Thursday, September 4, 2008

TIP MEMBESAR BERSAMA ALAM( NURTURE THROUGH NATURE)1: ALAM MENYEMAI IMAN DAN BANYAK FAEDAH LAIN


Kenangan semasa kecil mencuit jiwa. Kehidupan ketika itu rata-rata dalam serba kekurangan tetapi kaya dengan interaksi alam.

Alam adalah sekolah pertama kami. Segalanya ada di situ. Alam yang mengasuh dan menyantuni kami secara fitrah. Kami belajar erti keindahan, ketenangan dan kedamaian. Kewujudan tuhan dirasai. Perkembangan diri yang menyeluruh terbentuk secara harmoni melalui bermain di persekitaran alam yang banyak faedah dan penawar.

Teringat keseronokan keluar bermain di awal pagi mencari daun, bunga, ranting dan kulit kerang untuk permainan masak-masak. Dari situ kami membina persahabatan, kepimpinan, keyakinan dan keberanian. Keseronokan terpancar dan jiwa terasa merdeka.

Ketika perut berasa lapar barulah teringat nak pulang ke rumah. Kemudian turun lagi bermain di waktu petang. Malam kami dihiasi bintang dan bulan tanpa lampu berkuasa elektrik. Kepenatan bermain di waktu siang menyebabkan kami tidur awal dan lena bersama kenangan indah. Pagi-pagi kami bingkas bangun dengan ceria untuk keluar lagi ke alam yang indah sedia menanti kehadiran kami.

Saya percaya kita perlu kembali mendekatkan kanak-kanak kepada alam ciptaan Allah. Kanak-kanak perlu didedahkan sebanyak mungkin kepada interaksi alam kerana ia membawa banyak faedah. Satu daripadanya adalah membantu menyemai iman anak.

Iman adalah mutiara diri dan anugerah Allah serta bertambah teguh dengan beberapa cara. Antaranya adalah penelitian dan kajian terhadap ciptaan alam yang mempunyai rahsia-rahsia tersendiri. Rahsia kejadian manusia, binatang, tumbuahn dan sebagainya akan menambahkan iman anak.

Dr. Abdullah Nashih Ulwan dalam bukunya ”Pendidikan Anak- Anak di dalam Islam” memberi panduan antara tanggungjawab ibu bapa dan pendidik adalah membina anak-anak yang beriman kepada Allah, kekuasaanNya dan ciptaan-ciptaanNya Yang Maha Besar dengan jalan bertafakur mengenai penciptaan langit dan bumi.

Bimbingan ini diberikan ketika anak-anak sudah boleh membezakan sesuatu menggunakan cara sosialisasi berperingkat iaitu dari hal yang dapat dicerna hanya dengan menggunakan pancaindera meningkat kepada hal-hal yang logik. Dari hal-hal yang bersifat partial kepada yang bersifat global dan dari hal-hal yang sederhana kepada yang lebih tersusun secara sistematik

Menurut beliau lagi kemudian barulah kita dapat membawa anak-anak kepada iman dengan cara yang logik dan argumentif.

Sosialisasi berperingkat dalam mencapai suatu hakikat seperti ini, sebenarnya adalah kaedah Al-Quran seperti ayat-ayat berikut:-‘

”Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih berganti siang dan malam, kapal belayar di lautan membawa keperluan manusia dan air hujan yang diturunkan Allah dari langit, lalu dengan air itu dihidupkanNya bumi yang tandus dan Dia kembang biakan di bumi ini binatang-binatang yang melata (termasuk manusia) dan perkisaran angin antara langit dan bumi; (semua itu) menunjukkan tanda-tanda kebesaran Allah bagi kaum yang memikirkan.”- Surah Al-Baqarah ayat 164.


”Maka apakah mereka tidak melihat akan langit yang ada di atas mereka, bagaimana kami membangun dan menghiasinya dan langit itu tidak ada keretakan sedikit pun padanya. Dan Kami hamparkan bumi dan Kami tumbuhkan segala jenis tanaman yang indah di dalamnya. (Agar) menjadi pelajaran dan peringatan bagi setiap hamba yang kembali.”- Surah Qaf ayat 6-8.

Terdapat ayat-ayat lain dalam Al-Quran yang berkenaan kaedah ini.

Alam membuka pancaindera kanak-kanak terhadap sesuatu kekuasaan yang penuh mukjizat dan suatu kerajaan besar yang serba mengagumkan. Ketika melihat pepohonan yang hijau, bunga-bungaan yang indah dan beraneka warna serta bermacam-macam ciptaan Allah yang mengagumkan, hati akan khusyuk dan membangkitkan rasa keagungan Allah swt. Jiwa mereka akan tidak pernah jemu memandangnya, melahirkan rasa takwa dan nikmat beribadah kepadaNya.

Iman yang mantap, keyakinan yang mendalam dan pemikiran yang sempurna perlu disemat berasaskan dalil-dalil tauhid secara mendalam. Natijahnya hati dan perasaan anak sukar dipengaruhi anasir perosak.

Galakkan anak-anak membesar bersama alam. Sebagai ibu bapa, guru, pengasuh dan orang dewasa dalam masyarakat kita bertanggungjawab menyediakan persekitaran alam yang kondusif untuk kanak-kanak. Insya-Allah saya akan berkongsi beberapa tip lain. Buat permulaan saya petik artikel di bawah ini untuk rujukan.

” Dekati anak-anak kita dengan alam”

Wallahua’lam.

Benefits for Children of Play in Nature
By Randy White

Following is a summary of the many benefits that regular play in nature has for children:
• Children with symptoms of Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) are better able to concentrate after contact with nature (Taylor et al. 2001).
• Children with views of and contact with nature score higher on tests of concentration and self-discipline. The greener, the better the scores (Wells 2000, Taylor et al. 2002).
• Children who play regularly in natural environments show more advanced motor fitness, including coordination, balance and agility, and they are sick less often (Grahn, et al. 1997, Fjortoft & Sageie 2001).
• When children play in natural environments, their play is more diverse with imaginative and creative play that fosters language and collaborative skills (Moore & Wong 1997, Taylor, et al. 1998, Fjortoft 2000).
• Exposure to natural environments improves children's cognitive development by improving their awareness, reasoning and observational skills (Pyle 2002).
• Nature buffers the impact of life's stresses on children and helps them deal with adversity. The greater the amount of nature exposure, the greater the benefits (Wells & Evans 2003).
• Play in a diverse natural environment reduces or eliminates bullying (Malone & Tranter 2003).
• Nature helps children develop powers of observation and creativity and instills a sense of peace and being at one with the world (Crain 2001).
• Early experiences with the natural world have been positively linked with the development of imagination and the sense of wonder (Cobb 1977, Louv 1991). Wonder is an important motivator for life long learning (Wilson 1997).
• Children who play in nature have more positive feelings about each other (Moore 1996).
• Natural environments stimulate social interaction between children (Moore 1986, Bixler et al. 2002).
• Outdoor environments are important to children's development of independence and autonomy (Bartlett 1996).
• Play in outdoor environments stimulates all aspects of children development more readily than indoor environments (Moore & Wong 1997).
• An affinity to and love of nature, along with a positive environmental ethic, grow out of regular contact with and play in the natural world during early childhood. Children's loss of regular contact with the natural world can result in a biophobic future generation not interested in preserving nature and its diversity (Bunting & Cousins 1985; Chawla 1988; Wilson 1993; Pyle 1993; Chipeniuk 1994; Sobel 1996, 2002 & 2004; Hart 1997; Wilson 1997, Kals et al. 1999; Moore & Cosco 2000; Fisman 2001; Kellert 2002; Bixler et al. 2002; Kals & Ittner 2003; Schultz et al. 2004).
"There's no way that we can help children to learn to love and preserve this planet, if we don't give them direct experiences with the miracles and blessings of nature."
Anita Olds

MERINTIS KEHIDUPAN DENGAN PENUH RASA SYUKUR

Salam,

Menemui para pembaca moga sentiasa berada dalam kemanisan iman dan sihat sejahtera sekeluarga.

Sempena Ramadhan Al-Mubarak ini saya memohon kemaafan dan berdoa agar kita memperbaiki amal dan iman serta berjaya kembali kepada fitrah kita yang suci. Juga Moga Aidil Fitri tahun ini disambut dengan penuh kesederhanaan dan keinsafan.

Ya, sudah agak lama saya tidak menulis. Banyak perkara yang agak mencabar terjadi pada diri dan keluarga saya pada tahun ini.

Bermula dengan awal sesi persekolahan tahun yang agak berlainan. Kami mengambil keputusan menghantar anak sulung, Nurin Husna (13 tahun) ke sekolah berasrama penuh setelah solat istikharah sekeluarga. Namun, ia merupakan satu keputusan yang begitu sukar. Tidak disangka perpisahan menyebabkan naluri keibuan saya menjadi keliru.

Pada mulanya ia seakan satu keputusan yang silap. Saban hari Nurin menelefon. Perpisahan, persekitaran baru dan rutin harian asrama yang ketat menyukarkan proses penyesuaian. Sebagai ibu saya tertanya adakah perlu mendedahkan seorang anak kepada situasi begini pada usia semuda ini. Walau bagaimanapun ia juga mengingatkan kepada kehidupan saya di asrama. Saya percaya pengalaman tinggal di asrama sedikit sebanyak membantu menjadikan saya bersedia menghadapi kehidupan yang mencabar ini.

Saban hari saya terus dihantui kekeliruan. Apa pun naluri kecil saya mengatakan saya perlu mengikuti nasihat sahabat-sahabat supaya cekal dan banyak bersabar kerana biasanya proses penyesuaian anak yang tinggal di asrama mengambil masa dua hingga tiga bulan.

Keadaan menjadi semakin baik. Kesibukan di awal tahun dengan kemasukan murid baru di tadika dan aktiviti persatuan juga membantu saya menyesuaikan diri. Dalam pada itu, saban minggu kami menjenguk Nurin di asrama.

Saya merasakan sesuatu yang baik terjadi iaitu hubungan kami sekeluarga bertambah erat. Sebelum ini kami jarang betul-betul duduk berborak sekeluarga tetapi dengan menjengok Nurin, kami berbual, berkongsi masalah dan meluahkan perasaan. Hubungan saya dan suami juga bertambah akrab.

Dalam bulan Mac pula ibu mertua saya kembali kerahmatullah. Kehilangan yang sangat dirasai oleh kami sekeluarga.

Kemudian, mungkin kerana penat dan tidak cukup rehat, saya demam dan batuk berpanjangan sehingga melarat menjadi lelah. Secara tak langsung berat badan saya menurun. Teringat saya bahawa satu hari sebelum itu saya mengeloh, ” Ya Allah sudah lama aku gemuk, berikan aku kurus pula”. Ia adalah satu lintasan secara spontan. Saya merasai bahawa doa tersebut dimakbulkan tapi dengan hikmahNya yang tersendiri.

Saya sepatutnya lebih bersyukur kerana sihat. Apa pun sakit membuatkan saya menghargai sihat umpama kata-kata kawan saya, Rafeah Daud ”orang sakit memandang orang yang sihat seperti memakai mahkota dikepala”. Saya faham.

Menghidapi lelah menyebabkan saya memahami apa yang dilalui oleh orang yang mengidapi penyakit ini dan bagaiman kematian dirasakan hampir sekali setiap kali cuba bernafas. Paling menyentuh peraasaan adalah mengenangkan arwah emak yang menghidapi lelah sejak kecil, kemudian dihinggapi pnemonia dan meninggal pada usia 38 tahun. Lebih menginsafkan apabila teringat emak membasuh kain, memasak dan melakukan kerja-kerja rumah tanpa bantuan peralatan elektrik dalam keadaan kesihatan yang begitu.

Ia membuatkan saya lebih bersyukur apabila penat melakukan kerja-kerja rumah. Apa yang saya sedang lalui jauh lebih baik daripada apa yang perlu dilalui oleh arwah emak saya.

Alhamdullillah setelah hampir 5 bulan, saya semakin sembuh tetapi perlu menjaga pemakanan dan mendapat rehat yang cukup. Sakit menuntut saya untuk berubah dan sedar bahawa sesungguhnya apa yang berlaku memberi pelbagai hikmah sekiranya saya terus berfikiran dan bersikap positif. Badan berasa bertambah segar dan ringan setelah kehilangan hampir 10 kilogram. Saya masih perlu menurunkan sekurang-kurangnya 7 kilogram untuk mencapai berat badan yang ideal. Sekarang cabaran yang lebih hebat adalah untuk kekal sihat dan mencapai berat badan yang unggul.

Dalam pada saya mengalami lelah, suami dan anak-anak terlibat dalam kemalangan kecil. Tiada yang cedera fizikal tetapi anak kedua kami Muhammad (12 tahun) yang pada ketika itu duduk sebelah abahnya yang sedang memandu agak terkejut dan mula takut setiap kali menaiki kereta setelah kejadian. Kereta kami remuk teruk di bahagian hadapan. Kehidupan tanpa kereta selama sebulan juga menginsafkan.

Tahun ini juga Persatuan Pengasuh Negeri Pahang (PPNP) mendapat mandat daripada Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia untuk menjalankan Projek Asuhan Prihatin. Projek yang dibiayai oleh Kementerian Kewangan Malaysia ini bertujuan memberi kemahiran kepada wanita, ibu tunggal dan suri rumah daripada keluarga yang berpendapatan rendah untuk mengusahakan Taska Rumah. Projek ini termasuk mengadakan Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak Taska Rumah (KAAKTR) selama 5 hari dan bimbingan selama 6 bulan.

Sebagai Naib Pengerusi PPNP saya juga merangkap bendahari kepada projek ini bagi negeri Pahang disamping menjadi salah seorang jurulatih.

Pelbagai cabaran yang kami harungi dalam menjayakan projek ini. Cabaran utama adalah mendapatkan sasaran peserta dan mengajak mereka untuk menghadiri kursus 5 hari 4 malam.

Pasukan PPNP berjaya mengadakan kursus sebanyak 6 kali dan hampir 200 orang peserta daripada seluruh Pahang mendapat faedah. Segala kebaikan yang hadir daripada projek ini bukan hanya kepada peserta malah juga kepada diri kami. Bagi saya, ia sesuatu sukar digambarkan tetapi teringat akan ayat Quran yang bermaksud:

” Jika kamu berbuat kebaikan (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu, dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesan yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga......” ( Surat Al-Isra’ Ayat 7)

Projek ini membawa kami mendekati wanita-wanita yang menghadapi pelbagai masalah dan dugaan. Ada yang suami meninggal, ditinggalkan suami tanpa khabar berita dan nafkah, bercerai dan wanita yang bersuami tetapi menjadi tunggak keluarga. Terdapat juga wanita-wanita yang didera emosi dan fizikal. Cabaran yang lebih hebat adalah memperkasakan mereka untuk bangkit dan yakin meneruskan kehidupan.

Pengalaman bersama mereka membawa saya untuk lebih memahami erti syukur dan merasai segala masalah gugur bersama perjuangan mendekati mereka.

Kini saya tidak banyak meminta atau merungut. Sebenarnya saya ada banyak perkara yang harus disyukuri. Segala rasa kekurangan yang ada sebelum ini pada diri, suami dan keluarga bertukar kepada rahmat yang tidak ternilai.

Yang lebih penting dengan apa yang ada dan ilmu yang sedikit kita sebenarnya mampu menyumbang dan kebaikannya akan kita rasai.

Kehidupan adalah satu perjalanan yang perlu dirintis dengan penuh rasa syukur. Hargai apa yang ada. Sesungguhnya kita masih diberi umur untuk terus berbakti dan menyayangi.


” Dan dialah jua yang mengadakan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur”. ( Surah Al-Mukminun Ayat 78

Sekian. Wallahua’lam.

Wassalam.

Rosnah Ahmad
Cenderawasih
4 Ramadhan 1429H