Monday, May 21, 2007

TIP 34:DUKUNG-AWAS JANGAN JADI KEBIASAAN

Kanak-kanak kecil terutama yang belum boleh berjalan memang perlu didukung untuk membawa mereka dari satu tempat ke satu tempat. Mereka juga merasa selamat dan disayangi apabila didukung.

Tetapi kita harus berwaspada supaya ianya tidak menjadi kebiasaan bagi anak untuk sentiasa minta didukung terutama semasa kita bekerja contohnya ketika memasak.

Saya pernah melihat anak berusia 3 tahun masih didukung oleh ibunya semasa memasak. Jika tidak dia akan menangis. Pembantu rumah dari Indonesia juga biasa mendukung anak dalam kain gendung sambil melakukan pelbagai kerja-kerja rumah.

Perkara ini biasanya terjadi apabila anak merengek atau menangis kerana memerlukan sesuatu atau meminta perhatian ketika ibu atau pengasuh sedang bekerja. Lalu anak didukung kerana tak tahan dengan tangisan dan rengekan mereka.

Apa yang patut dilakukan adalah berhenti seketika untuk memenuhi keperluan anak. Cuba alih perhatian mereka dengan menyediakan permainan yang mereka sukai atau galakkan mereka bermain dengan kakak, abang atau ayah.

Jika tiada orang lain di rumah, letakkan anak dalam baby cot sementara kita membuat kerja supaya anak selamat. Kita boleh menolak baby cot berhampiran pintu dapur supaya anak dapat melihat aktiviti. Ini memenangkan mereka yang biasanya takut apabila ditinggalkan bersendirian.

Anak boleh didukung sekali sekala tapi mesti sering dilepaskan. Amalan terlalu lama mendukung atau mendukung anak semasa bekerja bukan sahaja berbahaya tetapi juga yang akan menyekat perkembangan anak secara menyeluruh.

Memang betul ketika didukung anak akan rasa selamat dan dapat belajar melalui pemerhatian semasa mengikuti segala aktiviti ibu atau pengasuh mereka. Tetapi kanak-kanak kecil perlu dibiarkan bebas meneroka dalam persekitaran yang akan mengalakkan perkembangan mereka. Mereka perlu melakukan aktiviti yang lebih berbentuk fizikal, sosio-emosi dan kognitif.

Dari pemerhatian saya, anak yang sentiasa didukung akan mengalami perkembangan fizikal yang agak lambat kerana mereka kurang berlatih contohnya apabila anak sudah pandai menjulur, mereka harus digalakkan menjulur sebanyak mungkin supaya mereka boleh mencapai tahap yang lebih tinggi iaitu merangkak. Perkembangan motor halus juga agak lambat kerana mereka kurang menggunakan tangan dan jari mereka untuk memanupulasi mainan.

Mendedahkan anak kepada aktiviti fizikal sangat penting kerana ianya baik untuk membina sistem otak-saraf mereka. Ianya juga penting bagi memperkukuhkan imbangan dan interaksi hemispera otak kanan dengan hemispera otak kiri. Ini dapat mengelakkan daripada masalah dyslexia. System otonomik anak turut diperkukuhkan dan ini amat penting bagi mengatasi masalah “ anak kencing malam” . ( petikan dari buku Apa, Mengapa dan Bagaimana II- Kaedah dan Program NURY oleh Mansor Haji Sukaimi).

Anak yang terlalu kerap didukung juga mempunyai emosi yang agak kurang sihat. Mereka lambat berdikari, tidak suka bergaul dan susah untuk menyesuaikan diri kerana terlalu “attached” dan rasa tidak selamat sekiranya ditinggalkan oleh ibu atau pengasuh

Mencegah lebih baik dari mengubati. Sekiranya tabiat ini sudah terjadi bolehlah cuba beransur-ansur untuk tidak mendukung anak secara berlebihan. Alihkan perhatian mereka kepada orang lain dan galakkan mereka bermain dan bergaul.

Sekian. Wallahua’lam.

No comments: