Friday, January 28, 2011

ERTI BAHAGIA BAGI KU

Assalamualaikum,

Menemui pembaca semua yang dirindui. Moga semua sihat sejahtera hendaknya bersama keluarga tercinta.
Minggu lepas saya berbual melalui laman sosial facebook dengan sahabat saya Umi Salmah yang sekarang bekerja di Doha.

Perbualan kami banyak berkisar mengenai cabaran menjadi ibu yang berkerjaya.

Teringat kata-kata Umi “ Macam mana  ya Nah membesarkan tiga anak dalam keadaan sibuk dan berkerjaya sedangkan Umi baru beranak satu pun dah terasa cabarannya…” begitulah lebih kurang ungkapan Umi dalam nada yang sungguh memahami.

“Well it is not easy my dear, it has been like a roller coaster ride”, jawab saya cuba menggambarkan pahit manis jatuh bangun membesarkan anak-anak dan berniaga.

Kemudian kami terus berbual berkongsi rasa….

Perbualan itu sedikit sebanyak membawa saya mengimbas kenangan 17 tahun berkahwin dan membesarkan anak-anak dalam banyak situasi. Bekerja, berhenti, bekerja semula dan berniaga. Sebahagiannya saya kongsi kan dalam buku,  “Mengapa Saya Bekerja … keluaran PTS publication yang disusun oleh sahabat saya Ir  Endok Sempo Mohd. Tahir.

Penulisan kali ini hadiah untuk sahabat saya Umi Salmah di Doha dan anaknya Adham serta pembaca-pembaca yang setia. Terima kasih atas sokongan semua selama ini.

ERTI BAHAGIA BAGIKU
OLEH
ROSNAH AHMAD


Saya dibesarkan dalam keluarga yang agak susah.   Abah sentiasa berpesan bahawa hanya pelajaran tinggi yang akan menjamin pekerjaan yang baik dan dapat mengubah nasib keluarga. Juga tanggungjawab saya sebagai anak sulung untuk menjadi contoh kepada adik-adik.

Arwah emak pula berpendirian  seorang wanita haruslah mempunyai pelajaran dan bekerja. Mereka dapat menyara kehidupan sendiri  dan akan lebih dihormati. 

Mungkin kerana emak sendiri tidak berpeluang menamatkan darjah enam kerana kesempitan hidup. Kemudian terpaksa menjaga adik-adiknya yang masih kecil seramai lima orang apabila nenek meninggal pada usia emak 12 tahun.

Emak berkahwin di usia 17 tahun. Membesarkan 6 orang ank pada zaman kesusahan. Membuat kuih untuk jualan dan mengambil upah menjahit baju untuk membantu abah.

Oleh kerana harapan yang menggunung untuk melihat kejayaan anak-anak, abah agak menekan kami adik beradik untuk belajar. Abah menentukan sendiri pemilihan kerjaya kami pada peringkat awal. Kami terpaksa menurut sahaja. 

Selepas SPM dan dengan keputusan yang agak baik, abah meminta saya mengambil bidang kejuruteraan dan belajar di luar negara. Sebenarnya bidang ini bukanlah minat saya tetapi demi harapan keluarga saya turutkan.

Saya berjaya menamatkan pelajaran pada tahun 1990 dan memulakan kerjaya sebagai  jurutera pada usia 24 tahun. Boleh dikatakan ketika itu pendapatannya agak lumayan dan kerjayanya  juga glamor. 

Pada mulanya saya seronok bekerja. Walau bagaimanapun oleh kerana kerjaya yang  memang tidak berapa diminati semakin hari saya merasa stres dengan budaya kerjaya yang sangat mencabar dan di dominasi oleh lelaki ini. Setelah tiga tahun bekerja  saya mendapati  kerjaya ini semakin tidak sesuai dengan diri dan tidak memberi kepuasan.

Atas nasihat kawan-kawan saya cuba bertukar tempat kerja kerana mungkin ini dapat menyuntik sedikit semangat baru. Saya mohon bertukar ke tempat kerja berhampiran dengan bakal suami. Walaupun di tempat baru perasaan saya masih sama. Saya tidak rasa seronok bekerja. 

Saya berkahwin enam  bulan kemudian. Kehidupan baru menyakinkan bahawa kerjaya ini semakin tidak sesuai. Tambahan pula tugas baru memerlukan saya selalu bekerja di luar kawasan. Keinginan untuk berhenti kerja mula saya fikir secara serius apabila saya mengandungkan anak sulung. Saya tidak nampak bagaimana saya dapat mengimbangi peranan saya sebagai isteri, ibu dan wanita berkerjaya dengan baik.

Tetapi hasrat saya mendapat tentangan daripada keluarga kerana mereka merasakan saya mensia-siakan pelajaran dan tidak memikirkan masa depan diri dan keluarga. 

Alhamdulillah suami saya memahami tetapi meminta saya berfikir masak-masak. Sekiranya saya berhenti,  pendapatannya sebagai juruteknik memerlukan kami untuk membuat perubahan yang besar dalam cara kami berbelanja. 

Saya cuba untuk terus bekerja kerana tidak mahu menghampakan  abah dan menunggu  ekonomi rumahtangga agak kukuh sebelum berhenti. Tetapi  semakin hari saya semakin   tertekan.  Pada masa itu, saya kurang mahir tentang teknik untuk mengurus stres dengan betul. Ianya adalah satu fasa dalam kehidupan yang amat pahit yang perlu saya lalui. 

Kerana sudah tidak tahan dengan tekanan  kerja dan memikirkan bahawa saya harus memberi perhatian kepada kesihatan diri dan anak yang di kandung. Saya mengambil keputusan nekad untuk berhenti.

Walaupun lega dengan keputusan yang diambil, sedikit sebanyak saya merasa gagal dalam kerjaya. Yalah, berhenti kerana tidak dapat menguasai stres. Alasan yang sukar difahami dan diterima ramai.

Menjadi suri rumah sepenuh masa,  saya kembali tenang. Saya cuba menjadi isteri dan ibu yang sempurna untuk keluarga dan berjimat dalam banyak perkara. Saya masih dapat membantu keluarga dengan sedikit wang simpanan yang ada. Masa lapang diisi dengan menjahit yang selama ini menjadi hobi. Saya berpeluang mendalami kemahiran menjahit dengan mengambil kursus jahitan yang singkat. 

Saya gembira melakukan semua untuk keluarga dan merasa kehidupan begitu sempurna pada ketika itu.

Dari masa ke semasa abah mencadangkan saya untuk mencari pekerjaan lain. Seringkali juga saya ditanya oleh saudara mara dan kawan-kawan kenapa saya berhenti kerja. Mereka tidak faham kenapa  saya melepaskan jawatan yang baik. Bagi mereka kerana ianya bukan sahaja merugikan malah dengan bekerja saya akan lebih bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan akan datang. Bersedia menghadapi kemungkinan menjadi ibu tunggal setelah kematian suami  atau diceraikan seperti mana ramai wanita hari ini. 

Lama kelamaan saya menjadi letih untuk menjawab pertanyaan sebegini dan lebih suka mendiamkan diri. Pernah saya berkata kepada suami bahawa saya merasa seperti telah melakukan satu  kesalahan apabila belajar ke peringkat tertinggi. Ini memaksa saya bekerja dan tidak boleh memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.

Tanpa disedari sedikit sebanyak pandangan masyarakat sekeliling mempengaruhi diri. Saya mula dihantui rasa bersalah dan merasakan diri tidak menyumbang. Untuk menghilangkan sedikit rasa bersalah ini saya membuka kelas tuisyen secara  sukarela di rumah pada waktu petang untuk membantu anak-anak jiran sekeliling yang memerlukan bimbingan dalam mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris. 

Setelah 3 tahun, wang simpanan hampir habis  dan saya mula memikirkan untuk mencari pekerjaan lain. Sebagai seorang wanita yang biasa mempunyai pendapatan sendiri saya rasa kekok meminta wang daripada suami. Saya juga bimbang memikirkan tidak lama lagi saya sudah tidak lagi boleh menyumbang kepada keluarga. Keinginan untuk  membantu suami dari segi kewangan semakin dirasai setelah mempunyai dua orang anak kerana perbelanjaan keluarga yang semakin bertambah. 

Kemudian, seorang kawan memberitahu bahawa kolej swasta tempat dia bekerja memerlukan tenaga pengajar dalam bidang kejuruteraan. Saya cuba memohon dan diterima bekerja sebagai pensyarah.

Saya kembali bekerja pada usia anak sulung saya dua tahun dan anak kedua berusia dua bulan. Anak-anak ditinggalkan di rumah adik saya. Sejak mula, anak sulung saya sukar sekali menyesuaikan diri kerana tidak pernah ditinggalkan. Dia kuat meragam dan kerap demam. 

Hubungan saya dan suami juga agak tegang kerana dia terpaksa menyesuaikan diri dengan rutin harian saya yang kembali sibuk dan terpaksa membantu kerja-kerja rumah. 

Saya dihimpit rasa bersalah bila bekerja kerana meninggalkan anak-anak dan tidak dapat mengurus suami dengan sempurna. Tetapi juga rasa  bersalah apabila menjadi suri rumah sepenuh masa dengan kelayakan akademik yang ada. Inilah dilema yang mungkin ramai wanita seperti saya alami.

Semakin hari kesihatan anak sulung semakin membimbangkan. Dia demam dan batuk yang berlarutan dan hilang berat badan. Mungkin terlalu banyak perubahan yang terpaksa dilaluinya. Yalah dia baru sahaja hendak menyesuaikan diri dengan kehadiran adik baru, saya pula   keluar bekerja sepenuh masa pula.

Saya akur bahawa  keputusan  untuk kembali bekerja dibuat pada masa yang tidak sesuai dan adalah satu kesilapan. Sekali lagi dengan berat hati saya melepaskan kerjaya saya sebagai pensyarah setelah hanya bekerja dua bulan. Kali ini saya lakukan dengan lebih mudah walaupun rasa sedikit terkilan kerana saya dapati saya menyukai  bidang pendidikan.

Saya kembali menjadi suri rumah tetapi memikirkan kerjaya lain yang mungkin lebih sesuai  dan membolehkan saya bersama anak-anak. Sementara itu saya cuba mengembangkan hobi menjahit saya dengan  mengambil sedikit tempahan menjahit daripada saudara mara dan kenalan. 

Tidak lama kemudian, seorang kawan meminta pertolongan saya untuk menyelia pusat asuhan kanak-kanak( taska)  kepunyaannya  secara sambilan dan membenarkan saya membawa anak-anak bersama. Sejak dulu saya memang menyukai bidang kanak-kanak dan peluang ini membuat saya sangat teruja.

Setelah setahun bekerja minat untuk membuka taska sendiri timbul. Suami saya walau bagaimanapun kurang yakin  kemampuan saya dalam bidang ini kerana berpendapat bidang terlalu baru bagi saya dan memulakan perniagaan sendiri adalah satu risiko yang besar. 

Keluarga saya juga agak terkejut bila saya menyuarakan hasrat saya. Mereka tidak faham kenapa seorang wanita yang mempunyai ijazah kejuruteraan seperti saya harus melakukan kerja-kerja pengasuhan kanak-kanak yang dianggap tidak professional dan merugikan.  Ada juga  yang menganggap saya hanya akan menggalakkan lebih ramai wanita keluar bekerja dan meninggalkan anak di taska.
 
Ianya  memang menyedihkan  tetapi saya menganggapkan semuanya sebagai dugaan dan  pembakar semangat. Saya yakin bidang perkhidmatan jagaan kanak-kanak haruslah diceburi oleh lebih ramai wanita yang berpendidikan tinggi supaya kualiti pengasuhan dapat ditingkatkan. 

Dalam era globalisasi ini ramai wanita terpaksa keluar bekerja atas pelbagai sebab. Mahu tidak mahu, anak-anak terpaksa ditinggalkan. Sistem sokongan berkualiti sangat diperlukan supaya peranan mendidik dan mengasuh dapat dikongsi secara pintar dan kolektif di antara ibu bapa dan pengasuh. 

Membesarkan dan mendidik seorang anak adalah satu proses yang panjang. Ia bukanlah kerja yang mudah dan boleh dilakukan seorang diri. Malah, saya berpendapat setiap orang dewasa dalam masyarakat haruslah berperanan untuk sama-sama menyumbang kepada pembentukan sahsiah seorang anak.

Berbekalkan niat yang suci dan tawakal, saya memulakan perniagaan pada tahun1998 dengan modal yang tidak seberapa iaitu hanya sebanyak RM5000.  Dunia perniagaan bukan semudah yang disangka dan banyak anggapan saya selama ini adalah mitos belaka. Ia menuntut banyak masa dan pengorbanan pada peringkat awal. Tambahan pula memulakan perniagaan pada masa negara mengalami masalah kegawatan ekonomi.  

Saya sedar saya masih terlalu baru dalam bidang kanak-kanak dan juga perniagaan. Kedua-dua ilmu ini  sangat meluas dan ianya perlu digarap segera sekiranya saya ingin berjaya.

Saya kembali bekerja sepenuh masa di taska. Walaupun mempunyai tiga orang pengasuh saya melakukan sendiri banyak kerja-kerja pengasuhan dan pengurusan pada peringkat awal untuk menimba  pengalaman dan menjimatkan kos.

Pada hujung minggu pula menghadiri kursus-kursus berkaitan bidang kanak-kanak dan asas perniagaan. Saya gembira kerana anak-anak sentiasa bersama walaupun ianya memang memenatkan dan kadang kala mengganggu fokus kerja.

Secara perlahan anak-anak belajar bergaul dan rasa selamat  ditinggalkan apabila saya keluar untuk urusan. Semasa menghadiri kursus hujung minggu anak-anak ditinggalkan bersama suami.

Saya dan suami pada mulanya agak tertekan kerana perniagaan ini walaupun nampak kecil tetapi memerlukan komitmen yang tinggi  dan agak lambat memberikan pulangan. Kami mesti berjimat dan banyak berkorban. Suami saya juga terpaksa membantu dengan melakukan sendiri kerja-kerja penyelenggaraan di taska. 

Pada musim cuti sekolah, pendapatan taska terjejas teruk kerana ramai anak-anak tidak dihantar kerana ibu atau bapa yang bercuti.  Untuk menampung perbelanjaan saya mengambil upah menjahit baju kerana kebetulan cuti sekolah jatuh pada musim perayaan hari raya. 

Bersengkang mata menjahit untuk menampung kos operasi. Kadang kadang di malam yang sepi di kala suami dan anak-anak tidur jiwa saya meruntun. Hanya Allah yang tahu pengorbanan yang harus saya lalui kerana pilihan saya ini… 

Menjalankan perniagaan pada usia perkahwinan yang muda dengan anak-anak yang masih kecil dan dalam kegawatan ekonomi benar-benar menguji perkahwinan kami. Sekali-sekala pergeseran rumahtangga berlaku. Walau bagaimanapun kesusahan banyak mengajar kami erti pengorbanan, mengenali satu sama lain dan membantu kami untuk lebih menghayati peranan masing-masing.

Perniagaan kami baru memberikan pulangan selepas tiga tahun.  Walaupun bidang perniagaan yang berbentuk perkhidmatan  ini tidak menjanjikan pendapatan yang lumayan berbanding perniagaan lain  tetapi ianya mencukupi dan keberkatan-Nya dirasai. Saya juga dapat membantu keluarga dan memberi peluang pekerjaan dan servis kepada keluarga dan masyarakat setempat.

Bekerja sendiri membenarkan saya  mula aktif dalam kerja-kerja dakwah dan kebajikan. Pergaulan  juga semakin meluas. Saya gembira kerana berpeluang berkenalan dengan ramai wanita-wanita dalam pelbagai kerjaya. Perkongsian ilmu dan pendapat  semakin mematangkan saya bukan sahaja dalam perniagaan malah dalam menghadapi kehidupan yang semakin mencabar.

Anak-anak  semakin membesar dan saya cuba sedaya upaya untuk mempraktikkan ilmu keibubapaan yang dipelajari kepada mereka terutama pada anak ketiga saya yang lahir pada tahun 2002. Ianya mengajar saya untuk menjadi lebih sabar dan mahir menangani kerenah anak-anak. 

Saya semakin yakin membesarkan anak-anak dan rasa bersalah apabila meninggalkan anak-anak kerana tugas juga  hilang. Persepsi saya tentang pengasuhan anak-anak juga mula berubah.

Seorang ibu yang baik bukanlah yang sentiasa bersama anak dan yang mampu melakukan segalanya untuk mereka. Apa  yang lebih penting seorang ibu haruslah sentiasa bertindak sebagai pembimbing dan pemudah cara yang membenarkan anak-anak memilih, menyuarakan pendapat dan melakukan sesuatu mengikut kebolehan dan minat mereka. Potensi anak-anak akan lebih menyerlah dan perkembangan mereka boleh disuburkan secara menyeluruh  dan seimbang. 

Anak-anak juga harus digalakkan bergaul dalam persekitaran yang kondusif dan penuh kasih sayang supaya mereka membesar dengan akhlak yang murni, keyakinan yang tinggi dan emosi yang stabil.  Banyak kajian mengatakan bahawa  ini adalah faktor utama penentu kejayaan seseorang dalam hidup. 

Oleh itu wanita  yang berkerjaya juga boleh menjadi ibu yang baik sekiranya mereka bijak membahagikan masa, meletakkan keutamaan  dan  mengamalkan masa berkualiti bersama keluarga. Apa pun ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Wanita mestilah menyayangi diri sendiri dengan menjaga kesihatan  dari segi fizikal, emosi dan rohani supaya mereka sentiasa fokus. 

Kemudian pada tahun 2006  saya  mengembangkan perniagaan dengan mengambil alih sebuah tadika dan pusat jagaan dari seorang kawan yang beralih arah ke bidang lain. Kali ini saya memulakan perniagaan dengan lebih yakin berbekalkan pengalaman  yang ditimba selama ini. 

Melihat kesungguhan saya dalam bidang ini, akhirnya abah  merestui pilihan saya. Abah juga semakin yakin bahawa kerjaya ini menjanjikan pulangan dan memungkinkan saya membantu keluarga. Saya juga dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada dua orang adik  juga meminati bidang kanak-kanak.

Sekarang saya tidak lagi melakukan banyak tugas dan hanya memfokuskan kepada mengurus dan memberi latihan kepada guru dan pengasuh. Saya bersyukur kerana dianugerahkan pekerja-pekerja yang jujur dan setia. Saya kembali mempunyai lebih  masa bersama keluarga dan dapat menjalani kehidupan yang seimbang. Yang lebih penting saya mempunyai lebih masa untuk kerja-kerja dakwah dan kebajikan.  

Saya ingin sekali menyambung pelajaran atau mempunyai sarjana dalam bidang pendidikan awal atau psikologi kanak-kanak. Tetapi mungkin hasrat ini harus saya lupakan kerana tuntutan masa. Juga menuntut saya berjauhan dengan keluarga dan komitmen yang agak panjang. 

Sebagai alternatif, saya mendalami bidang ini dengan banyak membaca dan terus menghadiri menghadiri kursus-kursus singkat.  Saya juga belajar menulis dengan tujuan berkongsi. Cabaran dan masalah yang saya hadapi membesarkan anak-anak terpanggil untuk saya kongsi setelah saya sendiri terkapai-kapai melaluinya.

Menulis menjadikan saya lebih berdisiplin, peka dan sentiasa mengkaji. Kepuasan dan ketenangan yang sukar digambarkan dengan kata-kata setiap kali menghasilkan karya yang tulen…

Kesukaran saya memulakan perniagaan juga membuatkan saya sedar peranan untuk membantu orang. Saya suka berkongsi pengalaman dan menolong sesiapa yang ingin membuka perniagaan dalam taska, tadika atau pusat jagaan. Saya telah membantu beberapa buah badan bukan kerajaan untuk membuka taska, tadika atau pusat jagaan. Ianya memberi kepuasan yang tidak terhingga.

Pada usia 40 tahun dan mengenang kembali, saya redha dengan jalan yang saya pilih dan apa yang berlaku.  Sering memohon kepada Nya agar saya lebih yakin dan diberi petunjuk dalam melayari kehidupan.
Setelah  melalui semua ini, sekiranya saya diberi peluang sekali lagi saya akan memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa. Setidak-tidaknya pada masa anak-anak masih kecil. Terutama di masa anak-anak sedang menyusu. Bersandarkan sokongan suami, keluarga dan masyarakat saya yakin mampu menyusu dengan lebih tenang, puas dan merasa diri dihargai. 

Apa pun apa yang dilalui banyak mematangkan  dan  membantu  saya untuk lebih mengenali diri. Saya dapati saya sebenarnya meminati bidang perniagaan. Terfikir juga untuk mengembangkan perniagaan di bidang lain jika masa  mengizinkan. Mungkin suatu hari saya akan menggunakan bidang kejuruteraan yang saya pelajari dahulu dengan membuka perniagaan yang menjalankan kerja-kerja pendawaian elektrik bersama adik lelaki saya yang juga seorang juru elektrik. 

Kini saya menyambung penulisan ini pada usia 45 tahun. Lima tahun kebelakangan ini saya sibuk dengan latihan  dalam bidang kanak-kanak. Saya memang meminati bidang latihan. Dua tahun lepas saya membuka Pusat Latihan Tinta Ori.

Bidang latihan tidak kurang hebat cabarannya. Ia banyak membawa saya keluar kawasan dan berjumpa dengan ramai orang. Latihan kadang-kadang sangat memenatkan tetapi dek kerana minat penat tidak saya hiraukan.

Kini saya mula berfikir. Selama mana saya harus begini. Anak-anak yang semakin  remaja memerlukan perhatian yang berbeza. Kesihatan diri juga perlu dijaga..

Semakin saya meningkat dalam kerjaya, semakin terasa kesunyian dan kehilangan.  Saya sering merindui masa bersama ahli keluarga, berkongsi melakukan kerja dan aktiviti bersama, melayan kerenah dan hobi masing-masing.

‘Kebahagian’ saya sebenarnya terletak dalam rumah yang penuh dengan gelak ketawa, suara ceria dan manja anak-anak, senda gurau dan belaian suami dalam suasana mesra dan kasih sayang. 

Syukur bekerja sendiri sedikit sebanyak menyediakan ruang dan masa untuk ini. Saya boleh menyusun jadual dan menetapkan keutamaan mengikut keperluan keluarga.

Bulan Januari seperti ini saya agak kurang sibuk. Saya banyak menghabiskan masa di rumah. Mengemas, membersih, memasak, menjahit langsir yang sudah lama kainnya di beli, membelek pokok bunga, mencuba resepi baru dengan anak-anak, berborak dan santai bersama. Menunggu anak-anak balik dari sekolah. Mendengar cerita mereka. Melayan mereka membuat kerja sekolah.  

Tiada yang lebih memberi kepuasan dari semua ini. Inilah erti bahagia seorang insan bergelar isteri dan ibu…

Pada umur begini saya perlu lebih menentukan keutamaan. Saya perlu menjaga dan menyayangi diri,  merasa damai dengan apa  yang telah dicapai  dan  menumpukan lebih perhatian kepada keluarga. Pada saya keluarga tiada nilainya. Semakin jauh saya melangkah ketenangan tetap mengapai dari rumah kecil syurga kami sekeluarga.

Saya berpendapat anak-anak memerlukan perhatian dan secara idealnya hanya ibu yang tenang sahaja dapat menyantuni anak-anak dengan baik. Tetapi kita hidup dalam dunia yang penuh cabaran dan dugaan. Samada kita bekerja atau tidak, berusahalah untuk mencapai ketenangan.

Selain itu setiap wanita haruslah dapat membuat pilihan yang tepat untuk kerjaya mereka. Mereka juga harus pandai menjaga kehormatan diri semasa bekerja dalam zaman yang penuh dengan tribulasi ini. Kehidupan akan melalui fasa-fasa yang berlainan  dan wanita harus bijak meletakkan keutamaan mengikut kesesuaian. 

Adalah juga menjadi harapan saya supaya pada suatu hari sistem di negara kita akan memberi lebih kebebasan dan peluang kepada wanita untuk membuat pilihan dalam kerjaya. Mereka haruslah dibenarkan untuk mengambil cuti yang lebih panjang untuk membesarkan anak-anak dan kembali bekerja bila mereka sudah bersedia. Sekiranya mereka memilih untuk tidak bekerja, bakti mereka terhadap keluarga haruslah dihormati dan dihargai. 

Sebagai penutup, saya semakin merasai bahawa setiap yang berlaku mempunyai banyak hikmah di sebaliknya. Berhenti kerja kerana stres yang pada mulanya saya anggap adalah satu kegagalan dalam hidup sebenarnya adalah satu kejayaan dan rahmat dari Allah. Ia membuka banyak ruang dan kejayaan baru dalam hidup saya.

Saya bersyukur kerana hidup saya dikelilingi oleh ramai kanak-kanak dan dapat sama-sama menyumbang dalam pentarbiahan mereka untuk menjadi khalifah Allah di muka bumi ini.

Apa pun saya sudah temui kepuasan dalam kerjaya. Insya-Allah rasa puas ini akan melahirkan kebahagiaan dalam diri. Kebahagiaan yang akan sentiasa mengukir senyuman yang mampu  membahagiakan insan lain.
Doa saya agar usaha yang sedikit ini sentiasa mendapat taufik, hidayah dan keberkatan Nya kepada kami sekeluarga.

Amin.

Sekian. Wallahua’lam…
Pusat Latihan Tinta Ori.
29 Januari 2011
24 Safar 1432H
12.59 tengah hari
.



Tip keibubapaan 47:Ciuman masih penawar yang berkesan

Assalamualaikum kepada semua pembaca,

Moga semua sihat sejahtera sekeluarga hendaknya...

Sudah lama saya tidak bersua menulis tip-tip keibubapaan. Rindu juga menulis.

Masih ingat tip keibubapaan ciuman dan pelukan penawar di awal-awal penulisan saya di blog ini.

Tip keibubapaan 4: ciuman dan pelukan penawar

Kanak-kanak memang bijak menarik perhatian ibu bapa mereka. Kadang-kadang mereka suka mengadu sakit walaupun hanya sedikit. Anak saya Mohammad ‘Izzuddin ( 2 tahun) contohnya sering menangis mengadu sakit tangan dan jarinya. Apa yang selalu saya lakukan disamping menyapu ubat ditempat sakit adalah menunjukkan rasa simpati, meniup, mencium tempat yang diadu sakit dan memeluknya. Cara begini memang mujarab. Dia akan berhenti menangis dan rasa dihargai, diberi perhatian dan gembira.
 

Namun tip ini masih berguna.

Sekarang Izzuddin sudah masuk 9 tahun. Minggu lepas saya cuti sakit di rumah. Satu petang Izzuddin mengadu betisnya luka selepas bermain di taman. Saya memanggilnya dekat saya, minta ditunjukkan luka. 

Secara spontan saya mengangkat betisnya dan memberi ciuman pada luka yang sedikit sahaja.

Izzuddin tersenyum puas. Tiada kata-kata diungkapkan tetapi senyumannya meleret sehingga dia berlalu duduk di sofa dan meneruskan tontonan di televisyen.

"Ciuman masih penawar yang berkesan", kata hati saya....

Seronok tengok keletah anak-anak.

Wallahua'lam.