Tuesday, April 13, 2010

TIP KEIBUPAAN 45: KADANG-KADANG KITA ALPA

Duduk dikerusi sejenak selepas pulang dari kerja. Kebetulan saya pulang lewat petang hari ini. Izzuddin ( tahun dua sekarang, ya! dah besar anak bongsu saya) menghampiri saya sambil menghulurkan kertas peperiksaan Bahasa Inggerisnya.

Saya menyelak-nyelak helaian kertas. Helaian pertama dan kedua betul semua. Di helaian ketiga terdapat satu karangan yang dia salah suai padankan 4 daripada 5 soalan. Saya berkata “banyaknya salah adik”.

“Sikit je salah mak, yang betul lagi banyak” jawab Izzuddin.

Saya tersentak.

Jawapan Izzuddin itu membawa saya mengimbau peristiwa awal tahun ini. Seorang pelanggan saya mengadu mengenai anak lelakinya yang baru masuk tahun satu tetapi masih keliru 2 huruf iaitu “b” dan “d” dan kurang lancar membaca. Dia menceritakan bahawa dia menyatakan kesedihan kepada anaknya, membandingkan dengan anak orang lain yang sudah lancar membaca dan memarahi sehingga anaknya menangis.

Saya empati dengan anak itu dan dapat merasakan keadaan emosinya. Saya berkata kepada ibu tadi kenapa tidak gembira dan puji anak yang ingat 24 huruf lain. Anak memerlukan sokongan positif dan bimbingan berterusan. Tahun satu memang mencabar bagi anak kecil.

Sekarang saya juga alpa.

“’Adik dapat 79 markah dan adik dah dapat kalahkan Darwish dan Danish” sambung Izzuddin merujuk kepada pasangan kembar kawannya.

Sememangnya saya patut di tegur. Kadang kadang sudah terbiasa memfokuskan kesalahan anak walaupun jauh lebih sedikit. Terlupa untuk melihat kepada perkara baik yang anak lakukan.

Alhamdullillah, Izzuddin mampu menyatakan kehendak dengan bebas. Syukur. Saya mengingatkan diri supaya sentiasa membantu anak untuk mengatasi kekurangannya dengan cara yang lebih hikmah.

Saya kemudian kembali memfokuskan kepada perkembangan diri anak. Sejak lebih seminggu lepas Izzuddin begitu teruja dengan keputusan peperiksaannya tahun ini. Saban hari dia bercerita berulang-ulang mengenai dia hanya salah satu sahaja dalam kertas Bahasa Melayu. Sehingga mengundang kemarahan abangnya Muhammad kerana jemu mendengar cerita yang sama.

Tahun ini memang ketara peningkatan pelajaran Izzuddin. Tulisannya semakin cantik, dia semakin berminat terhadap bahan bacaan dan mengambil berat tentang kerja sekolahnya.

Biasalah, anak lelaki. Kedua-dua anak lelaki saya mengambil masa untuk membaca pada tahun satu dan peningkatan pembelajaran juga sedikit demi sedikit dengan dorongan. Potensi setiap anak berbeza.

Muhammad lebih fizikal. Suka kepada aktiviti lasak dan sukan. Manakala Izzuddin lebih lebih kreatif. Suka merekacipta pelbagai benda dan seni. Berbeza dengan kakak mereka, Nurin yang lebih minat kepada buku dan sudah lancar membaca di usia 6 tahun.

Kadang-kadang kita perlu melihat perkara melalui kaca mata seorang anak kecil. Mereka ada potensi, gaya dan masa tersendiri. Setiap anak secara fitrahnya menuju kecemerlangan. Cuma kita kekadang lupa melihat dari sudut yang lebih positif dan membina. Mungkin dengan cara ini kita akan lebih menyokong potensi mereka dan kekurangan yang ada akan terus gugur sepanjang tarbiyah anak yang panjang.

Saya petik teori pembentukan personaliti.
Sahsiah kanak-kanak terbentuk hasil daripada cara anak di besarkan. Anak yang selalu dimarahi, dihina dan dimalukan akan membesar menjadi pemalu, penakut, penuh rasa bimbang, tiada keyakinan diri dan bersifat inferiority complex serta introvert. Anak yang mendapat galakan, pujian dan dibesarkan dalam suasana harmoni, gembira, membesar menjadi seorang yang yakin diri, bebas, tenang dan penyayang.

Moga kita terus memperbaiki diri dan cara kita menyantuni anak-anak kita.

Wallahua’lam. Sekian.

1 comment:

Anonymous said...

terima kasih puan sudi berkongsi tips. sedih dengan diri sendiri yg serba kekurangan dlm mendidik anak. coretan puan sentiasa membuatkan diri saya tersentak. terima kasih byk2.