Saturday, October 25, 2008

"MENGAPA SAYA BEKERJA"

Salam,

Baca coretan pengalaman saya dan 24 aktivis JIM lain dalam buku ini.



Alhamdulillah, buku kedua penulisan wanita JIM telah diterbitkan dan masih panas, baru sahaja memasuki pasaran...Sila tempah dan dapatkan untuk setiap kita. Berbaloi penantian terhadap projek pengumpulan penulisan yang memakan masa selama lebih 3 tahun ini....Sila dapatkan naskhah dari Setiausaha Eksekutif Wanita JIM, Cik Nazirah Idris di talian 03-4107 3379 atau Kak Endok 012-2292604. Harganya hanya RM18.50....
Petikan dari buku "Mengapa Saya bekerja"......

Sila tempah sekarang stok ia masih ada!

Pra kata dari editor.

Ir Hjh Endok Sempo binti Hj Mohd Tahir
AJK Wanita JIM Pusat 1999-2009

Saya seorang wanita Islam yang berkerjaya. Suka dan duka yang saya telah lalui mewarnai hidup saya yang diharungi pelbagai kerjaya di bidang kejuruteraan. Mengapa saya memilih bidang kejuruteraan ini telah saya tulis dalam buku pertama saya, ’Bagaimana akhirnya saya bertudung’ keluaran PTS.Dalam masa lebih 20 tahun ini, saya telah bekerja sebagai pembantu teknik, pensyarah universiti, penyelidik, jurutera tapak/jurutera projek, usahawan, pengurus dan pengarah projek dan pengarah dalam syarikat jurutera perunding.

Selama lebih 20 tahun berkecimpung dalam kerjaya ini, inilah cerita benar saya, namun banyak lagi kisah benar mengenai wanita Islam bekerjaya yang lain. Mereka merasa bahagia untuk berkongsi pengalaman, wawasan, kisah suka duka mereka yang di paparkan dalam buku ini. Saya kumpulkan kisah benar mereka melalui hasil penulisan mereka, soal selidik dalam perbualan telefon, sessi temubual empat mata, ’chat on line’ dan juga emel.

“Apakah yang sangat penting dalam kehidupan wanita yang berkerjaya?” saya kerapkali bertanya kepada mereka.
”Apakah agaknya yang patut saudari ketahui semasa memulakan hari hari pertama di alam pekerjaan?”
”Apakah agaknya nasihat yang saudari akan berikan kepada anak gadis saudari sebaik sahaja dia bergraduat dari universiti untuk memasuki alam pekerjaan?”
” Apakah agaknya strategi, cadangan, tip-tip wanita Islam bekerjaya dalam menghadapi cabaran dan ujian dalam mengimbangi kehidupan di tempat kerja dan di rumah.

Paparan dalam buku ini saya susun dari pelbagai maklumbalas yang saya kutip dari wanita yang bekerja dalam pelbagai bidang kehidupan. Mereka terdiri dari pengurus rumahtangga sepenuh masa, kerani, setiuasaha cum pembantu peribadi, jurutera, doktor, akauntan, penulis, pensyarah, guru, pakar psikiatri yang sangat seronok dan bersemangat untuk berkongsi apa yang mereka lalui dan harungi.

Apa yang mengejutkan saya ialah ‘tema’ yang serupa diberikan oleh mereka, samada tua ataupu muda, dari berbagai latarbelakang kerjaya atau di lokasi mana mereka berada.

Jawapan mereka ialah, ”Kita semua mesti ada mentor”.

“Kita semua mesti ada kumpulan sokongan, samada suami, anak anak, ibu bapa atau keluarga terdekat” .

“Ingat, kita bukan superwomen”


”Kita tidak boleh dapat semua yang kita mahu”
”Kita tidak boleh buat semua kerja”
”Kita tidak boleh puaskan hati semua orang”

Kita perlu memilih medan juang kita dan tentukan keutamaan kita. Ini juga bermaksud kita perlu tahu mana yang perlu didahulukan, mana yang perlu diambil atau di tinggalkan.

Malah ramai wanita wanita yang berjaya mengecap makna ‘kebahagian’ bukan dalam arti kata kebahagian yang diukur dari kejayaan dalam kerjaya, seperti kenaikan pangkat melintang atau menegak, gaji yang lumayan, kerjaya yang mantap atau rumah yang hebat.

Ramai dari wanita ini merasakan semakin mereka berjaya dalam kerjaya mereka, semakin terasa kesunyian dan kehilangan. Mereka merasakan ‘kebahagian’ mereka terletak dalam rumah mereka yang penuh dengan gelak ketawa, suara ceria dan manja anak anak, senda gurau dan belaian suami dalam suasana mesra dan kasih sayang. Mereka sentiasa merindui masa masa bersama ahli keluarga, berkongsi melakukan kerja kerja rumah bersama, melayan hobi masing masing atau pun mengasah bakat bakat lama yang terpendam dan tertinggal.

Dalam menghadapi ‘kekejaman’ dunia pekerjaan yang tidak pernah diduga, wanita wanita teraniaya kerana dibuang kerja, mangsa pilih kasih, politik dan gangguan seksual di tempat kerja, pandangan serong dan chauvinisme, wanita ini menjumpai ’ketenangan’ dirumah kecil mereka. Rumah merekalah syurga mereka.

Dalam perbualan dan pergaulan ini saya temui kemarahan, sakit hati, geram, menyampah, bosan dan kepahitan dalam kerjaya. Namun saya juga temui harapan yang menggunung, cita-cita dan wawasan jangka panjang untuk membina jenerasi, dalam kekuatan diri yang tersembunyi. Saya temui rasa hormat diri atau izzah, kasih sayang, pengorbanan dan kejujuran.

Wanita ini berkongsi ‘tujuan’ matlamat yang sama, menolong wanita lain agar tidak mengulang kesalahan yang sama yang dilakukan wanita terdahulu. Dengan penulisan buku ini saya harapkan dapat memberi makna sesuatu utnuk wanita samada mereka memih utuk bekerja di dalam rumah atau diluar rumah. Apa yang saya pelajari dari pengumpulan buku ini ialah memberi harapan kepada dunia perkerjaan wanita yang lebih sihat untuk diwarisi oleh anak anak perempuan saya apabila mereka dewasa kelak.

Banyak lagi yang perlu dilakukan oleh wanita yang berkerjaya. Berapa banyak lagi stereotypes yang perlu di perbetulkan, berapa banyak lagi diskriminasi terhadap wanita yang perlu di buang jauh jauh, berapa banyak lagi penderaan dan gangguan seksual yang perlu di hapuskan.

Apa pun yang kita hadapi dalam dunia pekerjaan, saya dapati kepuasan itu terdapat dalam perkataan ‘ikhlas’. Apabila kIta ikhlaskan hati dan niat kita. Kita akan jumpai kepuasan.Apabila kita puas kita akan rasa bahagia. Kebahgiaan akan tergambar diwajah yang akan menjelmakan senyuman. Senyuman yang kita berikan akan membahagiakan insan lain. Insan ini pula akan merasa kebahgiaan dan dikongsi oleh insan lain. Kebahagian akan menjalar dari satu insan kepada satu insan yang lain. Kita hanya mendambakan dan menyebarkan kebahagian kepada semua insan seluruh alam. Rahmatan lil alamin.