Thursday, May 24, 2007

Jalan-Jalan yang perlu dirintis



Perkongsian World Forum On Early Care and Education (ECCE) 2007-
Jalan-jalan yang perlu dirintis.

Oleh Rosnah Ahmad.

Tempat: Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur
Tarikh : 15-18 Mei 2007

Alhamdullillah, syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan izinnya, saya berpeluang mengikuti forum di atas. Banyak sekali yang saya pelajari daripada lebih 700 delegasi yang datang dari 73 negara dari 6 benua.

Delegasi dari latarbelakang dan disiplin yang berbeza membawa bersama mesej dan suara kanak-kanak yang perlu kita peka dan peduli.

Anak-anak yatim, HIV/AIDS, terabai, miskin, keperluan khas, dalam penjara kerana ibu dipenjara, ibu bapa sibuk, mangsa peperangan dan pelbagai masalah kesihatan dan sosial.

Delegasi yang hadir bukan sahaja menolong dalam bentuk wang, tenaga dan masa, malah membuka rumah-rumah mereka untuk anak-anak ini.

Contohnya Ibu Draga dan Bapak Mirdas, pasangan suami isteri dari Indonesia mempunyai rumah anak yatim untuk anak lelaki dan membawa masuk anak-anak yatim perempuan ke rumah mereka di Jakarta. Apabila Tsunami melanda, mereka tidak berfikir dua kali untuk ke Aceh.

Antara perkara pertama yang mereka lakukan adalah mengusahakan penempatan untuk 300 anak yatim. Pasangan suami isteri ini menubuhkan Yayasan Fajar Hidayah dan sedang berusaha mengembangkan penempatan anak yatim Aceh berbentuk asrama kepada 1200 orang.





Saya juga berkesempatan berinteraksi dengan beberapa orang anak yatim Aceh yang turut hadir ke World Forum ini.

Anak-anak ini masih belum sembuh. Salah seorang anak yatim yang ditemui tidak pernah menangis. Anak ini sebenarnya menyimpan pelbagai emosi yang harus di beri penawar oleh penjaga mereka.

Ibu Draga dan Bapak Mirdas menyarankan supaya rakyat Malaysia menziarahi Aceh. Sumbangan yang boleh diberikan bukan sahaja berbentuk kewangan tetapi juga kemahiran yang boleh diajar kepada anak-anak seperti menjahit, kerja tangan dan bertukang.



Pasangan suami isteri dari Uganda, Noelina dan Patrik yang mempunyai 8 orang anak membuka rumah mereka untuk anak-anak mangsa HIV/AIDS. Anak-anak ini dalam usia yang masih kecil terpaksa menjaga ibu bapa mereka yang sakit. Mereka juga ada yang dijangkiti penyakit ini. Lebih menyedihkan mereka ditinggalkan sendirian dirumah setelah kematian ibu bapa mereka. Tiada siapa yang ingin memelihara anak yang dijangkiti penyakit ini. Kerajaan Uganda juga tidak memainkan peranan yang sepatutnya.

Noelina bercerita bagaimana dia dan suaminya rasa terpanggil untuk melawat rumah-rumah di sekitar bandar tempat tinggal mereka dan menolong keluarga-keluarga yang memerlukan bantuan. Anak yang ditinggalkan dan tanpa saudar mara diambil untuk dipelihara oleh mereka. Beliau menceritakan pengalaman berjumpa seorang kanak-kanak kecil ditinggalkan keseorangan dalam rumah dalam keadaan kebuluran dan mengalami penderitaan emosi yang kronik. Cabaran memelihara anak ini banyak sekali. Sekarang anak ini sudah berusia 16 tahun dan boleh berdikari.

Eduardo dari Mexico , pengurus kandungan saintifik dalam program klinikal La Casa de la Sak, a.c sebuah badan bukan kerajaan membantu kanak-kanak, remaja dan orang dewasa mangsa HIV/AIDS. Keadaan di Mexico parah dengan gejala sosial dan masalah dadah yang semakin meruncing.

Rana Ismail dari Lebonon pula terlibat dalam kerja-kerja sukarela membantu kanak-kanak mangsa peperangan yang menghadapi pelbagai trauma. Beliau memaklumkan bahawa ramai sukarelawan juga perlu menjalani terapi kerana sedang berusaha mengurus diri sendiri yang juga terkesan oleh peperangan. Pada masa yang sama, masa hadapan mereka terlalu goyah menyedari peperangan yang bila-bila masa boleh meletus.

Hassan dari Iraq terlibat secara langsung membantu sebahagian daripada lebih kurang 5 juta anak-anak mangsa perang di Iraq. Keadaan di Iraq juga sangat menyedihkan. Masih ramai kanak-kanak yang menderita tanpa bantuan yang sepatutnya.

Ramai lagi delegasi yang berhati mulia dan berjiwa besar yang saya temui. Moga Allah memberi hidayah dan dimudahkan segala usaha mereka.

Bila ditanya dari mana datangnya sumber kewangan bagi membiayai kerja-kerja yang sukar ini, jawapan mereka adalah sama-dari Allah. Walau apa jua pegangan ataupun kepercayaan mereka. Bagi mereka, segala yang dilakukan adalah panggilan jihad dan pertolongan Allah akan datang dari seluruh dunia.

Apapun bukan calang-calang pengorbanan yang harus mereka lakukan dan cabaran yang harus dilalui dengan tabah. Hanya kekuatan dalaman mampu membuatkan mereka terus bertahan dan berjuang.

Mengalir air mata saya bila berbual dengan mereka. Noelina berkata “kalau awak menangis mendengar cerita saya, tak tahulah bagaimana keadaan awak kalau melawat anak-anak yatim ini di rumah saya di Uganda”.

Secara berseloroh saya bertanya kalau saya kesana masih ada lagikah bilik untuk saya tumpang tidur. Dia menjawab “ Puan boleh ambil bilik saya ”. Itulah semangat yang harus kita bina dalam diri kita yang bergelar pejuang.

Selain daripada itu semua kanak-kanak di dunia sedang menghadapi banyak ancaman dari pelbagai sudut. Negara maju juga ada masalah mereka tersendiri, masalah sosial dan depresi di kalangan kanak-kanak. Sistem pengajaran dan pembelajaran tidak berpusatkan kanak-kanak tetapi lebih berpusatkan kehendak ibu bapa dan penjaga. Mereka tidak disatuni secara fitrah.

Kanak-kanak di Malaysia juga tidak terlepas dari banyak ancaman. Kualiti institusi sokongan dan pendidikan kita juga masih rendah. Nasib anak-anak kita belum terbela.

Dalam satu sesi pilihan, saya memilih untuk menghadiri sesi perkongsian “ Using 2007 Education for All Global Monitoring Report for Advocacy” . Report yang diberikan akan membantu Child Advocacy (Advocacy-the giving of public support to an idea) diseluruh dunia. Report ini sangat berguna untuk membantu child advocates diseluruh dunia memperjuangkan hak dan keadilan kanak-kanak.

Sesi perkongsian “Men in Early Childhood” juga menarik minat saya. Di serata dunia penglibatan lelaki dalam bidang ini sangat sedikit. Kanak-kanak memerlukan kesimbangan interaksi dengan orang dewasa lelaki dan perempuan. Ia juga penting bagi proses melahirkan pemimpin yang lebih berwibawa.

Satu lagi topik yang sangat dekat dihati saya adalah “ Learning with nature”. Secara fitrah, kanak-kanak belajar daripada penerokaan menggunakan pancaindera. Penerokaan dengan alam akan membawa mereka mengenal pencipta. Alam juga mempunyai pelbagai penawar.

Kesimpulannya, saya merasakan bahawa usaha saya sebagai aktivis dalam bidang penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak masih belum cukup malah terlalu kecil berbanding dengan orang lain dan kehendak keadaan sebenar.

Wahai sahabat-sahabat seperjuangan sekelian, jalan-jalan dakwah dalam bidang ini perlu terus dirintis. Kepekaan dan kepedulian kita dalam isu membabitkan kanak-kanak harus dipertingkatkan.

Bilangan aktivis bidang ini di Malaysia juga masih terlalu kecil. Kita memerlukan lebih ramai aktivis supaya suara kita lebih lantang.

Ayuh mari sama-sama kita terus keluar dari zon selesa kita dan berjihad. Moga kita tergolong dalam golongan orang-orang yang beruntung.

Al-Quran. Surah At-Taubah ayat 24.

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai—(jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada rang-orang yang fasik (derhaka)

Akhir kalam, terima kasih diucapkan kepada semua yang telah menyumbang dari bentuk kewangan, penginapan, pengangkutan, makanan dan iringan doa. Hanya Allah pemberi sebaik-baik balasan.

Tidak lupa kepada suami, anak-anak, adik-adik dan pekerja-pekerja saya yang telah banyak berkorban dan memudahkan urusan. Semoga segala pengorbanan dan sokongan akan mendapat redha dan Jannah Allah.

Segala yang baik adalah dari Allah dan segala kekurangan adalah dari diri saya sebagai hamba Allah yang kerdil.

Wallhu’alam. Sekian.

Rosnah Ahmad
Teratak Sakeenah
Kuantan, Pahnag
12.25 pagi 25 Mei 2007
bersamaan 8 Jamilawwal 1428H

Tuesday, May 22, 2007

MEMUPUK MINAT ANAK MENULIS SECARA KREATIF



Oleh Rosnah Ahmad


“ Bila anak saya nak mula belajar menulis? ”. Itulah diantara persoalan yang sering diajukan oleh ibu bapa yang baru menghantar anak ke tadika .

Semua ibu bapa sedar bahawa setiap anak mesti mempunyai kemahiran menulis dan ia adalah antara faktor penentu kejayaan anak di sekolah, universiti dan di dalam kerjaya.

Mengajar anak menulis merupakan amanah. Rasulullah SAW bersabda:

“ Hak anak atas ibu bapanya adalahlah diajarinya menulis, berenang dan memanah serta diberikan makanan yang halal.”

(Hadith Riwayat At- Tarmizi)

Ramai ibu bapa yang menganggap mengajar anak menulis bermula dengan memegang tangan anak untuk mengajar menulis ABC dan 123. Kanak-kanak sebenarnya memerlukan kemahiran yang banyak untuk menulis dan bermula lebih awal lagi.

Bayi dilahirkan dengan refleks gengaman yang sangat kuat sehingga boleh menampung berat badannya sendiri. Jika bayi diganggu dengan bunyi yang kuat atau pergerakan yang kasar secara tiba-tiba, refleks terkejut akan menyebabkan dia membuka jarinya seperti bintang. Refleks gengaman dan terkejut ini mestilah hilang sebelum kemahiran manupulatif diperolehi iaitu kebolehan menggunakan tangan dengan sengaja untuk melakukan pelbagai aktiviti temasuk menulis menggunakan pensil.

Perkembangan manupulasi tangan berlaku dengan pesat pada peringkat awal. Kemampuan fungsi tangan anak akan wujud bila sistem otak-sarafnya dibina secara bertahap-tahap. Lebih kerap fungsi-fungsi itu digunakan lebih eloklah pembangunan di tahap itu.

Oleh itu ibu bapa harus sentiasa peka pada tahap dan menyokong perkembangan mereka.
Menurut ahli teori Lev Vygotsgy (1978), orang dewasa dapat menyokong (scaffolding) seorang kanak-kanak untuk berkembang kepada tahap yang lebih tinggi. Vygotsky mengemukakan teori zone of proximal development- iaitu zon perbezaan di antara tahap atau kebolehan sediada kanak-kanak dan tahap lebih tinggi sedikit yang boleh dicapai dengan bantuan orang dewasa atau kanak-kanak yang lebih besar.



Sebagai contoh ibu bapa boleh menolong mempercepatkan refleks gengaman hilang dengan membuka jari anak satu per satu. Lakukan aktiviti dengan lagu atau nasyid. Ini mengembirakan bayi dan gengamannya akan hilang secara perlahan-lahan.

Seterusnya rasakan tapak tangan anak dengan benda-benda yang mempunyai tekstur yang berlainan seperti berbagai jenis kain, kertas dan plastik. Semua maklumat akan sampai ke otak mereka melalui deria sentuh.

Memberi bayi memegang objek yang berlainan juga akan menolong menguatkan otot jari dan tangan mereka.

Terdapat ibu bapa yang sering memarahi anak yang suka mengutip dan memasukkan apa sahaja ke dalam mulut. Apa yang sebenar berlaku adalah mereka sudah boleh menggunakan ibu jari dan jari telunjuk untuk mengambil sesuatu. Pencapaian kemahiran manupulatif yang hebat ini boleh dilatih dengan memberi anak makan sendiri makanan seperti kismis dan sayuran yang dipotong kecil.

Ada kalanya anak dilihat seperti sengaja melepaskan barang yang dipegangnya. Kini otot-otot melepaskan gengaman sedang belajar bertugas bertentangan dengan otot-otot gengaman supaya kedua-dua otot yang berlainan bekerja bersama.. Bermain memasukkan dan mengeluarkan mainan dapat membantu merangsang tahap perkembangan penting ini.

Kanak-kanak yang bebas meneroka dan diajar berdikari lebih awal akan lebih cepat memperolehi kemahiran manupulatif kerana mereka berpeluang menggunakan tangan dan jari mereka untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti makan, memakai pakaian dan bermain. Ini akan mempercepatkan lagi kesediaan mereka untuk aktiviti menulis.

Menulis dibahagikan kepada tiga peringkat utama iaitu pratulis, awal tulis dan tulis.

Peringkat pratulis bermula apabila kanak-kanak sudah boleh membuat garisan dengan pensil dan menconteng. Berilah latihan yang banyak menggunakan pergerakan halus jari mereka dengan aktiviti-aktiviti mengoyak , meramas, menggentel, melipat menguntai ,memusing, memutar, memulas, melipat, mencantum dan melarik di atas pasir atau udara.

Kanak-kanak di sekitar umur satu dan dua tahun yang didedahkan kepada aktiviti begini lebih cepat menguatkan koordinasi tangan dan mata mereka untuk persediaan menulis.




Peringkat awal tulis biasanya bermula di sekitar umur tiga tahun apabila kanak-kanak sudah boleh melukis imej yang boleh dikenali, menulis dengan sokongan dan menulis mengikut garis putus.

Di sekitar umur empat tahun kanak-kanak biasanya sudah boleh menulis tanpa sokongan. Pada peringkat ini ibu bapa mestilah lebih kreatif dan menjadikan aktiviti menulis sesuatu yang menarik dan dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian..

Saya sering menjadikan aktiviti menulis satu aktiviti yang menyeronokkan dan dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Sebelum aktiviti membeli-belah, saya menggalakkan anak-anak untuk menyediakan senarai serta kuantiti barang yang hendak dibeli seperti dua buku roti, sepatang pensil dan empat biji limau.

Biasanya mereka akan sibuk bertanya ejaan barang yang hendak ditulis. Secara tidak langsung mereka belajar mengeja pada masa yang sama. Kadang-kadang mereka gemar menggunakan pen untuk menulis, mungkin mereka merasa lebih dewasa bila dapat menulis menggunakan pen.

Ketika membeli-belah, mereka banyak belajar membaca dan mengenal angka daripada nama dan harga barang-barang yang dipilih .

Kebiasaan ini dipraktikkan juga sebelum pergi berkelah, bercuti dan balik kampung. Anak-anak juga digalakkan untuk menyiapkan barang keperluan sendiri seawal usia empat tahun. Saya dapati aktiviti begini memberi banyak kebaikan dan memudahkan kerana ia menolong memupuk sifat bertanggungjawab, berdisiplin dan berdikari dalam diri anak dengan lebih awal.

Semalam saya dapati ada sekeping nota kecil diletakkan di atas meja solek. Ianya merupakan pesanan telefon yang diambil oleh anak perempuan saya yang berumur lapan tahun semasa ketiadaan saya . Saya juga sering menerima nota kata-kata “sayang” dan kad-kad kejutan daripada anak-anak. Menerima kejutan begini menjadikan hari saya lebih bermakna.

Untuk memupuk penulisan kreatif, saya menggalakkan anak-anak untuk berkarya seperti membuat buku skrap, menulis pantun, puisi, teka-teki dan cerita pendek. Mempunyai diari sendiri juga membantu menggalakkan anak menulis dan berkarya.

Saya gemar menampal hasil karya anak-anak di rumah sebagai tanda penghargaan dan galakan buat mereka. Bila berpeluang saya juga akan menghantar hasil karya mereka ke majalah kanak-kanak untuk disiarkan.

Semua aktiviti menulis ini nampaknya seperti terlalu awal untuk dipupuk dan ianya diluar kemampuan anak. Insya-Allah dengan sedikit tunjuk ajar, kesabaran dan istiqamah, ianya boleh dilakukan dengan baik oleh anak. Kanak-kanak peringkat ini sememangnya berpotensi untuk melahirkan penulisan kreatif, kritis dan inovatif.

Menyediakan pelbagai jenis kertas, peralatan menulis dan mewarna dapat memupuk minat anak untuk menulis dalam semua peringkat. Mereka juga suka menulis menggunakan komputer jika diberi peluang.

Pada peringkat awal, janganlah terlampau memberi perhatian kepada cara anak menulis dan ejaan yang salah. Berilah kata-kata galakan dan pujian sebelum menegur kesilapan anak. Kanak-kanak banyak belajar melalui kesilapan dan jadikanlah aktiviti menulis sesuatu yang menggembirakan buat seisi keluarga.


Sekian. Wallahu’alam

TIP MENGAPA MESTI MENULIS-MENUKAR CORAK PEMIKIRAN

Sesetengah Ayat Quran, dan semua doa dan solat adalah penegasan ( affirmations) yang sentiasa kita ikrar dan ulang supaya minda bawah sedar kita selari dengan tujuan hidup kita ( our subconscious is aligned with our life purpose) dan ini akan menolong kita membentuk personaliti dan tindakan kita. ( terima kasih pada Dr. Suriya atas tip ini dari ELIT training)

Menulis kalimah toiyibah bukan sahaja sedekah yang disarankan oleh Allah tetapi juga merupakan penegasan yang efektif. Ia membantu menukar corak pemikiran yang insya-Allah akan membawa realiti kejayaan kepada kita.

Ramai dihantui oleh sempadan minda yang menganggap diri belum cukup baik dan cukup ilmu untuk menulis. Tapi sebenarnya kita memperbaiki diri dan menambah ilmu apabila kita menulis. Tanpa disedari semasa kita mencari bahan dan menulis kitalah orang pertama mendapat ilmu dan sedang membuat penegasan yang yang baik pada diri. Insya-Allah kita akan terus berubah seiring dengan usaha penulisan yang kita lakukan.

Sekiranya kita terpaksa menulis berulang-ulang kali-jangan bimbang kerana sebenarnya pengulangan dan pengukuhan sedang berlaku. Seperti kanak-kanak orang dewasa juga belajar dari pengulangan dan pengukuhan.

“Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain”.

Wallahua’lam. Sekian.

TIP KENAPA MESTI MENULIS-KEHIDUPAN ITU TARBIYAH

Setiap dari kita adalah insan yang unik dan istimewa. Kita datang dari latarbelakang keluarga, pendidikan, pekerjaan dan pergaulan yang berbeza. Perjalanan hidup kita mencari redha Allah atau spiritual journey kita juga berbeza-beza.

Kehidupan adalah tarbiyah yang mesti kita kongsi untuk dimanafaatkan oleh pembaca terutama golongan muda yang sedang mencari-cari identiti atau golongan yang sedang mencari-cari jalan keluar pada apa jua permasalahan yang sedang dihadapi.

Menulis pengalaman dari hati yang ikhlas ia akan cepat mneyentuh pembaca dan memotivasikan mereka untuk berubah. Dalam diri kita ada penawar buat diri dan orang lain, insya-Allah.

“ Publish or perish”

Wallahua'lam.Sekian.

10 TIP KELUARGA BERKUALITI CAPAI KETENANGAN

Oleh Rosnah Ahmad

Saban hari kita dipaparkan pelbagai isu dan masalah dalam masyarakat di dalam media cetak mahupun elektronik. Mutakhir ini kita dikejutkan pula dengan fenomena penganiayaan terhadap kanak-kanak oleh ibu bapa mereka sendiri.

Kejadian begini begitu menyentuh emosi dan menyebabkan kita berfikir, termenung dan berbincang mengenai realiti yang berlaku disekeliling kita hari ini.

Kecelaruan mental sangat memudharatkan , ia bukan sahaja memberi implikasi kepada individu malah ahli keluarga dan yang paling menyedihkan kepada anak-anak yang masih kecil dan tidak berdosa

Kerapuhan hubungan suami isteri dikaitkan dengan kadar kematian tidak disengajakan, kesakitan kronik, kecelaruan psikiarik penyalahgunaan bahan, kemurungan, masalah ekonomi dan cabaran penyesuaian sosial (Larson,Swyer dan Larson-1994)

Antara cabaran yang paling hebat dalam kehidupan hari ini adalah membina rumahtangga berkualiti bagi melahirkan ahli keluarga yang seimbang dan sejahtera. Keluarga yang stabil sahaja tidak memadai kerana ada banyak keluarga yang stabil tetapi tidak bahagia. Ramai ahli keluarga begini yang tertekan tetapi hanya menyimpan perasaan dan memilih untuk bersama keluarga kerana tersepit dan tiada pilihan.

Sebaliknya keluarga berkualiti melahirkan individu-individu yang tenang sepertimana firman Allah SWT dalam surah Ar-Ruum ayat 21yang bermaksud:-

“ Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antara kamu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”


Ketenangan juga adalah prasyarat kepada kebahagian dan kecemerlangan dunia akhirat.

Allah SWT berfirman, dalam Surah Al-Fajr ayat 27-30 yang bermaksud:-

“Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati lagi diredhai. Serta masuklah engkau kedalam kumpulan hamba-hambaKu yang berbahagia dan masuklah ke dalam syurgaku..”


Apapun segalanya bermula dengan niat. Sejauh mana setiap dari kita sedar keperluan ini dan bagaimana harus kita merealisasikan. Bak kata pepatah, yang pipih tak datang melayang, yang bulat tak datang bergolek. Usaha kita antara penentu kejayaan.

Berikut adalah 10 tip keluarga berkualiti-

1. Melaksanakan syariat Islam dengan bersungguh-sungguh, mendoakan kesejahteraan ahli keluarga dan dan berakhlak mulia. Kata-kata yang baik dan penghargaan menjadi amalan harian seisi keluarga

2. Memupuk dan mempamerkan kasih sayang tanpa syarat. Era telekomunikasi seharusnya memberi lebih banyak ruang dan peluang untuk berkomunikasi dan menyatakan sayang. Kanak-kanak contohnya sangat gemar berbual melalui telefon. Pasangan yang agak pemalu juga lebih mudah menyatakan sayang melalui pesanan ringkas.

3. Sentiasa peka pada perasaan ahli keluarga dan bertanya tentang perasaan mereka,. Elakkan diri daripada membuat andaian seperti “ Kakak tentu gembira hari ini” tetapi tanyalah perasaan mereka seperti “Apa perasaan kakak hari ini?”

4. Memahami gender dan tahap umur ahli keluarga contohnya kanak-kanak, remaja dan warga tua. Ini akan membantu kita untuk sentiasa peka pada perubahan-perubahan yang dilalui oleh ahli keluarga dan menyatuni mereka secara hikmah.

5. Berkongsi masalah dengan ahli keluarga. Masalah akan menjadi lebih kecil bila diceritakan kepada ahli keluarga yang menjadi pendengar yang baik, bersikap terbuka, memberi sokongan dan alternatif kepada permasalahan yang dihadapi. Galakkan anak-anak memberi pandangan dan meluahkan perasaan sejak kecil.

6. Mencintai ilmu dan sentiasa menimba ilmu dan berusaha untk kemajuan diri. Setiap ahli menyokong kepada kemajuan ahli yang lain dalam pelajaran, sukan, kerjaya dan dakwah.

7. Amalan berbincang, bermuhasabah dan tegur-menegur bantu membentuk peribadi mulia.

8. Lakukan aktiviti-aktiviti masa berkualiti bersama ahli keluarga seperti bercerita, bermanja, bergurau dan bermain bersama seperti bermain congkak dan carrom. Bersama-sama berinteraksi dengan alam ciptaan Allah SWT disekitar rumah dan kawasan kediaman. Galakkan ahli keluarga mempunyai hobi tersendiri. Aktiviti-aktiviti begini membantu menenang dan mendamaikan jiwa bagi menghadapi kehidupan hari ini yang serba cepat dan menekan .

9. Yang ringan sama dijinjing dan yang berat sama di junjung. Bantu membantu dalam urusan rumahtangga. Jadikan setiap ahli keluarga berfungsi supaya tidak ada pihak yang terbeban dengan kerja-kerja rumah.

10. Sentiasa mengaktifkan diri dalam aktiviti-aktiviti sihat bersama jiran dan masyarakat setempat. Ahli keluarga berusaha menjadi pemimpin dalam masyarakat dan mampu mengubah masyarakat disekeliling mereka.


Keluarga berkualiti adalah teras masyarakat penyayang. Semoga kita sentiasa fokus dan berusaha membina rumahtangga berkualiti dan menjadikan negara Malaysia selamat dan makmur. Insya-Allah.

“Semakin hari semakin tenang”

Sekian. Wallahua’lam.

Jumaat 23 Mac 2007
Bersamaan 5 Safar 1428H
1.30 pm.

Monday, May 21, 2007

KAIN BAJU

TIP CIPTA MASA UNTUK DAKWAH-KAIN BAJU

Kerja-kerja rumah akan menjadi satu beban kalau kita tidak mengendalikannya dengan baik. Kerja-kerja rumah seharusnya dijadikan tanggungjawab bersama keluarga supaya semua orang berperanan dan tidak ada mana-mana ahli keluarga tertentu sahaja yang terbeban dengan kerja-kerja rumah.

Kalau tak kena gaya kain bajulah yang paling banyak mengambil masa dan wang kita dan ramai wanita yang merungut dan stres pasal kerja-kerja berkaitan kain baju.

Saya memilih untuk tidak membenarkan kerja-kerja berkaitan kain baju mengganggu fikiran dan aktiviti seharian saya. Kerja-kerja berkaitan kain baju dijadikan tanggungjawab bersama dalam keluarga. Saya juga tidak meletakkan kain baju sebagai kerja yang prioriti dalam sehari kerana bimbang masa kualiti yang boleh digunakan untuk perkara yang lebih bermanaafat dihabiskan kepada kain baju.

Berikut adalah antara 12 tip yang mungkin boleh membantu.

1. Latih setiap ahli keluarga untuk bertanggunjawab terhadap kain baju sendiri.
Sediakan tempat meletakkan pakaian kotor supaya anak-anak terlatih meletakkan kain baju kotor ditempatnya dan tidak bersepah-sepah. Latih anak menjemur, mengangkat, melipat, menyimpan dan menggosok kain baju mereka sendiri.

2. Mesin basuh dan pengering(drier) juga banyak membantu. Sahabat saya Fauzian seorang guru menggunakan drier kerana menurutnya ia mempercepatkan proses kain baju dikeringkan dan boleh terus dilipat. Dia juga mendapati kain baju kurang berkedut bila menggunakan pengering pakaian.

3. Saya tidak mengkhaskan satu masa yang tertentu untuk membasuh, menjemur kain, melipat dan menggosok kain. Kami menyediakan satu bilik khas di rumah untuk memproses kain baju. Segalanya dilakukan bila ada waktu senggang dan bila saya dah letih melakukan aktiviti lain seperti membaca, menulis dan melayan anak-anak.

4. Bila musim hujan, aktiviti mengenai kain baju akan semakin bertambah. Saya menjemur kain dalam bilik khas tadi menggunakan penyangkut baju. Ini mengelakkan daripada terpaksa menghabiskan masa berulang alik mengangkat dan menjemur kain kerana hujan.

Saya juga suka menjemur kain baju menggunakan penyangkut baju kerana boleh terus disangkut dalam almari tanpa melibatkan proses melipat yang saya tidak sukai.

5. Kain baju juga boleh diletakkan dalam bakul yang bersaingan untuk setiap ahli keluarga sekiranya tidak dapat disangkut atau tidak sempat dilipat. Cuma kain baju akan berkedut sekiranya tidak dilipat/sangkut terus.

6. Sahabat saya, Shima memberi tip supaya pakaian dalam diletakkan dalam laci-laci kecil dan tak perlu dilipat.

7. Menggosok juga mengambil masa yang lama. Latihlah suami dan anak-anak menggosok pakaian sendiri bila mereka bersedia. Biasanya anak-anak saya menggosok pakaian sendiri sekitar 8/9 tahun.

Ramai yang khuatir anak terlupa menutup suis seterika dan akan menyebabkan kebakaran. Belilah sterika yang otomatik yang akan padam sendiri bila tidak digunakan setelah satu jangka masa. Kami telah lama menggunakan seterika jenis ini dan ia membantu melatih anak-anak.

8. Ramai juga kawan-kawan yang mengambil pembantu untuk kerja-kerja kain baju ni. Teringat kata Ustaz Abu Pekan dalam ceramah program keluarga Pahang lebih kurang dua tahun lepas. Dia mencadangkan kita outsourse saja kerja-kerja ini sekiranya kita terlalu sibuk atau perlu lebih masa untuk dakwah. Ini dapat memberi peluang pekerjaan kepada yang memerlukan.

9. Akhi Nahar menyarankan supaya membeli stokin yang sama warna dan jenis dalam kuantiti yang banyak seperti stokin putih dan hitam. Ini memudahkan kerana setiap satu boleh dipadankan dengan pasangan yang lain. Tidak timbul stokin hilang sebelah.

10. Anak-anak kecil sekitar empat tahun boleh dilatih supaya memilih dan mengemas pakaian sendiri dalam beg masing-masing untuk dibawa balik kampung atau percutian. Buat permulaan kita perlu membimbing mereka membuat senarai dan membantu mereka mengemas pakaian mengikut senarai.Senarai bergambar boleh digunakan untuk anak yang belum pandai menulis dan membaca.

11. Saya pantau kegunaan kain baju saya dan anak-anak dari masa ke semasa. Yang sudah tidak padan di berikan pada anak-anak saudara atau sesiapa sahaja yang memerlukan. Kalau pakaian ang tidak dipakai dalam tempoh setahun bermakna kita sudah tidak memerlukannya dan dihadiahkan kepada orang lain.

12. Pastikan kita membeli pakaian kerana keperluan dan meletakkan budget yang sesuai untuk kain baju setiap tahun supaya kita tidak membazir dengan membeli tanpa perancangan. Tanpa kita sedari kain baju mungkin mengambil banyak wang ringgit kita yang dapat digunakan untuk dakwah.

Harap kita sentiasa mencari waktu dengan kerja-kerja dakwah. Apapun sikap kita banyak mempengaruhi kejayaan kita( tunggu tip tentang sikap mempengaruhi masa kita, insya-Allah).

Banyak-banyaklah berzikir ketika melakukan kerja-kerja rumah.

Apa kata yang lain. Mungkin ada yang boleh dikongsi.

“ Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senag ke tepian”

Sekian. Wallahua’lam.

TIP CIPTA MASA UNTUK DAKWAH:PERALATAN DAPUR

Setiap dari kita dikurniakan 24 jam sehari. Masa harus dicari dan dicipta. Maksudnya kadang-kadang kita tak perasan bahawa masih ada banyak ruang masa tetapi kita tidak pandai mengurus masa dan akhirnya masa yang mengurus kita. Untuk menjadi da’i yang cemerlang kita mesti sedar bahawa masa mesti terus dicari supaya kita ada banyak masa untuk berdakwah. Kemudian mengaku bahawa kita masih belum mengoptimumkan penggunaan masa seterusnya mencari ilmu bagaimana dan akhirnya berubah. Sahabat saya Norhaini Kamaruddin mengingatkan saya jangan kata ‘saya tak ada masa’ dan “saya sibuk” kerana kata-kata adalah doa bimbang kita benar-benar tak ada masa dan sibuk dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya. PERALATAN DAPUR Saya panjangkan tip ini yang diberikan oleh sahabat saya Solehah Abdullah ketika berkunjung ke rumah saya baru-baru ini. Beliau adalah Australian yang masuk Islam lebih 20 tahun lalu dan mempunyai 7 orang— 6 lelaki dan 1 perempuan berumur antar 25 dan 14 tahun. Peralatan dapur terutamanya pinggan, mangkuk, cawan dan periuk belanga sebenarnya banyak memgambil masa kita untuk dibasuh dan disimpan. Secara idealnya setiap ahli keluarga mesti membasuh dan menyimpan sendiri peralatan yang digunakan dan saling tolong menolong tetapi untuk menerapkan sikap bertanggungjawab ini kita mesti ada kaedah memastikan ianya berlaku. Letakkan hanya bilangan peralatan yang secukupnya untuk kegunaan seisi keluarga. Ini mengelakkan anak-anak terutamanya menggunakan selagi ada pinggan, mangguk serta cawan dan dihimpunkan dalam sinki atau atas meja tanpa di basuh. Tip ini menggalakkan mereka membasuh peralatan apabila tiada lagi peralatan yang bersih yang hendak diguna . Kita juga boleh melabel peralatan masing-masing. Jadi setiap orang terpaksa menjaga, membasuh dan menyimpan peralatan setelah digunakan. Saya telah mencuba tip ini dan memang berbaloi. Saya mula dengan menyimpan peralatan yang tidak digunakan setiap hari. Untuk pinggan mangkuk dan cawan saya menyimpannya dalam bekas plastik bertutup yang besar (baru-baru ni ada sale kat Giant) supaya tidak berhabuk dan boleh terus digunakan bila ada tetamu datang. Latihlah anak-anak untuk melakukan kerja-kerja rumah. Bahagikan tugas mengikut minat anak dan latihlah anak secara beransur-ansur. Selamat mencuba. Mungkin ada tip lain yang lebih baik dan ada manafaatnya. Mari berkongsi. Yang ringan sama dijinjing yang berat sama dijunjung. Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Wallahua’lam. Sekian.

TIP 35: PRODUK ATAUPUN KAEDAH

Sebagai pengusaha tadika, saya sering ditanya apakah produk atau buku yang digunakan bagi pengajaran dan pembelajaran di tadika terutama pada masa-masa begini apabila ibu bapa sedang sibuk mencari tadika yang sesuai untuk anak-anak mereka pada sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi..

Apa yang lebih penting adalah apakah kaedah atau pendekatan yang digunakan oleh sesebuah tadika bukannya jenama sesuatu produk, program atau keluaran mana-mana penerbit buku.

Contohnya bagi bacaan bahasa inggeris, kaedah fonetik seperti smart reader, phonic reader dan pelbagai lagi jenama produk yang ada di pasaran yang menggunakan kaedah ini. Ada juga yang menggunakan kaedah recognition/whole language seperti Peter and Jane dan Sunshine (kalau tak silap saya). Terdapat buku-buku di pasaran yang menggunakan kaedah asas seperti mengeja dan menambah perbendaraan kata.

Setiap produk ada kebaikannya dan elok atau tidaknya sesebuah tadika tidak bergantung kepada produk yang digunakan. Apa yang penting adalah sejauh mana kefahaman dan penghayatan pengusaha dan guru terhadap konsep pendidikan awal kanak-kanak dan kurikulum prasekolah yang menekankan aspek-aspek perkembangan kanak-kanak yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu. Ini dicapai melalui komponen-komponen kerohanian dan moral, bahasa dan komunikasi, kognitif, fizikal, sosio-emosi serta kreativiti dan estetika.

Pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dengan tahap perkembangan diri, keperluan, bakat dan minat serta latar belakang kanak-kanak adalah pendekatan bertema dan melalui bermain dalam suasana yang menggembirakan serta pengajaran yang bermakna.

Bagi komponen bahasa dan komunikasi contohnya kanak-kanak bukan hanya perlu pandai membaca dan menulis tetapi objektifnya adalah mencapai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi iaitu:

 mendengar dan menyatakan apa yang didengar,
 bertutur dengan sebutan yang betul dan bahasa yang bertatasusila,
 membaca dan menceritakan isi bacaan dengan peringkat perkembangan kanak-kanak dan
 menulis perkataan dan ayat mudah yang betul

Objektif ini dicapai melalui hasil pembelajaran yang dirancang sepanjang tahun. Aktiviti-aktiviti pembelajaran dijalankan menggunakan pelbagai strategi seperti penerangan, perbincangan, demonstrasi, latihan, main peranan, lakonan, bercerita, nyanyian, pergerakkan dan aktiviti kreatif.

Pada pendapat saya, adalah sukar untuk mendapatkan satu produk yang betul-betul menepati konsep pendidikan prasekolah. Oleh itu saya tidak terikat kepada mana-mana produk atau buku secara total. Kami di tadika banyak merancang aktiviti dan membuat sendiri lembaran kerja yang lebih sesuai dan menepati. Kalau ada pun buku yang digunakan, ia hanya satu daripada bahan-bahan yang digunakan bagi membantu mencapai objektif pembelajaran tertentu.

Sayangi dan dekatilah anak-anak kita sementara masa masih ada. Jangan ada perasaan bosan dengan kerenah anak-anak. Anak-anak adalah penghibur dan hadiah yang paling berharga anugerah dari illahi. Kita perlu bersyukur dengan nikmat masa bersama yang masih ada. Selalu ingat bahawa ramai ibu bapa yang sedang diduga dengan kehilangan anak-anak yang disayangi.


Wallahua’lam.

TIP 34:DUKUNG-AWAS JANGAN JADI KEBIASAAN

Kanak-kanak kecil terutama yang belum boleh berjalan memang perlu didukung untuk membawa mereka dari satu tempat ke satu tempat. Mereka juga merasa selamat dan disayangi apabila didukung.

Tetapi kita harus berwaspada supaya ianya tidak menjadi kebiasaan bagi anak untuk sentiasa minta didukung terutama semasa kita bekerja contohnya ketika memasak.

Saya pernah melihat anak berusia 3 tahun masih didukung oleh ibunya semasa memasak. Jika tidak dia akan menangis. Pembantu rumah dari Indonesia juga biasa mendukung anak dalam kain gendung sambil melakukan pelbagai kerja-kerja rumah.

Perkara ini biasanya terjadi apabila anak merengek atau menangis kerana memerlukan sesuatu atau meminta perhatian ketika ibu atau pengasuh sedang bekerja. Lalu anak didukung kerana tak tahan dengan tangisan dan rengekan mereka.

Apa yang patut dilakukan adalah berhenti seketika untuk memenuhi keperluan anak. Cuba alih perhatian mereka dengan menyediakan permainan yang mereka sukai atau galakkan mereka bermain dengan kakak, abang atau ayah.

Jika tiada orang lain di rumah, letakkan anak dalam baby cot sementara kita membuat kerja supaya anak selamat. Kita boleh menolak baby cot berhampiran pintu dapur supaya anak dapat melihat aktiviti. Ini memenangkan mereka yang biasanya takut apabila ditinggalkan bersendirian.

Anak boleh didukung sekali sekala tapi mesti sering dilepaskan. Amalan terlalu lama mendukung atau mendukung anak semasa bekerja bukan sahaja berbahaya tetapi juga yang akan menyekat perkembangan anak secara menyeluruh.

Memang betul ketika didukung anak akan rasa selamat dan dapat belajar melalui pemerhatian semasa mengikuti segala aktiviti ibu atau pengasuh mereka. Tetapi kanak-kanak kecil perlu dibiarkan bebas meneroka dalam persekitaran yang akan mengalakkan perkembangan mereka. Mereka perlu melakukan aktiviti yang lebih berbentuk fizikal, sosio-emosi dan kognitif.

Dari pemerhatian saya, anak yang sentiasa didukung akan mengalami perkembangan fizikal yang agak lambat kerana mereka kurang berlatih contohnya apabila anak sudah pandai menjulur, mereka harus digalakkan menjulur sebanyak mungkin supaya mereka boleh mencapai tahap yang lebih tinggi iaitu merangkak. Perkembangan motor halus juga agak lambat kerana mereka kurang menggunakan tangan dan jari mereka untuk memanupulasi mainan.

Mendedahkan anak kepada aktiviti fizikal sangat penting kerana ianya baik untuk membina sistem otak-saraf mereka. Ianya juga penting bagi memperkukuhkan imbangan dan interaksi hemispera otak kanan dengan hemispera otak kiri. Ini dapat mengelakkan daripada masalah dyslexia. System otonomik anak turut diperkukuhkan dan ini amat penting bagi mengatasi masalah “ anak kencing malam” . ( petikan dari buku Apa, Mengapa dan Bagaimana II- Kaedah dan Program NURY oleh Mansor Haji Sukaimi).

Anak yang terlalu kerap didukung juga mempunyai emosi yang agak kurang sihat. Mereka lambat berdikari, tidak suka bergaul dan susah untuk menyesuaikan diri kerana terlalu “attached” dan rasa tidak selamat sekiranya ditinggalkan oleh ibu atau pengasuh

Mencegah lebih baik dari mengubati. Sekiranya tabiat ini sudah terjadi bolehlah cuba beransur-ansur untuk tidak mendukung anak secara berlebihan. Alihkan perhatian mereka kepada orang lain dan galakkan mereka bermain dan bergaul.

Sekian. Wallahua’lam.

PANDUAN IBU BAPA BENDUNG MASALAH ANAK MENGAMUK

Friday, May 18, 2007
Panduan ibu bapa bendung masalah anak mengamuk

Bicara Kalbu: Panduan ibu bapa bendung masalah anak mengamuk

SAYA mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun yang aktif dan cerdik. Masalahnya sejak kebelakangan ini dia sering mengamuk jika kemahuannya tidak dipenuhi dan ada ketikanya dia membaling apa saja yang ada dalam genggamannya, merebahkan diri ke lantai serta pernah juga dia cuba memukul saya.


Seperkara lagi, jika anak saya menangis, dia akan terus menangis sehingga saya datang memujuknya. Dia juga sekarang menjadi seorang yang penakut. Saya risau jika perangainya berlarutan hingga besar.

Ibu Risau,
Kuala Lumpur.

PAKAR kanak-kanak mendapati anak berumur antara 16 bulan hingga tiga tahun akan selalu mengamuk atau throw temper tantrums. Ini adalah perkembangan yang normal kerana kanak-kanak peringkat itu mempunyai kemahuan tinggi dan mereka juga egosentrik atau mementingkan diri (terutama pada umur dua tahun). Mereka juga sedang belajar untuk menjadi lebih berdikari dan suka melakukan sendiri banyak perkara.

Kanak-kanak peringkat itu juga akan mengamuk kerana kecewa apabila tidak dapat melakukan tugasan atau memanipulasikan mainan seperti kehendak mereka. Mereka akan mengamuk apabila permintaan tidak dipenuhi dan mendengar perkataan ‘jangan’.

Walaupun mengamuk adalah satu perkembangan normal tetapi sebagai ibu bapa, kita mesti menolong anak mengawal tabiat itu. Ia hendaklah dibendung sejak mula perkembangannya.

Disertakan beberapa panduan bagaimana menghadapi anak yang suka mengamuk. Harap membantu. Juga boleh layari www.rentis.blogspot.com untuk penulisan saya yang lain berkaitan kanak-kanak.

Kita boleh mengawal tabiat mengamuk dengan cara:

# Mengalih perhatian anak apabila nampak simptom seperti hendak mengamuk seperti muka anak merah atau mula hendak menangis.

Pernah seorang ibu menangis apabila anaknya mengamuk dan meragam. Melihat ibunya menangis, anak itu bertanya kenapa ibunya menangis. Jawab ibu itu, dia menangis kerana anaknya yang baik meragam.

Mendengar jawapan ibunya, anak itu berhenti meragam lalu terus memeluk dan mencium ibunya. Cara ini mungkin boleh dilakukan oleh ibu dalam usaha memujuk anak yang menangis dan meragam.

# Tenang menghadapi kerenah anak. Bacakan untuk diri anda surah al-Inshirah untuk menenangkan diri. Berdoalah dalam hati supaya Allah berikan kekuatan minda dan jiwa untuk menjadi ibu yang baik, sabar dan penyayang. Berdoalah untuk anak anda dan tiupkan di ubun-ubunnya dengan penuh kasih sayang.

Elak daripada memarahi atau menjerit pada anak kerana tidak akan membantu. Berbual dengan anak dan terangkan kenapa dia tak boleh atau tidak dapat melakukan sesuatu. Jika anak mengamuk kerana tidak dapat melakukan sesuatu tugasan atau permainan, cuba beri tugasan atau permainan lebih mudah atau bantu anak untuk mencapai objektifnya. Memberi pelukan dan ciuman kasih sayang juga membantu.

# Jika anak terus mengamuk, cuba jangan peduli dan tinggalkan sekejap. Dr Hugh Jolly dalam bukunya, A book of child care, memberikan seorang akan memberikan persembahan yang lebih baik di hadapan penonton. Saya dapati panduan ini mujarab untuk anak saya dan kebanyakan anak di Taska. Jadi, jika anak terus mengamuk jangan perhatikan. Cuma pastikan anak selamat kerana ada budak yang akan mencederakan diri seperti menghantuk kepala ke lantai apabila mengamuk. Ada juga yang menjadi sesak dan sukar bernafas.

# Apabila anak berhenti mengamuk, bincang dengan mereka kenapa perangainya tidak elok dan kenapa permintaannya tidak boleh dipenuhi. Terangkan juga bahawa kita akan tegas dengan pendirian kita.

# Tegas dan elakkan daripada mengalah dengan kehendak anak dan memenuhi permintaannya yang tidak sepatutnya kerana kanak-kanak memang bijak. Sekali kita mengalah apabila anak mengamuk, mereka akan tahu kelemahan kita dan akan mengamuk setiap kali keperluannya tidak dipenuhi. Juga jangka masa mengamuk akan lebih panjang.

Beberapa bulan lalu, anak lelaki kecil saya mula mengamuk apabila kehendak hatinya tidak dituruti. Saya ambil pendekatan tidak peduli. Selepas dua tiga kali, dia tidak mengamuk lagi.

Apabila buat tidak tahu dia akan berhenti mengamuk. Selepas itu dia cuba menarik perhatian dan apabila anak saya sudah berusaha, barulah saya memeluk, berbincang dan dia akan kembali tenang.


Jawapan disediakan oleh Rosnah Ahmad dan Pensyarah Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, Prof Madya Dr Umi Kalthum Ngah, dengan kerjasama Wanita JIM (wanitajim0@yahoo.com)

Posted by Wanita JIM Mekar Ceria at 2:03 PM 0 comments

PENGASUH JUGA PERLU HARI KHAS KENANG JASA

Pengasuh juga perlu hari khas kenang jasa
18 Mei 2007


Oleh Rosnah Ahmad

KITA baru saja meraikan hari guru dan hari ibu yang disambut meriah di seluruh negara. Lain pula halnya dengan hari pengasuh, ia tidak begitu diketahui dan disambut.

Berbeza dengan hari guru yang disambut meriah pada peringkat sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan, guru akan menerima pelbagai hadiah sebagai tanda penghargaan daripada anak didik mereka. Sebaliknya, anak asuhan masih terlalu kecil untuk mengerti dan menghargai pengasuh mereka.

Kesedaran ibu bapa mengenai perkara itu juga masih belum meluas. Jika adapun hari pengasuh, hanya disambut oleh persatuan pengasuh peringkat negeri dan daerah untuk meraikan semua pengasuh yang mengasuh anak di rumah, Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) dan di Pusat Jagaan Harian.

Contohnya, Persatuan Pengasuh Negeri Pahang (PPNP) mengadakan sambutan hari pengasuh pada setiap Jun. Bagaimanapun, tiada tarikh khas diperuntukkan untuk sambutan hari pengasuh peringkat kebangsaan.

Selain ibu bapa, di tangan pengasuh terletak satu amanah besar. Mereka antara sekolah pertama dalam hidup kanak-kanak. Contoh paling unggul ialah Rasulullah SAW dititipkan kepada ibu susuannya iaitu Halimah Sa’diah untuk disusukan dan diasuh. Nabi Musa juga mempunyai ramai pengasuh di istana Firaun. Menurut seorang mahaguru pendidikan Islam, Abdullah Nasih Ulwan, kecemerlangan anak adalah satu natijah amalan dan pengalaman yang dilalui dan tersemat dalam jiwa anak sejak lahir hingga usia enam tahun.

Begitulah besar kesan tarbiyah pada usia muda anak. Jadi, apakah peranan dan tanggungjawab pengasuh?

Tugas mereka bermula daripada perkara paling asas iaitu menjaga makanan, pakaian, kebajikan dan keselamatan anak sehinggalah kepada menerapkan nilai murni untuk pembentukan peribadi Muslim. Pengasuh juga murabbi yang mengasuh dan mendidik ilmu akademik dan ilmu akhirat kepada anak.

Antara peranan utama mereka adalah sebagai qudwah hasanah. Segala pertuturan, tingkah laku dan amalan mereka menjadi contoh dan ikutan anak.

Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud, bahawa bala daripada Allah tertahan di antara langit dan bumi apabila masjid masih dimakmurkan, anak masih dididik dengan Islam dan al-Quran masih dibaca.

Kerana amanah ini, Allah juga menjanjikan banyak ganjaran kepada pendidik melalui firman-Nya yang bermaksud: “Allah meninggikan darjat orang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Surah al-Mujaadalah, ayat 11)



Penulis adalah pengusaha Taska/Tadika di Kuantan, Pahang, dan boleh dihubungi di wanitajim0@yahoo.com




Sumber: Berita Harian 18 Mei 2007

Tuesday, May 1, 2007

TIP 33: MEMAHAMI KANAK-KANAK

Setiap dari kita harus memahami kanak-kanak supaya kita dapat menyatuni mereka dengan lebih tenang dan sesuai dengan fitrah.

Berikut adalah senarai yang dapat saya kumpulkan.

1. Perkembangan kanak-kanak mengikut corak yang boleh dijangka. Corak perkembangan yang sama iaitu dari satu tahap ke satu tahap yang lain iaitu kanak-kanak akan berdiri sebelum berjalan.

2. Kadar kemampuan,kecekapan dan kecepatan perkembangan setiap tahap adalah berbeza walaupun kanak-kanak berada pada tahap yang sama.

3. Kanak-kanak juga berkembang lebih cepat dalam bidang tertentu daripada bidang lain. Sebagai individu mereka juga mepunyai minat, keperluan dan motivasi yang berbeza.

4. Kanak-kanak berlajar dengan cara tersusun iaitu dari senang kepada susah dan daripada umum kepada khusus. Mereka minat,ingin tahu dan bersemangat mempelajari dan meneroka perkara baru. Mereka juga tidak takut pada kegagalan dan sering belajar dari kesilapan.

5. Kanak-kanak memerlukan kemahiran sebenar iaitu belajar berinteraksi bermula dengan benda-benda konkrit sebelum kepada yang abstrak.

6. Kanak-kanak belajar melalui bermain secara fitrah kurniaan Allah SWT dan melalui bermain mereka boleh meneroka melalui 5 deria (melihat, mendengar, merasa, menyentuh dan menghidu) yang menjadi lebuhraya ke otak

7. Kanak-kanak sangat suka kepada cerita dan nyanyian terutama yang berkaitan dengan binatang. Cerita dan nyanyian dapat memberi pelbagai mesej berguna kepada kanak-kanak.

8. Mereka sangat bertenaga dan suka bergerak. Oleh itu mereka mempunyai tumpuan yang singkat. Cara pengajaran dan pengajaran mestilah menggunakan bahan dan kaedah mesti menarik. Mereka juga suka kepada warna-warna yang terang.

9. Kanak-kanak suka kepada pujian dan pengukuhan melalui ganjaran. Ini membantu membina keyakinan diri mereka.

10. Perkembangan bahasa mereka masih terhad. Kadang-kadang mereka gagal menyatakan keperluan dan kehendak mereka dengan jelas. Ini membuatkan mereka kecewa dan buat perangai. Cubalah fahami keperluan dan kehendak mereka dan selalulah bercakap dengan mereka untuk meningkatkan perkembangan bahasa.

11. Kanak-kanak suka meniru dan menjadikan orang dewasa disekeliling mereka sebagai role-model.

12. Kanak-kanak juga belajar melalui pengulangan. Jadi untuk menerapkan sesuatu kita perlu mengulang beberapa kali.

13. Kanak-kanak suka meminta kepastian terhadap apa yag mereka ingin lakukan. Sentiasa galakkan mereka membuat pilihan sendiri dan nyatakan sokongan kita.

14. Kanak-kanak suka bergaul dan berinteraksi dengan rakan sebaya. Beri peluang kepada mereka dan elakkan daripada terlalu mengongkong.

15. Kanak-kanak agak egosentrik atau suka mementingkan diri terutama yang berumur dua tahun. Fahamilah dan bantulah mereka untuk belajar berkongsi dan memahami orang lain secara perlahan.

16. Kanak-kanak sangat dekat dengan alam ciptaan Allah. Latihlah mereka memelihara dan menghargai alam sekitar.

17. Kanak-kanak membesar secara natural dalam persekitaran yang sihat, kondusif dan penuh kasih sayang. Ibu bapa harus menjadi pemudahcara dalam meningkatkan perkembangan mereka secara menyeluruh.

Memahami kanak-kanak juga membantu semua ibu bapa dan guru untuk menyediakan persekitaran, memberi rangsangan, motivasi dan pengalaman pembelajaran yang optimum.


“ Sayangi dan dekatillah anak-anak kita”
Sekian. Wallahua'alam.

TIP 32: HIMPUNAN DOA UNTUK ANAK

Semua pembaca yang dirahmati Allah,

Doa memainkan peranan penting dalam pembentukan sebuah keluarga bahagia dan baiti jannati . Sebagai ibu bapa kita perlu sentiasa mendoakan kesejahteraan anak-anak.

Semua kata-kata, keyakinan, doa, harapan dan impian ibu bapa adalah sebenarnya doa dan akan terkesan ke dalam jiwa anak-anak. Doa mestilah disusuli dengan tindakan yang hikmah dalam cara kita membentuk peribadi anak-anak.

Saya ingin berkongsi doa-doa yang saya biasa amalkan dalam menangani karenah anak sendiri dan juga anak jagaan di taska dan tadika. Ianya adalah kumpulan doa yag banyak saya petik hasil dari pembacaan selama ini terutama daripada Ustazah Hajjah Nasiyah Abdul Razak-Pengasas Rumah Qiraati Nurhidayah, Taman Melawati Selangor. Moga Allah memberkati beliau sekeluarga.

Untuk membantu anak mudah belajar dan menelaah pelajaran, baca zikir Ya-Latif sebanyak 129 kali diikuti surah as-Syura ayat 19 yang bermaksud:

“ Allah itu lemah lembut kepada hamba-hambaNya: Ia mengurniakan kepada siapa yang dikehendaki. Padahal, Dialah Yang Kuat, Yang Gagah.”

Sebaiknya dibaca selepas subuh iaitu dibaca pada air untuk minuman dan masakan seisi keluarga.

Ketika memasak, sentiasa basahkan lidah dan bacakan doa Surah al- Imran ayat 200 yang bermaksud:

“ Hai orang-orang yang beriman! Sabarlah dan lawanlah sabar, dan bersedialah dan berbaktilah kepada Allah supaya kamu mendapat kejayaan.”

Diikuti pula dengan memperbanyakkan zikir Ya Hayyu, Ya Quyyum, Ya Latiff dan Ya Rahman berulang-ulang. Kesemua ini insya-Allah adalah doa pelembut hati.

Juga Surah Toha ayat 1-8, Surah ar-Rahman ayat 1-4 dan surah al-Insyirah dibaca dalam aktiviti lain seperti semasa menemani anak menelaah buku-buku dan membaca al-Quran.

Bagi ibu-ibu yang bercita-cita mendapat zuriat yang baik elok amalkan surah al-Imran ayat 38 iaitu doa nabi Zakaria a.s yang bermaksud:

“ Wahai Tuhanku! Berikan kepadaku dari pihak-Mu keturunan yang baik, kerana sesungguhnya Engkaulah pendengar doa.”

Kita juga digalakkan menyentuh dengan lembut ubun-ubun anak dengan tangan kanan sambil berdoa dan menyatakan harapan. Petua membaca doa dan harapan semasa anak baru lelap kerap saya amalkan apabila anak ada masalah emosi atau tingkah laku.


Selain itu, selepas sembahyang lima waktu, saya mengamalkan doa dari surah al-Furqan-74 yang bermaksud, “ Tuhan kami, Anugerahkanlah kami isteri-isteri dan keturunan kami yang menyenangkan hati, dan jadikan kami imam bagi orang yang bertakwa” dan surah Ibrahim ayat 40 yang bermaksud:

“ Wahai tuhanku, Jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang menegakkan solat. Wahai Tuhanku! Kabulkanlah doa kami.”

Sebaik-baik memohon doa adalah diwaktu tengah malam. Seringlah bangun sepertiga malam untuk mendirikan solat solat sunat dan mendoakan kesejahteraan keluarga. Sebutlah nama anak secara spesifik untuk doa lebih berkesan.

Jadikanlah doa antara teknik berkesan membentuk peribadi anak-anak. Selamat mencuba.

“ Doa itu senjata orang mukmin”

Sekian. Wallahu'lam.

TIP 31: PENJELASAN

Anak saya Nurin Husna ( 11 tahun ketika itu) pada satu pagi meminta dibelikan sesuatu untuk keperluan sekolahnya. Dia agak mendesak supaya ianya ditunaikan segera. Pada hari itu saya tidak bepeluang pergi ke kedai kerana pulang lewat dari kerja. Apabila pulang ke rumah, Nurin menyuarakan ketidakpuasan hatinya kerana permintaannya tidak saya penuhi dan terus merajuk.

Setelah dia agak tenang, saya memberi penjelasan bahawa orang dewasa mempunyai banyak tanggungjawab dan tugas yang perlu dilaksanakan. Sebagai anak dia harus memahami bahawa keperluan mereka insya-Allah akan ditunaikan tetapi kadang-kadang sesuatu itu akan mengambil sedikit masa kerana kekangan masa, tenaga atau kewangan.

Kanak-kanak sememangnya agak mementingkan diri sendiri atau egosentrik. Mereka merasakan kehidupan hanya berpusat pada diri mereka dan tidak menyedari bahawa orang lain juga mempunyai tanggungjawab dan kewajiban yang jauh lebih penting.

Peranan kita sebagai ibu bapa atau orang dewasa adalah untuk selalu memberi penjelasan dengan sabar dan bijak kepada anak sejak kecil supaya fikiran, perasaan dan tindakan mereka terbimbing ke arah kebaikan.

Penjelasan mestilah sentiasa diberi dari masa ke semasa dan akan lebih berkesan apabila mengikut situasi atau melalui kiasan cerita.

Sering juga saya ditanya tidakkah anak-anak atau suami merasa tersisih kerana kadang kala saya memang agak sibuk dengan kerja-kerja dakwah dan kerjaya.

Setiap kita akan menghadapi masalah tetapi kita harus belajar menghadapi dan menukarkan masalah kepada kekuatan dan peluang. Apa yang saya sering lakukan adalah memberi penjelasan kepada suami dan anak-anak tentang tugas, tanggungjawab dan peranan yang saya harus tunaikan sebagai hamba Allah. Kemudian menjelaskan kepada mereka bahawa sebagai ahli keluarga mereka juga mempunyai tugas, tanggungjawab dan peranan yang harus ditunaikan. Setiap ahli keluarga mesti berfungsi untuk lengkap melengkapi, bertolak-ansur dan memahami antara satu sama lain.

Saya memotivasikan anak dengan menerangkan ganjaran pahala yang Allah janjikan kepada anak-anak yang memudahkan usaha ibu bapa untuk mewakafkan hidup mereka untuk dakwah. Insya-Allah dengan cara ini Allah akan memudahkan juga mereka dalam banyak perkara seperti pelajaran dan pergaulan.

Dengan izin Allah anak-anak yang jelas tentang peranan, tanggungjawab dan tugas ibu bapa mereka akan mudah memahami, menjadi lebih berdikari dan berkeyakinan. Cuma biasalah anak-anak sentiasa perlu diambil hati, diberi perhatian dan belaian. Disinilah pendekatan masa berkualiti sangat berguna.

Sekian. Wallahu'alam

TIP 30: RAIKAN KEJAYAAN-KEJAYAAN KECIL ANAK

Meraikan kejayaan-kejayaan kecil anak adalah sesuatu yang sangat penting untuk kita amalkan kerana kejayaan -kejayaan yang kecil membawa kepada kejayaan-kejayaan yang lebih besar.

Untuk itu kita mestilah sentiasa prihatin atas usaha-usaha kecil anak melakukan sesuatu kebaikan atau meninggalkan sesuatu yang kurang baik. Berilah ganjaran seperti pujian dan galakan kepada anak satu tahun yang berusaha makan sendiri walaupun banyak nasi yang tumpah dan comot. Elakkan daripada memuji apabila anak hanya melakukan dengan sempurna iaitu bila tiada nasi yang tumpah dan tidak comot.

Meraikan hanya kejayaan-kejayaan yang besar contohnya apabila anak berjaya mendapat 5A daam UPSR boleh mengakibatkan sindrom “saya tidak cukup baik” dalam diri anak. Ia boleh menyebabkan anak memberi tekanan yang tidak realistik kepada diri mereka demi untuk mengambil hati ibu bapa. Dengan lain perkataan mereka akan hilang penghargaan kendiri atau 'self-worth'.

Jadi selalulah meraikan kejayaan-kejayaan kecil anak dengan segera dan berterusan melalui kata-kata penghargaan, sentuhan , ciuman, membawa anak berjalan atau memberi hadiah. Insya-Allah mereka akan terdorong untuk lebih cemerlang.

Saya lebih suka memberi ganjaran berbentuk aktiviti seperti bercerita dan bermain. Aktiviti-aktiviti begini memberi kesan jangka panjang yang lebih besar dan mendalam dalam jiwa anak. Selain pujian dan penghargaan terhadap anak, saya akan bercerita atau bermain bersama anak. Selalunya saya membenarkan anak memilih cerita dan mainan yang mereka gemari. Sekiranya anak menunjukkan perubahan yang besar dan ketara seperti peningkatan dalam pelajaran dan akhlak, saya akan mengajak mereka keluar bersiar-siar atau makan-makan.

Sekian. Wallahu'alam

TIP 29: SAYANG EMAK ATAU AYAH

Tidak semua soalan baik untuk diajukan kepada anak-anak. Elakkan daripada bertanya,
" adik sayang mak atau abah?". Soalan begini akan mengelirukan anak dan lebih memudharatkan apabila anak mungkin menyangka bahawa mereka harus memilih samada untuk sayang mak atau abah.

Ada ibu atau bapa yang bertanya soalan begini apabila menghadapi masalah dengan pasangan dan mengheret anak-anak dalam kemelut permasalahan mereka. Tindakan begini sebenarnya sangat memudharatkan emosi anak dan seterusnya boleh mengakibatkan masalah tingkah laku.

Apa yang kita sepatutnya lakukan adalah sentiasa memupuk kasih sayang anak terhadap semua orang dalam apa keadaan sekalipun.

Fitrah anak-anak sememang penuh dengan perasaan kasih sayang. Suburkanlah supaya mereka menjadi insan yang pengasih dan penyayang kepada semua makhluk.

Sekian.Wallahu'alam.

TIP 28: SEIMBANG

Dari masa ke semasa seorang isteri dan ibu yang berkerjaya kadang-kadang hilang fokus dan keseimbangan dalam menjalankan banyak kewajipan dan amanah di muka bumi ini. Pendekatan yang biasa saya ambil adalah meletakkan keutamaan untuk mengimbangi tugas untuk kesejahteraan diri dan keluarga.

Bercakap pasal ' seimbang', apabila dikaitkan dengan perkembangan anak-anak ianya merupakan sesuatu yang amat penting. Anak-anak mestilah diasuh dan dididik supaya mencapai perkembangan yang menyeluruh dan seimbang dari segi 6 komponen utama iaitu rohani/moral, fizikal, kognitif, sosio-emosi, bahasa dan kreativiti & estetika.

Setiap tahun ramai yang mencari taska, tadika dan pusat jagaan untuk menghantar anak-anak . Adalah penting untuk kita sentiasa peka terhadap keperluan sahsiah anak-anak yang dibina melalui 6 komponen utama ini. Apa yang membimbangkan, mutakhir ini ada banyak institusi taska, tadika dan pusat jagaan yang menggunakan pendekatan program yang kurang seimbang. Banyak yang menumpukan kepada akedemik dan kaedah "CEPAT" untuk semua perkara. Bukan 100% salah tetapi sekiranya ianya tidak diimbangi oleh komponen-komponen lain terutama dari segi sosio-emosi dan rohani ianya adalah memudharatkan.

Kenapa saya berkata begitu? Ianya adalah kerana banyak program yang ada dalam pasaran hanya memfokuskan untuk mencapai matlamat jangka pendek iaitu anak-anak boleh membaca, menulis dan mengira dengan baik untuk persediaan tahun satu. Tidak dinafikan semua ini penting tetapi aspek-aspek perkembangan yang lain tidak kurang pentingnya. Sekira hanya akedemik ditekankan banyak perkara asas akan ditinggalkan sedangkan perkara-perkara ini juga sama penting untuk kehidupan seorang kanak-kanak.

Sebuah institusi pendidikan prasekolah yang baik menawarkan program yang menekankan aspek-aspek perkembangan menyeluruh dan seimbang. Pendekatan ini sesuai untuk pembangunan insan.

Adalah membimbangkan juga sekiranya matlamat yang terlalu cepat dan tidak realistik diletakkan pada anak-anak. Ini akan memberi tekanan dalam diri anak. Ini akan menyebabkan banyak masalah emosi dalam diri anak. Kajian hari ini mendapati EQ mengatasi IQ melebihi 80% dalam menentukan kejayaan seseorang.

Kreativiti dan estetika juga satu komponen yang penting. Pastikan program yang ditawarkan mengandungi komponen ini. Saya dapati banyak tadika contohnya kurang menggalakkan perkara ini. Kanak-kanak terlalu banyak menghabiskan masa dengan mewarna dan mengisi tempat kosong dalam buku kerja.

Cara ini sebenarnya tidak bagus dan banyak yang membunuh kreativiti kanak-kanak. Kanak-kanak harus digalakkan berkreatif secara bebas seperti melukis mengikut kreativiti sendiri. Aktiviti berkreatif secara berkumpulan juga sangat bagus untuk memupuk sikap bekerjasama dan bertoleransi dalam diri anak

Pendekatan yang lebih baik dan memenuhi kehendak Jabatan Pelajaran Malaysia adalah belajar melalui bermain, bersepadu dan pendekatan bertema.

Pendekatan-pendekatan ini memang sesuai dengan fitrah kanak-kanak. Pendekatan belajar melalui bermain adalah satu pendekatan yang terancang dan berstruktur dengan menggunakan bahan yang konkrit dan menarik bagi memberi peluang pada kanak-kanak belajar dalam suasana yang menggembirakan dan bermakna.

Pendekatan bersepadu pula membantu kanak-kanak memahami hakikat kehidupan sebenar iaitu saling bekaitan di antara satu sama lain. Mereka melihat pembelajaran secara menyeluruh dan tidak memisahkan pembelajaran kepada subjek yang berbeza.

Jadi pendekatan bersepadu digunakan dalam pengurusan pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan lebih daripada satu komponen dalam aktiviti pelajaran. Contohnya komponen sosio-emosi, bahasa, fizikal, kognitif , rohani dan kreativiti digunakan secara bersepadu dalam aktiviti bercerita kisah “5 ekor itik”. Murid gembira mendengar cerita, berfikir dan berinteraksi, mempelajari nilai murni, perkataan baru dan mengayakan pergerakan kreatif meniru cara itik bergerak. Dengan cara ini kanak-kanak berkembang dengan cara yang lebih menyeluruh dan seimbang.

Pendekatan bertema pula adalah pengurusan pengajaran dan pembelajaran melalui satu topik atau tema yang dipilih bersesuaian dengan masa, tempat, minat dan latar belakang murid. Tema-tema berlainan dipilih setiap bulan sepanjang tahun bermula dengan perkara yang hampir dengan kanak-kanak seperti anggota badan, keluarga, makanan sehingga kepada perkara yang lebih jauh seperti pekerjaan, kenderaan dan cekerawala.

Tema-tema yang dipilih akan dijadikan wahana untuk murid menguasai sesuatu kemahiran seperti kemahiran bertutur, membaca, menulis, asas metametik, berfikir dan emosi serta sosial. Selain itu pendekatan ini memberi peluang kepada murid meluaskan pengetahuan melalui tema yang dipilih.

Apapun keseimbangan kurikulum juga seharusnya dicapai melalui kaedah lemah lembut dan kasih sayang.

Sekian. Wallahu'lam

TIIP 27: MENGAMUK (TANTRUMS)

Pakar kanak-kanak mendapati kanak yang berumur antara 16 bulan ke tiga tahun akan selalu mengamuk atau throw temper tantrums.Ini adalah perkembangan yang normal kerana kanak-kanak peringkat ini mempunyai kemahuan yang sangat tinggi dan mereka egosentrik atau mementingkan diri ( terutama pada umur sekitar dua tahun).

Mereka juga sedang belajar untuk menjadi lebih berdikari dan suka melakukan sendiri banyak perkara.Kanak-kanak peringkat ini juga akan mengamuk kerana kecewa atau frust apabila tak dapat melakukan tugasan atau memunipulasikan mainan sepertimana kehendak mereka. Mereka akan mengamuk apabila permintaan mereka tidak dipenuhi dan mendengar perkataan " jangan".

Walaupun mengamuk adalah sesuatu perkembangan yang normal tetapi sebagai ibu bapa kita mesti menolong anak untuk mengawal kelakuan ini. Ia hendaklah dibendung sejak mula perkembangan ini lagi. Jika tidak memang teruk padahnya. Saya pernah melihat ada anak yang masih mengamuk walaupun sudah bersekolah rendah.

Kita boleh mengawal tabiat mengamuk dengan cara:-

1. Mengalih perhatian anak bila nampak simptom seperti nak mengamuk ie kalau nampak muka anak merah atau mula nak menangis.

2. Tenang menghadapi kerenah anak. Elak daripada memarahi atau menjerit pada anak. Ini tidak akan membantu . Cakap dengan anak dan terangkan kenapa dia tak boleh atau tidak dapat melakukan sesuatu. Sekiranya anak mengamuk kerana tidak dapat melakukan sesuatu tugasan atau permainan, cuba beri tugasan atau permainan yang lebih mudah atau bantu anak untuk mencapai objektifnya.

Memberi pelukan dan ciuman kasih sayang kadang-kadang juga mujarap. Kadang kala ia tidak berkesan. Perlu bertegas dengan bercakap memandang mata anak dan nada suara yang tegas mengatakan tidak pada tempatnya dan kenapa tidak.

3. Sekiranya anak terus mengamuk cuba jangan peduli dan tinggalkan sekejap. Dr. Hugh Jolly dalam bukunya " A book of child care" memberikan tip ini dengan mengatakan- " A person performs better with audience" iaitu seorang akan memberikan persembahan yang lebih baik di hadapan penonton Saya dapati tip ini mujarab untuk kesemua anak-anak saya dan kebanyakkan anak-anak di taska. Jadi kalau anak terus mengamuk jangan perhatikan. Cuma pastikan anak selamat kerana ada budak yang akan mencederakan diri seperti menghantuk kepala ke lantai apabila mengamuk. Ada juga yang menjadi selak dan sukar bernafas.

4. Bila anak berhenti mengamuk, bincang dengan mereka kenapa perangainya tidak elok dan kenapa permintaannya tidak boleh dipenuhi. Terangkan juga bahawa kita akan tegas dengan pendirian kita.

5. Tegas dan elakkan daripada mengalah dengan kehendak anak dan memenuhi permintaannya yang tidak sepatutnya kerana kanak-kanak memang bijak. Sekali kita mengalah apabila anak mengamuk, mereka akan tahu kelemahan kita dan akan mengamuk setiap kali keperluannya tidak dipenuhi. Juga jangkamasa mengamuknya juga akan lebih panjang.

Beberapa bulan lalu anak saya ‘Izzuddin mula mengamuk bila tak dapat kehendak hatinya. Jadi saya terus ambil pendekatan tidak ambil peduli. Setelah dua tiga kali, dia tak mengamuk lagi. Bila buat tak tahu dia akan berhenti mengamuk. Selepas itu dia pun mengendeng-ngendeng hendak dapatkan perhatian semula. Lepas tampak ‘Izzuddin berusaha, barulah saya memeluk, berbincang dan dia akan kembali tenang.

Seisi keluarga mestilah sepakat dan tegas dalam menangani masalah mengamuk ini. Jangan pula ibu tegas tapi ayah tidak atau sebaliknya. Ini tidak membantu anak untuk berubah.

Sekian. Wallahu'alam.

TIP 26: AYAH SEBAGAI PEMBENTUK ANAK

Kita semua tahu bahawa ayah adalah pembentuk disiplin terbaik untuk anak-anak. Dalam Surah Lukman banyak diceritakan perihal Lukman membentuk akhlaq dan disiplin anaknya.

Sebenarnya kebiasaannya anak lebih cepat mendengar kata ayah apabila disuruh. Mungkin ayah lebih tegas dan ini kelebihan yang Allah berikan kepada kaum bapa. Mereka juga mempunyai kurang kerisauan berbanding ibu. Suami saya contohnya tak banyak menegur anak, hanya bila perlu sahaja, selebihnya " lah dah memang budak-budak begitu, biar jelah".

Saya selalu mengingatkan suami supaya memainkan peranan mendisiplinkan anak-anak dalam banyak perkara terutama solat, rutin sekolah, mengaji dan waktu bermain.

Suami saya walaupun memanjakan anak -anak tapi mereka masih mendengar kata termasuk ‘Izzuddin yang masih kecil tu. Kadang-kadang bila abah pandang saja mereka dah tahu apa kena buat.

Sebenarnya semua bapa suka kalau diberi peluang untuk mendidik dan mendisiplinkan anak. Cuma kadang-kadang kita para ibu selalu ingin mendominasi. Teringat suami saya pernah menegur bahawa saya selalu nak buat semua perkara. Bukan apa saya ni dulu perfectionist sikit. Kalau orang lambat buat, tak tahan tengok. Tapi sekarang kena belajar banyak bersabar sebab orang bukannya sama dengan kita.

Ibu-ibu tidak harus melakukan semua perkara dan harus pandai membahagi tugas bersama seisi keluarga. Insya-Allah rumahtangga lebih harmoni dan semua ahli keluarga dapat memainkan peranan mereka. Kalau kita terlalu berfungsi orang lain dalam keluarga akan kurang berfungsi. Secara idealnya setiap ahli dalam keluarga mesti berfungsi secara normal.

Bagaimana untuk mengetahui samada kita telah terlalu lebih berfungsi. Cuba tuliskan senarai tugas-tugas kita, sekiranya terlalu panjang dan sukar untuk kita mencari masa untuk diri sendiri, ini bermaksud kita mungkin terlalu berfungsi dan boleh mengakibatkan keletihan dan stress.

Ini adalah tidak bagus kerana apabila stress, kita mudah hilang fokus dan sukar untuk menyatuni anak-anak dengan tenang dan hikmah. Sebagai ibu kita perlu pandai menjadi pemudahcara dan pembimbing kepada anak-anak melakukan tanggungjawab mengikut kesediaan tahap umur mereka. Ianya sangat baik bagi memupuk sikap bertanggungjawab dan suka menolong dalam diri anak.

Sekian. Wallahu'alam

TIP 25: IBU SUSUAN

Anak ketiga saya, Muhammad 'Izzuddin ( 4 tahun) yang mempunyai ibu susuan iaitu adik saya sendiri yang dipanggil Mak Cik. Setelah habis pantang 40 hari, saya kembali sibuk. Walaupun bekerja di taska tetapi terpaksa keluar kerana pelbagai urusan pentadbiran. Disebabkan ‘Izzuddin menyusu badan dan menolak susu botol, adik saya yang juga bekerja di taska kami meminta kebenaran untuk menyusukan Izzuddin kerana pada masa tu dia juga menyusukan anaknya sendiri Ahmad Aqil, 4 bulan. Selepas berbincang dengan suami dan meminta kebenaran suami adik, kami bersetuju. Jadi ‘Izzuddin pun disusukan oleh mak ciknya bila saya tiada di taska.

Apa yang saya nampak hubungan anak, ibu dan keluarga susuan adalah sangat istimewa. Ianya adalah kemudahan yang Allah berikan dan mempunyai banyak kebaikan. Sebenarnya kasih sayang yang ada pada seorang anak sangat banyak. ‘ Izzuddin sangat menyayangi keluarga Mak Ciknya dan kasih sayang pada keluarga kandung juga tidak nampak kurangnya.

Adik saya mempunyai 2 orang anak. Seorang lagi lelaki, Ahmad Syazwan yang berumur 6 tahun. Kadang-kadang pada hari cuti pun ‘Izzuddin meminta untuk pergi ke rumah Mak Ciknya untuk bermain dengan adik-beradik susuannya. Tidur disana pun dia tidak menangis.

Syukur kerana 'Izzuddin memang seorang anak yang penyayang dan berdikari. Dia nampak matang berbanding kanak-kanak lain seusianya. Dia pandai membawa diri, memberi dan mendapat banyak kasih sayang daripada orang sekelilingnya.

Berkongsi tanggungjawab membesarkan seorang anak sebenarnya membawa banyak kebaikan kepada semua pihak terutama kepada anak itu sendiri. Mereka dapat banyak kasih sayang dan pengalaman bersama orang-orang yang membesarkan mereka dan ini akan meningkatkan keyakinan diri mereka. Sebagai ibu bapa elakkan daripada merasa takut kasih sayang anak akan beralih arah. Sekiranya kita pandai mengimbangi dan sentiasa fokus, perkara ini insya-Allah tidak akan berlaku. Saya sentiasa percaya kasih sayang yang Allah anugerahkan akan sentiasa bertambah sekiranya kita sentiasa memberi.

Sekian.Wallahu'alam

TIP 24: PERSAINGAN ADIK BERADIK (SIBLING RIVALRY)

Pakar psikologi kanak-kanak berpendapat persaingan adik beradik adalah perkembangan yang normal dan selalu berlaku kerana adik beradik akan bersaing untuk mendapatkan masa dan perhatian daripada ibu bapa.

Juga kajian mendapati bahawa jarak kelahiran antara 16 bulan hingga 2 tahun adalah jarak yang akan menyebabkan persaingan yang sangat hebat.

Mengikut pengalaman peribadi ianya memang benar sekali. Saya mengandungkan Muhammad ketika Nurin berusia 11 bulan dan sedang menyusu badan sepenuhnya. Ketika itu saya seorang suri rumah sepenuh masa selepas berhenti kerja. Cuba cerai susu tapi gagal dan dengan nasihat doktor, saya dinasihatkan boleh terus menyusu asalkan makanan seimbang diambil setiap hari. Nurin mula meragam, kerap demam dan hilang sedikit berat badan. Mungkin kerana susu tidak mencukupi.

Bila adiknya lahir, Nurin semakin kuat meragam, cemburu dan cepat terasa. Bila saya menyusukan adik dia pun naik dan buka “kedai” sebelah lagi sendiri. Jadi menyusu macam kembar. Kemudian dia buat macam-macam pada adiknya. Kena letak Muhammad dalam kot supaya selamat. Satu hari tu dia baling bedak kat Muhammad dalam kot. Alhamdullillah tak mengena.

Masih teringat betapa penatnya saya pada masa tu dan emosi pun agak terganggu..Dahlah jaga sendiri dalam pantang. Keadaan bertambah sukar apabila suami saya mula bekerja semula selepas bercuti tiga minggu kerana menjaga saya di dalam pantang. Satu hari saya hampir pengsan kerana tidak cukup rehat. Alhamdullillah, ada anak jiran yang tolong ambil Nurin bawa balik rumah sekali sekala dan saya dapat berehat seketika.

Pada usia Muhammad 28 hari dia dimasukkan ke hospital kerana demam yang agak teruk. Berenggang dengan Nurin selama 3 hari akhirnya dapat memberhentikan dia dari susu badan. Kesian juga kerana kemudian dia kerap demam, batuk dan muntah. Pada satu ketika batuk tak baik-baik selama lebih dua bulan. Saya fikir ini adalah kerana masalah emosinya yang sangat terganggu.

Kemudian bila Muhammad dah besar sedikit dalam usia setahun lebih, dia pulak asyik buat kakaknya. Mereka juga kerap berebut dan bergaduh. Teringat kalau beri Muhamad apa-apa dulu Nurin akan merajuk dan duduk dekat sudut menangis. Kalau bagi Nurin dulu, Muhammad pulak memberontak.

Persaingan ini menjadi reda sedikit apabila Nurin berumur 4 tahun dan mula memahami apa yang dikatakan. Saya selalu menjelaskan bahawa saya amat menyayanginya dan dia sangat istimewa. Bila 'Izzuddin lahir ianya bertambah baik. Masa tu Nurin 7 tahun dan Muhammad masuk 6 tahun. Buat seketika fokus mereka hanyalah pada adik baru

Kemudian mereka mula buat pakatan pula. Siapa dapat menawan 'Izzudin maknanya dia menang. Dua lawan satu. 'Izzuddin pun mula mengada-ngada sebab menjadi tumpuan.

Sehingga sekarang Muhammad dan Nurin masih bersaing dan bergaduh. Saya berpendapat keadaan menjadi lebih sukar kerana mereka mempunyai minat yang sangat berlainan. Nurin suka kepada kerja-kerja tangan seperti melukis dan berkreatif manakala Muhammad lebih suka kepada aktiviti lasak dan suka menyakat kakaknya.

Sekali sekali kami pisahkan mereka berdua. Contohnya minggu ini kami bahagikan keluarga kepada dua. Suami saya yang menghadiri kursus dua hari di Kuala Terengganu membawa bersama Muhammad dan ‘Izzuddin kerana keluarga mertua berada di sana. Mereka menaiki bas kerana menunaikan permintaan ‘Izzuddin untuk menaiki bas ekspress. Mereka memanjangkan percutian kepada selama 5 hari kerana Muhammad ingin menyaksikan perlawanan bola sepak di Stadium Darul Iman, Kuala Terengganu

Nurin selalunya sangat gembira kerana berpeluang bersama saya. Dia tidak perlu bersaing dan kami melakukan banyak aktiviti bersama seperti jalan-jalan, berbual dan tidur bersama. Yalah kadang-kadan kesian juga kat dia. Sebagai anak sulung kepada dua orang adik lelaki, asyik kena beralah je.

Tapi biasalah adik-beradik, bila berjauhan teringat pulak. Rajin pulak telefon dan sms Muhammad. Begitu juga dengan Muhammad.

Selain daripada itu saya cuba mencari perkara yang mereka suka lakukan bersama seperti berenang dan main bowling sekali sekala. Ianya dapat memupuk sifat bertolak ansur dan kasih sayang.

Apabila anak-anak yang sudah agak besar bergaduh, elakkan daripada terlalu cepat masuk campur.. Perhatikan dahulu dan beri masa dan peluang untuk mereka menyelesaikan sendiri masalah. Tetapi bila keadaan semakin teruk cuba leraikan dan duduk berbincang dengan mereka. Beri peluang mereka untuk menjelaskan apa sebenarnya berlaku. Bimbinglah mereka dengan bertanya soalan-soalan yang akan membawa kepada punca masalah. Bimbinglah mereka untuk berfikir, menilai dan mendapatkan jawapan daripada semua alternatif yang dapat membantu. Nasihat bila perlu.


Sekian.Wallahua'lam

TIP 23: MENIPU

Pada usia anak saya 'Izzuddin 2 tahun, dia sangat suka bermain beg tangan dan dompet saya. Bila ditanya siapa main dengan bangga dia mengaku “Din main” Atau apa-apa dia buat dia akan mengaku "Din Buat". Gelagatnya memang menghiburkan. Mungkin dia menganggap ianya adalah satu kejayaan kerana dapat bermain dengan apa yang dihajati.

Kemudian suatu hari dia merosakan bekas pensil warna abangnya, Muhammad. Apabila abah bertanya diapun dengan bangga dan yakin berkata “Din buat” . Abah memberi sedikit pukulan kecil ditangan kerana ingin menyatakan bahawa perbuatanya adalah tidak baik dan patut dihukum. Saya yang ada berhampiran berasa agak terkejut kerana boleh meneka implikasi dari tindakan ini. Saya menjelaskan kepada suami bahawa perbuatannya akan menyebabkan Izzudin menipu.

Untuk buktikan kebenaran ini saya meminta suami saya untuk cuba bertanya sekali lagi. Memang betul, dia terus menuduh yang Muhammad yang buat dengan berkata “Mat buat”.

Kemudian saya nampak setiap kali ditanya ‘ Izzuddin akan menuduh Muhammad. Tidak pula dia menuduh kakaknya Nurin. Mungkin kerana Muhammad selalu menyakat dan bergaduh dengannya. Dia dengan selamba je menuduh walaupun masa kejadian Muhammad tiada kat rumah.

Lebih memudharatkan dalam usia begini ‘Izzuddin memang gagak lasak dan suka mengusik barang-barang peribadi kakak dan abangnya dan dia selalu dimarahi mereka.

Saya cuba menerangkan bahawa menipu adalah perbuatan yang tidak baik tetapi pada usia begini kanak-kanak masih tidak dapat menilai kesan perbuatannya. Kemudian kami memutuskan untuk berhenti daripada bertanya “siapa buat?” Dengan sentiasa bertanya
‘Izzuddin akan terus menipu. Biasanya bila jelas ‘Izzuddin melakukan kesalahan, tindakan kami adalah mengajak dia membaiki, menyimpan atau memulangkan semula barang ke tempat atau orangnya sambil meminta maaf.

Kanak-kanak menipu kerana banyak sebab. Antaranya takut dihukum macam kisah 'Izzudin. Juga ada yang malu macam Muhammad yang agak lambat meninggalkan kencing malam dan selalu diusik oleh kakaknya. Dia mengetahui perbuatannya akan mengecewakan mak dan abah walaupun kami cuba menyorok perasaan kecewa ini. Jadi pagi-pagi bila kencing malam Muhammad dengan segera mandi dan salin pakaian. Kemudian dia berkata "Muhammad peliklah, kenapa tilam basah tetapi Muhammad tak kencing, buktinya seluar tak basah."

Memanglah budak-budak sangat kreatif. Sabar jelah.

Biasanya mengikut kajian pakar, anak disekitar 5 tahun sudah mengetahui bahawa menipu adalah perbuatan yang tidak baik. Kita mestilah selalu menerangkan dengan sabar dan bijak bahawa perbuatan ini adalah tidak baik. Ceritalah kisah-kisah sejarah Islam contohnya kisah Saidina Umar dan budak gembala kambing yang tidak menipu apabila diminta menjual kambing tuannya kerana takutkan Allah.

Kita juga biasa mendengar cerita pengembala kambing dan serigala. Oleh kerana perbuatan pengembala kambing yang selalu menipu, tidak ada orang menolongnya apabila serigala betul-betul menyerang. Cerita-cerita begini akan banyak membantu menyedarkan anak-anak.

Saya dapati bercerita adalah satu kaedah yang sangat berkesan dalam menerapkan nilai dan menyelesaikan masalah emosi anak tanpa mengusik ego anak. Mereka juga lebih mudah memahami kesan perbuatan mereka melalui cerita. Juga lebih mudah mengingatkan mereka terhadap sesuatu perkara dengan merujuk kepada cerita yang telah biasa diceritakan.

Anak-anak kecil selamba sahaja apabila menipu tapi apabila berusia 5 tahun keatas kita boleh tahu bila anak menipu daripada bahasa badannya. Mereka akan mengelak untuk bertentang mata, muka berubah dan mengelak pertanyaan. Saya selalu katakan “ mak tak akan marah, cuma mak nak tahu supaya mak boleh tolong mengatasi masalahnya.

Apabila anak mengaku perbuatan mereka berilah kata-kata penghargaan kerana mengaku adalah sesuatu yang sangat sukar dan pujilah anak atas kemampuan mereka ini. Bantulah anak mengatasi masalah yang sedang dihadapi dan nyatakan menipu bukanlah satu penyelesaian yang baik malah mengundang lebih banyak masalah

Apapun menipu mestilah dibendung supaya ianyanya tidak menjadi budaya anak.

" Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya "Sekian. Wallahu'alam.

TIP 21: BAGAIMANA SEKIRANYA

Anak-anak perlu dilatih untuk berfikir dan mengawal diri dengan membentuk sikap yang berteraskan konsep “ bagaimana sekiranya...”.

Latihan membentuk kata hati ini membantu anak membuat jangkaan supaya mereka boleh mempertimbangkan pelbagai pilihan yang berlainan pada satu masa. Dengan cara ini anak dapat berfikir sendiri dan menilai akibat dan kesan sesuatu tindakan kepada diri sendiri, orang lain dan alam sekeliling apabila orang lain tiada untuk menolongnya. Ini menjadi benteng diri mereka daripada melakukan perbuatan tidak baik.

Latihan ini juga adalah satu latihan untuk pemikiran lateral. Apabila anak bertanya sesuatu elakkan daripada terus memberi jawapan. Galakkan mereka untuk berfikir, menilai dan menimbangkan semua alternatif yang ada dengan bertanya soalan apa, mengapa dan bagaimana. Dengan ini mereka akan menjadi lebih matang dan selalu berfikir sebelum bertindak.

Apabila berbual dengan anak-anak, biasakan menggunakan ayat terbuka supaya mereka akan berfikir dan terus bercakap. Contohnya bila anak berkata, "Tadi Amin main bola di sekolah". Tanyalah soalan berbentuk ayat terbuka seperti " Amin main bola dengan berapa orang kawan?". " Siapa nama kawan-kawan Amin tu?" "Berapa gol yang berjaya dijaringkan?", " Bagaimana perasaan Amin bila dapat bermain bersama kawan-kawan?"dan sebagainya. Dengan cara ini kita menggalakkan anak berbual, mengingati fakta, meluahkan perasaan dan berfikir.

Elakkan daripada menggunakan ayat tertutup seperti hanya menjawab "Ya, baguslah?". Ayat begini tidak menggalakkan anak terus berbual dan berfikir. Perbualan akan terhenti setakat itu sahaja.

Latihan begini sangat baik untuk ibu bapa menyelami perasaan anak-anak dan membantu menyelesaikan masalah mereka dari awal lagi.

"Sayangi dan dekati anak-anak kita"

Seian.Wallahu'alam.

TIP 20: GAMBARAN POSITIF (POSITIVE VISUALISATIONS)

Biasanya waktu dalam perjalananan yang panjang saya banyak berdoa melalui cara gambaran positif .

Teknik ini adalah satu teknik yang berkesan untuk kita membuat perubahan diri dan mengharapkan perubahan daripada orang lain.

Meninggalkan anak-anak dan suami sekali sekala ada manafaatnya juga. Distance makes the hearts grow fonder. Juga kadang-kadang bila berjauhan kita bercakap melalui telefon lebih lama daripada bercakap apabila berada di rumah. Bercakap melalui telefon memang seronok terutama bagi kanak-kanak.

Jarak juga boleh membuatkan kita sedar banyak perkara. Mungkin bila keluar dari rumah kita nampak banyak perkara dengan lebih menyeluruh. Jadi kalau kena pergi di luar kawasan jangan rasa bersalah dan bimbang meninggalkan anak-anak dan suami. Anak-anak biasanya berkelakuan berbeza bersama ayah mereka. Berilah ruang mereka menghabiskan masa istimewa bersama.

Apabila pulang, biasanya anak-anak menyambut kepulangan ibu dengan rasa gembira . Kita pun seperti mendapat semangat baru. Yalah dapat tinggalkan rutin harian buat sementara. Bateri kita pun macam telah di caj semula untuk meneruskan tanggungjawab.

Sekian. Wallahu'alam

TIP 19: SERULAH ANAK DENGAN NAMA-NAMA YANG BAIK

Ibu bapa dianugerahkan Allah dengan pelbagai kelebihan untuk membantu tugas berat mengasuh dan mendidik anak-anak.

Kita digalakkan untuk sentiasa mendoakan anak-anak. Selain daripada itu apa sahaja harapan, kata-kata, niat dan keyakinan ibu bapa terhadap anak-anak adalah juga doa untuk mereka. Kita mestilah mengambil kesempatan untuk menggunakan kelebihan ini untuk kebaikan anak-anak.

Selain memanggil nama anak, ianya juga baik kalau kita boleh memanggil mereka dengan doa-doa yang baik. Berikut adalah beberapa panggilan yang saya biasa gunakan untuk anak-anak saya:

Anak yang soleh dan musleh
Anak yang taat kepada Allah
Khalifah Allah
Anak yang diredhai Allah
Anak yang masuk syurga
Anak yang hafaz Quran
Penyejuk mata (Quratul A'yun)
Anak yang taat pada ibu bapa
Anak yang rajin solat

Saya juga mengikut arwah emak saya memanggil anak dengan panggilan “anak bertuah” apabila mereka melakukan kesalahan.

Selain itu banyak lagi gantinama yang saya gunakan sebagai untuk memanggil anak-anak mengikut kesesuaian masa dan tingkah laku mereka. Insya-Allah, cara ini dapat membantu membentuk peribadi anak.


Sekian. Wallahua'lam

TIP 18: PENEGASAN POSITIF( POSITIVE AFFIRMATIONS)

Sesetengah Ayat Quran, dan semua doa dan solat adalah penegasan ( affirmations) yang sentiasa kita ikrar dan ulang supaya minda bawah sedar kita selari dengan tujuan hidup kita ( our subconscious is aligned with our life purpose) dan ini akan menolong kita membentuk personaliti dan tindakan kita. ( terima kasih pada Dr. Suriya atas tip ini dari ELIT training)

Anak-anak juga sangat bagus diasuh untuk selalu berdoa dan menggunakan teknik penegasan untuk membentuk peribadi mereka. Melalui pengalaman, saya mengajar anak beberapa penegasan seperti contoh Izzuddin tiga tahun akan berkata :

"Adik anak yang soleh dan musleh"
" Adik Khalifah Allah"
" Adik anak yang taat kepada Allah"
“Adik penolong agama Allah”
“Adik sayang mak”

Saya mengajar anak setiap hari sejak lahir dan apabila sudah pandai bercakap mereka akan ikut dan ianya menjadi seperti skrip yang diulang setiap hari. Biasanya ia dilakukan sebelum tidur apabila ada banyak masa bercakap dengan anak. Saya yakin cara ini amat berkesan dalam proses pengasuhan dan pendidikan seorang anak menjadi khalifah di muka bumi ini.

Untuk menjadi ibu bapa yang baik elok kalau kita banyak berdoa disamping selalu menegaskan kepada diri kita. Saya selalu menegaskan bahawa " Saya seorang ibu yang baik". Insya-Allah dengan ilmu, usaha, doa dan penegasan kita boleh mengawal minda bawah sedar dan tindakan kita terhadap anak-anak akan menjadi lebih hikmah.

Sekian. Wallahu'alam.

TIP 17:TABUNG ORANG MISKIN


Kanak-kanak belajar dengan lebih berkesan apabila mereka dapat melakukan sesuatu perbuatan berbanding mendengar nasihat sahaja.

Saya pernah sama-sama dengan anak-anak membuat projek Tabung Orang Miskin untuk mendidik anak menyimpan untuk didermakan kepada orang miskin selain daripada menabung untuk simpanan sendiri.

Setiap hari anak-anak digalakkan menyimpan sekurang-kurangnya 20sen daripada duit belanja sekolah mereka. Pada awalnya mereka agak susah untuk menyimpan terutama anak lelaki saya, Muhammad. Setelah berkali-kali dipujuk dan diterangkan tentang kesusahan orang lain dan ganjaran memberi sebahagian daripada harta, barulah nampak dia bersungguh. Akhirnya saya dapati anak-anak berlumba untuk menderma. Saya juga berjanji akan membawa mereka untuk meyerahkan sendiri hasil simpanan mereka kepada mereka yang memerlukan.

Sebagai ibu bapa kita mestilah sentiasa kreatif dalam menerapkan nilai murni kepada anak-anak dengan melakukan aktiviti-aktiviti begini. Kesannya sangat besar dan mendalam dalam jiwa anak.

Sekian. Wallahua'alam.

TIP 16:CONGKAK DAN METAMATIK


Permainan congkak sangat baik untuk kanak-kanak. Ia penuh dengan konsep-konsep metamatik seperti nilai, padanan satu dengan satu, banyak dan sedikit, dahulu dan kemudian serta konsep sifar.

Semasa anak-anak saya, Nurin dan Muhammad dalam usia 5 dan 6 tahun, saya memperkenalkan permainan ini dan mereka sangat mengemarinya. Saya juga menggalakkan anak-anak jiran bermain bersama sehinggakan rumah kami menjadi pusat permainan congkak pada satu ketika. Alhamdullillah Nurin and Muhammad sangat meminati pelajaran matematik apabila bersekolah.

Banyak aktiviti di rumah yang baik untuk membina konsep matematik dalam diri anak. Semasa saya mengambil upah menjahit baju, Muhammad yang ketika itu berumur 4 tahun belajar nombor hingga beratus-ratus dari tali tape tukang jahit. Yang lebih baik adalah dia menggarap konsep jarak beserta nombor sebab tali semakin panjang bila nombor pada tali bertambah. Dia juga banyak bermain dengan duit bila saya menerima bayaran tempahan.

Kanak-kanak hampir 3 tahun sudah mula membina konsep. Perhatikan mereka mula bijak menggunakan jari untuk meminta sesuatu. Anak saya ‘Izzuddin ketika hampir 3 tahun asyik perasan benda yang berpasang seperti anggota badan iaitu mata, tangan dan kaki. Dia juga mula kenal benda-benda yang sama. Selalu dia kata " samakan" merujuk kepada benda yang sama.

Pada peringkat ini yang lebih penting adalah menggalakkan mereka dengan aktiviti membina konsep seperti pengkelasan seperti bermain mengasingkan bongkah mengikut warna, bentuk dan saiz. Menghafal satu hingga beribu-ribu tidak bermakna anak pandai metamatik. Yang lebih penting adalah mereka membina konsep kerana ianya sangat penting untuk mereka cemerlang dalam metamatik.

Terdapat buku-buku prasekolah di kedai-kedai buku yang menjelaskan konsep-konsep metametik yang diajar diprasekolah. Banyak perkara yang boleh kita latih anak dirumah secara tidak sedar. Ini memudahkan anak bila mula bersekolah. Menunggu anak mempelajari sesuatu apabila anak memasuki tadika adalah satu tindakan yang agak lambat. Mereka telah melepasi banyak masa sensitif (masa anak sudah matang dalam sesuatu perkara dan sangat minat untuk mempelajari sesuatu - Montessori).

Sekian. Wallahu'alam

TIP 15:BANTAL

Bayi setahun kebawah tak perlu ditidurkan menggunakan bantal ( Book of child care- Dr Hugh Jolly). Tidur tanpa bantal lebih baik untuk pernafasan bayi, mengelakkan bayi dari lemas dan memudahkan bayi meniarap. Kepala bayi juga akan lebih cantik dan mengelakkan kepala ' sempeng' ( sebelah kepala tidak berambut atau leper sebelah kepala akibat asyik tidur sebelah).

Saya tidurkan anak-anak tanpa bantal sejak anak sulung lagi. Selalu ditegur oleh orang-orang yang datang menziarahi dalam pantang dan terpaksa memberi penjelasan . Saya dapati anak-anak sampai 4 atau 5 tahun pun masih tidak suka bantal sebab senang nak bergolek. Di taska dan pusat jagaan saya juga tidak menggunakan bantal. Lebih baik, mudah dan selamat.

Satu lagi kebaikan tidak menggunakan bantal adalah mengelakkan sindrom bantal busuk. Susah kalau anak dah berkenan pada satu bantal. Teringat seorang ibu yang hantar anak berusia 4 tahun ke taska saya. Hari-hari kena bawa pergi dan balik bantal busuk. Kalau terlupa terpaksa balik ambil kerana kalau tidak anaknya tidak boleh tidur tanpa bantal busuk.

Sekian. Wallahu'alam

TIP 14:TIMANG TINGGI-TINGGI

Menimang anak semasa bayi sangat baik untuk membina daya imbangan, gerak-geri dan koordinasi sistem pertuturan, gerak- geri jari halus dan membina otot-otot.

Menimang harus dilakukan secara perlahan-lahan kerana ada anak yang mula-mula rasa gayat. Ianya lebih baik dimulakan dengan mendodoi anak. Kita harus berhati-hati ketika menimang anak supaya tidak melambung terlalu tinggi dan melepaskan tangan kita dari ketiak anak. Jangan mengoncang anak dan jagalah leher mereka yang masih belum tegap. Lebih elok iringi aktiviti menimang anak dengan zikir dan nasyid.

Ibu-ibu kita dulu menimang kita sejak bayi lagi sambil menyanyi lagu:

Timang tinggi-tinggi
Sampai cucur atap
Belum tumbuh gigi
Dah pandai baca kitab

Saya mendapat tahu bahawa " belum tumbuh gigi dah pandai baca kitab" bermaksud anak boleh baca Quran sebelum tumbuh gigi kekal sekitar 6 atau 7 tahun. Kreatif sungguh orang-orang dulu mengasuh anak dengan pergerakkan kreatif dan nyanyian yang berbentuk doa serta membawa mesej Islam.

Kemudian bila anak sudah pandai melompat mereka suka melompat di atas tilam. Ini memang sesuatu yang fitrah. Pastikan kaki mereka tidak kotor dan anak tidak jatuh dan terhantuk kepala katil.

Anak-anak kami sangat suka melompat atas tilam spring kami. Baru-baru ini kami terpaksa beli tilam baru kerana spring sudah tidak elok kerana selalu dilompat oleh anak-anak. Lebih elok kalau anak melompat di atas trampolin tapi kekadang budak ni suka melompat atas tilam juga walaupun setelah dibeli trampolin.

SEKIAN. WALLAHU'ALAM

TIP 13: AIR PASANG PAGI

Ingat lagi masa kecil dulu kita main permainan tradisi berlagu Air Pasang Pagi. Permainan ini untuk dua orang dan menggunakan kompentensi gerak tangan untuk tepuk menyilang. Pasti ramai yang masih ingat.

Air Pasang Pagi
Surut pukul 5
Nyonya bangun pagi
Siram pokok bunga
Pokok bunga melur
Taman tepi kolam
Itik bertelur ayam menetas

Permainan ini sangat bagus untuk pembangunan otak. Ianya juga membantu perkembangan fizikal, bahasa dan sosio-emosi anak. Permainan ini agak sukar bagi kanak-kanak 4 tahun ke bawah. Mereka mesti berlatih dengan kawan-kawan atau orang yang lebih dewasa.

Saya dapati anak yang menghadapi masalah pembelajaran juga agak sukar melakukan pergerakkan permainan ini kerana sistem otak-saraf yang belum matang. Saya sering bermain dengan anak-anak tadika terutama yang agak bermasalah untuk membantu meningkatkan kemampuan sistem otak-saraf mereka.

TIP 12: I WANT TO MARRY YOU MUM

Anak lelaki memang aktif dan agak lasak berbanding anak perempuan. Tetapi mereka mempunyai kelebihan-kelebihan tersendiri.

Suatu ketika dulu saya pernah membaca sebuah buku yang dipinjam dari seorang kawan yang bertajuk ‘Boys will be boys'. Ada dinyatakan bahawa budak lelaki kebanyakannya adores atau sangat sayang pada ibu mereka. Perhubungan antara ibu dan anak lelaki sangat istimewa sehinggakan bercita-cita bila besar nanti hendak berkahwin dengan ibu mereka.

Perkara ini benar-benar berlaku pada saya. Pada usia anak lelaki kedua saya sekitar 4 tahun dia memang kata " bila besar nanti Muhammad nak kahwin dengan mak". Teringat betapa gembiranya saya kerana ini menunjukkan dia sangat mengagumi dan menyayangi saya. Sekarang anak ketika saya Mohammad Izzuddin( 3 tahun) juga menunjukkan ciri-ciri yang sama.

Memang benar, hubungan antara anak lelaki dan ibu sangat isimewa tetapi kita kena berlaku adil kepada anak perempuan. Anak perempuan juga ada cara tersendiri menunjukkan mereka mengagumi ibu mereka. Anak perempuan saya sejak kecil suka meniru cara saya berpakaian dan berdandan.

Apapun kita sebagai ibu, kita mesti merebut peluang keemasan ini untuk menerapkan nilai-nilai dan akhlak mulia apabila anak sangat sayang pada kita. Insya-Allah apa yang dinasihati mudah menjadi ikutan anak.

EVERYDAY ENGLISH-OPEN/CLOSE

Sepanjang penglibatan saya dalam taska tadika dan pusat jagaan, didapati dalam usaha ibu bapa/guru/pengasuh mengajar anak mereka Bahasa Inggeris, terdapat kesilapan iaitu penggunaan perkataan yang salah atau tidak sesuai. Kita perlu sedar dan lebih berhati-hati kerana kesilapan mungkin akan kekal dalam diri anak. Saya cuba beri contoh penggunaan bahasa yang selalu silap.

Dalam bahasa Melayu perkataan buka dan tutup biasanya digunakan dalam banyak perbuatan seperti buka dan tutup pintu, buka dan tutup television, buka dan tutup paip, buka dan tutup langsir dan banyak lagi.

Berlainan dengan Bahasa Inggeris, perkataan yang berlainan digunakan untuk perbuatan yang berlainan. Amatlah penting kita menggunakan perkataan yang betul pada tempatnya terutama pada anak-anak seperti contoh-contoh di bawah.

Open/close- for door/ eyes/ mouth/ book window/ lid/ bottle etc
Eg. Please open the door.

Wear- coat/hat/badge/ring/glasses
Eg. Do I have to wear a coat?

Put on/ Take off- shoes/ hat/ dress/ trousers/ glasses/ skirt/ trousers/ coat etc
Eg. Please take off your shoes

Turn on/ turn off- light/ oven/ television/ radio tap etc ( sometimes switch on/off may be relevant)
Eg. Please turn on the tap.

Turn up/turn down – to increase/decrease sound/heat etc on a piece of equipment
.( untuk memperlahankan atau menguatkan sesuatu)
Eg. Could you turn the TV down?

Tie up/untie-hair/ shoelaces/ plastic bag/ knot/ rope etc
Eg. Tie up your shoelaces.

Do/Undo- button/ knot/ zip (to be fastened-mengenakan butang/ ikatan atau zip)
Eg. Please undo your jacket


Button (up)/ unbutton-shirtETA/dress
Eg. Please button(up) your dress.

Draw- curtain (untuk buka /tutup langsir)
Eg. Please draw the curtain.

Referance- Oxford Advance Learner’s Dictionary

' Cintailah bahasa kita'