Tuesday, May 1, 2007

TIP 28: SEIMBANG

Dari masa ke semasa seorang isteri dan ibu yang berkerjaya kadang-kadang hilang fokus dan keseimbangan dalam menjalankan banyak kewajipan dan amanah di muka bumi ini. Pendekatan yang biasa saya ambil adalah meletakkan keutamaan untuk mengimbangi tugas untuk kesejahteraan diri dan keluarga.

Bercakap pasal ' seimbang', apabila dikaitkan dengan perkembangan anak-anak ianya merupakan sesuatu yang amat penting. Anak-anak mestilah diasuh dan dididik supaya mencapai perkembangan yang menyeluruh dan seimbang dari segi 6 komponen utama iaitu rohani/moral, fizikal, kognitif, sosio-emosi, bahasa dan kreativiti & estetika.

Setiap tahun ramai yang mencari taska, tadika dan pusat jagaan untuk menghantar anak-anak . Adalah penting untuk kita sentiasa peka terhadap keperluan sahsiah anak-anak yang dibina melalui 6 komponen utama ini. Apa yang membimbangkan, mutakhir ini ada banyak institusi taska, tadika dan pusat jagaan yang menggunakan pendekatan program yang kurang seimbang. Banyak yang menumpukan kepada akedemik dan kaedah "CEPAT" untuk semua perkara. Bukan 100% salah tetapi sekiranya ianya tidak diimbangi oleh komponen-komponen lain terutama dari segi sosio-emosi dan rohani ianya adalah memudharatkan.

Kenapa saya berkata begitu? Ianya adalah kerana banyak program yang ada dalam pasaran hanya memfokuskan untuk mencapai matlamat jangka pendek iaitu anak-anak boleh membaca, menulis dan mengira dengan baik untuk persediaan tahun satu. Tidak dinafikan semua ini penting tetapi aspek-aspek perkembangan yang lain tidak kurang pentingnya. Sekira hanya akedemik ditekankan banyak perkara asas akan ditinggalkan sedangkan perkara-perkara ini juga sama penting untuk kehidupan seorang kanak-kanak.

Sebuah institusi pendidikan prasekolah yang baik menawarkan program yang menekankan aspek-aspek perkembangan menyeluruh dan seimbang. Pendekatan ini sesuai untuk pembangunan insan.

Adalah membimbangkan juga sekiranya matlamat yang terlalu cepat dan tidak realistik diletakkan pada anak-anak. Ini akan memberi tekanan dalam diri anak. Ini akan menyebabkan banyak masalah emosi dalam diri anak. Kajian hari ini mendapati EQ mengatasi IQ melebihi 80% dalam menentukan kejayaan seseorang.

Kreativiti dan estetika juga satu komponen yang penting. Pastikan program yang ditawarkan mengandungi komponen ini. Saya dapati banyak tadika contohnya kurang menggalakkan perkara ini. Kanak-kanak terlalu banyak menghabiskan masa dengan mewarna dan mengisi tempat kosong dalam buku kerja.

Cara ini sebenarnya tidak bagus dan banyak yang membunuh kreativiti kanak-kanak. Kanak-kanak harus digalakkan berkreatif secara bebas seperti melukis mengikut kreativiti sendiri. Aktiviti berkreatif secara berkumpulan juga sangat bagus untuk memupuk sikap bekerjasama dan bertoleransi dalam diri anak

Pendekatan yang lebih baik dan memenuhi kehendak Jabatan Pelajaran Malaysia adalah belajar melalui bermain, bersepadu dan pendekatan bertema.

Pendekatan-pendekatan ini memang sesuai dengan fitrah kanak-kanak. Pendekatan belajar melalui bermain adalah satu pendekatan yang terancang dan berstruktur dengan menggunakan bahan yang konkrit dan menarik bagi memberi peluang pada kanak-kanak belajar dalam suasana yang menggembirakan dan bermakna.

Pendekatan bersepadu pula membantu kanak-kanak memahami hakikat kehidupan sebenar iaitu saling bekaitan di antara satu sama lain. Mereka melihat pembelajaran secara menyeluruh dan tidak memisahkan pembelajaran kepada subjek yang berbeza.

Jadi pendekatan bersepadu digunakan dalam pengurusan pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan lebih daripada satu komponen dalam aktiviti pelajaran. Contohnya komponen sosio-emosi, bahasa, fizikal, kognitif , rohani dan kreativiti digunakan secara bersepadu dalam aktiviti bercerita kisah “5 ekor itik”. Murid gembira mendengar cerita, berfikir dan berinteraksi, mempelajari nilai murni, perkataan baru dan mengayakan pergerakan kreatif meniru cara itik bergerak. Dengan cara ini kanak-kanak berkembang dengan cara yang lebih menyeluruh dan seimbang.

Pendekatan bertema pula adalah pengurusan pengajaran dan pembelajaran melalui satu topik atau tema yang dipilih bersesuaian dengan masa, tempat, minat dan latar belakang murid. Tema-tema berlainan dipilih setiap bulan sepanjang tahun bermula dengan perkara yang hampir dengan kanak-kanak seperti anggota badan, keluarga, makanan sehingga kepada perkara yang lebih jauh seperti pekerjaan, kenderaan dan cekerawala.

Tema-tema yang dipilih akan dijadikan wahana untuk murid menguasai sesuatu kemahiran seperti kemahiran bertutur, membaca, menulis, asas metametik, berfikir dan emosi serta sosial. Selain itu pendekatan ini memberi peluang kepada murid meluaskan pengetahuan melalui tema yang dipilih.

Apapun keseimbangan kurikulum juga seharusnya dicapai melalui kaedah lemah lembut dan kasih sayang.

Sekian. Wallahu'lam

4 comments:

Aziera said...

Nak tanya...umur berapa sebenarnya paling sesuai untuk kita hantar anak-anak belajar ke tedika? Seawal umut 2 tahun atau tunggu sehingga 4 tahun, atau hantar saja pada 6 tahun? Sekarang ni di taska seawal umur 2 tahun dah ada kelas komputer, Fardu Ain dll. Kadang-kadang sampai memenatkan budak-budak. Apa pendapat anda?

Rosnah Ahmad/Mak Long said...

Bila nak menghantar anak ke tadika? Mengikut akta boleh dihantar bila anak berumur 4 tahun. Pada pendapat saya ia sangat bergantung kepada kesediaan anak itu dari banyak segi terutama emosi, fizikal, mental dan bahasa.

Untuk anak 2 tahun di taska saya hanya meransang perkembangan secara menyeluruh melalui bermain. Aktiviti-aktiviti yang dirancang juga adalah berdasarkan perkembangan menyeluruh anak dari semua segi iatu rohani, fizikal, bahasa,kognitif dan sosioemosi.

Saya tidak percaya kepada pendedahan terlalu formal dan terlalu awal kepada komputer. Interaksi dengan kanak-kanak lain dan orang dewasa serta alam sekeliling jauh lebih penting bagi melahirkan insan yang seimbang dan tenang.

Unknown said...

salam..
saya nak tanya sikit..
saya tak faham ape maksud sosio emosi
apa kaitan dengan perkembangan kanak-kanak
saya juga tidak tahu aktiviti ape yang dapt dilakukan dari segi perkembangan sosio emosi
need ur help..
tq

Rosnah Ahmad/Mak Long said...

Salam,

Perkembangan sosio emosi adalah interaksi kanak-kanak dengan persekitaran yang akan melahirkan emosi yang pelbagai seperti gembira sedih dan lain-lain. Saya boleh forwardkan presentation yang boleh membantu sementara saya tulis artikel berkaitan sosio-emosi.