Thursday, April 26, 2007

TIP 10:PERGERAKAN BERSILANG

Pergerakan bersilang sangat baik untuk pembangunan otak anak iaitu meningkatkan potensi otak kanan dan otak kiri secara seimbang.

Saya selalu melakukan aktiviti pergerakan bersilang dengan menyentuhkan kaki kanan dengan tangan kiri anak dan sebaliknya. Caranya adalah dengan membaringkan anak dalam keadaan terlentang. Pegang pergelangan kaki kanan bayi dengan satu tangan kita dan pegang pergelangan tangan kiri dengan satu lagi tangan. Sentuhkan jari-jari kaki kanan dan tangan kiri tadi. Ulang beberapa kali dan tukar kepada kaki kiri dan tangan kanan bayi. Lakukan dalam bilangan yang kecil kemudian tingkatkan bila anak sudah biasa. Berhenti sebelum anak penat. Elok sebelum mula beri anak minum air masak dulu.

Lebih mudah melakukan pergerakan ini sejak bayi kerana meraka belum banyak bergerak. Bersyukur kerana dapat mempraktikkan kepada anak ketiga saya Muhammad ‘Izzuddin sejak lahir lagi. Banyak kesan baik contohnya saya dapati dia bayi yang lebih tenang, tidak banyak meragam dan menunjukkan perkembangan yang baik secara menyeluruh. Saya selalu melakukan pergerakan ini apabila dia menangis dan kesannya adalah dia akan berhenti menangis. Anak-anak saya yang lain juga seronok melakukan pergerakan menyilang ini untuk adik mereka.

Kaedah ini saya gunakan juga untuk anak-anak di taska dan tadika terutama yang menghadapi masalah pembelajaran. Bagi anak-anak yang sudah besar mereka boleh melakukan sambil berdiri . Orang dewasa juga boleh menggunakan kaedah ini untuk meningkatkan potensi otak kita. Saya juga selalu melakukan pergerakan bersilang ini apabila mengantuk dan lemah badan.

Wallahu'alam. Sekian

TIP 9:JANGAN, BOLEH, TETAPI

Semua orang mengetahui bahawa tidak bagus untuk selalu mengatakan 'jangan' kepada anak-anak kecil kerana ianya akan menghalang banyak perkembangan mereka. Walau bagaimanapun dalam beberapa keadaan kita boleh berkata 'jangan' iaitu:

1. Apabila anak membahayakan diri mereka.
2. Apabila anak membahayakan orang lain.
3. Apabila anak merosakkan barang, harta benda atau alam sekitar
4. Apabila akhlak mereka tidak mengikut akhlak Islam dan
5. Apabila anak tidak mengikut syariat atau peraturan-peraturan Islam.

Biasanya apabila kita membaca buku-buku dari barat hanya perkara 1-3 diberikan sebagai garispanduan. Sebagai orang Islam kita harus lebih peka kepada kehendak Islam dalam mendidik anak-anak .

Selain dari itu perlu biasakan mengatakan ' boleh tetapi' pada keadaan lain supaya anak tidak rasa tertekan dengan kehendak ibu bapa. Contohnya kalau anak hendak makan aiskrim tetapi batuk kita katakan ' boleh tetapi mesti tunggu sehingga batuk baik dahulu'. Elakkan daripada cepat bercakap “jangan” pada anak-anak.

Juga awas bila melarang anak kecil dengan mengatakan 'jangan'. Contohnya " jangan berlari". Apa yang anak dengar adalah perkataan 'berlari" . Ianya lebih berkesan kalau kita menggunakan arahan-arahan positif seperti ' jalan elok-elok' atau 'hati-hati'. Kalau anak berdiri dan kita mahukan mereka duduk. Katakan ' sila duduk' dan elakkan berkata 'jangan berdiri'. Memberi arahan kepada anak perlulah jelas dan positif.

Memang agak sukar untuk bertukar daripada kebiasaan kita. Tapi insya-Allah kalau kita ada ilmu dan keinginan untuk berubah insyaalah perkara baik akan dapat kita jadikan kebiasaan kita dalam mendidik anak-anak.

"Sayangi dan dekati anak-anak kita"

Wallahu'alam

TIP 8: SUBURKAN MINAT ANAK

Setiap anak adalah individu yang unik. Mereka mempunyai minat dan kecenderungan yang tersendiri. Pada 1988 Howard Gardner seorang tokoh daripada Havard Universiti di Amerika Syarikat mengatakan bahawa kanak-kanak mempunyai 9 kecerdasan pelbagai (Multiple intelligence) iaitu:-

1. Pintar bahasa-mahir menggunakan bahasa, berkomunikasi, menulis karya dan menulis.
2. Pintar logik- matematik- mahir mengenal corak logik dan hubungannya,mahir dengan bentuk geometrik, kaitan antara maklumat dan proses kompleks.
3. Pintar ruang dan visual- melihat dan menggambarkan sesuatu objek dan membentuk imej mental. Contoh-Juru bina dan pemain catur. Berkebolehan menangkap warna, garisan, bentuk, ruang dan hubungan wujud dalam elemen-elemen tersebut.
4. Pintar bunyi, muzik atau irama- menangkap, membeza, menilai, mengubah lagu dan melahirkan muzik.
5. Pintar bumi dan alam- Kebolehan memerhati dan memahami persekitaran alam dan kehidupan ciptaan Allah- mahir mengklasifikasikan tumbuh-tumbuhan dan haiwan.
6. Pintar kinestetik- Mahir menggunakan tangan seperti pelukis, pengukir dan mekanik. Menggunakan tubuh badan bagi melahirkan idea dan perasaan seperti pelakon, ahli olahraga dan penari.
7. Pintar pergaulan atau interpersonal- kemahiran berhubungan dan berkomunikasi dengan orang lain. Memahami , simpati, empati dan ambil berat perasaan dan kepercayaan orang lain. Sensitif pada reaksi orang lain.
8. Pintar diri atau intrapersonal - Mengenal dan memahami diri sendiri dan bertindak mengikut kesesuaian.
9. Pintar kewujudan- peka pada nilai, moral dan kewujudan manusia(dunia dan akhirat). Selalu bertanya tentang kejadian manusia dan alam.


Sebagai ibu bapa kita seharusnya peka kepada kecenderungan anak. Mereka mungkin menunjukkan kecenderungan kepada satu atau lebih daripada kecerdasan di atas. Cara yang paling berkesan mengajar kanak-kanak adalah melalui menyuburkan minat mereka.

Sebagai contoh anak saya, Muhammad Firdaus memang sejak kecil agak lasak dan minat kepada aktiviti-aktiviti berbentuk fizikal. Ketika berumur 8 tahun dia mula menunjukkan minat terhadap sukan bola sepak. Memang banyak bola yang telah di beli. Kemudian dia suka mengenakan jersey bola, membeli ‘ keeper gloves” dan kasut bola kerana katanya dia bercita-cita untuk menjadi penjaga gol. Hampir setiap petang dia akan bermain bola sepak dengan kawan-kawannya.

Suami saya yang juga meminati sukan ini mengambil inisiatif menemani Muhammad ke stadium untuk menyaksikan perlawanan bola sepak. Ini menjadikan perhubungan mereka semakin rapat dan selalu berkongsi info tentang bola.

Walaupun saya tidak meminati sukan ini, sekali sekala saya sengaja menonton perlawanan bolasepak bersama Muhammad kerana cuba mendekati dan menunjukkan saya mengiktiraf minatnya.

Sesuatu yang menarik kemudian berlaku. Muhammad yang agak kurang minat membaca mula suka membaca suratkhabar (bahagian sukan) saban hari dan membeli majalah sukan setiap bulan. Berita sukan di television pun diikuti setiap hari. Jadi secara tak langsung dia banyak membaca dan ini dapat meningkatkan perkembangan bahasanya. Geografinya pun bertambah baik. Dia mudah ingat semua nama negeri dan stadiumnya.

Minat Muhammad sangat mendalam dalam bola sepak hinggakan apabila bermain playstation dia hanya main game bola saja. Katanya nak berlatih skil bermain bola sepak. Ini melegakan saya kerana dapat mengelakkan dia dari bermain permainan berbentuk ganas.

Sejak itu Muhammad mula agak serius dalam pelajaran dan menunjukkan peningkatan dalam keputusan peperiksaan. Mungkin kerana selalu diingatkan bahawa untuk menjadi pemain bola sepak yang berjaya dia juga harus cemerlang dalam akedamik.

Untuk mengenalpasti kecenderungan minat anak, buka ruang seluas-luasnya untuk mereka meneroka pelbagai bidang. Kemudian suburkanlah kecenderungan mereka dengan menunjukkan minat dan perhatian kita kepada kecenderungan mereka. Ini banyak membantu perkembangan emosi yang positif selain meningkatkan keyakinan mereka dalam kehidupan. Anak juga akan belajar dengan cara yang optimum melalui aktiviti yang diminatinya.

"Sayangi dan dekati anak-anak kita"

Wallahu'alam, sekian.

TIP 7: KEMAHIRAN MANUPULASI

Bayi dilahirkan dengan refleks gengaman yang sangat kuat sehingga boleh menampung berat badannya sendiri. Jika bayi diganggu dengan bunyi yang kuat atau pergerakan yang kasar secara tiba-tiba, refleks terkejut akan menyebabkan dia membuka jarinya seperti bintang. Refleks gengaman dan terkejut ini mestilah hilang sebelum kemahiran manupulatif diperolehi iaitu kebolehan menggunakan tangan dengan sengaja untuk melakukan pelbagai aktiviti temasuk menulis menggunakan pensil.

Perkembangan manupulasi tangan berlaku dengan pesat pada peringkat awal. Kemampuan fungsi tangan anak akan wujud bila sistem otak-sarafnya dibina secara bertahap-tahap. Lebih kerap fungsi-fungsi itu digunakan lebih eloklah pembangunan di tahap itu.

Oleh itu ibu bapa harus sentiasa peka pada tahap dan menyokong perkembangan mereka.
Menurut ahli teori Lev Vygotsgy (1978), orang dewasa dapat menyokong (scaffolding) seorang kanak-kanak untuk berkembang kepada tahap yang lebih tinggi. Vygotsky mengemukakan teori zone of proximal development- iaitu zon perbezaan di antara tahap atau kebolehan sediada kanak-kanak dan tahap lebih tinggi sedikit yang boleh dicapai dengan bantuan orang dewasa atau kanak-kanak yang lebih besar.

Sebagai contoh ibu bapa boleh menolong mempercepatkan refleks gengaman hilang dengan membuka jari anak satu per satu. Lakukan aktiviti dengan lagu atau nasyid , ianya mengembirakan bayi dan gengamannya akan hilang secara perlahan-lahan. Seterusnya rasakan tapak tangan anak dengan benda-benda yang mempunyai tekstur yang berlainan seperti kain yang berbagai jenis kain, kertas dan plastik. Kalau tidak perlu, anak tidak dipakaikan dengan sarung tangan atau sarung kaki sejak lahir supaya mereka boleh meneroka.


Perkembangan memegang bermula dengan menggunakan semua jari dan tapak tangan. Memberi bayi memegang objek yang berlainan juga akan menolong menguatkan otot jari dan tangan mereka.

Arwah emak saya gemar menggunakan lagu klasik untuk membantu anak melatih kemahiran manupulasi. Masih teringat antara lagu yang sering dinyanyikan iaitu:

Cekur dan gamit
Minta cekur beri kunyit.


Lagu ini dinyanyikan apabila anak sudah boleh membuka dan menutup tangan disekitar umur tujuh bulan. Anak diajar untuk membuka dan menutup tangannya mengikut lagu yang dinyanyikan dan ini membantu menguatkan otot-otot jari dan tangan anak. Kemudian anak dengan sendirinya akan mengaksikan tangannya setiap kali lagu ini dinyanyikan. Ianya merupakan aktiviti yang mengirangkan dan meningkatkan keyakinan diri anak.

Kanak-kanak peringkat ini sudah boleh memegang objek dengan tepat, mencapai objek dengan jari-jarinya dan memindahkan objek dari satu tangan ke satu tangan dengan mudah. Mereka boleh menggunakan sudu untuk makan dan makan sendiri makanan yang boleh dipegang misalnya biskut.

Apabila anak telah pandai menggunakan jari telunjuk disekitar sembilan bulan emak saya suka menyanyikan lagu:

Tun-tun nukut
Nukut dalam cupak
Mana tikus mondok
Menyorok di bawah ketiak



Lagu ini diaksikan oleh anak dengan mengetuk-ngetuk satu jari telunjuk ke tapak tangan yang satu lagi. Apabila habis lagu dinyanyikan emak akan mengeletek bawah ketiak anak supaya ia merasa geli dan ketawa. Selain dari itu anak juga digalakkan menepuk tangan dengan iringan lagu Tepuk Amai-Amai.

Selepas tahap ini, anak mula pandai mengutip benda-benda kecil. .Terdapat ibu bapa yang sering memarahi anak yang suka mengutip dan memasukkan apa sahaja ke dalam mulut. Apa yang sebenar berlaku adalah mereka sudah boleh menggunakan ibu jari dan jari telunjuk untuk mengambil sesuatu. Pencapaian kemahiran manupulatif yang hebat ini boleh dilatih dengan memberi anak makan sendiri makanan seperti kismis dan sayuran yang dipotong kecil.

Saya suka mengajak anak memetik suis lampu atau kipas apabila tiba tahap ini. Mereka juga boleh digalakkan bermain dengan bongkah. Walaubagaimanapun mereka masih belum boleh menyusun bongkah bertingkat.

Bila anak berusia 10 bulan, ada kalanya mereka dilihat seperti sengaja melepaskan barang yang dipegangnya. Kini otot-otot melepaskan gengaman sedang belajar bertugas bertentangan dengan otot-otot gengaman supaya kedua-dua otot yang berlainan bekerja bersama. Bermain memasukkan serta mengeluarkan mainan dari bekas dan memberi bayi bermain dengan objek yang berlainan akan menolong menguatkan otot jari dan tangan mereka.

Sekitar usia setahun, anak sudah boleh membaling benda dengan sengaja. Mereka sudah boleh membina menara dua bongkah, makan dan minum sendiri tanpa banyak tumpah.

Kemudian bila berusia 15 bulan, anak sudah boleh membina menara 3 bongkah, menyelak halaman buku dan memakai pakaian sendiri. Pergerakan motor halus ini terus berkembang dari bulan ke bulan seterusnya sehingga mereka boleh makan dan minum dengan cawan sendiri tanpa bantuan. Mereka juga gemar menconteng.

Kemahiran manupulasi tangan anak semakin matang apabila berumur 2 tahun. Mereka sudah boleh memakai stoking dan kasut, membuka dan menutup zip, menggerakkan pensil dengan baik serta memutar dan memulas.

Kemahiran memulas dan memutar adalah sesuatu yang sukar dan kita harus membenarkan anak-anak berlatih sebanyak mungkin kerana kemahiran ini akan menolong mereka melakukan banyak perkara seperti mengenakan butang, mengikat tali kasut dan menulis.

Anak saya, Muhammad 'Izzudin pada usia dua tahun mula menguasai kemahiran ini dan menjadikan dia sangat kreatif dan lebih berdikari. Dia suka membuka dan menutup paip air. Setiap kali ke bilik air, dia suka melakukan sendiri aktiviti ini.

‘Izzuddin juga sudah boleh membuka pintu yang bertombol bulat yang perlu dipulas. Kelakar juga. Saya sudah tidak senang bila berada di dalam bilik. Dia akan berusaha memanjat kerusi untuk membuka pintu. Sekiranya pintu dikunci, dia cuba mendapatkan anak kunci untuk membukanya.

Pada peringkat ini kita perlu menyediakan permainan yang dapat melatih kemahiran ini supaya menguatkan otot-otot jari mereka. Sediakan mainan yang ada tombol dan alat yang perlu dipusing atau dipulas. Beri anak pakai baju berbutang supaya mereka boleh mencuba mengenakan butang.

Kalau di taska kami digalakkan menggunakan barang terbuang dan terpakai. Botol-botol seperti botol ubat atau botol vitamin yang agak besar tudungnya sangat sesuai, selamat dan berguna untuk kanak-kanak. Mereka boleh berlatih kemahiran memulas dan memutar dengan membuka dan menutup tudung botol. Aktiviti begini akan menyokong perkembangan mereka untuk lebih maju. Mereka juga suka main jual-jual dan masak-masak dengan botol-botol ini.

Sekitar 2 ½ tahun anak sudah boleh mencucuk manik. Galakkan juga mereka menguntai manik dan membuat struktur yang lebih kompleks menggunakan mainan binaan. Sediakan juga kertas yang banyak dan pelbagai alat menulis, melukis dan mewarna.

Di taska, kami menggunakan tudung plastik tin susu formula atau kotak keras yang ditebuk lubang di sekelilingnya supaya kanak-kanak boleh menjalin tali masuk dan keluar lubang (lacing).

Kami juga membuat doh dari tepung yang diuli dengan sedikit minyak garam dan minyak. Pewarna makanan dicampurkan untuk mendapatkan warna yang menarik. Doh ini dapat digunakan berulang kali jika disimpan dalam peti sejuk dengan menggunakan bekas kedap udara. Bermain dengan doh membantu melembutkan tangan dan jari-jari anak apabila meramas,mengentel, menguli dan membentukkan doh mengikut kreativiti mereka. Ini adalah antara aktiviti yang paling digemari kanak-kanak.

Kanak-kanak di sekitar umur satu dan dua tahun yang didedahkan kepada aktiviti-aktiviti motor halus begini juga lebih cepat menguatkan koordinasi tangan dan mata mereka untuk persediaan menulis atau di panggil peringkat pratulis.

Peringkat awal tulis biasanya bermula di sekitar umur tiga tahun apabila kanak-kanak sudah boleh melukis imej yang boleh dikenali, menulis dengan sokongan dan menulis mengikut garis putus.

Setelah mencapai umur umur empat tahun kanak-kanak biasanya sudah boleh menulis tanpa sokongan. Ibu bapa mestilah lebih kreatif dan menjadikan aktiviti menulis sesuatu yang menarik dan dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Saya suka melatih anak-anak membuat senarai barang-barang keperluan apabila ingin membeli- belah atau bercuti. Mereka juga digalakkan untuk berkarya seperti membuat buku skrap, menulis pantun, puisi, teka-teki dan cerita pendek.

Kesimpulannya kanak-kanak yang bebas meneroka dan diajar berdikari lebih awal akan lebih cepat memperolehi kemahiran manupulatif kerana mereka berpeluang menggunakan tangan dan jari mereka untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti makan, memakai pakaian dan bermain. Ini akan juga meningkatkan koordinasi mata dan tangan dan mempercepatkan lagi kesediaan mereka untuk aktiviti menulis.

"Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya"

Wallahua'lam. Sekian

TIP 6: TASKA/TADIKA/PUSAT JAGAAN DAN KELAS FARDHU AIN

Semakin hari semakin ramai wanita yang keluar bekerja.Sudah tentu mereka memerlukan sistem sokongan seperti TASKA, TADIKA dan Pusat Jagaan serta Kelas Fardhu Ain untuk anak-anak.

Kita perlulah membuat pilihan yang tepat kerana perkongsian pintar antara ibu bapa dan insitusi-institusi ini amat penting untuk kecemerlangan anak-anak. Mungkin saya boleh memberi beberapa tip kerana terlibat secara langsung mengusahakan institusi-institusi sokongan ini.

1. Pastikan institusi adalah berdaftar. 

TASKA dan Pusat Jagaan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia. 

TADIKA di bawah Jabatan Pendidikam Malaysia. Kelas Fardhu Ain di bawah Jabatan Agama Negeri.

2. Pergi ke premis berjumpa dengan Pengusaha atau Penyelia. Pastikan mereka mudah didekati, menyukai kanak-kanak dan telah mengikuti kursus-kursus yang asas dengan jabatan-jabatan berkaitan. 

TASKA kini menggunakan Kurikulum Permata Negara. TADIKA menggunakan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan ( KSPK). Pastikan pendidik dan pengasuh sudah mengikuti latihan kemahiran berkatan.

Mengikut akta pengasuh dan penjaga mestilah berusia 18 tahun ke atas.

3. Mempunyai menu dan aktiviti harian atau program yang sesuai bagi setiap peringkat umur kanak-kanak.

4. Mempunyai peralatan dan kelengkapan dalam dan luar bangunan yang bersesuaian, selamat, ceria dan diselenggara dengan baik.

5. Menyelenggarakan rekod-rekod setiap kanak-kanak di taska termasuk borang pendaftaran masuk dan rekod kesihatan dan perkembangan kanak-kanak.

6. Kebersihan keseluruhan premis adalah memuaskan.

7. Pelbagai yuran dikenakan mengikut program dan jenis perkhidmatan yang diberikan. Tanyakan juga tentang yuran lebih masa.

8. Pastikan kanak-kanak dilindungi di bawah insuran pelindungan takaful.

9. Menggalakkan penglibatan ibu bapa melalui aktiviti-aktiviti yang melibatkan ibu bapa dari masa ke semasa. Adalah penting menjalinkan perhubungan dua hala yang sihat di antara pihak institusi dan ibu bapa.

10. Mempunyai peraturan yang ditetapkan dan membenarkan ibu bapa menyimpan satu salinan untuk rujukan.

12. Kelas Fardhu Ain- Ada tadika dan pusat jagaan menyediakan kemudahan ini. Pastikan mereka menekankan pembelajaran solat secara praktikal.

13. Bayaran balik- Bertanyalah berkenaan yuran, bagaimana sekiranya anak berhenti sebelum tempoh sebulan atau setahun . Adakah sebahagian daripada yuran bulanan dan tahunan dikembali. Ramai yang telah tertipu. Ibu bapa harus berhati-hati kerana yuran tahunan selalunya agak mahal.

14. Pengambilan kanak-kanak adalah seperti berikut:-


TASKA

Taska mengambil kanak-kanak berumur 4 tahun kebawah dan dibenarkan mengambil kanak-kanak berumur 4 tahun ke atas tidak melebihi 9 orang pada satu-satu masa. Taska juga dibenarkan mengambil kanak-kanak kurang upaya.

Had bilangan kanak-kanak Taska adalah mengikut nisbah ruang yang sedia ada. Keluasan lantai untuk setiap orang kanak-kanak ialah 3.5 meter persegi. Ruang di dapur, stor, tandas, pejabat dan tempat laluan tidak diambil kira.

}Nisbah Pengasuh: Kanak-kanak
}Bawah 1 tahun 1:3
}1-3 tahun: 1:5

}3-4 tahun 1:10


sila rujuk link jkmm di bawah untuk maklumat terkini:-

http://www.jkm.gov.my/jkm/index.php?r=portal/left&id=WWRhZ0cvbFFuak4rb0RQNk1PTzYvQT09

PUSAT JAGAAN

Pusat Jagaan pula mengambil kanak-kanak berumur 4 tahun keatas dan dibenarkan mengambil kanak-kanak berumur 4 tahun kebawah tidak melebih 9 orang pada satu-satu masa. Pusat Jagaan juga mengambil kanak-kanak kurang upaya dan ada pusat jagaan yang memberi perkhidmatan menjaga khas untuk kanak-kanak kurang upaya sahaja.

Had bilangan penghuni hendaklah tidak melebihi keluasan ruang yang dibenarkan. Terdapat perbezaan keperluan bagi setiap keumpulan umur penghuni. Keluasan lantai bagi kanak-kanak berumur di bawah sepuluh tahun dan orang kurang upaya ialah 3.5 persegi. Manakala bagi remaja ialah 3.0 meter persegi.

Nisbah penjaga dan penghuni adalah seperti berikut:-

Kanak-kanak/Remaja
Kategori -Nisbah Penghuni : Penjaga
Dibawah 4 tahun -5 atau kurang :1
4-10 tahun - 18 atau kurang : 1
10 tahun ke atas- 18 atau kurang :1



TADIKA

Tadika mengambil kanak-kanak berumur 4, 5 dan 6 tahun. Nisbah guru dengan kanak-kanak adalah seorang guru untuk 25 orang kanak-kanak dalam satu kelas. Seorang pembantu mesti disediakan sekiranya bilangan kanak-kanak melebihi 25 orang dalam satu kelas. Apapun ruang kelas mestilah selesa, mendapat cahaya yang cukup dan mempunyai peredaran udara yang baik.


http://issuu.com/anwar_townplan/docs/gpp_penubuhan_tadika_dan_taska

KELAS FARDHU AIN

Bagi kanak-kanak 4, 5 dan 6 sama ianya sama seperti TADIKA iaitu nisbah seorang guru untuk 25 orang kanak-kanak dalam satu kelas. Seorang pembantu mesti desediakan sekiranya bilangan kanak-kanak melebihi 25 dalam satu kelas. Untuk kanak-kanak sekolah rendah ianya seperti kelas di sekolah rendah iaitu kelas yang lebih besar melebihi 25 orang dengan seorang guru.

Kanak-kanak berumur 4 tahun boleh dihantar ke TASKA , TADIKA atau Pusat Jagaan. Mereka juga boleh mengikuti kelas mengaji dan fardhu ain.

Saya lebih suka menghantar anak ke TASKA kerana konsep bermain sambil belajar yang lebih sesuai pada tahap umur ini.

Ibu bapa perlu cekal apabila menghantar dan meninggalkan anak buat pertama kali kerana emosi kita banyak mempengaruhi emosi anak. Gambarkan perkara-perkara yang baik. Membaca buku dan bercerita tentang sekolah baru sebelum sesi persekolahan bermula dapat menyediakan emosi . Elakkan daripada menunggu anak terlalu lama di dalam kelas. Ianya akan menyukarkan dan melambatkan proses penyesuaian.

Juga cuba elakkan dari lewat mengambil anak pada minggu-minggu pertama kerana ini akan menyebabkan mereka merasa agak takut bila melihat ramai kawan sudah balik. Jangan memujuk anak dengan jajan dan permainan. Gunakanlah kaedah ganjaran yang lain seperti pujian, pujukan dan bercerita.

Sekiranya anak meragam pada pada hari-hari pertama, teruslah menghantar anak secara konsisten kerana kalau tidak mereka akan terus meragam dan ini melambatkan proses penyesuaian. Setiap anak berbeza, jadi jangan banding-bandingkan. Senyum selalu. Banyak doa dan tawakal. Insya-Allah semua masalah boleh di atasi.

Artikel ini tertakluk kepada perubahan akta dan peraturan.

Wallahua'lam.

Thursday, April 19, 2007

TIP 5: USAHAWAN KECIL

Selain daripada belajar, belajar dan belajar anak-anak juga perlu digalakkan untuk lebih berkreatif. Ianya dapat meningkatkan potensi otak kanan mereka. Masa cuti sekolah sangat sesuai digunakan untuk tujuan itu. Anak-anak kami sudah terbiasa dengan perkara ini.

Sesuatu yang menarik yang ingin dikongsi bersama adalah dalam masa sibuk outstation kerana menghadiri kursus pada Dis 2003, anak sulung saya Nurin Husna (9 tahun ketika itu) telah memulakan satu perniagaan kecil dengan inisiatif sendiri. Dia telah membuat gelang dari manik dan dijual kepada kawan-kawannya. Rupa-rupanya banyak juga yang dapat dijual. Sejumlah hampir 20 gelang berjaya dijual. Nurin menjual sendiri dan memberi komisen kepada kawan-kawan lain yang menolong menjual gelangnya.

Setelah kembali dari kursus, Nurin begitu teruja sekali bercerita tentang perniagaannya. Saya kagum dengan apa yang dihasilkan dan memberi galakan serta cadangan bagaimana untuk memperbaiki perniagaan kecilnya.

Kami buat kiraan bersama dan mendapati perniagaannya mengalami kerugian. Saya mencadangkan supaya harga gelang dinaikkan sedikit dan cuba mendapatkan manik yang lebih murah. Nurin sangat gembira kerana saya memberi perhatian terhadap apa yang diusahakan.

Sejak dari itu Nurin seronok berniaga. Dia telah mengembangkan perniagaannya dengan menjual aiskrim Malaysia pelbagai rasa seperti sirap, laici, oren dan coklat yang dibuat sendiri, minuman berkotak serta keropok yang digoreng dan dipek sendiri. Dia juga membantu menjual pelbagai “homemade cookies” adik saya yang membuat biskut sebagai punca pendapatan.

Kadang-kadang timbul rasa kasihan apabila melihat Nurin membawa barangan jualan diatas basikal untuk dijual ditaman sambil bermain pada waktu petang. Tetapi kerana minatnya yang mendalam dan pandai membahagikan masa, saya tidak menghalang. Lama-kelamaan ramai kanak-kanak yang membeli terus dari rumah kami.

Biasanya diwaktu cuti sekolah jualannya dipertingkatkan. Kuasa membeli dikalangan kanak-kanak memang agak besar. Dalam sehari hasil jualan tidak kurang RM 2 atau RM 3 dan kadang kala mencecah RM10 sehari.

Saya bersyukur Nurin selalu memahami kesibukan ibu bapanya dan banyak berusaha sendiri untuk melakukan sesuatu. Dia membeli barang keperluan dari kedai berdekatan rumah dan membuat dan membungkus sendiri hasil jualannya. Sebenarnya pelbagai ilmu dan skil yang dipelajari dari aktiviti begini dan banyak manafaatnya dalam kehidupan.

Nurin mula menilai kesusahan orang lain mencari rezeki dan pandai berjimat dan menabung. Dia juga telah menukar cita-citanya dari menjadi pensyarah kepada usahawan.

Bila memerhatikan gelagat Nurin, teringat saya pada pepatah melayu “ ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi”. Dalam aspek ini dia banyak mewarisi sikap saya. Terkenang bahawa saya juga banyak terlibat dalam aktiviti perniagaan sejak dari kecil.

Pada usia saya 9 tahun jugalah saya menjual hasil tanaman timun bapa dan emak saudara saya dari rumah ke rumah. Ketika itu saya dititipkan di rumah mereka semasa arwah emak berpantang di kampung setelah melahirkan adik keempat. Saya berniaga pada waktu pagi sebelum ke sekolah di sesi petang. Mulanya memang agak malu untuk menjaja dari rumah ke rumah tetapi lama kelamaan perasaan malu itu hilang. Yalah, bukan mudah untuk pergi dari rumah ke rumah memberi salam dan kemudian bertanya “mak cik, nak beli timun? ”.

Mungkin ada yang membeli kerana simpati pada usaha anak kecil seperti saya yang membawa bakul yang agak berat berisi timun dan berjalan kaki dari rumah ke rumah.

Semasa usia saya 10 tahun saya mencadangkan arwah emak membuat nasi lemak untuk dijual di sekolah saya. Pengusaha dan pekerja-pekerja kantin sekolah semuanya berbangsa Cina. Harga sebungkus nasi lemak pada ketika itu (1976) adalah 20 sen sebungkus. Bermula dengan membawa 20 bungkus sehari jualan saya dengan cepat mencecah 50 bungkus atau RM 10 sehari. Mudah sahaja, saya hanya perlu datang lebih kurang 15 minit lebih awal ke sekolah dan menjual di belakang kelas sebelum sesi persekolahan bermula. Tidak perlu mengambil masa yang lama kerana saya mempunyai ramai pelangan tetap.

Sebenarnya pelajar adalah dilarang menjual di sekolah kerana ianya akan menjejaskan pendapatan kantin. Setelah beberapa bulan pihak kantin sekolah dapat menghidu aktiviti saya. Syukur sebab saya tidak dimarahi, cuma diminta supaya tidak lagi menjual nasi lemak kerana kantin juga menjualnya. Sebaliknya saya diminta untuk bertanya kepada emak samada dapat membekalkan kuih muih ke kantin setiap hari.

Emak menerima tawaran ini dengan hati yang gembira. Jadi setiap pagi saya membawa kuih muih yang bernilai RM10 kepada pihak kantin untuk dijual. Selepas waktu sekolah, saya mengambil bakul kuih dan RM8 hasil jualan setelah ditolak komisen jualan sebanyak RM2 kepada pihak kantin.

Kerana kuih muih yang laris, pengusaha kantin menawarkan emak saya supaya membekalkan kuih kepada dua buah lagi kantin sekolah yang diusahakannya. Jadi bertambahlah pendapatan keluarga kami kepada RM24 sehari. Setelah di tolak modal pukul rata setengahnya daripadanya adalah keuntungan. Pada masa itu ianya satu nilai yang agak besar dan banyak membantu keluarga kami.

Kami adik-beradik membantu emak dalam proses membuat kuih seperti karipap, kuih keria dan pulut panggang. Setiap petang sabtu , emak akan ke pasar untuk mendapatkan bekalan bahan mentah untuk membuat kuih dengan menaiki bas. Jadi kami akan menunggu emak di perhentian bas dengan basikal untuk membawa turun barang-barang seperti keledek, pisang dan ubi kayu dan dibawa ke rumah. Kemudian setiap petang kami membantu emak untuk memyediakan bahan-bahan membuat kuih. Cuma kami masih kecil untuk bangun seawal pukul 3 pagi membantu ibu membuat kuih.

Selain membuat kuih kami sekeluarga juga membuat sagun iaitu sejenis makanan tradisi yang dibuat dari tepung beras, kelapa dan gula untuk dijual kepada kanak-kanak di sekitar kampung. Semua adik beradik kami terlibat dalam proses membuat sagun iaitu menumbuk beras dalam lesung kayu yang besar, mengoreng campuran tepung dan kelapa yang kemudiannya digaul dengan gula pasir dan dibungkus dalam plastik. Sehingga hari ini peristiwa ini sering menjadi perbualan dan kenang manis kami adik beradik.

Perniagaan kuih muih dan sagun ini diteruskan selama 6 tahun. Kemudian ianya terpaksa dihentikan apabila penyakit pneumonia yang dihadapi emak semakin melarat dan meninggal dunia 4 tahun kemudian.

Pengalaman berniaga sejak kecil mungkin juga banyak mempengaruhi kami adik beradik membuat pemilihan kerjaya. Hanya adik bungsu memilih untuk bekerja makan gaji manakala kami 5 beradik yang lain memilih untuk bekerja sendiri dan berniaga.. Sememangnya adik bongsu kami tidak mempunyai pengalaman seperti yang adik beradik yang lain kerana lahir setelah aktiviti perniagaan kami dihentikan.

"Sayangi dan dekati anak-anak kita"

Wallahu'alam.

TIP 4: CIUMAN DAN PELUKAN PENAWAR

Kanak-kanak memang bijak menarik perhatian ibu bapa mereka. Kadang-kadang mereka suka mengadu sakit walaupun hanya sedikit. Anak saya Mohammad ‘Izzuddin ( 2 tahun) contohnya sering menangis mengadu sakit tangan dan jarinya. Apa yang selalu saya lakukan disamping menyapu ubat ditempat sakit adalah menunjukkan rasa simpati, meniup, mencium tempat yang diadu sakit dan memeluknya. Cara begini memang mujarab. Dia akan berhenti menangis dan rasa dihargai, diberi perhatian dan gembira.

Seronok tengok keletah anak-anak.

Wallahua'lam.

Sekian.

TIP 3: KADANG KALA KANAK-KANAK TIDAK SUKA KEJUTAN

Kita seringkali merungut apabila anak tidak buang sampah, sidai tuala dan pelbagai perkara lain. Untuk menerapkan disiplin ianya hendaklah bermula dari peringkat awal. Perkara yang dapat menolong adalah dengan memastikan peralatan rumah contohnya tong sampah dan rak tuala sentiasa diletakkan di tempat yang sama supaya anak-anak tidak mudah lupa dan proses pengulangan berlaku dengan lebih banyak dan cepat. Membuat kejutan dengan sering mengalihkan tong sampah contohnya akan menyebabkan proses pengulangan terhenti dan tingkah lalu baik tidak dapat dikekalkan.

Ibu bapa juga haruslah menggalakkan anak-anak membuat sendiri kerja-kerja mengikut kebolehan mereka. Contoh anak yang sudah mula berjalan boleh diasuh untuk membuang sendiri lampin pakai buang selepas menyalin mereka. Pada mulanya kita perlu memimpin tangan mereka dan membawa mereka ke tong sampah dan menolong mereka.
Berikan ganjaran melalui pujian dan penghargaan ucapan terima kasih dengan segera dan berterusan. Jangan cepat berputusasa kerana anak memerlukan pengulangan yang banyak dan kemampuan mereka adalah berbeza, ada yang cepat dan ada yang lambat. Tetapi apabila budaya ini terhasil, ianya sangat memudahkan ibu bapa.

Teringat anak saya Mohammad ‘Izzuddin ketika berusia setahun lebih. Apabila budaya membuang lampin pakai buang dan sampah ke dalam tong sampah berjaya diterapkan dalam dirinya, kami harus berhati-hati. Apa sahaja kertas atau barang yang tidak disimpan akan dibuang di dalam tong sampah. Jadi sekiranya ada barang yang hilang, selalunya kami akan menjumpainya di dalam tong sampah.

"SAYANGI DAN DEKATI ANAK-ANAK KITA"

Wallahu'alam

TIP 2: MENDEKATI ANAK-ANAK DAN BUAT MEREKA RASA ISTIMEWA

Mendekati anak-anak bukanlah sesuatu yang mudah. Dalam kesibukan kita ibu bapa menjalankan tanggungjawab bekerja dan menguruskan rumahtangga, kadang-kadang kita hilang fokus dan anak-anak rasa terpinggir. Bila ini berlaku anak-anak akan sengaja melakukan perkara-perkara yang memeningkan kepala ibu bapa hanya sekadar ingin menarik perhatian mereka.

Salah satu cara yang telah saya amalkan untuk mendekati dan membuatkan mereka rasa isimewa adalah keluar dengan seorang anak secara bergilir-gilir. Contohnya hari ini saya menghabiskan sepetang bersama anak sulung Nurin Husna yang berusia 9 tahun. Kami pergi membeli-belah dan makan bersama. Sepanjang tempoh itu saya banyak memberi nasihat, kata-kata perangsang dan motivasi.

Saya juga memberi keutamaan pada anak untuk membeli keperluan peribadinya yang munasabah. Anak-anak merasai diri mereka sangat dihargai dan istimewa kerana bila keluar beramai-ramai mereka hanya mengikut sahaja dan ibu bapa selalunya mengutamakan keperluan keluarga.

Kadang-kadang rasa kasihan bila saya nampak ada anak yang ketinggalan jauh di belakang semasa mengikut ibu bapa mereka shopping.

Saya dapati anak-anak lebih mudah meluahkan isihati mereka dengan cara ini. Anak-anak saya juga sudah memahami dan sedia bergilir untuk keluar bersama saya. Seronok bila nampak anak rasa dihargai dan memegang erat tangan saya semasa berjalan bersama. Saya cuba lakukan perkara ini sebulan sekali tapi kadang-kadang ada anak yang memerlukan perhatian yang lebih kerana beberapa faktor seperti semasa kami baru dapat anak ketiga. Muhammad Firdaus, anak kedua saya pada ketika itu berusia enam tahun merasa agak tersisih dan cepat terasa. Jadi saya lakukan dengan lebih kerap. Kadang-kadang kalau tak berkesempatan untuk keluar saya hanya ajak berjalan-jalan keliling kawasan perumahan dan berbual dari hati ke hati.

TIP 1: ANAK LELAKI SEBAGAI PELINDUNG

Anak lelaki harus dididik dari kecil bahawa mereka mempunyai tanggungjawab yang besar di muka bumi Allah ini. Salah satu darinya adalah menjadi pelindung kepada kaum wanita.

Bagi memupuk sikap ini, anak saya Muhammad sejak berumur 4 tahun telah dididik untuk mengambil alih tugas abahnya bagi memastikan bahawa semua pagar, pintu dan tingkap ditutup sebelum masuk tidur apabila abah tiada di rumah.

Saya terlebih dahulu menceritakan bahawa orang lelaki adalah pelindung bagi kaum wanita kerana kekuatan fizikal yang Allah anugerahkan kepada mereka. Saya juga memberitahu bahawa Muhammad adalah lelaki paling besar bila abah tiada di rumah. Jadi dia mesti memastikan keselamatan ibu dan kakaknya.

Pada peringkat awal saya banyak membantu kerana keadaan fizikalnya yang masih kecil. Alhamdullillah, Muhammad lama-kelamaan sangat seronok dan ingin melakukan sendiri walaupun terpaksa memanjat menggunakan kerusi untuk menutup tingkap dan lampu.

Saya dapat merasakan tugasan ini telah sedikit sebanyak berjaya meningkatkan keyakinan diri Muhammad. Jadi setiap kali bila abah tiada dirumah, dia pun sangat sibuk memastikan semuanya selamat. Gelagatnya sangat menghiburkan tetapi kadang-kadang dia agak “ bossy” dan suka memerintah.

Thursday, April 12, 2007

LAGU KANAK-KANAK KLASIK MELAYU MEMBENTUK SAHSIAH ANAK

Lagu kanak-kanak Klasik Melayu Membentuk Sahsiah Anak
Oleh
Rosnah binti Ahmad

Arwah ibu saya telah kembali kerahmatullah 21 tahun dahulu. Ibu seorang yang pandai menyanyi dan bercerita pada anak-anak. Zaman kanak-kanak kami adik beradik dipenuhi dengan lagu-lagu dan cerita-cerita. Bagi ibu anak-anak adalah hiburan dan bagi kami ibu adalah penyanyi dan penglipurlara yang paling digemari. Kasih sayang kami terhadap ibu masih segar bersama kenangan yang indah ini. Mengalir air mata saya ketika menulis artikel ini dan setiap kali membacanya. Moga Allah mencucuri rahmat keatas rohnya.

Arwah ibu sentiasa memdodoi anak-anak dengan zikir-zikir dan menyanyikan lagu-lagu kanak-kanak klasik Melayu yang sarat dengan mesej dan aksi.

Dimana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Sekarang saya turut melakukan perkara yang sama kepada anak-anak saya mengikut tahap perkembangan mereka. Disamping itu saya menggalakkan semua guru dan pengasuh yang bekerja di taska, pusat jagaan dan tadika saya supaya mengaplikasikannya kepada anak-anak jagaan kami.

Sejak lahir ibu akan mendodoi kami dengan zikir “lailahaillallah”. Sebagai anak sulung, bila sudah besar saya menolong mendodoi buaian adik dengan kalimah yang sama kerana meniru ibu.

Sejak bayi kami akan ditimang dengan alunan lagu:-

Timang tinggi-tinggi
Sampai cucur atap
Belum tumbuh gigi
Dah pandai baca kitab

Semasa menghadiri satu kursus pendidikan awal kanak-kanak beberapa tahun lepas saya diberitahu bahawa maksud “belum tumbuh gigi” bermaksud kanak-kanak akan pandai membaca Al-Quran sebelum anak mula tumbuh gigi kekal sekitar umur enam dan tujuh tahun.

Menimang anak juga adalah sangat bagus untuk perkembangan fizikal dan pembangunan otak kanak-kanak.

Bijak sungguh orang tua-tua kita mendoakan anak-anak melalui nyanyian disamping pergerakan yang menggalakkan perkembangan anak secara menyeluruh.

Kemudian apabila anak sudah boleh membuka dan menutup tangan disekitar umur tujuh bulan ibu akan menyanyikan lagu:-

Cak Cekur dan gamit
Minta cekur beri kunyit.

Anak diajar untuk membuka dan menutup tangannya mengikut lagu yang dinyanyikan dan ini membantu menguatkan otot-otot jari dan tangan anak. Kemudian mereka akan mengaksikan tangan setiap kali lagu ini dinyanyikan.

Aktiviti begini bukan sahaja menghiburkan dan meningkatkan keyakinan diri anak. Malah ia memberi peluang mereka berlatih kebolehan pada satu-satu tahap perkembangan. Dengan cara begini anak akan meningkat ke tahap yang lebih tinggi dengan lebih cepat.

Apabila telah pandai menggunakan jari telunjuk disekitar sembilan bulan arwah ibu suka menyanyikan lagu:

Tun tun nukut
Nukut dalam cupak
Mana tikus mondok
Menyorok bawah ketiak

Tun tun nukut
Nukut dalam cupak
Mana tikus mondok
Menyorok celah kelangkang

Lagu ini diaksikan oleh anak dengan mengetuk-ngetuk satu jari telunjuk ke tapak tangan yang satu lagi. Apabila habis lagu dinyanyikan ibu akan mengeletek bawah ketiak dan celah kelangkang anak supaya merasa geli dan ketawa.

Pada peringkat ini anak juga diajar menepuk tangan dengan lagu Tepuk Amai-Amai.

Apabila anak mula bertatih ibu menyanyikan lagu berikut:-

Tak teh kayu api
Sudah letih jalan lagi
Lagu-lagu lain yang dinyanyikan oleh arwah ibu termasuk Buai Laju-Laju, Rasa Sayang, Tom Tombak, Air Pasang Pagi, Enjit-Enjit Semut, Lompat Si Katak Lompat, Tebang Tebu dan banyak lagi.

Lagu kanak-kanak Melayu klasik mengandungi mesej beserta aksi atau pergerakan kreatif yang menyumbang kepada perkembangan menyeluruh dan pembentukkan sahsiah generasi kita sejak turun temurun.

Lagu-lagu ini juga banyak membawa mesej positif dalam diri anak iaitu mesej Islam, taat kepada Allah, nasihat, nilai moral yang tinggi, taat kepada ibu bapa, menyemai rasa kasih sayang dan mencintai keindahan alam. Doa dan harapan ibu bapa terhadap anak banyak diselitkan dalam lagu-lagu ini. Malangnya lagu-lagu ini seakan semakin dipinggirkan.

Kanak-kanak dan lagu memang tidak boleh dipisahkan. Ia merupakan asas untuk mereka melihat, mendengar, bertutur, bergembira dan meneroka anggota badan dan alam sekeliling melalui seni, musik, pergerakan dan kreavitiviti. Dari sini keyakinan diri mereka akan terbentuk dan mereka akan menjadi anak yang riang, mudah bergaul dan belajar.

Lagu yang sesuai untuk kanak-kanak peringkat awal adalah lagu beraksi, permainan berlagu, lagu yang menggunakan perkataan yang mudah dan lagu yang selalu diulang. Lagu yang tidak bermakna juga boleh digunakan. Zikir-zikir dan lagu-lagu klasik Melayu menepati ciri-ciri ini. Ia juga membolehkan kanak-kanak mengenali dan menghargai budaya agama dan bangsa kita.

Lagu dan pergerakan kreatif juga penting dalam menyampaikan sesuatu maksud kepada perkataan atau arahan yang di beri kepada anak. Setiap arahan haruslah tepat, jelas dan disertakan dengan aksi yang menyerlahkan maksud perkataan supaya mesejnya sampai .

Sebagai contoh permainan berlagu seperti Lompat Si Katak Lompat dapat mengajar anak pergerakan yang dikaitkan dengan perkataan “melompat”. Aksi melompat dengan tinggi dan rendah menggalakkan perkembangan fizikal. Ia juga bagus untuk perkembangan kognitif anak dengan memahami konsep tinggi dan rendah..

Perkembangan kognitif atau akal kanak-kanak boleh digalakkan melalui permainan berlagu terutama lagu yang menggunakan kompetensi gerak tangan. Saya sangat suka lagu Air Pasang Pagi yang banyak menggunakan pergerakan tangan menyilang yang sangat baik untuk pembangunan otak kanan dan otak kiri secara seimbang. Aksi lagu ini juga dimainkan dua orang secara berkumpulan. Ia bagus untuk berkembangan emosi dan sosial anak.

Banyak juga lagu yang berunsur teka-teki, mengenal abjad dan metametik yang baik untuk minda anak. Permainan berlagu Mak-Mak Pergi Pasar contohnya mengasah kemampuan anak untuk mengenal dan mengeja warna.

Aktiviti nyanyian beraksi dapat meningkatkan kecerdasan kanak-kanak. Anak kecil yang aktif menunjukkan bahawa ia akan tumbuh menjadi anak yang cergas.

Sabda Rasullullah SAW bermaksud:

“ Keaktifan anak di masa kecil akan menambah kecerdasannya ketika dewasa.”

( Hadis Riwayat Tarmidzi)
Sebagai ibu bapa, kita juga mestilah memahami bahawa fitrah kanak-kanak gemarkan nyanyian dan pergerakan. Mereka banyak belajar melalui nyanyian dan permainan. Ada ibu bapa yang agak malu untuk menyanyi dan melakukan aksi lagu bersama anak-anak. Sikap ini mestilah dikikis dan diganti dengan sikap memupuk minat berkreatif melalui zikir, nasyid dan nyanyian.

Setiap aksi mestilah dimulakan oleh ibu bapa kerana anak suka meniru. Aktiviti begini merupakan salah satu aktiviti masa berkualiti yang harus dilakukan setiap hari bersama anak-anak supaya mereka rasa gembira, dihargai dan disayangi.

Tidak kurang pentingnya adalah nyanyian dan pergerakan akan mempengaruhi emosi anak. Anak-anak yang selalu dinyanyikan akan selalu tenang dan kurang meragam.

Juga aktiviti begini akan menjadi kenangan indah anak-anak buat selama-lamanya sepertimana kenangan saya bersama ibu saya yang tercinta.

“ Ya tuhanku, ampunilah dosa kedua ibu bapaku, dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihiku sewaktu aku kecil.”

Amin.

"Sayangi dan dekati anak-anak kita"

Sekian. Wallahua’alam.