Wednesday, November 21, 2007

KEJAYAAN PELAJAR LAIN PATUT DIRAI BERSAMA

Pada hari Sabtu lepas, saya dan suami menghadiri Majlis Hari Kecemerlangan 2007 sekolah anak kami.

Seperti tahun sebelum ini, sekali lagi saya menyuarakan rasa sedih kepada suami kerana dengan sikap kebanyakan ibu bapa yang hadir hanya untuk meraikan kejayaan anak mereka .

Apabila anak mengambil hadiah, mereka akan mengambil gambar, melihat sijil dan hadiah, kemudian beredar meninggalkan dewan bersama anak mereka.

Dewan yang pada mula penuh sesak dengan ibu bapa beransur surut seiring dengan nama-nama pelajar cemerlang setiap kelas yang diumumkan. Dewan semakin lengang apabila tiba acara kemuncak iaitu penyampaian hadiah dan sijil kepada pelajar-pelajar yang mendapat 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Yang tinggal hanya ibu bapa pelajar-pelajar ini dan beberapa orang ibu bapa lain yang masih berada di dalam dewan untuk meraikan anak-anak ini.

Fenomena begini tidak boleh dibiarkan terus berlaku kerana ia akan menjadi contoh yang tidak baik bagi anak. Mereka juga akan bersikap kurang menghargai kejayaan orang lain.

Ibu bapa seharusnya bersikap lebih menghargai dengan bukan meraikan anak mereka saja. Sepatutnya ibu bapa menggalakkan anak mereka untuk sama-sama meraikan kejayaan pelajar lain dengan mengajak anak mereka bersama menyaksikan pelajar lain menerima hadiah dan sijil. Pencapaian kecemerlangan UPSR juga seharusnya dapat menjadi contoh dan pembakar semangat kepada anak mereka.

Pihak sekolah boleh mengambil langkah membendung perkara ini daripada berulang. Ibu bapa harus diperingatkan di awal majlis untuk berada di dalam dewan sehingga tamat upacara penyampaian hadiah bagi meraikan kejayaan semua pelajar.

Pelajar-pelajar yang berbaris sebelum menerima hadiah seharusnya di tempatkan di dalam dewan selepas menerima hadiah bagi menyaksikan pelajar-pelajar lain menerima hadiah. Mereka diingatkan untuk tidak meninggalkan dewan sehingga tamat upacara penyampaian hadiah selesai.

Ibu bapa dan orang dewasa dalam masyarakat kita perlu bersikap lebih menghargai dan menyedari bahawa sikap mereka sangat mempengaruhi sikap generasi akan datang.

“ Sayangi dan dekati anak-anak kita ”

Sekian. Wallahua'lam.

No comments: