Sunday, April 20, 2008

DRAMA DAN FILEM MELAYU PERLU LEBIH MENDIDIK PERANAN SEBENAR WANITA

Saya sering kecewa apabila menonton drama ataupun filem Melayu.
Banyak kisah menyayat hati berkisarkan wanita yang sering dilanda masalah. Wanita di gambarkan sebagai solehah apabila menghadapi setiap permasalahan dengan sentiasa bersabar dan berkorban di luar kemampuan serta tuntutan agama. Mereka juga digambarkan sebagai golongan yang sentiasa menjadi mangsa konflik ibarat kata pepatah “ Durian dengan mentimun, mengolek rosak, kena golek binasa.”

Drama dan filem Melayu yang memaparkan imej wanita begini harus dihentikan. Ia harus diganti dengan imej wanita sebenarnya iaitu insan soleh dan musleh yang bukan sahaja baik malah mampu mengajak orang lain melakukan kebaikan.

Wanita walau apa pun status dan kerjaya harus digambarkan mempunyai fizikal yang sihat, emosi yang tenang dan sentiasa berfikiran positif. Mereka bukan sahaja bijak menjaga kesihatan, kebajikan dan meningkatkan potensi diri serta keluarga malah sentiasa berusaha menyumbang kepada masyarakat.

Filem dan drama Melayu harus memaparkan kisah wanita yang bijak bertindak sebagai pemudah cara kepada keluarga. Contohnya dalam banyak adegan masa makan kita dipaparkan seorang ibu yang telah memasak seorang diri di dapur kemudian menyiapkan meja makan, memanggil suami dan anak-anak, mencedok makanan ke dalam pinggan dan akhirnya mengemas serta membasuh pinggan.

Adegan yang lebih mendidik adalah ibu tersebut mengajak setiap ahli keluarga untuk berfungsi dengan sama-sama memasak, menyiapkan meja makan, makan bersama dan mengemas.

Wanita yang bertindak sebagai pemudah cara bijak mengurus rumah tangga dan mempunyai lebih masa menimba ilmu dan kemahiran untuk pembangunan diri serta dapat melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti menyantuni masyarakat.

Malah menjadi pemudah cara adalah amalan asuhan yang sangat sesuai dengan fitrah anak.

Pakar kanak-kanak menekankan aspek orang dewasa menjadi pemudah cara kerana ia menyokong potensi dan melahirkan anak-anak yang lebih berdikari dan yakin diri.

Menurut ahli teori Lev Vygotsgy (1978), orang dewasa dapat menyokong seorang kanak-kanak untuk berkembang kepada tahap yang lebih tinggi dengan bantuan orang dewasa menjadi pemudah cara.

Sudah tiba masanya drama dan filem Melayu bertindak lebih mendidik dan mengubah paradigma masyarakat terhadap peranan wanita. Mereka juga harus dilihat bukan sahaja sebagai isteri dan ibu yang bijak mengurus diri dan keluarga tetapi sebagai khalifah yang mampu menala keprihatinan memimpin masyarakat ke arah pembaikan.

Al-Quranul Karim meletakkan tanggungjawab kekhalifahan di atas bahu lelaki dan perempuan. Surah At-Taubah ayat 71 menegaskan perkara ini yang mafhumnya seperti di bawah:

“ Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan sebahagian mereka adalah menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mereka taat dan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha lagi Maha Bijaksana.”

Oleh itu, filem dan drama Melayu tidak harus memaparkan kisah yang menyisihkan kaum wanita dari terus menyumbang secara aktif dalam masyarakat. Masyarakat mesti dipaparkan kisah-kisah pemimpin wanita yang fundamental dari sudut pegangan menurut Al-Quran dan Sunnah Ar-Rasul, kontemporari dari sudut pendekatan menyantuni masyarakat serta professional dan berwibawa dalam aspek pengurusan.

Pemimpin wanita yang bahagia dan tenang mampu melahirkan generasi pewaris yang bertakwa sebagai Khalifah yang memakmurkan bumi Allah ini.


”Pendidikan dalam rumah tangga dan suasana rumah di rumah itu besar pengaruhnya dalam membentuk sikap jiwa. Kebiasaan yang dilakukan, amat payah diubah.” – Pepatah Melayu.
Sekian. Wallahua’lam.

Oleh
Rosnah Ahmad
Jawatankuasa Pembangunan Keluarga dan Kebajikan
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia(JIM) Pusat.