Tuesday, May 1, 2007

TIP 30: RAIKAN KEJAYAAN-KEJAYAAN KECIL ANAK

Meraikan kejayaan-kejayaan kecil anak adalah sesuatu yang sangat penting untuk kita amalkan kerana kejayaan -kejayaan yang kecil membawa kepada kejayaan-kejayaan yang lebih besar.

Untuk itu kita mestilah sentiasa prihatin atas usaha-usaha kecil anak melakukan sesuatu kebaikan atau meninggalkan sesuatu yang kurang baik. Berilah ganjaran seperti pujian dan galakan kepada anak satu tahun yang berusaha makan sendiri walaupun banyak nasi yang tumpah dan comot. Elakkan daripada memuji apabila anak hanya melakukan dengan sempurna iaitu bila tiada nasi yang tumpah dan tidak comot.

Meraikan hanya kejayaan-kejayaan yang besar contohnya apabila anak berjaya mendapat 5A daam UPSR boleh mengakibatkan sindrom “saya tidak cukup baik” dalam diri anak. Ia boleh menyebabkan anak memberi tekanan yang tidak realistik kepada diri mereka demi untuk mengambil hati ibu bapa. Dengan lain perkataan mereka akan hilang penghargaan kendiri atau 'self-worth'.

Jadi selalulah meraikan kejayaan-kejayaan kecil anak dengan segera dan berterusan melalui kata-kata penghargaan, sentuhan , ciuman, membawa anak berjalan atau memberi hadiah. Insya-Allah mereka akan terdorong untuk lebih cemerlang.

Saya lebih suka memberi ganjaran berbentuk aktiviti seperti bercerita dan bermain. Aktiviti-aktiviti begini memberi kesan jangka panjang yang lebih besar dan mendalam dalam jiwa anak. Selain pujian dan penghargaan terhadap anak, saya akan bercerita atau bermain bersama anak. Selalunya saya membenarkan anak memilih cerita dan mainan yang mereka gemari. Sekiranya anak menunjukkan perubahan yang besar dan ketara seperti peningkatan dalam pelajaran dan akhlak, saya akan mengajak mereka keluar bersiar-siar atau makan-makan.

Sekian. Wallahu'alam

No comments: