2011

Selamat Hari Ibu-Buat Mu Insan Istimewa

Assalamualaikum,

Menemui pembaca yang dirindu, semoga sejahtera sentiasa bersama insan-insan tersayang.

Saya kira belum terlewat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua ibu, bakal ibu dan wanita yang bersama mengasuh dan mendidik anak-anak di muka bumi Allah ini.

Hari ibu mengingatkan saya kepada amanah sebagai wanita. Bagi saya semua wanita adalah ibu kepada anak-anak generasi pewaris.

Apa pun hari ibu juga mengingatkan saya kepada anugerah insan istimewa iaitu arwah emak yang banyak mencorak kehidupan saya.

Hari ibu tahun ini saya sambut dengan doa serta balik kampung menziarahi abah yang semakin tua dan uzur. Juga meluangkan sedikit masa menziarahi adik-beradik dan keluarga arwah emak . Kenangan bersama arwah mak tetap terpahat di ingatan. Doa tetap dikirim insya-Allah hingga ke hujung nyawa….

Sempena hari ibu ini ingin saya hadiahkan penulisan mengenai arwah mak saya yang saya harap ada manfaatnya. Sebahagian besarnya dimuatkan dalam buku “Ibu Madrasah Pertama Ku…” Terima Kasih atas sokongan semua pembaca atas penulisan ini. Moga pahalanya dipanjangkan kepada arwah yang sudah lebih 25 tahun meninggalkan kami….Amin.



IBU MADRASAH PERTAMAKU

Oleh Rosnah Ahmad

DIA YANG DIRINDU

Tika saya memulakan penulisan ini umat Islam baru sahaja menyambut Syawal 1429 Hijrah. Syawal bagi keluarga kami tahun ini tidak seperti biasa. Abah dimasukkan ke hospital kerana kompilasi diabetes. Dalam kesakitan dan nada kesedihan abah berpesan supaya dia dikebumikan berhampiran pusara arwah emak apabila meninggal dunia.

Pemergian emak ke rahmatullah 22 tahun lepas masih dirasai oleh kami sekeluarga. Dia tetap dirindu. Agak sukar saya menyiapkan penulisan ini kerana banyak kenangan yang diimbau kembali. Naluri sebagai seorang anak benar-benar terusik. Apa pun moga apa yang dituliskan mengenai arwah emak membawa sedikit manfaat kepada pembaca.

Emak dilahirkan pada tahun 1948 dan diberi nama Rahni binti Mahmud. Panggilan mesranya Ani. Merupakan anak sulung daripada perkahwinan ketiga Mahmud bin Hitam dan Fatimah binti Haji Kadir yang kami gelar Aki Mahmud dan Wan Timah.

Keluarga emak sendiri melalui masa-masa yang begitu sukar. Aki Mahmud menjadi buruh paksa membina jalan keretapi di Burma setelah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan.

Dia berjaya melarikan diri bersama seorang kawan dengan berjalan kaki dan mencari perlindungan sementara di Thailand. Aki Mahmud berkahwin dengan seorang wanita Thai. Mereka dikurniakan dua orang anak perempuan.

Kerana rindu kepada keluarga dan tanah air Aki Mahmud kembali ke Tanah Melayu setelah keadaan semakin selamat. Saya kurang maklum apa yang terjadi kepada keluarganya di Thailand. Aki Mahmud pernah ke Thailand beberapa tahun kemudian untuk mencari anak-anaknya tetapi tidak bertemu.

Kepulangan Aki Mahmud ke kampungnya Temerloh, Pahang mengejutkan ahli keluarga. Semua menyangka dia telah meninggal dunia selepas bertahun tiada khabar berita. Tambahan pula ramai buruh paksa di Burma dilaporkan sudah mati.

Atas nasihat saudara mara, isteri pertama yang ditinggalkan menuntut cerai fasakh dan sudah pun berkahwin dengan orang lain.


Aki Mahmud kemudian berkahwin pula dengan Wan Timah dan dikurniakan enam orang cahaya mata. Tiga perempuan dan tiga lelaki. Wan Timah meninggal dunia pada usia 36 tahun. Pada ketika itu emak berusia 12 tahun dan adik bongsunya berusia 2 tahun.


Emak diberhentikan sekolah selepas Wan Timah meninggal demi menjaga adik-adik. Kemudian Aki Mahmud berkahwin pula dengan Norlia ( digelar Wan Tek) dan dikurniakan 7 orang anak. Jadi adik beradik emak kesemuanya adalah16 orang.

Emak bernikah dengan abah, Ahmad Osman bin Abdul Hamid pada usia 16 tahun. Perkahwinan mereka juga bertujuan merapatkan lagi tali persaudaraan. Adik perempuan Aki Mahmud adalah mak tiri abah.

Emak dan abah dikurniakan lapan orang cahaya mata, empat perempuan dan empat lelaki. Dua anak lelaki mereka meninggal ketika kecil.

Hubungan saya dengan emak sangat istimewa. Saya diistilahkan orang kampung sebagai ”anak apit mayat” kerana abang dan adik lelaki saya meninggal dunia. Saya masih terasa belaian dan kasih sayang emak. Setelah kehadiran adik-adik hubungan kami lebih istimewa. Emak dan saya seolah-olah saling memerlukan dan selalu berkongsi cerita dan masalah.


WANITA YANG GIGIH


Saya tidak mempunyai gambar untuk mengingatkan kembali raut wajah emak. Walau bagaimana pun memori terhadapnya masih jelas.

Emak berkulit hitam manis, sederhana tinggi, peramah, mudah mesra serta murah dengan senyuman dan kasih sayang.

Walau hanya sempat bersama ibu sendiri selama 12 tahun, emak seolah-olah telah diasuh dengan baik untuk menjadi isteri yang taat, ibu yang bahagia dan wanita yang gigih.

Segala kerja rumah dan mengasuh anak-anak dilakukan oleh emak. Abah menjalankan tugas mencari rezeki seperti kebanyakan orang lelaki zaman dahulu. Balik bekerja menyambung kerja-kerja kampung seperti berkebun, memancing dan menjala bagi menambah pendapatan.

Abah seorang yang agak tegas dan cerewet tentang pakaian dan makanan. Dalam serba kekurangan dan tanpa peralatan elektrik, emak tetap mampu menyiapkan kerja rumah setiap hari mengikut masa tanpa mengabaikan anak-anak.

Emak menjalankan tugasan rumah tangga dengan pengurusan masa yang baik. Dia juga seorang yang rajin, pembersih dan berdisiplin. Saya masih ingat emak mempunyai jadual untuk menggosok baju pada masa menggunakan seterika arang lagi. Baju ayah di kanji dan digosok rapi setiap minggu mengikut jadual.

Kami tinggal di Raub, Pahang dalam persekitaran masyarakat majmuk. Ramai kawan-kawan emak berbangsa Melayu, India dan Tionghoa.

Berjiran lama dengan kaum India membolehkan emak memahami dan bertutur sedikit bahasa Tamil. Dia gemar makanan India. Antara kegemarannya adalah membuat capati untuk sarapan.

Sememangnya emak memang gemar dan pandai memasak. Air tangannya bukan sahaja digemari kami sekeluarga malah saudara mara dan jiran tetangga. Setiap kali hari raya emak membuat baulu, ketupat, kuah kacang dan rendang dengan banyak sekali untuk semua menikmati masakannya.


SEORANG USAHAWAN

Emak seorang wanita yang kreatif dan berjiwa usahawan.

Pada mulanya dia mengambil upah menjahit baju jiran-jiran. Juga menerima tempahan menjahit tulang belut leher baju kurung dari sebuah kedai jahit pakaian wanita Cina berdekatan. Selain itu membuat tempahan baulu apabila musim raya dan untuk hantaran perkahwinan.

Saya mengenali emak sebagai seorang yang baik budi. Setiap kali musim persekolahan hampir bermula dan hari raya ibu menjahit baju-baju anak jiran yang susah tanpa bayaran. Ada kalanya emak membelikan kain dan menjahit uniform sekolah bagi anak-anak jiran yang benar-benar susah.

Kami adik beradik tidak faham kenapa emak harus melakukan semua ini sedangkan dia sudah sedia sibuk.

”Mak tiada harta untuk bersedekah. Ini adalah salah satu cara mak dapat berbakti. Sebagai manusia kita mesti saling tolong menolong”, jawab emak dengan tenang.
Kami sebenarnya malas kerana lebih banyak emak menjahit bermakna lebih banyak kami harus membantu.

Kecederaan di kaki tidak membenarkan emak menggohit (bahasa yang kami gunakan bagi perbuatan mengoyangkan kaki mesin jahit untuk menggerakkannya) mesin jahit lama peninggalan Wan Timah. Jadi untuk menjahit, seorang dari kami adik beradik harus berada di sebelah emak untuk menggohit.

Sebagai yang paling tua saya harus selalu berbasikal ke kedai yang agak jauh dan menaiki bukit untuk menjahit tepi kain dan mendapatkan keperluan jahitan yang lain.

Terdapat pelanggan emak yang tidak membayar upah jahitan. Adik saya terkilan mengenangkan kesusahan emak dan tidak faham kenapa ada orang yang sanggup mengambil kesempatan atas kebaikannya.

Emak menghalalkan semua yang berhutang dengannya. Saya meyakinkan adik-adik bahawa ada bahagian emak yang lebih baik di sana.

Kemudian pada usia saya 10 tahun saya meminta emak membuat nasi lemak untuk dijual di sekolah. Saya terpanggil melakukan ini kerana pekerja-pekerja kantin sekolah semuanya berbangsa Cina.

Saya mula menjual 10 bungkus nasi lemak yang berharga 20 sen sebungkus ketika itu di belakang bilik darjah. Mudah sahaja. Jualan laris dan bertambah dari hari ke hari hingga jualan mencecah $10 sehari. Masih ingat saya ada beberapa pelanggan tetap. Salah seorang adalah kawan saya bernama Lim Mei Ling yang akan berpesan supaya disimpankan dua bungkus nasi lemak setiap hari untuknya.

Kemudian aktiviti saya dihidu pengusaha kantin.

Saya dipanggil oleh pengusaha kantin. Mujur tidak dimarahi. Pengusaha kantin melarang saya menjual nasi lemak kerana menjejaskan jualan di kantinnya. Sebaliknya saya ditawarkan membekalkan kuih muih.

Emak menerima tawaran itu dengan gembira. Bermulalah satu episod kehidupan yang sibuk bagi emak dan anak-anak. Ketika itu abah bekerja di Bukit Fraser dan hanya pulang seminggu sekali. Emak dan saya seolah-olah rakan kongsi niaga yang baik.

Perniagaan kami semakin maju. Setahun kemudian kami ditawarkan pula membekal kuih muih kepada dua lagi kantin berdekatan yang diusahakan oleh tauke yang sama.

Kami adik-beradik membantu emak dalam proses membuat kuih seperti karipap, kuih keria dan pulut panggang. Setiap petang Sabtu , emak akan ke pasar mendapatkan bekalan bahan mentah dengan menaiki bas. Kami akan menunggu emak di perhentian bas dengan basikal bagi membawa turun barang-barang seperti keledek, pisang dan ubi kayu dan dibawa ke rumah.

Pada setiap petang kami membantu emak menyediakan bahan-bahan membuat kuih. Cuma kami masih kecil untuk bangun seawal pukul 3 pagi bagi membantu menyiapkan kuih.

Saya ke sekolah menaiki basikal dengan membawa kuih muih yang dimuatkan dalam bakul dan diserahkan pada pihak kantin sekolah. Sebelum pulang saya mengambil bakul kuih dan hasil jualan yang telah di tolak komisen sebanyak 20sen bagi setiap 1 ringgit.

Selain membuat kuih kami sekeluarga juga membuat sagun iaitu sejenis makanan tradisi yang dibuat dari tepung beras, kelapa dan gula untuk dijual kepada kanak-kanak di sekitar kampung. Semua adik beradik kami terlibat dalam proses membuat sagun iaitu menumbuk beras dalam lesung kayu yang besar, menggoreng campuran tepung dan kelapa yang kemudiannya digaul dengan gula pasir dan dibungkus dalam plastik. Sehingga hari ini peristiwa ini sering menjadi perbualan dan kenang manis kami adik beradik.

Berniaga mengubah sedikit keadaan hidup kami. Banyak tuntutan kehidupan dapat diselesaikan. Sekali sekala emak membawa kami ke bandar berjalan-jalan dan membeli barang keperluan.

Perniagaan kuih muih dan sagun ini diteruskan selama 6 tahun. Kemudian ianya terpaksa dihentikan apabila penyakit pneumonia yang dihadapi emak semakin melarat.

Selepas itu emak membantu mengasuh anak jiran sebelah rumah. Saya faham emak tidak memfokuskan untuk menambah pendapatan tetapi hanya membantu apabila pertolongan nya diperlukan. Tambahan pula dia memang sukakan budak-budak dan adik bongsu kami sudah agak besar.

Dua tahun terakhir hayat, emak memohon tidak lagi mengasuh kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan


BERPANDANGAN JAUH

Emak mengasuh anak-anak dengan doa, kesabaran dan pengorbanan. Kerisauan jelas sekali sekiranya anak-anak demam atau sakit. Antara amalannya adalah memberi pisang ke masjid tanda kesyukuran apabila anak-anak sembuh.

Saya masih ingat pada satu hari adik saya, Lina tercucuk lidi di mata ketika bermain. Abah tiada di rumah. Emak berjalan kaki dengan mendukung adik sejauh lebih kurang 5 batu untuk mendapatkan rawatan di klinik paling hampir.

Dalam mendidik anak-anak emak bijak mempamerkan kasih sayang dan menerapkan nilai murni.

Emak suka bercerita. Cerita-cerita sejarah, cerita rakyat dan tidak kurang cerita dari Al-Quran. Kami juga selalu didendangkan dengan lagu-lagu kanak-kanak klasik yang sarat dengan mesej. Emak percaya cerita dan nyanyian klasik mampu membentuk peribadi seorang anak. Dia juga menganggap aktiviti begini menghiburkan diri dan anak-anak. Bagi kami pula emak adalah penyanyi dan penglipur lara yang hebat.

Kami diajar kepentingan ilmu dan digalakkan untuk sentiasa menghormati guru-guru kerana kemuliaan orang-orang yang berilmu di sisi Tuhan.

Apabila hari raya kami diwajibkan menziarahi Pak Teh Abas (guru Al-Quran kami) terlebih dahulu sebelum menziarahi orang lain.

Bagi saya emak seorang yang berpandangan jauh.

” Wanita perlu mempunyai pelajaran dan kemahiran yang pelbagai untuk hidup lebih bahagia dan baik. Mereka juga harus mempunyai pendapatan sendiri. Dengan ini sahaja martabat dan keyakinan diri seorang wanita akan meningkat. Mereka juga akan lebih dihormati masyarakat” , nasihat emak berulang-ulang.

Emak berpendapat wanita sebenarnya sangat istimewa dan mampu melakukan apa sahaja. Mereka mampu melebarkan bakti kepada masyarakat. Kami adik beradik digalakkan untuk bercita-cita tinggi.

Antara kenangan terindah adalah sesi kami adik beradik dan emak duduk bersama dan berangan-angan kehidupan kami apabila berjaya nanti.

Saya dan adik-adik berjanji akan membawa emak keluar daripada kesusahan hidup dan menjanjikan pelbagai hadiah untuk menggembirakan emak. Saya berjanji bahawa hadiah pertama saya berupa mesin jahit elektrik supaya emak boleh menjahit bila-bila tanpa memerlukan seorang dari kami menggohit lagi. Keceriaan wajah emak masih terbayang.

Kadang-kadang saya dapat merasakan perbualan emak menggambarkan emosinya yang kadang kala tertekan dan fizikalnya yang letih. Dia tidak mahu anak-anaknya mengharungi hidup sama sepertinya. Kami diberi suntikan semangat bahawa setiap orang akan berjaya dalam pelajaran dengan berusaha dan berdisiplin belajar setiap hari.

Pada ketika anak-anak lain di biar bermain sesuka hati, emak menetapkan jadual rutin harian anak-anak. Dia memantau pelajaran dan menetapkan masa belajar kami di rumah. Emak juga berdikit dalam berbelanja supaya dapat mendahului keperluan pelajaran anak-anak berbanding peralatan rumah dan makan pakai.

Seperti kanak-kanak yang lain saya menganggap emak sedikit mengongkong. Kadang-kadang kata-kata emak umpama leteran terutama setiap kali saya mendapat keputusan peperiksaan yang kurang memuaskan.

Keputusan yang tidak baik dikaitkan dengan sikap saya yang malas belajar. Kata-kata yang masih ternginag-ngiang di telinga.

”Nah, rupa tak boleh diubah tetapi ingat perangai boleh diubah” dan ” Kita keluarga susah, hanya pelajaran yang akan mengubah nasib keluarga”.

Kemudian emak akan mengungkit-ngungkit perangai saya yang dia tidak puas hati.

Satu ketika saya tidak mahu lagi mendengar leteran emak dan menyumbat kedua telinga dengan kapas. Kemudian saya menghasut semua adik-adik saya melakukan yang sama. Hmmm…nakal juga saya ye..

Apa pun hubungan kami tetap istimewa. Emak lah orang yang paling bersyukur apabila saya mendapat tawaran menyambung pelajaran peringkat ijazah ke luar negara. Katanya saya mencipta sejarah menjadi orang pertama dalam keluarga yang berpeluang belajar ke peringkat ini.

Pada masa itu saya merasakan semua harapan ini adalah satu bebanan yang sukar saya pikul. Tapi hari ini saya dapat menilai dan emak sebenarnya seorang pemimpin yang hebat kerana mampu melahirkan anak-anak yang lebih baik tahap pendidikannya.


KAU PERGI JUA

Di akhir-akhir hayat emak yang peramah bertukar menjadi pendiam.

”Jangan tinggalkan solat”. Itu sahaja pesanan emak sebelum saya melangkah masuk ke dewan berlepas sebelum menaiki pesawat bagi melanjutkan pelajaran ke Australia.

Itulah pertemuan terakhir kami.

Setahun selepas itu emak meninggal dunia. Tiga bulan sebelum emak dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan. Doktor berpendapat kehidupan emak yang susah dan melakukan kerja-kerja rumah yang berat dari usia muda adalah penyebab kepada penyakit pneumonia yang dihidapinya.

Walaupun saya tahu emak selalu sakit tetapi sebagai anak yang masih mentah saya tidak pernah menyangka emak akan pergi diusia muda, 38 tahun.

Seolah-olah sejarah berulang lagi, emak meninggal dunia ketika berusai 38 tahun dan meninggalkan 6 orang anak sebagaimana arwah Wan Timah.

Adik-adik tinggal bersama Aki Mahmud dan Wan Tek selepas pemergian emak. Takdir penentu segala. Aki Mahmud pula meninggal dunia empat bulan kemudian. Adik-adik terus tinggal bersama Wan Tek sehingga abah berkahwin setahun kemudian dan mengambil semula anak-anaknya .


TERKAPAI-KAPAI TANPA EMAK

Sebagai anak yang paling tua, pemergian emak meninggalkan kesan yang sangat mendalam.

Benar kata orang antara kehilangan yang paling besar adalah kehilangan emak terutama ketika kita masih belum berkeluarga. Hari-hari selepas pemergiaannya tidak lagi seperti dahulu. Sebahagian daripada diri saya seolah-oleh mati bersama emak. Kerinduan kepadanya kadang kala sangat menyakitkan.

Saya ralat tidak dapat menatap wajah emak buat kali terakhir dan menolong menyempurnakan jenazahnya.

Saya meneruskan kehidupan seorang di perantauan dengan payah sekali kerana kerisauan terhadap adik-adik. Surat-surat yang dikirimkan oleh mereka meruntun jiwa saya.

Setiap pagi apabila bangun dari tidur saya harus menerima kenyataan diri bahawa emak sudah tiada dan saya harus tabah meneruskan kehidupan. Saya juga tidak seperti dahulu. Syukur di pertemukan dengan sahabat-sahabat yang baik dan bersabar dengan sikap saya yang agak emosional dan kadang kala sukar difahami.

Saya mendekatkan diri kepada Tuhan dan sedar bahawa tiada apa yang kekal melainkanNya. Saya sedar saya harus kuat semangat dan nekad pulang dengan segulung ijazah.

Pada tahun-tahun awal selepas kehilangan emak saya sering bermimpi perkara yang sama. Dalam mimpi itu saya diberitahu bahawa emak sebenarnya bukan meninggal dunia tetapi pergi ke suatu tempat yang jauh. Dia dalam perjalanan pulang ke pangkuan kami atau saya sendiri pergi mendapatkannya di suatu tempat yang berubah-rubah.

Setiap kali bermimpi saya begitu gembira dapat bertemu emak tetapi terjaga dalam keadaan hampa dan perlu menerima ketetapan takdir. Mungkin ini adalah kesan daripada tidak berada di sisi ketika emak meninggal. Hari ini mimpi begini masih sekali sekala mengganggu tidur saya.

Sekembali ke Malaysia, saya disaran oleh saudara mara untuk lebih berperanan sebagai pengganti emak kepada adik-adik. Apa pun ia bukanlah seperti yang saya sangkakan. Keadaan menjadi di luar dugaan.

Adik-adik semakin meningkat remaja dan jiwa mereka sukar di fahami. Saya sendiri bertarung dengan jiwa yang masih rapuh.

Hubungan kami adik-beradik yang kurang rapat dengan abah menyukarkan keadaan. Kami juga sukar menyesuaikan diri dengan emak tiri. Syukur dia seorang yang baik dan banyak bersabar dengan karenah kami.

Dalam menghadapi kehilangan kami berperang dengan emosi masing-masing. Cara kami menghadapi kehilangan juga berbeza. Masing-masing menjadi orang yang asing dan hidup dalam dunia masing-masing.

Kami saling salah menyalahkan dan semakin tertekan dengan keadaan. Adik-adik semuanya semakin mundur dalam pelajaran. Mereka yang dahulunya cemerlang akhirnya tidak dapat menjejaki menara gading.

Apa pun yang dialami kami diusia muda bagaimanapun akhirnya menampakkan hikmahnya. Syukur kerana tuhan masih melindungi. Dalam keadaan yang begitu kami tidak hanyut jauh daripada landasan kehidupan.

Pengalaman menjadikan kami insan yang empati kepada permasalahan remaja hari ini.

Kami tidak menghukum tetapi memahami. Dalam keadaan tertentu apa yang terjadi bukanlah kehendak tetapi dalam kehilangan kasih sayang dan ketiadaan sokongan, kadang-kadang manusia tersalah langkah.

Walau kurang berjaya dalam pelajaran, kemahiran dan kegigihan yang diperoleh daripada emak terutama memasak, menjahit dan berniaga banyak membantu adik-adik mencari rezeki. 5 orang daripada kami sekarang mengusahakan perniagaan sendiri.


SAYA BERGELAR ISTERI DAN IBU

Perkahwinan menginsafkan saya kerana sebagai isteri saya mula memahami erti kehidupan sebenar. Ingatan terhadap pengorbanan, kesabaran dan kesetiaan emak banyak menolong saya menjalani kehidupan berumah tangga.

Apabila letih dengan kerja rumah dan kerenah anak-anak seramai tiga orang, saya terkenang arwah emak yang jauh lebih letih menyiapkan kerja rumah tanpa peralatan elektrik dan mengasuh jauh lebih ramai anak.

Apabila bosan, saya ada televisyen, radio, majalah dan internet untuk mencari sedikit kedamaian. Emak hanya ada suami dan anak-anak sebagai penghibur.

Kalau saya rasa rimas dalam rumah teres yang sempit, saya boleh saja memandu ke tepi pantai ataupun pusat membeli belah untuk mencari sedikit ketenangan. Emak hanya mencari ketenangan bersama ayam itik dan kehijauan kampung.

Keceriaan hidup mula dirasai semula setelah saya mempunyai anak sendiri. Kini saya memahami mengapa emak begitu menyayangi dan sanggup berkorban untuk keselesaan dan masa depan anak-anak.

Cara saya mengasuh dan mendidik anak-anak banyak dipengaruhi oleh emak. Setelah mendalami ilmu tentang perkembangan kanak-kanak saya dapati banyak teknik yang digunakan oleh arwah emak sebenarnya menepati. Cuma segalanya dilakukan secara luar sedar.

Saya juga percaya perjalanan saya yang berkelulusan ijazah kejuruteraan elektrik akhirnya mengusahakan taska, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak banyak dipengaruhi oleh emak tanpa disedari.

Kami adik beradik juga semakin dewasa dan empat sudah mempunyai keluarga sendiri. Alhamdulillah tautan kekeluargaan kami bertambah erat. Sesungguhnya masa dan peristiwa yang berlaku mematangkan kami.

Kehilangan setiap insan bergelar ibu tiada gantinya. Anggapan bahawa sebahagian daripada diri saya mati bersama emak bertukar. Kini saya merasakan sebahagian daripadanya terus hidup dalam diri saya serta adik-adik dan mengalir ke cucu-cucu. Kehidupan dilalui dengan lebih matang. Kami saling memerlukan dan di sana ada emak yang menyatukan.
Sekarang kami harus lebih bersatu menjaga abah yang sakit.

Sebagai anak, doa sentiasa dikirim. Saya menjalani hubungan yang baik dengan adik beradik emak dan sahabat-sahabat emak yang masih ada.

Tidak lupa saya menunaikan janji membeli sebuah mesin jahit elektrik buat emak. Walau tidak sempat menggunakannya, mesin ini menjadi milik keluarga dan sudah banyak berbakti.

Pada usia 42 tahun, ingatan saya kepada emak sekarang lebih kepada tazkirah bahawa kematian itu sesuatu yang paling hampir. Bersyukur saya masih diberi masa untuk beramal.

Tiadalah lebih saya harapkan selain amalan dipanjangkan pahalanya kepada emak yang sudah tiada. Sebagai ibu saya juga mengharapkan anak-anak saya membesar dengan nilai-nilai yang berakar umbikan nenek mereka.
Sebagai seorang ibu, menjadi harapan saya supaya setiap ibu menyedari bahawa menyayangi anak-anak adalah satu fitrah. Apa pun fitrah ini harus disuburkan dengan ilmu dan kemahiran berterusan. Ini bagi melengkapkan diri menghadapi cabaran mengasuh dan mendidik yang lebih hebat dari masa ke semasa.

Ilmu yang ada harus dikongsi bagi manfaat semua anak-anak. Moga kita terus berusaha memakmurkan bumi ini menjadi tempat yang lebih baik dan selamat bagi anak-anak dan generasi akan datang

Masyarakat juga perlu lebih berperanan. Kehilangan ibu adalah sesuatu yang sukar untuk seorang anak menghadapinya. Bimbingan, sokongan dan telinga yang sedia mendengar membantu mereka untuk meneruskan kehidupan sehingga mencapai kematangan.

Kepada semua ibu-ibu berusahalah mencipta kenangan-kenangan indah bersama anak-anak. Memori indah mewarnai kehidupan dan membina keyakinan bagi anak meneroka kehidupan semasa kita masih ada ataupun sudah tiada.

Bagi semua anak, kehadiran seorang ibu adalah anugerah yang tidak ternilai. Berbaktilah kepada mereka selagi masa masih ada.

Dan doakan mereka hingga ke hujung nyawa kita…

“ Ya Tuhanku, ampuni lah dosa kedua ibu bapa ku, dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihi ku sewaktu aku kecil.”
Amin.



Sekian.Wallahua’lam.

1 comment:

Ummu Waheedah said...

Assalamu'alakum'

Teruskan menulis, satu perkongsian yg bijak dan baik. saya suka nasehat arwah emak u-
" Wanita perlu mempunyai pelajaran dan kemahiran yang pelbagai untuk hidup lebih bahagia dan baik. Mereka juga harus mempunyai pendapatan sendiri. Dengan ini sahaja martabat dan keyakinan diri seorang wanita akan meningkat. Mereka juga akan lebih dihormati masyarakat.

namun sebenarnya bahgia itu pada persepsi masing2. Ada juga org tak ada/kurang plajaran ttp lebih bahgia dgn cara mrk sendiri. Apa pun bahgia itu apabila kita mensyukuri nikmatNya. Allahuaklam.